Saturday, December 26, 2015

Izinkan Aku..

 4.




“Amsyar mana?” Soal Puan Rokiah apabila kelibat Elman melewati ruang tamu itu. Suara itu menyebabkan langkah kaki Elman terpaku seketika.
“Anak Man kena tahan wad mak. Ni pun balik, sebab nak ambil barang-barang dia.”
“Ya Allah, teruk ke tangan cucu mak tu?” Suara Puan Rokiah jelas kedengaran seakan tidak menyangka yang Amsyar akan dimasukkan ke wad. Mungkin padanya memadai dengan rawatan sebagai pesakit luar saja.
“Hurm.” Hanya itu yang terluah dari bibirnya. Sebelum meminta diri untuk mengemas keperluan Amsyar dan Ainul.
 Hati dia yang sebenar marah pada si kakak sekeluarga! Sudahlah anak mereka yang melakukan kesalahan, malah tak seorang pun yang menelefon bertanya akan perkembangan Amsyar. Baik kak Ngah sendiri mahupun suaminya!
Malu. Ya, Elman malu dengan Ainul. Segan dengan sikap buruk pasangan itu. Kalaulah Ainul tahu, tika ini hanya Puan Rokiah dan keluarga abang Long saja yang ada. Kak Ngah sekeluarga sudah pulang ke rumah mereka. Pasti Ainul akan terdetik rasa marah di dalam hati.
Keluhan berat terkeluar dari bibir Elman. Kak Ngah, andai anak kak Ngah yang sedang berada di hospital, dan pelakunya adalah anak Man, pasti kak Ngah dan suami kak Ngah akan mengamuk bukan?
Mujurlah isteri Man itu bukan seperti orang lain, kerana dia Man sedang menahan marah! Hati ini sama sakit dengan kesakitan yang anak Man tanggung. Tergamak sungguh ya Kak Ngah melarikan diri begitu? Elman menggeleng kepala mengenangkan kakak nan seorang itu.


Kaki Elman bagaikan dipasak dari terus melangkah. Telinganya tanpa disuruh melebarkan pendengaran akan suara Ainul itu. Dia hanya berdiri kaku di situ. Entah mengapa, hatinya bergetar tatkala mendengar suara isterinya itu bernada sayu.
Di sebalik dinding itu, Elman terus menerus memasang telinga. Dia mahu dengar apa yang sedang diperkatakan oleh Ainul bersama ibunya di kampung. Bibir Ainul menyeru Ma, ia sangat menyakinkan Elman bahawa talian telefon itu menghubungkan mereka.
“Ma, Ainul sudah poskan baju raya untuk Ma. Nanti raya, Ma pakai ya? Baju tu Ainul jahit sendiri.” Dari intaian mata Elman, jelas Ainul sedang cuba tersenyum dengan mata yang sedang digenangi air. Sebak hati lelakinya melihat si isteri.
“Ma…” Suara Ainul sedikit merayu.
“Bukan Ainul tak mahu balik raya sana, tapi keadaan tak mengizinkan kami, Ma. Tak, bukan kami tak cukup duit nak balik ke sana. Tapi Amsyar masuk hospital, Ma. Dan Ainul tak tahu bila Amsyar boleh keluar dari sini.” Elman sudah tersandar di tepi dinding itu. Kata-kata isterinya itu benar-benar membuatkan dia tak mampu untuk berdepan dengan isterinya sendiri.
Pasti ibu Ainul bertanya soal duit belanja untuk pulang ke kampung. Ya, kebenarannya bukan mereka mengalami masalah kewangan. Tapi.. restu dari Puan Rokiah! Dan Ainul menutup hal itu dengan menjadikan kemasukkan Amsyar di hospital sebagai alasan.
“Ainul cuai, Ma. Ainul leka di dalam hingga lupa Amsyar bermain di luar. Dan Ainul tak tahu bagaimana anak Ainul boleh  terkena bunga api.” Air mata yang gugur di pipi itu Ainul seka dengan hujung jari.
Terpaksa! Ya, Ainul lebih rela menipu dari membuka mulut menceritakan hal yang sebenar. Tegakah hatinya untuk memberitahu besan si ibu yang tidak benarkan dia beraya bersama ibunya sendiri?
Setiap tahun, kesemua anak menantu dan cucu Puan Rokiah wajib beraya bersama dengan dia. Tapi Puan Rokiah itu lupa, Ainul masih punya ibu di Kelantan. Isteri abang Long tak mengapalah, ibunya hanya di kampung sebelah. Bila-bila masa boleh balik menjenguk si ibu. Begitu juga dengan Kak Ngah, mertuanya sudah meninggal dunia. Yang tinggal cuma ipar duai, masing-masing beraya dengan keluarga sendiri.
Ya Allah, Ainul Mardhiahku terlalu indah pekertinya. Dia isteri yang sangat menyenangkan! Malah menantu yang menjaga keburukan mertuanya sendiri. Mak aku terlalu tamak, hingga setiap kali raya tidak dibenarkan aku beraya di kampung isteriku. Sejak Ainul bersuamikan aku, dia tak lagi menyambut aidilfitri bersama orang yang melahirkan dia.
Allahurabbi, berdosakah aku? Kejamkah aku kerana terlalu tunduk dengan permintaan mak aku sendiri? Hingga mertua aku saban tahun, menanti kepulangan satu-satunya anak perempuan dia pulang beraya. Hati Elman berbisik lagi. Mencari sebuah hakikat dalam kebenaran.
Sesungguhnya menjadi seorang lelaki itu amat payah apabila terpaksa berdepan dengan dua orang wanita. Di kiri seorang mak yang melahirkan, di kanan seorang isteri yang sanggup bersama dia demi sebuah cinta. Dua-duanya punya tempat yang tersendiri di dalam hati Elman. Tapi, apakah Elman langsung tidak mampu untuk memberikan Ainul peluang untuk pulang beraya? Sampai bila Ma di kampung akan menanti kepulangan mereka sekeluarga di pagi aildilfitri?





Post a Comment