Thursday, June 2, 2016

Izinkan Aku...

 5(Akhir)



Setelah seminggu Amsyar ditahan wad, akhirnya dia dibenarkan pulang ke rumah. Selama seminggu itu juga Ainul berkampung di hospital. Di kesempatan itu juga, dia mengambil ruang waktu untuk berfikir. Suara Ma di kampung sayup-sayup menyapa cuping telinganya. Hati dipasung rindu, jiwanya dikalung sebak. Suara hatinya meronta mahu beraya di kampung.
Tak boleh jadi! Tahun ni, aku mesti beraya di sana. Cukup-cukuplah sepanjang lima tahun aku bergelar isteri, lima kali raya aku di sini. Kali ini, aku nak beraya dengan Ma. Manalah tahu, kali ini merupakan aidilfitri terakhir Ma. Desis Ainul perlahan.
Elman yang sedang memandu itu, dikerling sekilas. Tenang saja sang suami.
“Abang, Ainul nak raya kat kampung Ainul.” Perlahan suara Ainul singgah di pendengaran Elman.
Namun tiada sahutan.
Nafas dihembus perlahan. Hati mula bergetar. Suara kecil mula menjentik hati Ainul untuk bersuara lagi.
“Abang, dengar tak?” Sentuhan lembut Ainul, mendarat di paha Elman.
“Sayang cakap apa tadi?”
Wajah Ainul dipandang sebentar sebelum dia mengalihkan semula fokusnya kepada pemanduan.
Mustahil dia tak dengar! Berkerut dahi Ainul mendengar suaminya bertanya sebegitu.
Dengan tarikan nafas panjang, “Ainul cakap, Ainul nak kita beraya di Kelantan!” Tegas suara Ainul mengulangi apa yang telah dicakapkan kali pertama tadi.
Jeda.
Elman tidak memberi kata putus walaupun sepatah. Malah, tiada juga anggukan atau gelengan. Dia dengar, tika Ainul meminta kali pertama tadi pun dia mendengar. Cuma dia tak mampu untuk bersuara. Ya, kalau ikut hatinya dia juga mahu merasa suasana beraya di kampung Ainul. Tapi, dia perlu bertanya kepada Puan Rokiah terlebih dahulu.
Melihatkan kebisuan suaminya, Ainul mula diserbu perasaan marah. Fikirannya mula mencerna yang bukan-bukan. Apakah suaminya yang sebenarnya tak mahu beraya di Kelantan?
“Abang, kenapa senyap? Abang dengar ke tidak apa yang Ainul cakapkan?” Nada suaranya cuba ditahan. Kesabarannya yang mula koyak cuba dijahit cepat agar tidak terus terkoyak.
Elman mengerdipkan mata. Tahu, Ainul rasa tercabar dengan sikapnya. Tapi sungguh, dia suami yang sedang tersepit! Mengikut kehendak isteri, akan membuatkan mak sendiri terluka. Tapi, adilkah dia dengan mengunci mulut dari sebarang kata untuk menyelamatkan keadaan?
Tak.. dia sedang berlaku kejam pada isterinya sendiri. Ainul Mardhiyah, bidadari yang telah dia seksa jiwanya!
Allah… Bantulah hambaMu ini.
“Abang dengarlah sayang.”
“Habis tu? Tak mampu buat keputusan sendiri?”
Sesungguhnya, Ainul makin hilang sabar dengan sikap Elman. Ternyata soalan yang diajukan itu membuatkan Elman berasa tersindir dengannya.
Liur yang ditelan serasa berpasir!
“Abang kena tanya mak dulu.”
Nah! Sememangnya suami aku tak mampu berdikari tanpa mak sendiri! Keputusan untuk pulang beraya juga harus dirujuk kepada mak! Marah Ainul di dalam hati.
“Huh! Nak tanya mak? Atau abang yang sebenarnya tak mahu beraya dengan keluarga Ainul? Buruk sangat ya rumah kampung kami tu berbanding dengan rumah tinggalan arwah ayah abang tu. Maklumlah, beraya di Kelantan kan tak semeriah beraya di sini.”
Tanpa memandang si isteri, Elman tahu Ainul makin menyampah dengannyanya. Ya, dia anak mak. Apa saja keputusan perlu dirujuk dengan mak. Hingga cadangan Ainul untuk membeli rumah sebagai aset juga diminta pandangan Puan Rokiah. Bila si emak berkata rumah pusaka sudah ada, buat apa mahu beli lagi? Elman terus menolak mentah-mentah cadangan isterinya.
“Tak baik tuduh abang macam tu. Abang tak ada masalah pun nak balik ke sana. Selama ni pun, cuti sekolah kita balik juga ke sana kan? Abang bukan tidur di hotel kan? Tidur di rumah mertua abang juga.” Sela Elman.
“So, apa masalah kalau kali ini beraya di sana? Tak terfikir ke abang, kalau-kalau tahun ni, aidilfitri terakhir kita dengan Ma. Abang tak rasa menyesal ke nanti? Atau abang tak ada perasaan langsung tentang mertua abang?”
Allah, peritnya hati aku mendengar kata-kata isteriku.
“Agaknya abang lupa, taraf mertua itu sama tinggi dengan ibu bapa sendiri. Dan selama ini cuma Ainul yang melakukan tanggungjawab melayan mak abang tu, sama macam Ma Ainul sendiri.” Suara Ainul sudah mengendur. Ralat sungguh hatinya ketika ini. Tangannya cuba dicapai oleh Elman, namun dengan pantas dia melarikannya!
“Ainul…”
Elman menyeru perlahan. Si isteri tidak menyahut. Menoleh juga tidak. Sama seperti Elman lakukan tadi.
“Ainul Mardhiyah…”
Kali ini dipanggil dengan nama penuh sang isteri. Tetap tidak bersahut.
Apabila kereta Elman terhenti di halaman rumah, tanpa sempat Elman menarik hand break, Ainul sudah meluru keluar. Pintu bahagian belakang dibuka, Amsyar yang sedang lena itu, didukung dan terus dia berlalu meninggal Elman.
Keluhan berat terbit dari bibir Elman.



“Ainul…”
Ainul hanya mendiamkan bicara.
“Ainul, berdosa kalau tak menyahut panggilan suami.” Tegur Elman perlahan. Ainul yang sedang merungkaikan tudung di kepala, memandang Elman dari bias cermin.
“Berdosa lagi seorang anak apabila tidak pulang ke kampung untuk menjenguk ibunya. Lebih-lebih ibunya tidak berapa sihat sekarang.”
Zasss!
Bagaikan libasan pedang tajam kata-kata Ainul sebelum keluar dari bilik menuju ke dapur. Elman terkebil-kebil sendirian. Ainul sedang marah padanya. Bahkan marah yang bukan sedikit! Teramat marah!
Kaki diatur melangkah mengekori Ainul. Tanpa disuruh, Elman mula membantu Ainul yang akan memasak juadah berbuka. Ah, rindu dengan masakan Ainul! Seminggu berkampung di hospital, mereka hanya berbuka dengan makan yang dijual di kafe hospital.
Ainul tetap tidak bersuara. Dia hanya leka dengan kerja di dapur. Elman yang sedang memerhati tidak langsung menarik hatinya. Andai dulu, waktu inilah yang dia paling gemar sekali. Suaminya yang ringan tulang di dapur, begitu menambat hati.
“Ainul…”
“Kalau abang takut nak cakap dengan mak, biar Ainul cakap sendiri!”
Suara tegas Ainul yang lancar mengungkapkan kata-kata itu, membuatkan Elman terdiam seribu bahasa.
Nampaknya, kali ini Ainul takkan mengalah lagi! Bisik hati Elman.


Empat hari saja lagi, ramadhan akan berakhir. Baju melayu Elman dan Amsyar juga sudah siap dicuci dan digosok. Baju untuk Puan Rokiah juga siap tergantung. Hanya tinggal untuk diserahkan kepada mak mertuanya saja. Perang dingin antara Ainul dan Elman juga masih berlarutan. Cuma tidaklah Ainul mendera dengan tidak menjawab langsung panggilan dari Elman.
Langsir baru di dalam almari, dikeluarkan satu persatu. Hajat di hati Ainul, untuk diserika terlebih dahulu sebelum digantung. Puan Rokiah hanya memerhati tingkah laku menantunya itu. Tidak terlalu awalkah? Bukan ke selalunya Ainul akan menukar langsir pada malam raya? Hati kecil Puan Rokiah ralit menyoal sendirian.
Elman yang melihat Ainul mula melucutkan langsir, turut sama menanggalkan langsir di lain tingkap. Kemudian, spring dawai langsir itu ditarik dari langsir tersebut. Dimasukkan pula pada langsir baru.
Hati tua yang hairan memandang, tidak betah hanya memerhati.
“Awalnya Ainul tukar langsir.” Soal Puan Rokiah.
“Ha’ah mak. Esok boleh cuci langsir kotor ni. Nanti taklah terkejar-kejar. Hari pun tak molek sekarang. Kerap hujan kan?” Puan Rokiah hanya mengangguk.
Betul juga. Sekarang hari asyik hujan. Sudahlah rumah ni banyak tingkap. Banyak tingkap, bermakna banyaklah langsirnya! Nanti tak kering, pastilah kain langsir tu berbau. Desis Puan Rokiah.
“Lagipun, Ainul nak balik raya kat Kelantan tahun ni.” Berdesing telinga Puan Rokiah mendengar kata-kata Ainul itu.
Tidak semena dia meninggi suara, “Sapa yang bagi korang balik raya?”
Ainul memakukan pandangan mata ke arah mertuanya. Hatinya bagaikan dirobek-robek ketika ini.
“Mak..” Suara Elman yang perlahan itu membuatkan Ainul mengubah pandangan. Matanya kini difokuskan pada suami sendiri.
“Sejak bila Elman buat keputusan sendiri ni?”
“Mak…” seru Elman lagi. Berharap Puan Rokiah akan turut berlembut.
“Mak tak izinkan!”
“Mak! Kenapa saya tak boleh beraya dengan keluarga saya? Bukan setiap tahun pun saya balik beraya.” Ainul tak mampu mendiamkan diri lagi. Dia mahu tahu mengapa mak mertuanya tak pernah lepaskan mereka sekeluarga untuk pulang beraya di kampung.
“Mak kata tak boleh. Tak boleh la!”
Suara Puan Rokiah masih meninggi.
“Sebab?” Soal Ainul tak putus asa.
“Anak-anak mak mesti beraya dengan mak! Suami mak dah tak ada…”
Belum sempat Puan Rokiah menghabiskan kata, Ainul sudah mencaras. “Besan mak juga sudah kematian suami. Malah dia lebih dulu bergelar balu berbanding mak. Dan saya sebagai anak dia mahu beraya bersama dia tahun ni.”
“Sayang!” Pantas Elman menarik tangan Ainul. Dia harus membawa Ainul masuk ke bilik mereka. Dia tak mahu perkara itu akan menjadi lebih besar. Namun langkah kaki yang baru bermula itu terhenti, apabila Puan Rokiah bersuara lagi.
“Baik, kau nak balik kampung sangat kan? Kau boleh balik, tapi anak aku dengan cucu aku, kau jangan bawa sekali. Kau nak balik, kau balik sorang!”
“AstagfirullahhalAzim. Mak! Takkan Man tak boleh langsung beraya kat sana. Man nak balik sekali tengok mertua Man.
“Sejak bila kau belajar untuk jadi anak derhaka? Aku cakap kau dengan cucu aku tak boleh ikut dia kan? Biarkan saja dia beraya dengan keluarga dia. Kau anak mak. Kena raya dengan mak.”
“Amsyar anak saya. Dan saya akan bawa dia.” Tegas Ainul. Dia sudah tak kisah kalau suaminya tak mahu ikut untuk balik ke sana. Tapi, Amsyar  akan dibawa ketemu dengan Ma di kampung!
“Aku cakap tak boleh, tak bolehlah! Kau nak balik, kau balik sorang!” Puan Rokiah sekali lagi meninggi suara.
Tanpa berlengah, Ainul meninggalkan suami dan  mak mertuanya di ruang tamu itu. Hatinya sakit. Terlalu sakit ketika ini. Bagaimana mertuanya boleh membuat keputusan begitu?


“Sayang…” Batang tubuh Ainul ang sedang mengiring itu dipeluk kemas. Dagunya disendalkan di bahu sang isteri.
“Maafkan abang.” Setitis air mata lelakinya jatuh di atas bahu Ainul.
Perlahan Ainul bangkit. Lalu duduk menghadap Elman yang masih mengiring itu. Jarinya mendarat di pinggir mata si suami lalu sisa air jernih itu diseka dengan lembut.
“Betapa hati ini terlalu mengharap untuk kita sekeluarga pulang bersama. Tapi apalah daya Ainul. Ainul tak mahu abang jadi anak derhaka kerana seorang isteri.” Elman turut bangkit duduk  di hadapan Ainul. Tangan Ainul digenggam erat. Dikucup perlahan buku lima Ainul.
“Abang tersepit sayang…” Luah Elman perlahan.
“Syhh. Tak apa. Ainul  boleh drive sorang. Cuma Ainul minta, abang izinkan Ainul.” Air mata Ainul tumpah melihat Elman menjatuhkan kepalanya.
Ralat. Tapi apa boleh buat? Terpaksa berpisah sementara hanya untuk beraya di kampung tidak dibenarkan.
“Ainul minta abang halalkan semuanya untuk Ainul. Ainul minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki.”
“Ainul.. raya lambat lagi. masih ada empat hari lagi.” Teguran Elman mengundang senyum nipis di bibir Ainul.
“Tak apa. Mana tahu, Ainul terlupa nak telefon abang nanti.”
“Abang yang akan telefon sayang!” Tubuh Ainul dibawa ke dalam pelukan. Sebak di hati bagai berlumba-lumba mengusai diri mereka. Tapi, andai ini yang akan dilalui untuk sementara waktu, mereka perlu jua berpisah. Hanya untuk seketika. Sehari dua di bulan syawal!
Sesungguhnya  mak sedang berlaku kejam! Apalah yang Ainul akan beralasan apabila Ma tanya menantu dan cucunya. Mak, sampainya hati mak! Tak terkurangnya kasih sayang Man pada mak hanya kerana Man beraya di rumah mertua Man. Mak masih ada anak menantu yang lain. Malah cucu-cucu mak yang lain juga akan bersama dengan mak di pagi syawal.
Allahuakhbar, benarkah aku bisa mengizinkan isteriku balik berseorangan?


“Kenapa hanya Ainul yang polis jumpa dalam kereta? Mengapa kamu tiada dan anak kamu juga tidak bersama Ainul?” Suara Abang Long Ainul itu bagaikan menyentap tangkai hati Elman.
“A..apa maksud abang Long?” Tergagap-gagap suara Elman bertanya. Puan Rokiah mengerling si anak.
“Ainul sudah sampaikan Abang Long? Man telefon dia, dia kata lagi setengah jam dia sampai rumah Ma. Man tertidur lepas telefon dia. Man baru nak telefon dia.” Entah mengapa degup jantung Elman tidak seperti biasa.
“Elman, Abang Long tanya, mengapa kamu tiada bersama Ainul? Sedangkan Ainul kata kamu sekeluarga balik bersama. Tapi kenapa hanya Ainul yang berada di tempat kemalangan?”
“Abang Long cakap apa ni? Mana ada Ainul kemalangan! Man tak tidur sebab kejap-kejap call dia. Pastikan dia tak mengantuk. Subuh tadi saja, Man tertidur!”
“Abang Long di bilik mayat Man, sedang menguruskan tuntutan jenazah adik Abang Long.”
“Takkkk! Abang Long tipu Man!!”
“Abang Long tak tipu! Ainul terlibat dengan kemalangan dan meninggal di tempat kejadian! Dan kami takkan tunggu Man untuk kebumikan arwah.”
“Abang Long!!”
Raungan Elman itu memeranjatkan Puan Rokiah. Meluru dia mendapatkan anak bongsunya.
“Man, kenapa ni?”
“Puas hati mak kan? Isteri Man dah meninggal!”
“Man..Man.. cakap apa ni?” Soal Puan Rokiah berdebar-debar.
Jeritan suara Elman yang memanggil nama Ainul itu membuatkan Puan Rokiah menjadi kaku di situ. Air mata yang membasahi pipi anak lelakinya itu menuntun jiwanya.
Benarkah Ainul telah meninggal dunia?


Tanah kubur yang masih merah itu dikais dengan tangan. Berulang kali nama Ainul dipanggil. Tingkah lakunya itu cuba ditahan, namun dia menepis kasar.
“Ainul, abang datang! Ainul, keluarlah! Ni bukan kubur isteri abang! Abang nak tengok muka orang dalam kubur ni. Abang nak tau, betul tak abang Long tak tipu abang!”
“AstagfirulllahhalAzim. Man! Mengucap Man! Mengucap! Ini memang kubur Ainul! Isteri Man dah meninggal! Adik kami dah tak ada! Satu-satunya anak perempuan Ma sudah pergi selama-lamanya!”
Suara Abang Long meninggi. Elman yang dilihatnya bagai orang hilang akal! Tangannya telah penuh dengan tanah kubur yang basah ditimpa hujan. Menangis dan meraung memanggil nama Ainul.
“Amsyar, sini sayang. Amsyar panggil mama, nak. Suruh mama keluar jumpa kita.” Amsyar yang masih tidak faham itu, hanya memandang kosong wajah Elman.
“Elman, buat apa kami nak tipu. Ini memang kubur Ainul. Kami tak boleh menunggu hingga kamu sampai untuk kebumikan arwah…” Kata-kata abang Long itu, membuatkan Elman membuang pandang pada Puan Rokiah.
“Puas hati mak kan? Mak tak bagi Man balik beraya di sini. Mak tamak! Sebab mak, isteri Man kemalangan. Pasti dia terlalu mengantuk memandu seorang diri. Semuanya kerana mak! Mak tak izinkan kami beraya di sini. Dan sebab mak, anak Man hilang mama dia!” Terdiam kaum keluarga Ainul yang berada di tanah perkuburan itu. Ma hanya menutup mata mendengar Elman berkata begitu.
“Man, maafkan mak nak..” Tangan Elman menolak perlahan tangan Puan Rokiah. Tubuhnya diangkat untuk mendapatkan mertuanya yang sedang memerhati.
“Ma, maafkan Man. Man terlalu takut untuk menjadi anak derhaka. Hingga Ainul, satu-satunya anak perempuan Ma menjadi korban. Ampunkan Man.” Tangan tua itu dicapai. Dikucupnya tanpa henti. Airmatanya terus menerus membasahi belakang tangan wanita itu.
“Ma reda Man. Ma terlalu gembira bila Ainul kata dia akan beraya di sini kali ni. Sungguh, dia mengotakan kata. Dia pulang terus selamanya di kampung dia. Tak apalah. Sekurang-kurangnya, ada kubur dia untuk keluarga kami melepaskan rindu.”
Tubuh Elman dirangkul ketat. Air mata makin lebat antara mereka. Sungguh hiba hati seorang ibu. Pilu lagi hati seorang suami. Tapi apalah kudrat yang ada untuk mengatasi takdir yang telah terlakar?
“Terima kasih, selama ni jaga anak Ma dengan baik.”


“Itulah aidilfitri yang tak dapat makcik lupakan dan tak akan sesekali makcik melupakannya. Anak makcik bagaikan orang gila. Setiap hari menangis memanggil Ainul. Lama dia berkeadaan begitu. Hinggalah dia buat keputusan untuk pindah, tinggal bersama mertuanya. Hanya semata-mata untuk ke kubur isterinya selalu.”
“Jadinya anak makcik di sana sekarang?” Soal juruhebah itu.
“Ya, sudah lima tahun tragedi tu. Cucu makcik pun dah besar.” Esak tangis Puan Rokiah kedengaran sayu.
“Makcik menyesal. Tapi penyesalan tu takkan dapat mengubah takdir. Menantu makcik dah meninggal. Sekarang, makcik dah tak kisah kalau anak memantu yang lain nak beraya di mana pun. Makcik takut terjadi lagi perkara seperti dulu.”
Luahan hati Puan Rokiah itu dapat didengari oleh semua pendengar rancangan radio itu. Slot DJ Amir yang membuka talian untuk segmen Aidilfitri yang tak dapat anda lupakan itu, menggamit hati Puan Rokiah untuk bercerita tentang kisah lalu. Cerita yang dikongsikan bersama itu, mengharapkan agar tiada orang lain yang akan berasa menyesal seumur hidup sepertinya.
“Untuk menantu mak, Al-Fatihah buatmu sayang, Maafkan mak atas dosa mak pada Ainul. Man, ampunkan mak. Amsyar, maafkan nenek sayang.”
Kata-kata yang mengusik hati itu, mengakhiri panggilan telefon Puan Rokiah bersama DJ Amir. Petang raya yang begitu menghibakan hati lelakinya.
Kata DJ Amir, kisah ini wajar dijadikan tauladan dan pedoman, bahawa dalam hidup kita jangan tamak! Biarkan saja anak-anak yang telah berkahwin mengikut pilihan masing-masing. Semua itu boleh dibawa berbincang. Kita sebagai orang tua harus menjadi contoh kepada mereka. Jangan sesekali mencampuri urusan rumahtangga si anak, walaupun anak itu penawar segala racun untuk kita!

Tamat.

P/s: Terima kasih kerana membaca. Jangan lupa komen. Semoga kita bertemu di lain kisah dan ceritera.

Luv,
AH 27122015
Post a Comment