Monday, December 7, 2020

Tak Sengaja Cinta - Bab 3

"Jaja, lambatnya.. doktor aku bising wei.” Beritahu Siti seraya mencapai kesemua rekod yang Jaja hulurkan. 

“Kau ingat aku ni bersantai aje ke lagi pagi? Kau orang ada tiga orang, turunlah sorang kalau kita orang lambat hantar rekod pesakit doktor kau.” Usai membalas cakap Siti, Jaja terus keluar dari Klinik Pakar Kanak-kanak tersebut. 

Gadis itu langsung tidak endahkan pandangan mak dan ayah pesakit yang sedang memandang ke arah mereka. Tidak dinafikan klinik ini antara klinik kegemaran pengunjung hospital ini. Antara tiga klinik pakar kanak-kanak di sini, Klinik Doktor Tee Ah Cheng ini setiap hari ramai pesakit. 

Mungkin cara doktor berkomunikasi ketika merawat anak kecil begitu dekat dan mesra. Mungkin juga kerana ubat-ubatannya bagus. Lantaran itu doktor lelaki yang pertengahan umur 40-an menjadi doktor pilihan ramai ibu bapa. 

Hati gadis itu membengkak menahan sakit. Rasa bengang belum reda. Panjang langkah kaki Jaja melewati sepanjang deretan klinik di aras tersebut. Kelibatnya menghilang ke dalam klinik bernombor 302, Klinik Neurologi. 

“Masam aje Jaja. Marah siapa tu?”

Tidak semena gadis itu tertawa apabila Doktor Parthiban menegurnya. Kebetulan doktor itu sedang duduk bertenggek di kaunter. 

Pasti sedang berbual dengan pembantu kliniknya. Lelaki itu juga peramah dan mesra. Bergaul dengan pembantunya seperti kawan-kawan saja. 

“Tak ada siapa pun. Ni rekod pesakit doktor ya.” Baru saja mahu beredar, Doktor Parthiban menahan Jaja. 

“Kejap, saya nak kirim medical report yang saya dah siap tulis. Tolong bagi pada Lee Ling ya.” Sebuah rekod beserta beberapa helai lembaran dihulurkan pada Jaja. 

Pantas saja tangan Jaja menyambut dan menyimpan terus ke dalam beg hitam yang disandang. 

“Baik, doktor. Saya bagi pada Miss Lee Ling sebaik tiba di bawah nanti.” 

“Thank you, Jaja.”

“Sama-sama, doktor.”

Medical report atau laporan perubatan adalah di bawah pengendalian Miss Tan Lee Ling. Seorang eksekutif di Jabatan Rekod Perubatan tersebut. 

Bagi pesakit yang ingin membuat tuntutan dengan pihak insuran atau SOCSO, mereka perlu mendapatkannya melalui Jabatan Rekod Perubatan. Ada beberapa prosedur perlu dilakukan sebelum Miss Tan Lee Ling menyerahkan borang tuntutan pada doktor yang bertanggungjawab. 

Setiap diagnosis serta pembedahan ada kod tertentu yang perlu dirujuk di dalam buku khas berkenaan dengan penyakit. Kod itulah yang menjadi panduan syarikat insuran dan SOCSO meluluskan tuntutan pesakit. 

Bukunya setebal kamus dewan malah lebih tebal lagi. Bermacam-macam jenis penyakit serta nombor kod bercetak di dalamnya. Memang boleh berpinar mata jika mencari satu persatu. 

“Jaja, dah makan?” 

Gadis itu menggeleng apabila ditegur oleh seseorang yang baru keluar dari lif. 

“Aku rehat pukul 12.30. Kau baru balik makan ke?” Soal Jaja. Sementara menanti ketibaan lif untuk turun, mereka berbual seketika.

Si dia mengangguk, “Haah. Si Rini ajak makan KFC kat sebelah. Ni yang cair make up aku. Panas hawau kat luar.”

Jaja terus tergelak. Cis, sempat dia hawau kan aku! Desis gadis itu di sebalik tawanya. 

“Dah tau panas, pakailah payung. Tak cerdik jugak kau ni ek?”

Sebelah yang diberitahu oleh Hani itu merujuk Mahkota Prade. Walaupun hanya terpisah oleh jalan raya yang sehala laluannya, tetap berpeluh juga dek panahan matahari. 

“Kurang ajau kau Jaja. Berani kau cakap aku tak cerdik eh?”

Kian mengekek tawa Jaja apabila Hani cuba mahu menepuk dirinya. Kebetulan pintu lif untuk turun terbuka, pantas Jaja melarikan diri dari Hani.

“Bye Hani!” pekik Jaja diiringi gelak tawanya sendiri. 

Hani pula meluruskan jari telunjuknya. Kemudian jari itu bergerak-gerak, memberi isyarat pada Jaja.

Jaga kau bila datang klinik aku nanti!




Terbuka saja pintu lif di aras bawah tanah, terus kelihatan Izan, Maslin, dan Leya. Jaja memandang jam di pergelangan tangan kanan. Sudah pukul 12.30 tengah hari. Mereka bertiga mahu keluar rehat. Termasuk dirinya. 

“Jaja, cepat pergi letak beg tu. Lambat kita orang tinggalkan kau.” Ugut Leya.

“Wei, kejaplah! Aku kena bagi reports Doktor Parthiban ni pada Miss Lee Ling.” Jaja terus berlari anak. Tidak keruan gadis itu apabila Izan bersorak kuat. 

“Jaja cepat! Cepat! Cepat!” 

Sorakannya bagai sedang memberi semangat rakan berlumba lari. 

Maslin dan Leya ketawa besar melihat aksi Izan bagai budak sekolah. 

“Sengal si Izan ni. Terus mencicit si Jaja tu berlari.” Ujar Maslin apabila tawanya sedikit reda. 

Tak lama kemudian Jaja muncul kembali dengan nafas sedikit tercungap-cungap. Rakan sekerja bertiga sudah berada di dalam perut jentera angkut itu. Elok saja mereka membiarkan pintu lif ternganga dek butang hold. Masing-masing sedang sibuk membetulkan tudung sendiri melalui pantulan di dalam lif yang bagai cermin itu. 

“Dah lawa dah tu.” Tegur Jaja sambil menekan butang untuk naik ke lobi. 

Dalam perjalanan ke kedai makan, mereka terserempak dengan Yuri. Bersahaja berjalan berleggang kangkung bagai tidak mengejar waktu. Leya terus menegur lelaki tersebut. 

“Cepat sikit la Yuri. Rekod banyak nak cari tu. Tinggal Kak Hanisah sorang cari rekod.” 

“Rileks la..”

“Rileks...rileks... Keluar awal, masuk lambat. Suka hati kau aje.” Balas Yuri dicaras oleh Maslin. 

Namun Yuri hanya menyengih. Anak mata lelaki itu mengerling Jaja yang sedang membelek telefonnya. Entah apa yang menarik perhatian gadis itu sehinggakan Jaja tidak melihat Yuri.

“Ni lagi sorang.. Jaja, kau simpanlah telefon kau tu. Nak melintas jalan ni.” Maslin menyambung bebelan terhadap Jaja pula. 

Suara keras Maslin membuatkan Jaja menanggung kepala. Semerta matanya bersabung dengan anak mata Yuri. Lelaki itu merenung seketika si Jaja. Namun tiada reaksi lain dari gadis tersebut. 

Jaja menyimpan telefon bimbitnya ke dalam saku seluar. Lengan Izan dipegang. Dia akur dengan arahan Maslin. Perempuan itu kalau berleter memang seperti mak-mak. 

“Bye, Abang Yuri! Izan pergi makan. Jangan rindu tau.” 

“Taik kucing la, Zan. Tak kuasa abang nak rindukan kau!” Yuri terus meninggalkan sekumpulan rakan sekerjanya. 

Izan, si gadis kecil molek itu hanya tertawa. Dia rajin benar menyakat lelaki penghujung 20-an tersebut. Yuri pun sekadar melayan Izan seperti adiknya saja. Meskipun hakikat lelaki itu anak bongsu di dalam keluarga. Izan pula seperti budak sekolah. Sementelah tubuhnya yang kurus dan ketinggian tak sampai 150cm pun. 

Memang seperti budak sekolah sangat!

“Siapa mesej awak Jaja?”

“Kawan.” Balas Jaja pendek. 

“Oh.”

Izan terus tidak bertanya lanjut lagi. Mereka berdua berjalan beriringan di belakang Maslin dan Leya. Maklumlah jalan raya di sekitar Melaka Raya dan Bandar Hilir ini sehala juga kecil. 

Perhatian perlu diberi demi keselamatan diri sendiri. Apatah lagi kawasan kedai makan yang mereka tuju merupakan kawasan tumpuan ramai. Sementelah hanya satu dua saja kedai nasi campur yang diusahakan oleh orang Melayu.

Sudah pasti ianya menjadi tarikan orang yang bekerja di sekitar kawasan ini. Pilihan lain adalah Medan Selera Mahkota Prade. 



No comments: