Saturday, April 6, 2019

Menantu Edisi Terhad



Bab 3




Kata-kata Laila ketika di pejabat tadi mula menghantui deria telinga Lutfiah.  Sesekali dia menoleh ke sebelah, memandang si suami.  Detak hati mulai berubah detak.

Keluhan yang dilepaskan agak kasar. Umar yang tenang memandu terganggu fokusnya. Berkerut dahi lelaki itu. Kepalanya berkalih memandang Lutfiah sesaat.

“Awak kenapa?”

Lutfiah menggeleng. Pandangan matanya dibawa menghadap ke luar tingkap. Memerhati pemandangan hijau yang terbentang. Bukit bukau yang dihiasi anak-anak pokok sawit. Barangkali penanaman baru itu sedang masuk tahun ketiga. Masih berbaki empat tahun lagi untuk pokok-pokok itu menghasilkan buah sawit.

“Takkan la tak ada apa-apa? Lain macam aje cara mengeluh tu?” Umar menoleh lagi. Tangan Lutfiah di atas paha itu digenggam. Dibawa ke bibir sebentar sebelum diletakkan di atas pahanya sendiri.

“Lutfiah sayang, kita dah janjikan. No secret in our marriage. Remember that?Now tell me.. What’s wrong with you?”

Mengingatkan perjanjian itu, Lutfiah memicit dahi sendiri. Sebelah tangan yang sedang berada di dalam rangkulan jari-jari si suami, dibiarkan saja.

Sungguh la Laila ni buat hati aku tak senang! Kurang ajar. Mentang-mentang dia pandai memasak, sengaja nak takutkan aku!

Akhirnya isteri manja Umar itu mula merengek, “Youuuu, betul ke orang lelaki kalau nak kahwin lain, isteri tak pandai masak tu alasan diaorang paling atas. Number one!” Sisi pipi Umar ditatap.

Bibir Umar tidak semena tersengih. Tak pernah langsung isterinya itu bertanya atau menyoal tentang isu sensitif kaum wanita ini.

Tiba-tiba muncul pulak soalan ni. Ni mesti ada sesuatu yang mengganggu fikiran dia. Desis Umar.

“Kenapa tanya? Cik Piah takut saya kahwin lain ke?” Buat mata Lutfiah memandang Umar.

“Youuu, kan I cakap.. Jangan panggil I Piah! Biar mak aje yang panggil Piah tu.”

Umar mencebirkan bibir, “Eleh, Laila pun panggil awak Piah.”

“Youuu! You tidur luar la malam ni!” Terus tangannya direntap. Terlerai sudah pegangan Umar tadi.

Wajah Lutfiah bertukar masam. Geram dengan Umar apabila lelaki itu sengaja menduga kemarahannya. Sudahlah hati wanita itu memang sedang marah dengan Laila. Si suami pula buat-buat tak faham kepantangan isterinya yang itu.

Tiba-tiba Umar memberhentikan kereta di bahu jalan.

“You ni suka-suka berhenti kenapa? Kan ada kereta kat belakang tu!” Tempelak Lutfiah sambil menoleh ke arah kereta yang membunyikan hon itu. Tak senang dengan tindakan Umar itu.

“Saya dah bagi signal la. Lagipun dia jauh lagi tadi. Ni kenapa nak berangin tiba-tiba ni? Saya ada buat salah ke?”
Hand break  ditarik kuat. Separuh tubuh Umar menghadap Lutfiah. Mencari mata pujaaan hatinya itu.

“You tu… berapa kali nak pesan? I tak suka you panggil I Piah!” Umar sengih. Kepalanya menggeleng.

“Bukan tu. Yang tadi.. Pasal kahwin lain tu. Kenapa tiba-tiba buka mulut hal tu?”

Lutfiah mendengus. Dalam diam dia menilik diri sendiri. Kata-kata Laila seakan mantera buat jiwanya kini.
Hati sedikit sebanyak sudah mulai goyah. Bagaimana kalau apa yang temannya itu cakapkan, benar belaka? Sedangkan dirinya… terlalu banyak kekurangan!

“Laila…” Akhirnya sepatah perkataan itu terbit dari bibir Lutfiah.

“Laila? Kenapa dengan dia? Suami dia kahwin lain?”

“You!” Lutfiah menjerit. Umar tertawa. Hati yang risau mengenangkan Mak Siti sedikit tercuit dengan teletah si isteri.

“Okey, kalau tekaan saya salah ceritakan hal yang sebetulnya.” Tangan Lutfiah dicapai lagi. Kali ini sebelah tangan yang bebas itu menepuk perlahan belakang tangan Lutfiah.

“Dia takutkan I. Dia cakap kalau I tak jaga perut you, you akan jadikan alasan I tak pandai masak… untuk you berkahwin lain.” Air  mata Lutfiah bergenang-genang. Sungguh, dia takut kalau hal itu terjadi! Umar segala-galanya untuk dia. Bagaimana jika benar Umar sudah penat bersabar dengan dirinya?

Perlahan-lahan Umar menarik Lutfiah ke dalam dakapan. Laila ni pun… tak ada hal lain ke nak bersembang? Gumam Umar.

“Shhhh, jangan menangis. Kita tak tahu bila Allah mahu menguji hati kita, sayang. Doa banyak-banyak pada Allah. Biar jodoh kita sampai Jannah.” Lutfiah kuat merangkul Umar. Seakan tak ingin lelaki itu pergi jauh.

“Selagi Allah tak terbalikkan hati saya ni… selagi itu saya ingin menjadi suami awak. Lelaki terpilih dalam ramai-ramai lelaki yang mengejar Lutfiah Safwa.” Makin kuat tangisan Lutfiah. Pelukannya kian erat.

Bibir Umar melirik senyum. Pandai pulak takut. Ingatkan kerjaya tu lebih penting dari suami ni.

Tiba-tiba muncul idea nakal di benak lelaki itu.

“Tapi.. Kalau awak nak saya carikan madu untuk awak, boleh aje. Nanti yang senang, awak jugak. Tak payah susah-sudah jaga saya. Iya la, ada madu boleh jagakan untuk awak.”

Buk!

“Aduh!” Umar menggosok perut yang terkena buku lima sang isteri. Boleh tahan jugak penangan Lutfiah itu.

“You! You jangan macam-macam eh? I tak kahwin dengan lelaki bujang untuk dimadukan! Kalau nak bermadu, lebih baik I jadi isteri nombor tiga Dato' Mukriz tu.”

“Jangan sesekali awak sebut nama orang tua gatal tu depan saya.”Tegas Umar garang. Lutfiah terdiam. Kecut perut dengan oktaf suara suaminya itu.

“Tak padan yang tua. Kubur dah kata mari pun nak merenyam lagi. Dah tu bini orang pun dia nak test!”

Lelaki itu mengomel lagi. Brek tangan diturunkan dengan geram. Terus pedal ditekan sejurus gear diletakkan di kedudukan yang sepatutnya. Kereta CRV hitam itu meluncur laju meneruskan perjalanan ke Felda Adela. Destinasi yang ingin mereka tuju.

Eleh…. Pandai pulak sentap! Tadi sebut madu depan aku, bukan main suka lagi dia.

Huh!



Setibanya di halaman rumah Mak Siti, Lutfiah sudah terpandangkan buah kelapa mawar yang lebat di pokok. Air liurnya serta merta berkumpul.

Sedapnya kalau letak ais.. Hati kecilnya berkata-kata.
Wajah Umar yang sedikit masam itu dikerling dengan ekor mata. Tak sangka mood suaminya itu berpusing sampai 360°.

Siapa suruh main-mainkan kita? Kan dah sentap sendiri! Padan muka.. Tau pulak cemburu dengan orang tua botak tu.

Dato' Mukriz, lelaki kata yang membangunkan Tanjung Puteri Resort itu memang terkenal dengan ayat-ayat manis menggodanya. Kalau tak kukuh imam, memang cair dengan janji yang diumpan. Kalau tidak, masakan dia berbini dua?

Umar memang pantang mendengar nama kontraktor tersebut. Apatah lagi Dato'  Mukriz dengan beraninya pernah mengorat Lutfiah di hadapannya. Menyumpah sakan si Umar ketika itu. Terpaksa Lutfiah mengajak suaminya pulang awal. Malah mereka tidak menjamah langsung makanan yang dihidangkan di majlis makan malam itu.

Dalam pada masa yang sama, Lutfiah berasa menyesal mengikut Umar ke majlis tersebut. Dato' Mukriz itu bukan saja cuba menggodanya dengan menggunakan kata-kata pujian yang tipikal. Tetapi lelaki yang sudah layak dipanggil ayah itu begitu berani menyentuh tangan Lutfiah!

“Youuu, nak buah kelapa tu.”

Umar cuma senyap. Sesenyap suasana tadi. Separuh perjalanan mereka tadi Umar tidak berkata apa. Lutfiah yang faham dengan kedinginan suaminya itu, malas mahu memujuk.

Tanpa menyahut, Umar keluar dari kereta. Tergeleng kepala Lutfiah melihat mula cemberut anak sulung Mak Siti itu.

“Huh, dia yang merajuk sendiri. Bukan kita yang buat pun.” Bibir mungil Lutfiah bersungut. Lantas pintu CRV Umar itu dibuka. Kaki diatur mencari kelibat si mertua.

Tak perlu mereka terjerit memberi salam, Mak Siti sudah muncul terlebih dahulu. Dengan pinggir dahi bertampal koyok, dia menyambut anak menantu dengan riuh.

“Hey, budak bertuah! Alih-alih muncul laki bini. Korang tak kerja ke hari ni ni hah?” Bahu Umar ditampar lembut saat si anak menunduk menyalami tangan tua itu.

“Kerja. Tapi balik awal.” Jawab Umar sambil memberi lalu kepada Lutfiah pula bersalam dengan maknya.

“Kamu Piah? Balik awal jugak?” Laju Lutfiah menjatuhkan kepala.

“Ha'ah mak. Umar kata mak demam…” Dahi Mak Siti dijamah. Memang panas!

“Ala.. Demam sikit aje. Cuaca panas, tu aje. Bukannya mak sakit teruk. Yang kamu laki bini balik ni kenapa?” Tangan Lutfiah ditampar. Tapi tidak kuat.

“Mak tak suka ke?” Senada Umar bertanya.

“Hish, apa pulak tak suka? Anak menantu balik, mak mana yang tak gembira? Tapi mak ni tak masak apa-apa….” Hati Mak Siti timbul rasa ralat. Walaupun Umar dan Lutfiah balik dari Johor Bahru, masih di dalam satu negeri tapi naluri keibuan itu tetap mahu menyediakan lauk kegemaran si anak!

“Umar balik bukannya nak makan semata. Umar nak tengok mak. Mak kan tak sihat..” Balas Umar terus menanggalkan kasut di kaki. Mak Siti memandang Lutfiah. Seperti ada yang tak kena dengan si Umar ni… desis hati tua itu.

“Kenapa tu Piah?” Muncung Mak Siti menghala ke arah belakang badan Umar yang mula menjauh.

“Cemburu, mak.” Balas si menantu sedikit perlahan.
“Pulak? Kamu ada skandal ke?”

“Hishhh, selisih mak ni!” Nafi Lutfiah keras dengan terjahan soalan maut Mak Siti itu.

Fuh, awal-awal aku nak disalahkannya!

“Dah tu?”

“Umar marah Fia pasal Dato' Mukriz gatal tu.. Dia yang cemburu sendiri. Bukan salah Fia pun.” Terang Lutfiah.

“Haiiih, macam-macam hal la korang ni. Dah mari masuk!”
Lutfiah hanya menyengih. Akur dengan arahan, kasut tinggi setinggi tiga inci itu disusun ke tepi. Bersebelahan dengan sepatu hitam Dr. Cardin milik Umar.

Anak mak tu yang macam-macam dengan Fia….




“You..”

Umar diam tak menyahut.

“Youu,” Lutfiah mencuba lagi.

“Youuuu…tolong la I…..” Kali ini panggilannya lebih panjang. Manja dan melerek. Misi memujuk Umar supaya keluar mengambil buah kelapa mawar tadi.

“Tak payah nak I you sangat la Piah. Kamu tu cencaluk pun kamu belasah. I you konon.. Meluat mak dengar!” Sergah Mak Siti dengan suara yang sedikit serak.. Terus Terdiam menantu sulong itu.

Hati sedikit sebal. Tekak teringin sungguh mahukan air kelapa muda itu. Apatah lagi dengan cuaca yang hangat membakar ini.

Umar ni… memang sengaja tau!

“Sini tolong picit kepala mak. Berdenyut bukan main lagi. Makin hari panas, makin galak pulak dia menyengat.” Perlahan-lahan Lutfiah mengesot mendapatkan mak mertuanya. Si suami yang sedari tadi tidak melayan, ditinggalkan terus.

Jari-jari runcing itu mulai menyentuh kulit kepala Mak Siti. Meskipun Umar diam, dia tetap mencuri pandang tingkah laku isteri dan maknya itu. Walaupun matanya melihat dengan kelopak mata yang sedikit tertutup.

Hati lelakinya tersentuh. Ya, Lutfiah tak pernah mengatakan itu atau ini yang berkaitan dengan maknya sendiri. Pernah juga wanita yang telah lama menyandang gelaran balu itu, dengan lancang menegur isterinya. Ada juga sampai Lutfiah menitiskan air mata. Tetapi semuanya hanya di depan dirinya di dalam bilik. Belum sekalipun Lutfiah menjawab kata-kata Mak Siti sepanjang perkahwinan mereka.

“Piah, kamu tau Shiqin dah mengandung?” Jari-jari yang sedang memicit kepala Mak Siti itu terhenti. Umar yang sedang pura-pura lelap itu, memasang telinga.

Air liur tiba-tiba rasa berpasir. Terasa begitu sukar untuk ditelan.

“Shiqin pregnant ke mak?” Lutfiah menyoal dengan debaran di dada.

“Dia tu tak la cerita dengan mak. Tapi mak tengok melebarnya lain macam. Mak tanya si Firdaus, dia sengih aje. Nak sorok konon. Macam la bunting tu tak berlaki. Kan Firdaus tu anak mak. Cucu mak jugak budak tu.”

Lutfiah senyap. Tak berani nak menyampuk apa-apa. Bimbang diri sendiri pula akan disoal macam-macam!
“Mak ni.. Biar la diaorang tu. Firdaus tak cakap mesti ada sebab. Agaknya Shiqin tu baru sangat mengandungnya..”
Tiba-tiba Umar menyampuk. Rasa kasihannya tumpah pada Lutfiah. Dia dapat mengagak isterinya itu akan di tanya soalan lazim lagi.

“Tidak la.. Mak ni Umar terasa hati tau. Mak bukan orang lain. Mak yang beranakkan laki dia tu. Anak mak ada dua orang aje. Umar Mahfuz dengan Umar Firdaus. Apa salahnya kalau cerita dengan mak?”

Lutfiah menunduk. Rambut hitam yang kian memutih itu dipandang sayu. Mak mertuanya memang bermulut riuh, tapi penyayang.

Tengok macam tadi, dalam demam-demam pun dia gigihkan diri ke dapur. Memasak untuk Umar dan dirinya. Walaupun naik bernanah telinga dileterinya kerana potong sayur kobis halus sangat. Dah serupa hiris daun pandan untuk dibuat bunga rampai!

“Apa halus sangat ni Piah oii?”

“Errr, selalu Fia makan nasi kerabu..diorang potong macam ni.” Gugup Lutfiah membela diri.

“Kan mak nak goreng aje. Kita ni nak makan nasi putih. Bukan nasi kerabu! Adoi, menantu aku ni! Nak kata tak pandai, belajar sampai universiti. Potong kobis pun tak reti-reti.”

Akhirnya Lutfiah hanya membiarkan Mak Siti merampas kobis di tangan. Sentap juga hati si menantu. Tapi dia hanya tayang sengih.

Cuba berlagak kebal. Walhal hati sudah meraung pilu. Jiwa bagai dicarik-carik!

“Umar tak suka kasar. Kalau halus tu goreng balik-balik dah cukup. Sedang elok aje masaknya. Masih rangup.” Suara garau itu lembut berkata-kata. Ada dua hati yang perlu dijaga.

Mulut Mak Siti terjuih sedikit. Matanya menjeling si anak lelaki yang baru menarik kerusi. Sama-sama mahu duduk di meja makan itu.

“Huh, bela bini ya Umar? Dari kecil sampai besar, sampai bujang.. Kamu makan aje sayur kobis kasar yang mak goreng! Rangup aje. Krak kruk krak kamu mengunyah. Dah kahwin pulak nak makan sayur bunga rampai ni!”
Makin tajam jelingan Mak Siti. Umar ingin menjawab lagi, tapi Lutfiah sudah menghantar isyarat mata.

Jangan you… abaikan. Hal kecil aje ni.

Dan Umar seakan dapat mendengar bisikan hati sang isteri. Sudahnya dia bangkit dari dudukan. Berjalan perlahan keluar dari pintu dapur itu. Selipar Mak Siti, disarung.  Terus langkahnya menuju ke rimbunan pokok ulam raja di tepi rumah.

“Piah, picit la lagi. Kamu berhenti kenapa?” Hilang terus sketsa di dapur yang terlayar di kornea Lutfiah. Pantas jari – jari halus itu menari lagi di celahan rambut yang sudah tenggelam dek warna hitam.

“Mak, mak ikut Umar balik ya? Risau Umar mak tinggal sorang kat rumah ni. Dah la tengah demam. Lagipun Lutfiah cuti sampai lusa. Boleh isteri Umar tengok-tengok kat mak.” Lutfiah memandang si suami yang sudah duduk bersila. Tak keruan hati jadinya.

Youuu, you nak I mati cepat sebab stress ke?

Bukannya Lutfiah tak suka kalau mertuanya itu hingga beberapa hari di rumah mereka. Selama ni pun  selalu aje Mak Siti  bergilir travel ke rumah anak-anak lelakinya.
Cuma, menantu sulong Mak Siti itu sedang banyak kerja.
Cuti ni pun sebab dia baru selesai menguruskan  tender  syarikat Blue Sea’s Shipping dengan wakil dari negara China.

Sengaja dia memohon cuti, sepatutnya esok baru bermula, tapi hari ni dia sudah cuti separuh hari gara-gara kesihatan mak mertua itu.

“Betul ke kamu cuti Piah?” terdongok kepala Mak Siti, mencari wajah si menantu yang sedang meriba kepalanya.
Lutfiah mengangguk, “Ha’ah mak.”

Ah, jujur la Lutfiah! Laila ada.. Nanti boleh tanya dia macam mana nak masak! Bisik hati wanitanya.

“Kalau kamu cuti, mak ikut la. Kalau kerja, mak malas. Serupa mak tinggal kat sini.” lambat-lambat bibir merah itu pecah senyum.

“Betul…Fia cuti.” Balas Fia lagi.
 Dan Umar merenung isterinya dengan penuh rasa cinta di hati.

Awak perlu bartahan, sayang.. Demi sebuah keredaan dalam rumahtangga kita.

Lalu Umar bangkit meninggalkan Lutfiah bersama Mak Siti. Keinginan isteri kesayangannya itu perlu ditunaikan. Air kelapa mawar di depan rumah harus dipetik untuk Lutfiah.


No comments: