Sunday, September 24, 2017

Gerimis Di Hati Bonda

Bahagian 2.

Sesekali Safwan mengerling si isteri di sebelah. Namun cinta hatinya itu leka memandang ke luar jendela. Anak-anak di tempat duduk belakang sudah terlentok. Kepenatan barangkali.

"Mai, abang nak tanya ni." Maisara berpaling. Wajah sang suami ditatap. Tetapi Safwan tegak menghala pandangan di hadapan. Menjaga pemanduannya.

"Tanya apa, abang?"

Tanpa menoleh, Safwan meluahkan rasa terbuku di hati lelakinya.

"Kenapa Mai soal mak macam tu tadi?"

Maisara tersenyum nipis. Kepalanya menggeleng, sempat bebola matanya naik ke atas. Mencari ayat yang sesuai agar sang suami itu tidak tersalah sangka.

"Abang, Mai ni tak layak tau nak masuk campur urusan abang adik beradik. Tapi abang lupa ke apa yang adik abang cakap minggu lepas? Semasa kenduri Pak Ali...."

Safwan melepaskan keluhan. Terasa hembusan nafasnya begitu kuat sekali.

"Dengar..." Sahut lelaki itu perlahan.

"Lena tanya Caca kenapa tak balik rumah nenek. Caca jawab, baba tak kasi. Hey, come on la. Baba tak kasi atau ibu dia yang tak nak jejak rumah mak lagi?"

Safwan diam. Ya, dia ingat tentang cerita adiknya itu. Anak buah dia menipu? Budak-budak tak menipu kalau tak ada orang tua yang mengajarnya.

Boleh jadi Kak Yatt itu menggunakan nama suaminya, Abang Razin. Ya betul, kita tak boleh berkata apa-apa kalau suami anak kita itu tak izinkan anak kita balik ke rumah mak ayah kita. Tapi tak usahlah mengajar anak itu bercakap bohong!

Safwan juga percaya kakaknya sendiri yang tak mahu pulang. Bukan Abang Razin yang tak izinkan. Sebab Safwan tahu, abang iparnya itu takutkan kakaknya. Razin itu suami yang takutkan isteri!

"Abang fikir logik la... Abang Razin yang bawa anak-anak dia datang dekat kita. Kakak abang langsung tak nampak batang hidung! Eh, majlis tadi majlis keluarga abang tau. Bukan majlis keluarga Abang Razin yang kita pergi."

Maisara memuntahkan lagi apa yang tertanam di dalam hati dan fikirannya.

"Dia lupa agaknya kan? Masa dia tiada rumah dulu, mana dia berteduh? Tu.. Rumah buruk ayah jugak yang dia laki bini tinggal. Masa dia berpantangkan Caca, siapa yang jaga dia? Tu... Mak yang dia tak tegur tu la yang masakkan air panas, tuang dalam baldi untuk dia mandi. Orang tua tu la yang memasak lauk untuk dia makan. Anak dia si Caca tu dari merah, masih lembik... Mak yang mandikan. Mak tatang dia, mak selalu sebut-sebut kakak abang tu sampai saya sakit hati!"

Akhirnya air mata Maisara tumpah juga. Sungguh, emosi dia tercalar.

"Sayang.... Benda dah lepas...."

"Ya, benda dah lepas! Tapi Mai ingat. Mai masih ingat...."

Safwan capai tangan Maisara. Dibawa ke bibir. Dikucup jari-jari itu. Bagai menitipkan penawar buat sekeping hati yang pernah terluka itu.

"Sayang, abang masih ada dan terus akan ada selagi Allah masih meminjamkan nyawa abang. Lupakan la hal dulu. Mak tak sengaja. Mak tak tahu anak perempuan dia akan buat dia begini."

"It's not about me, abang! But you! Mak suka pilih kasih. Mak terlalu agungkan anak perempuan dia yang itu. Sekarang, lihat! Apa yang anak dia sanjungkan itu dah buat? Dan anak mana yang selalu ada ketika dia perlukan anak-anak?"

Safwan tak terjawab.

Amarah isterinya sudah mencecah paras bahaya. Tapi dia tak mahu ianya meningkat lagi. Dia tak ingin Maisara membentangkan lagi kesilapan mak dia.

Kerana, hati lelakinya juga pernah terluka. Dia bimbang luka itu kembali berdarah.

"Mai terpaksa tahan hati. Sebab suami Mai anak lelaki. Anak lelaki, masih punya tanggungjawab ke atas mak ayah dia sehingga mati. Mai marah bukan sebab Mai mahu tak suka abang tolong mak. Tak, itu tanggungjawab yang perlu abang lakukan. Berbakti selagi mereka masih bernafas. Tapi Mai sakit hati, dulu mak tak pandang pun kita!"

Tangisan bisu Maisara masih berlangsung. Safwan yang masih memandu itu melencongkan pemanduannya ke arah bandar. Setiap patah si isteri tidak dibalas.

Laju keretanya dipandu akhirnya berhenti di tepi laut Stulang. Selat Tebrau terdampar di depan mata.

"Menangis la puas-puas. Nanti dah reda, kejut anak anak. Abang ada dekat depan tu aje."

Akhirnya Maisara ditinggalkan di dalam kereta. Sengaja Safwan membiarkan Maisara yang sedang diulik emosi. Orang perempuan kalau sedang angin, jangan dilayan.

Makin dipujuk, makin kuat tangisannya nanti. Lebih baik biarkan dia sendiri dulu. Karang dia okey sendiri. Bukannya dia tak kenal siapa Nur Maisara. Isterinya itu hanya perlu waktu untuk mententeramkan perasaan sendiri. Tak perli dipujuk!

Percayalah!