Thursday, June 2, 2016

Izinkan Aku...

1




Suara hati yang meronta minta diluahkan membuatkan Ainul perlahan duduk di birai katil. 

Matanya menyoroti Elman yang baru merebahkan badan di atas katil kelamin mereka. 

Dia sengaja menunggu malam, di dalam bilik ini dia menanti suaminya. Di dalam bilik saja dia akan meluahkan segalanya. Ainul berkalih menghadap Elman. Diraihnya tangan kasar suaminya.

"Abang..."lunak suara Ainul mula kedengaran perlahan.

"Hurm." Mata yang masih segar itu membalas pandangan Ainul.

"Boleh tak raya tahun ni kita raya kat kampung saya?"

Senyap.

Melihatkan mata itu tiada bicara, dia mengelus lembut lengan si suami.

"Abang, boleh tak?"

"Nanti kita bincang."

"Sekarang ni bukan berbincang ke?"

Diam. Suara garau itu tidak menjawab langsung! Ainul mengeluh. Susahnya si suami mahu memberi kata putus. Sebal. Dadanya terasa sesak. Munculnya ramadhan, pasti ini yang akan berlaku. Nama saja berbincang, tapi keputusannya sama saja setiap tahun!

"Abang kena tanya mak dulu."

Kan? Dah agak dah itu yang akan dijawabnya!

Panggilan telefon dari abang iparnya yang sulong menyekat segala kerjanya. Fikirannya tak boleh fokus. Elman faham, malah sangat faham! Tapi dia tersepit antara isteri dan mak sendiri.
Sindiran abang iparnya terasa pedas. Ah, dia yang makan cili. Pastinya dia yang terasa pedasnya.

"Man, tahun ni mu tak raya klate lagi ke?"

"Tak tau lagi abang long."

"Mu punya tak tau tu Man, setiap tahun dialog yang sama. Abang long ni dah boleh hafal dah. Agak-agak la Man. Mu tinggal serumah dengan ma mu. Ainul adik bongsu kami tu belum yatim piatu lagi."
 
Gulp.

Badannya disandarkan ke kerusi. Matanya meliar mencari kelibat si isteri. Ainul sedang bersila, dipangkuannya ada bantal kecil bersama baju.

Oh, dia sedang menyembat jahitan mata lalat di leher baju kurung raya.Hurmm, itu kain yang Ainul belikan untuk mak hari tu.

Dia, isteri yang sangat menyenangkan. Baju melayu suaminya, baju anak-anak, malah baju mertua dan ibunya sendiri Ainul jahit sendiri. Jahitannya kemas, lebih-lebih lagi jahitan tulang belut dan mata lalat di leher baju.

"Abang long bukan marah, walau hakikatnya kami adik beradik memang marah! Tapi kami faham, Ainul ikut suaminya. Tapi, mu tu bertimbang rasa la sikit. Ma kat sini asyik tanya jer."

"Tahun ni, abang long minta mu balik raya sini. Ma tu tak berapa sihat, jangan buat Ainul menyesal seumur hidup nanti. Harap mu faham deh apa yang abang long cakapkan ni."

Kepalanya dianggukkan seolah-olah abang iparnya itu sedang berada di depannya.

"Kalau mu tak cukup piti nak balik Klate ni, mu oyak dengan abang long."

"InshaaAllah..abang long. Bukan masalah duit saya ni.. "Terasa segan pula bila abang iparnya berkata begitu.

"Dah tu kalau bukan masalah piti, ghapo pulok?"

"Tak apa la abang long. Nanti saya usahakan balik sana."

Ya, bukan masalah duit! Walaupun harga minyak naik, tapi dia masih mampu untuk pulang beraya di kampung isterinya di Tanah Merah. Namun masalah utamanya bukan itu.

Kesian Ainul.. Maafkan abang sayang!
Post a Comment