Wednesday, September 12, 2018

Menantu Edisi Terhad






Bab 2







Telefon bimbit yang sedari tadi bergetar itu sedikit mengganggu fokus Umar. Meskipun matanya menghala ke arah pembentangan kertas kerja di hadapan, tetapi hatinya mulai risau. Mengapa telefon yang diletakkan di dalam mode getar itu tidak berhenti getarannya?

Siapa yang sedari tadi cuba menghubungi dirinya?

Lutfiah?

Tapi kalau Lutfiah, mustahil! Isteri yang super duper busy itu takkan menelefon Umar waktu bekerja. Melainkan waktu dia rehat. Sekarang baru pukul 11 pagi.

Lagipun Lutfiah sudah faham, seadainya dua panggilan tidak berangkat,itu tandanya Umar sedang sibuk.

Mak?

Hati Umar berbisik lembut. Entah mengapa hatinya menyahut mak sendiri.
Telefon yang masih bergetar itu kian menghambat hati lelakinya.

Ah, tak boleh jadi ni! Gumam Umar.

Perasaan risau mula terbit dari jiwa. Bimbang panggilan itu panggil dan kecemasan dari rumah maknya.
Terus dia bangkit dengan memberi isyarat kepada pembantunya. Bergegas Umar keluar sambil tangan kanan menyelok poket keluar khaki itu.

Beberapa pasang mata memerhatikan tingkah laku pengurus projek itu. Kalut semacam, pasti ada sesuatu yang kecemasan berlaku. Namun masing-masing kembali menghalakan pandangan pada pembentangan tersebut.

“Assalammualaikum, mak…” Terus saja Umar menerpa salam bila dia berjaya menghenti getaran tadi.

Salam yang diberi, disambut lemah oleh Mak Siti. Dahi Umar sudah berlapis.

“Mak… mak kenapa ni?” Hati si anak mula berkecamuk. Berdebar-debar bila suara Mak Siti tidak ceria seperti selalu.

“Umar, mak tak jadi datang la rumah kamu esok. Mak demam ni. Dah dua hari lemah-lemah badan.”

“Laaa, kenapa mak telefon bagitau Umar?” Mata Umar sudah terbuntang. Patutlah sehari dua ni, hati tak berapa nak sedap! Rupanya mak tak sihat!

“Ni mak bagitau kamu la ni. Ah, tak payah risaukan mak. Tau la mak ni urus diri mak. Dah pergi sambung kerja. Mesti kamu tengah sibuk tadi kan?”

Sengih panjang Umar bila Mak Siti berkata sedemikian. Mak…. Nalurimu tak pernah silap!

“Mak dah pergi klinik?” Umar jawab dengan soalan.

“Mak dah makan pandol. Karang okey la ni. Dah la.. Jangan risaukan mak. Kamu kirim salam dengan Piah eh? Assalammualaikum.”

Tut..tut..tut..

Bertuah betul mak ni. Orang tak habis cakap lagi dengan dia, dia dah putuskan panggilan. Okey apanya kalau dah dua hari demam masih tak elok?

Umar menggeleng kepala. Hati dipujuk sendiri supaya bersabar. Namun jiwa seorang anak itu sudah mula tidak tenteram.

Tapi dia harus masuk semula ke bilik mesyuarat tadi. Kaki yang berat mahu melangkah itu diseret juga akhirnya.




“Lai, lauk apa yang paling sedang nak masak?”

Laila yang sedang menaip sesuatu di komputer itu berpaling sejenak. Wajah risau Lutfiah dipandang.

Kasihan ada..nak marah pun ada! Mertua nak datang baru kalut nak belajar itu ini. Kalau mak mertua tu tak datang, kerjanya asyik beli lauk dekat luar!

“Google aje la.” Sahut Laila sambil menyambung kerja.

“Wei nanti mak Umar marah. Piahhh, dekat dapur pun main telefon???” Berderai ketawa Laila bila Lutfiah mengajuk cara mertuanya.

Adoi, boleh gila aku melayankan kau ni Piah!

“Betul Lai.. Aku pernah kena masa balik rumah dia. Semua si Sally punya pasal. Kejap-kejap telefon tanya fail. Bengang betul aku. Sia-sia aku kena tadah telinga.  Mak mertua aku marah aku.”

Jari-jari Laila yang sedang rancak menekan papan kekunci itu terhenti. Dia menumpukan perhatian sepenuhnya pada wajah Lutfiah.

“Garang sangat ke mak si Umar tu?”
Lutfiah mengeluh. “Garang tu tak sangat kot. Tapi dia cerewet sikit.”  Bibir dikemam. Mengingati leteran wanita lewat 50-an itu, boleh buat hatinya trauma!

“Oh.. Orang tua memang gitu la Piah. Kau tu kena la selalu ambil hati dia. Dah tau dia cerewet, belajar masak dengan dia. Ikut stail dia. Ini tidak…orang tu nak datang baru kau nak keluarkan kuali kau. Kalau tak, simpan aje la sampai labah-labah buat sarang!”

Mencerlung mata Lutfiah memandang temannya itu. Hati mula terasa sakit. Haiiih, minah ni.. Aku ni cerita, sebab nak minta pandangan dia. Yang dia kondem aku ni apahal?

“Lai, aku ni dari tingkatan 1 duduk asrama. Mana aku reti memasak. Umar tahu apa..dia tak kisah. Sebelum kahwin dulu pun aku awal-awal dah bagitau dia. Dia kata tak apa. Laki aku bukan macam laki kau. Tau minta itu ini. Perut pun aku tengok dah ke depan. Dah macam orang mengandung!” Sempat Lutfiah menjelirkan lidah. Laila sudah merah mukanya. Sentap!

“Biar buncit tak apa. Aku aje yang nak kat dia. Dari laki kau tu.. Dah la rupa Arab. Handsome. Dapat bini tak reti jaga makan pakai laki. Kerjanya asyik tapau makanan. Langsung tak memasak. Esok…kalau si Umar Mahfuz tu cari bini lain, perempuan yang pandai jaga perut dia.. Kau jangan melalak depan aku!”

“Kau ni kurang ajar eh?” Lutfiah diasak amarah. Rasa mahu ditampar aje mulut yang berkata-kata itu.

“Eh, kurang ajar apanya? Aku cakap benda betul. Selagi Umar tu mampu, dia memang cakap tak kisah kau tu tak memasak. Nanti dia dah mula rasa bosan, alasan tu la dia gunakan nak kahwin lain. Banyak kes macam tu tau!”

Lutfiah terdiam. Laila terus berpaling ke arah monitor komputer di hadapannya. Puas hatinya dapat mengenakan sahabatnya itu.

Tapi….

“Piah, muka lawa tak guna jugak. Umar tu tetap lapar. Kecantikan tak boleh mengenyangkan perut manusia. Tak reti, belajar. Tapi kalau malas… kau tunggu la Umar hulur borang kebenaran bernikah lagi. Eh, sekarang dah tak payah minta izin lagi. Jaga-jaga Piah, jangan raya nanti kau pergi beraya kat rumah madu kau.”

“Setan kau,Lai! Kurang ajar! Kau ni gamaknya nak kena cili dengan aku!”
Mengekek Laila ketawa. Kali ini dia betul-betul puas dapat mengenakan Lutfiah.

Merah padam muka Laila. Sampai menangis dia mentertawakan Lutfiah.
Lutfiah sudah masam. Dahi berkerut, mata bulat itu tajam merenung Laila yang girang di hadapannya. Sakit di hati bagai dilapah-lapah.

Umar…. You tengok minah ni! Dia takutkan I….




Usai menerima panggilan telefon dari sang suami, Lutfiah terus bergegas ke bilik majikannya. Kebenaran untuk pulang awal harus diminta. Lagipun Umar sudah memberi pesanan, jumpa di rumah. Siapa sampai dulu, dia yang akan mengemas sehelai dua pakaian mereka untuk dibawa bersama.

Lutfiah menghela nafas lega apabila dia dibenarkan pulang awal. Laju kakinya menuju ke arah kubikel sendiri. Dia tak boleh berlengah. Silap haribulan Umar sudah lama tiba di rumah.

Barang-barang yang bersepah, dikemas ala kadar. Komputer dimatikan. Pen yang berterabur berada di dalam bekas kaca yang Lutfiah khaskan sendiri.

“Lai, aku blah dulu. Umar ajak balik Adela. Mak dia demam dah dua hari.” Beritahu Lutfiah sambil menyandang beg tangannya. Diari kerjanya juga dikepit sekali.

“Aik? Demam? Bukan kau kata esok dia nak datang rumah kau?” Lutfiah hanya mengangguk sambil berdiri. Dia mahu cepat beredar!

“Kau ni.. Kalau kita pun,  bukannya kita tau bila nak sakit.” Air liur Laila bagaikan tersekat direlung bila Lutfiah mengingatkan perihal itu.

Ya, siapa kita untuk mempertikaikan aturan Allah?

“Aku balik dulu. Takut Umar dah sampai pulak. Assalammualaikum.”

“Waalaikummusalam. Baik-baik drive tu Piah!”

Lutfiah melempar senyum. Tangan kanan diangkat melambai Laila. Terus dia meninggalkan pejabat pengurusan perkapalan itu.


****To be continue****



No comments: