Wednesday, July 22, 2015

Izinkan Aku...

 2

Hari ni hari pertama umat Islam berpuasa. Semua adik-beradik Elman berbuka di rumahnya. Eh, bukan. Sebenarnya rumah yang Elman sekeluarga tinggal ni, rumah pusaka yang diberikan kepadanya. Tapi rumah ini sudah menjadi rumah tua bagi adik beradiknya. 

Ya la.. Mak mereka masih ada lagi tinggal bersama Elman. Adik beradik yang lain sudah ada rumah sendiri.

"Mak, nanti raya ke tiga kak ngah nak buat cukur jambul si kecik ni. Dah alang-alang tu kita buat open house sekali." Elman mencuri pandang ke arah isterinya. Ainul tenang mengunyah makanan.

"Ha.. Elok la tu."sampuk Puan Rokiah.

"Majlis buat kat mana?" Elman berpura-pura menyoal. 

Jangan kak ngah nak buat kat sini sudah la. Elman menanti dengan debar jawapan si kakak.
"Kat sini la. Kan senang. Pacak khemah kat tengah laman tu ha. Rumah kak ngah tu kan sempit!"
Ainul panggung kepala. Matanya berlaga dengan mata si suami.

"Pakai katering ke rewang?"soal Elman lagi.

"Ala... Kita masak la adik beradik. Katering mahal. Kira kepala. Tak cukup la duit Kak Ngah. Korang keluar la sorang RM200 ke RM300. Jemput la kawan-kawan korang sekali. Senang sekali jalan jer." Ujar Kak Ngah.

Amboi! Sesuka hati jer dia merancang!

"Hurmm.. kata jer rewang adik beradik. Yang penat esok Man dengan bini Man jugak! Yang lain habis majlis terus cabut balik rumah masing-masing. Tinggalkan yang bersepah hambur tu." Puan Rokiah sudah menjengilkan mata. Namun Elman buat-buat tak nampak. Bukannya dia tak faham!

"Eh ea kau ni..." Sampuk Abang Longnya.

Terasa la tu. Ha.. Yang ni bini asyik dok kepit anak. Anak dah berlari pun sibuk nak jaga. Konon takut jatuh! Haiihhhh.. Anak aku pun kecik jugak tapi tak ada pulak bini aku tu melekat punggung tak boleh buat kerja langsung!

Sebenarnya Elman bengang. Kata-kata abang iparnya masih terngiang-ngiang di telinganya. Namun dia belum buat keputusan. Sudahnya yang jadi mangsa adik beradiknya sendiri. Tapi apa yang dikatakan tu benar belaka.

 Ainul la nanti yang paling penat! Saban tahun. Setiap kali raya atau kenduri memang begitu sikap mereka. Lihat saja tika memasak untuk berbuka hari pertama ini. Pandai list kan menu, tapi yang berpenat lelah memasak isterinya.

"Tak pe la kalau gitu, kita buat rumah kita jer la." Nada suara suami Kak Ngah sudah seperti berjauh hati.

"Ishhh mana boleh macam tu. Cucu mak yang lain semua buat kat sini. Tiba turn Balqis, buat kat tempat lain pulak." Bidas puan Rokiah.

Sambil melirik mata ke arah Elman, "Ala.. Nanti mak tolong la Man dengan Ainul kemas."

Hati makin sebal. Mak ni... Haiiih sabar jer la.

"Mak.." Baru saja Elman membuka mulut menyeru maknya..

"Pak suuuuu!!!!! Tangan Amsyar kena bunga api!! Sufian buat!!"

Tangisan anak Elman dan Ainul bingit memenuhi ruang rumah. Berlari Elman mendapatkan Amsyar yang sedang dipimpin oleh Nurin. Tapak tangan Amsyar sudah melecur teruk.

"Hei, Sufian! Mana kau dapat bunga api ni hah?! Aku lempang jugak budak ni karang!" Elman sudah menyinga. 

Ainul diam tak terkata. Air matanya luruh melihat tangan Amsyar yang sudah melecur itu. Pantas saja dia berlalu ke bilik. Mengambil beg tangan dan kunci keretanya. Anaknya perlu dibawa ke berjumpa dengan doktor dengan segera.

"Kau boleh tak ajar anak kau ni Kak Ngah? Bahaya tau! Kalau dia cucuh kat mata anak aku tadi macam mana?!"

Sufian hanya menyorok di belakang badan ibunya. Takut dengan kemarahan bapa saudaranya.
Suara Elman jelas kedengaran melengking. Diam adik beradiknya yang lain. Takut.. Tak pernah Elman naik angin. Begitu juga dengan puan Rokiah.

"Dah la abang. Kita bawa Amsyar ke hospital dulu!"

Ainul terus berjalan mendahului Elman. Dia melangkah terus meninggalkan mak mertuanya bersama ipar duainya.
Post a Comment