Tuesday, November 24, 2020

Tak Sengaja Cinta - Bab 1


 


    “Kak, nak kenal dengan sepupu orang tak? Dia tengah cari calon isteri.”

    Jaja menoleh ke sebelah, memandang muka Anna. Sungguhpun keadaan bising dengan bunyi kereta lalu lalang di hadapan mereka, Jaja masih mendengar dengan jelas apa yang Anna cakapkan tadi.

    Sesaat kemudian, Jaja gelak besar. Dia yakin dia tak salah dengar. Anna tiba-tiba melobi sepupu dia. 

    Nak kahwin, tapi tak ada calon? Dah serupa musang berjanggut versi moden! Desis Jaja dalam hati.

    “Hish, orang cakap betul ni. Dia kerja kat kem..”

    “Askar ke?” Muka Anna Jaja tatap. Inginkan kepastian. Gadis itu tak berminat nak berkawan dengan mat tiarap. Gila demand si Jaja, macamlah muka dua tu cun habis. 

    Anna menggeleng, “Tak. Bukan.. Ala, amik la nombor telefon dia. Ni dia tak ada rasanya. Dia tengah kursus.” Pantas Ana merampas telefon bimbit yang aku pegang sedari tadi.

    Sekelip mata, dia sudah menyimpankan nombor telefon abang sepupunya di senarai kenalan gadis itu. "Akak, orang miss call abang sepupu orang tu. Nanti dia mesti telefon akak balik.”

    Eh, budak ni pandai-pandai aje! Namun omelan Jaja hanya terbit di dalam hati. Sedangkan yang beratur keluar dari mulutnya lain.

    “Huh! Orang tu tengah kursus, nak telefon buat apa?”

    “Lor, berkenalan la. Kalau dia berkenan, boleh kita jadi family!”

    Family? Errrr...keluarga?

    Jaja menelan air liur. Mata bundar  terus merenung nombor tersebut. Kalau dia terbekenan macam mana? Kena terus kahwin ke?

    “Jangan risaulah kak. Dia baik. Dalam ramai-ramai abang sepupu orang, dia paling baik dan paling handsome.” Kali ini skop melobi Anna kian meluas. 

    Jaja hanya memasang telinga. Hati belum teringin mahu berkawan dengan lelaki lain. Ada seseorang yang sudah berpenghuni di hatinya. 

    “Dia anak mak lang, tapi dia duduk dengan nenek dari kecil. Jangan risau la kak. Sepupu orang yang ni tak ada kawan dengan perempuan. Siang dia kerja dekat kem, malam dia kerja part time dekat stesen minyak. Kalau keluar pun, dia keluar dengan nenek orang.” 

    Jaja hanya diam mendengar Anna bercerita. Kepala saja terangguk-angguk, akal fikirannya tidak berada di situ. Mata leka memandang kereta yang masih tidak putus-putus melalui Jalan Merdeka di depan. 

    Dari segi cerita, sepupu dia macam anak lelaki yang baik. Tapi betul ke orangnya sebaik penceritaan?




Lewat pukul 10 malam, Jaja sudah berada di rumah. Barang-barang yang dibeli tadi sebelum singgah berjumpa dengan Anna dicampakkan ke tepi katil. Tudung ditanggalkan, lalu digantung di sebalik pintu bilik. 

    “Cukup ke kak bunga ni?” 

    Jaja berkalih apabila suara Nur menyoal. 

    “Bukan kau dah tidur ke?”

    Nurin menyengih, “Celik sebab bunyi plastik tu.” Rambut yang sedikit mengerbang dilurut sebelum disanggul. 

    Si adik merangkak turun mendekati plastik yang terdampar tadi. Segala isi plastik tersebut dikembur satu persatu. 

    Bunga ros tiruan berwarna merah jambu dibelek. Cantik, macam bunga betul. Desis Nurin. 

    “Kak, berapa semua ni?”

    “Dekat seratus kut tadi. Tak ingat dah aku.” Balas Jaja. Punggung dilabuhkan di birai katil. Dia perhatikan saja si Nurin yang masih menyelongkar barang-barang untuk hiasan hantarannya.

    “Nanti aku bayar balik eh?” 

    Jaja pantas menggeleng, “Tak payah. Aku belanja.” Balas gadis itu. 

    Tubuhnya direbahkan ke tilam. Mata Jaja terkebil-kebil memandang atap zink. Kalau hujan lebat, ada beberapa tempat yang bolos dek air hujan itu. Mereka akan menadah titisan dari langit itu menggunakan besen.

    Dua beradik itu belum berkemampuan untuk menukar atap yang bocor. 

    “Ala, nanti kau banyak nak guna duit. Cukup ke nak beli lauk kenduri nanti?” 

    “Hurm, pandailah aku uruskan nanti…” 

    Nurin terus diam. Apabila Jaja berkata begitu, dia memaksudkannya. Tak perlu ulang dua tiga kali. Nanti perempuan itu akan naik angin. Lebih baik jangan rosakkan mood dia!

    Baru saja Jaja mahu melelapkan mata, telefon bimbitnya berbunyi. Nurin cepat saja mengintai si pemanggil. 

    Imran 

    Bulat matanya membaca nama di skrin kakaknya. Siapa Imran? Hati kecil Nurin terbesar nama itu. 

    “Helo,”

    “Helo, tadi ada telefon saya kan? Siapa ni ya?”

    Kedengaran suara lelaki di hujung talian. Jaja terus duduk. Dia teringatkan panggilan yang Anna lakukan sejam yang lepas.

    “Err, tadi sepupu awak guna telefon saya..”

    “Sepupu saya? Siapa? Saya ramai sepupu.” Balas si dia. 

    Alamak! Apa nama betul si Anna? Selama aku kenal dengan dia, tak pernah aku tanya nama sebenar dia. Bengong jugak aku ni.. 

    “Awak ada sepupu nama Anna tak? Belajar nursing dekat Mahkota Medical Centre.” 

    Hanya info itu yang mampu Jaja gunakan bagi menyakinkan lelaki tersebut. Jika benar dia sepupu si Anna, pasti maklumat itu diketahuinya. 

    “Oh, Anna. Ya, dia sepupu saya. So, awak ni dekat Melaka la eh? Kawan satu kolej?” Soal si dia.

    “Eh, tak. Saya kerja di bahagian Medical Records Department. Selalu jumpa dia bila hantar rekod pesakit di wad. Maaflah, tadi dia guna handphone saya. Kredit telefon dia dah habis..” 

    Jaja kemam bibir. Ah, dia bukannya tau pun aku menipu dia. Takkan aku nak cakap, Anna suruh berkenalan dengan dia? Kut terpilih jadi calon isteri! Haih, tak naklah.. 

    “Hish, buat malu aje. Nak telefon abang sepupu, pakai telefon kawan pulak. Tak ada kredit tak payah la sibuk nak telefon orang.” Rungutan lelaki itu mengundang tawa Jaja. Hati tercuit apabila si dia berleter. 

    Lelaki kalau membebel memang boleh mengalahkan perempuan. Malah ada yang lebih teruk pun ada. 

    “Err, sorry kalau mengganggu awak tadi..”

    “Eh, bukan awak yang patut minta maaf. Tapi tak apalah. Dah habis kelas pun. Tadi memang sibuk. Ni saya bercakap dengan siapa? Rasa macam dah lama berborak, tapi tak tau nama lagi.”

    Hati Jaja mahu segera menamatkan perbualan sementelah mendengar bebelan lelaki itu. Jujurnya gadis itu seakan tidak berminat untuk berbual lagi. Namun ia terbantut apabila si dia mula menyoal namanya. 

    “Panggil aje Jaja.”

   “Jaja? Nama betul ke nama olok-olok?” Pemuda itu bagai tidak berpuas hati. Serupa sedang menyoal siasat si Jaja pula. 

    “Nama panjang sangat. Semua orang panggil Jaja aje. Mudah nak sebut.” 

    Lor, dia tak percaya pulak cakap aku. Hati kecil Jaja mengomel. Bebola matanya sudah berputar 360 darjah. 

    Macam tak boleh masuk aje dengan dia ni.. desis gadis itu lagi.

    “Oh, kena panggil Jaja jugak lah ya?”

    “Hurm..”

    Tahap kemalasan Jaja kian berganda. Namun dia tidak  mahu ianya nampak mahupun kedengaran canggung, nama si dia ditanya juga. 

    “Nama awak siapa?”

    “Imran. Imran Qaiser.”






No comments: