Monday, December 14, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 2

 

“Kak, bila nak keluar baju baru? Saya tak tahan tengok teaser video terbaru Aisy Lee.” 

Aisyah pandang Kajlah dari atas ke bawah. Si gadis manis yang selalu menempah baju dengannya ditelek tidak berkelip. Ada sesuatu yang sedang mencucuk hati Aisyah. 

Tidak boleh tidak, dia harus melamar  Kajlah. Gadis itu sesuai menggayakan busana hasil jahitannya. Selama dia mengeluarkan pakaian muslimah siap jahit, Kajlah orang pertama yang akan membeli. 

Tubuh gadis itu memang ukuran yang tepat. Tak perlu diubah suai saiznya. Saiz M sedang elok saja menutupi tubuh Kajlah.

“Kajlah, boleh jadi model untuk keluaran terbaru baju akak?”

“Hah?”

Mulut Kajlah terus melopong mendengar pertanyaan Aisyah. Semakin terkejut apabila tangannya diheret oleh Aisyah. Si tukang jahit itu membawa Kajlah ke sebuah sudut di studio tersebut. Langkah kaki mereka terhenti, Aisyah terus menarik tirai. Di hadapan mata Kajlah kini terdapat sebuah rak yang penuh dengan gantungan baju labuh. 

Tanpa bicara, Aisyah menarik sehelai jubah berwarna terqoise yang bercorak taburan bunga putih kecil. Mata Kajlah sudah terbeliak. Tanpa disuruh, tangannya hinggap di plastik baju tersebut. 

“Cantiknya! Nak beli kak!” Kajlah sangat teruja melihat warna dan corak terbaru baju Aisy Lee. Gadis itu tidak berfikir panjang, terus saja mahu membeli seperti lazimnya. 

Tangannya menyelak pula deretan gantungan baju yang lain. Kali ini warna merah hati bercorak bunga kuning pula menggugat hati Kajlah. 

“Huwaaa.. ni lagi menyerlah kecantikannya! Ya Allah kak.. ada berapa warna ni.” Tangan Kajlah semakin tidak duduk diam. Ianya terhenti apabila sudah bertemu dengan warna terakhir. 

Biru muda yang diserikan dengan bunga kecil merah jambu. 

“Aduhai, semua cantik! Nak minta Along duit la. Kajlah nak beli semua!” 

Aisyah hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah Kajlah yang sedang kecelaruan pilihan. Fitrah seorang perempuan. Tidak boleh nampak benda cantik. Pasti akan cepat rambang mata. 

“Akak belum buka jualan lagi. Kajlah jadi model akak ya? Lepas photoshoot baru boleh jual.” 

Kajlah pandang Aisyah. Wajahnya sedikit hairan. Tidak semena dia melontar pertanyaan. 

“Akak mengandung ke?”

Selama ini, Aisyah yang memperagakan semua edisi Aisy Lee. Mengapa pula kali ini dia mahukan orang lain yang menggayakan busana hasil jahitannya?

“Mengandung? Mana ada!” Pantas saja Aisyah menangkis soalan Kajlah. 

Hish, budak ni.. ke situ pulak dia! 

“Oh, bukan eh?” Kajlah menyoal lagi. Kali ini bibirnya tersengih nakal. 

“Tak. Belum rezeki. Lagipun akak kan baru aje kahwin tiga bulan. Masih mood honeymoon, dik.” Ujar Aisyah. 

“Dah tu kenapa nak cari model?”

“Hurm, akak tak larat sebenarnya. Lagipun suami akak suruh rehat. Dia cakap cukup buat kerja jahit menjahit. Itupun dia dah mula suarakan pendapat suruh upah orang jahit ajer.” Aisyah mula buka mulut menceritakan hal yang sebenarnya.

Dari dulu Vincent sudah memberi cadangan tersebut. Aisyah yang menolak dengan alasan dia baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan pakaian. Dia tak mahu mengeluarkan modal yang banyak sedangkan dia belum tahu keadaan pasaran. 

Lantaran itu Hilman mencadangkan mereka mengeluarkan rekaan edisi terhad saja. Begitu juga dengan pilihan warna. Bahkan Aisyah sendiri yang menjadi model. Semua itu kerana dia mahu menjaga kualiti serta mengawal perbelanjaan. 

Tapi alang-alang sang suami mahu mengeluarkan upah model, lebih baik dia menerima dengan senang hati. Selama hari ini pun Aisyah bukannya berminat untuk beraksi di hadapan kemera Hilman. Dia terpaksa saja!

“Alahai, sweet nya suami akak Tetiba rasa nak kahwin pulak.”

“Ceh!” 

Terus Kajlah tertawa. Namun Aisyah hanya tersenyum seraya matanya masih memandang Kajlah. 

Budak ni memang sesuai jadi model Aisy Lee. Lagipun dia memang jenis pakai baju patuh syariah. Belum pernah lagi dia datang sini dengan seluar jean. Desis Aisyah. 

“Boleh Kajlah?”

“Boleh apa kak?” soal gadis itu seakan terlupa tentang permintaan Aisyah tadi. Matanya beradu dengan anak mata Aisyah. Seakan mencari pengertian dalam samar. 

“Jadi model Aisy Lee.” Ulang Aisyah lagi. 

“Hurm, bagi Kajlah fikir dulu boleh tak? Nak tanya along jugak. Takut dia bising. Along tu boleh tahan pedas mulut dia.” Beritahu Kajlah. 

Kepala Aisyah jatuh beberapa kali. Dia faham, seharusnya Kajlah harus meminta izin dengan keluarganya. Bimbang nanti orang tua gadis itu terkejut pula melihat gambar anak perempuan mereka di media sosial.

Tangan Kajlah dicapai oleh Aisyah, “Kalau boleh jangan lama sangat ya Kajlah. Sepatutnya photoshoot hujung minggu ni.” Harapan yang besar lagi tinggi itu cuba disampaikan sebaik mungkin pada gadis itu. 

“Insya-Allah kak. Saya tanya along hari ni jugak.”

“Harap-harap Khyr tak kisah.” Doa Aisyah. 

“Aamiin!”




Pulang saja dari studio menjahit Aisyah, Kajlah terus memandu ke rumah Khyr. Elok kereta diparkir di tepi jalan, kereta Khyr pun sampai. Sempat lelaki itu membunyikan hon tanda menyapa si adik. 

Tergesa-gesa Kajlah keluar dari Nissan Almeranya. Baru saja tubuh Khyr tegak berdiri, Kajlah sudah menerpa. 

“Along!” lengan lelaki itu disauk. 

“Waalaikumusalam..” pegangan Kajlah terus terlepas apabila Khyr memerli. 

Namun gadis itu hanya tertawa kecil. Langsung tidak terusik dengan perlian abangnya. Dengan wajah yang bersahaja, Kajlah memberi salam. 

“Hurm..” balas Khyr dengan mata yang menjeling. Salam sudah dijawab di dalam hati. 

“Apa mimpi datang ni?” wajah si adik dipandang seketika sebelum kakinya terus melangkah ke depan. 

“Ada benda nak minta pendapat Along.” 

Khyr menoleh, “Bukan sebab nak jumpa Farhan?” soal sang abang. 

Si adik menggeleng pantas, “Hish, taklah! Kajlah memang nak minta pendapat Along ni. Urgent! Cepat buka pintu, kita cakap dekat dalam.” Gesa Kajlah.

Khyr yang tertanya-tanya hanya menurut. Dia jadi tidak sabar pula mahu tahu apa yang Kajlah ingin cakapkan. Lalu hati lelakinya terkulum pertanyaan. 

Dapat offer kerja lain ke? 

Apabila berlabuh saja punggung di sofa, Khyr terus menyoal Kajlah. 

“Apa yang penting sangat sampai datang sini?” Soal Khyr. Lelaki itu tidak suka Kajlah datang ke rumahnya. Sudah banyak kali dia berpesan. 

Ini rumah bujang. Walaupun Kajlah adik dia, tapi Farhan bukan ada pertalian dengan mereka. Khyr bimbang kalau-kalau kedatangan Kajlah tidak tepat pada waktunya. 

Bagaimana jikalau dia tiada di rumah tetapi hanya ada Farhan saja? Adik perempuannya boleh tahan brutal. Kalau tidak, masakan Kajlah bisa memanjat pagar dengan jubahnya!

Bukankah tidak elok dipandang jiran? Khyr bimbang mereka ditangkap berdua-duaan saja. Pasti ia akan memalukan kedua-dua buah keluarga mereka. 

“Along.. Kajlah nak jadi model boleh tak?” tiada bahasa bunga-bunga sebagai umpan si abang, Kajlah terus berterus-terang. Wajah keletihan Khyr ditatap dalam-dalam. 

Dahi lelaki itu berkerut. 

“Dah buang tabiat?” Sergah Khyr garang. Si adik direnung bagai mahu menelan. 

Orang balik kerja penat-penat, dia nak buat kerja tak masuk dek akal pulak! Haih, budak ni.. Dalam hati Khyr mulai membebel.

“Kak Aisyah minta tolong.” Melihatkan tindak balas Khyr yang seakan mahu menentang, Kajlah terus menyebut nama Aisyah. 

Gadis itu berharap abangnya akan berlembut dan memberi keizinan. Mustahil Khyr tidak mengenali Aisyah. Lelaki itu juga tahu bagaimana rupa semua design baju keluaran Aisy Lee. 

“Aisyah?”Pantas Kajlah mengangguk laju apabila Khyr menyebut kembali nama itu.

“Haah. Tadi Kajlah pergi studio dia, hantar baju untuk majlis anak mak ngah tu. Lepas tu dia tanya boleh tak jadi model baju terbaru Aisy Lee.” Perhatian Khyr kini sepenuhnya pada penceritaan si adik.  Namun ada sedikit tanda tanya di dalam hati lelaki itu.

“Kenapa dia cari model?” Soal Khyr dengan dahi yang berkerut. Dia masih ingat pertemuan antara dia dan Aisyah di Shanghai dulu.

Sehingga di negara tembok besar, Aisyah dan Hilman melakukan sesi pengambaran pakaian muslimah mereka. Mengapa baru sekarang Aisyah mahu mencari model pula?

“Along, orang bisnes ni takkan sama pemikirannya dengan kita. Bila dah ada duit untuk gajikan orang, untuk apa kita perlu berpenat? Lebih baik kita buat kerja yang sepatutnya sebagai founder.” 

Kepetahan Kajlah memberi buah fikirannya telah mengunci mulut Khyr. Sejenak dia berfikir. Ada betul jugak cakap Kajlah. Kalau semua benda nak buat sendiri, pengsanlah! Desis lelaki itu sambil kepalanya terangguk-angguk sendirian.

Kajlah yang melihat reaksi si abang mulai berasa hairan. Namun dia mencuba nasib lagi. Kali ini dalam nada bergurau pula. Mana tahu menjadi. 

“Tu terangguk-angguk macam burung belatuk tu, Kajlah boleh jadi model Kak Aisyah ke?” 

Kepala Khyr terus statik. Mata memandang si adik tidak berkelip. Namun pandangannya tidak setajam tadi. 

“Along tak cakap apa pun lagi. Nanti Along fikir sambil mandi.” Ujar Khyr seraya mengangkat punggungnya.

“Along..” Kajlah mulai merengek. Dia mahu jawapan lelaki itu hari ini juga. Hujung minggu yang Aisyah maksudkan tadi sudah tidak berapa hari saja lagi. 

“Hish, kan Along cakap tunggu! Tak menyabar betul! Tolong masakkan Along sardin sementara Along mandi. Lapar ni tahu tak?” beritahu Khyr secara tidak langsung.

Gadis itu terus terdiam. Tak jadi mahu merayu. Bimbang Khyr bertempik mengata dia tidak faham bahasa. 

Lelaki jika penat ditambah pula dengan perut yang sedang berkeroncong, boleh jadi perang dunia kalau tak kena gaya. Lantaran itu orang tua-tua berpesan, apabila suami pulang hidangkan air dan makan dulu. Bukan terus membuat permintaan itu dan ini. 

“Telur ada tak?” Soal Kajlah.

Sambal sardin harus dilawankan dengan telur dadar. Barulah makan tidak menoleh kiri dan kanan! Sempat juga akal gadis itu bertingkah dalam diam.

“Ada dalam peti ais. Along nak bawang lebih!” Pesan Khyr sebelum meninggalkan adiknya yang mulai menanggalkan sarung kaki. 

Kajlah tidak selesa mahu memasak dengan memakai stoking. Stoking hitam nan nipis itu diletakkan di dalam beg. Tanpa membuang masa lagi, Kajlah terus mengatur langkah ke dapur orang bujang. 

Dia harus mengenyangkan perut si abang. Dengan harapan lelaki itu akan memberi jawapan yang akan menggembirakan hatinya dan hati Aisyah.


No comments: