Bab
6
Dia tidak berpaling tapi terus mengangkat tangan menadah
doa. Nadra hanya memerhati. Perlahan-lahan punggungnya dilabuhkan di sebelah
Aisyah yang masih bertelukung itu.
Doa-doa Aisyah langsung tidak
didengari. Gadis itu lebih selesa berdoa di dalam hati.
“Kau doa apa?” Bibir Aisyah
tersenyum nipis bila Nadra melontarkan soalan lagi.
“Doa untuk semua orang. Mummy.
Arwah daddy. Diri sendiri. Hilman. Abang Vincent sekeluarga. Untuk Nadra
Aqilah...”
“Khyr Najmi?”
“Ya, dia termasuk di dalam doa
aku.” Perlahan saja suara Aisyah. Tak guna menipu Nadra. Memang sepotong doa
untuk si pemilik nama itu.
Nadra mengambil tasbih yang
terdampar di atas sejadah ungu itu. Jari runcing gadis itu menyentuh setiap butir mutiara itu.
“Kau masih tunggu dia kan?” Sekali
lagi Nadra bertanya. Tadi ketika dia berdiri di muka pintu bilik Aisyah, mata
dia terpandangkan gadis itu sedang berzikir. Seutas tasbih utuh di tangan
kanannya. Dia tahu dari mata datangnya tasbih putih itu.
“Tunggu?” Aisyah menggeleng.
“Tak ada istilah tunggu. Aku hanya
menghargai pemberian dia. Aku gunakan dari dulu hingga sekarang. Aku yakin ada
ganjaran buat dia andai aku tetap menggunakan tasbih tu.”
“Itu aku pun tau. Maksud aku, hati
kau tu.. masih ada dia?”
Aisyah tergelak.
“Hati ini bukan milik sesiapa
selain Allah.”
Nadra ketap bibir. Bengang bila
Aisyah menjawab selamba begitu.
“Nad.. kami hanya berkawan. Dari
dulu tak ada perkataan cinta yang terbit dari mulut kami. Kami selalu bersama
sebab saling menghargai erti sebuah persahabatan...”
“..tapi kenapa dia hilang begitu
saja?”
Kepala Aisyah tertunduk.
Hilang?
Siapa yang menghilang?
Siapa yang menjauh?
Kelopak mata Aisyah terpejam.
“Sudah aturan Allah begitu.”
Biarlah Nadra tak tahu. Cukuplah
dia tahu tasbih ini milik Khyr. Nadra tiada di masa lalu kami. Dia tak perlu
tahu semuanya.
Nadra terdiam bila Aisyah
menyambung lagi, “Takdir kita ni Nad, Allah dah tulis kat atas langit biru.
Setiap huruf sudah lama tercatat. Sehinggakan setitik noktah dalam kehidupan
kita pun sudah ada. Cuma.. kita tak pernah tau.”
Sejadah dan telukung yang telah
dilipat, dibawa ke tempat asalnya. Nadra masih di situ, mencerna setiap
kata-kata Aisyah tadi.
Tiba-tiba dia teringat seseorang
yang dikhabarkan sedang tenat di hospital.
Adakah ini takdir atau kifarah buat diri dia? Gumam Nadra.
“Jom, Nad. Mummy dengan Hilman dah
sampai agaknya. Boleh kita makan sama-sama.” Terus Nadra bangkit untuk
mengikuti jejak langkah Aisyah.
“Ni beg apa Syah?” Beg yang sedang
diangkat oleh Puan Hidayah itu dipandang sekilas. Kaki yang sedang menekan
pedal mesin jahit itu terhenti. Senyap terus bunyi kasar yang memenuhi ruang
itu tadi.
“Oh, abang Vincent kasi siang tadi.
Syah lupa pulak nak tengok apa ada dalam tu.”
“Vincent dah balik ke?” Soal Puan
Hidayah seakan tidak percaya.
“Aah mummy. Pagi tadi dia datang.
Mummy dah pergi kelas. Mummy tengoklah apa yang dia beli. Syah nak habiskan
kerja ni kejap.” Mesin jahit industri itu bergema lagi. Fokus Aisyah kembali
kepada kain yang sedang dicantum. Pasangan bajunya sudah siap sedari tadi, Cuma
kain susun belakang saja yang sedang dijahit.
“Haihh, budak bertuah ni..
berapalah yang agaknya dia habiskan semata-mata beli kain sutera ni? Lembutnya
Syah.. kain sejuk ni.”
Puan Hidayah membelek kain sutera
yang berwarna kelabu berbunga merah jambu terang. Tangannya menyeluk lagi.
Sepasang lagi kain bercorak dan dari material yang sama kelihatan.
Seperti biasa Vincent akan
membelikan mereka dua beranak benda yang sama.
Bibir Puan Hidayah menyimpul
senyum. Pandai anak bujang tu pilih kain. Mummy suka! Puji Puan Hidayah dalam
senyap.
China sememangnya terkenal dengan
sutera. Walaupun banyak negara menghasilkan sutera, tapi tidak setanding sutera
dari negara China. Mereka masih lagi menguasai kedudukan teratas dalam
penghasilan kain sutera.
Itulah yang pernah diberitahu oleh
Vincent kepada Aisyah dan Puan Hidayah. Oleh itu, saban kali Vincent ke negara
tembok besar itu, pasti kain sutera gred A yang dijadikan buah tangan untuk dua
beranak itu.
“Syah, nanti jahitkan mummy jubah
tau.”
“Amboi, mummy ni. Dan-dan nak suruh
jahit.” Puan Hidayah tergelak. Kain yang sudah siap dijahit itu, diambil dari
tangan Aisyah.
Tak perlu si anak meminta bantuan,
Puan Hidayah sudah mula menyediakan kancing kain untuk dijahit tangan. Aisyah
hanya membiarkan saja Puan Hidayah menjahit kancing kain tersebut.
“Ala, bukan malam ni. Esok ke lusa
ke Syah potonglah kain sutera tu. Bolehlah mummy pakai pergi jemputan kahwin
hujung bulan depan.” Balas Puan Hidayah seakan memujuk si anak.
Aisyah sudah memanaskan seterika.
Botol spray yang berisi air itu mula dipicit. Sedikit basah baju kurung moden
yang telah dihamparkan di atas papan penggosok. Perlahan-lahan Aisyah melalukan
seterika panas itu di atas baju tersebut.
Bermula dengan bahagian bahu,
diikuti pula bahagian tangan. Kemudian tangan Aisyah membawa pula seterika itu
ke bahagian badan. Setiap bahagian cantuman jahitan itu ditekan dan digosok
agak lama untuk menghilangkan kedut jahitan.
Usai di bahagian depan, Aisyah
menterbalikkan baju itu. Kemudian dia
memulakan semula untuk bahagian
belakang. Setelah siap, digantungkan baju itu. Kain yang dihulurkan oleh Puan
Hidayah pula digosok licin.
“InshaaAllah, mummy. Kain untuk
bulan ni pun dah siap semua. Esok Syah nak
ke pejabat pos. Nak pos baju-baju ni pada tuannya balik. Mummy nak
ikut?” Pelawa Aisyah.
“Berjalan, sapa yang tak nak?”
Aisyah ketawa saja apabila Puan Hidayah berseloroh begitu.
“Nanti dah selesai pos semua barang
tu, kita pergi rumah aunty boleh? Mummy dah lama tak jumpa kakak ipar mummy tu.
Entah sihat, entah kan tidak.”
Aunty.. maksudnya ibu kepada
Vincent. Mak saudara Aisyah yang berlainan agama dengan mereka itu.
“Boleh, my. Nanti kita pergi ke
sana ya.”
Puan Hidayah tersenyum puas apabila Aisyah sudi mahu membawa dia pergi
berjumpa dengan kakak iparnya itu. Hampir sebulan dia tidak bersua dengan
wanita sedarah sedaging dengan arwah suaminya.
Hubungan rapat mereka sejak dulu
tiada masalah meskipun satu-satunya adik lelaki wanita itu sudah menukar agama.
Ketika ibu bapa mertuanya masih ada pun, mereka tetap melayan Puan Hidayah
dengan baik.
Apatah lagi setelah Aisyah lahir ke
dunia. Cucu perempuan tunggal itu sangat disayangi oleh datuk dan neneknya itu.
Mertua Puan Hidayah kerap mengambil Aisyah bermalam di rumah mereka.
Ternyata pemikiran terbuka keluarga
arwah suami Puan Hidayah itu, langsung tiada cacat celanya dalam hubungan
kekeluargaan mereka.
Yang berbeza cuma pegangan agama. Darah
yang mengalir tetap sama merah. Susur galur masih dari yang sama. Nama keluarga Lee tetap dibawa
ke anak cucu. Jadi, permusuhan antara dua keluarga itu tidak pernah berlaku,
meskipun insan-insan penting di dalam hidup mereka telah meninggal dunia.
2 comments:
Dah boleh bayangkan kelembutan dan kecantikan kain sutera tue....hahaha
Amboi! Tapi sutera China memang berkualiti. Huhu..
Post a Comment