Thursday, December 3, 2020

Tak Sengaja Cinta - Bab 2


    “Sapa tu kak?” 

    Nurin terus menyerang Jaja apabila gadis itu memutuskan talian dengan Imran. Wajah si kakak ditatap dalam-dalam. 

    Dari percakapan seperti baru berkenalan. Mana pulak dia kenal? Sambil menanti jawapan Jaja, hati Nurin menyoal sendiri. 

    “Ala, sepupu budak Anna tu..” Balas Jaja seraya kembali merebahkan dirinya. 

    “Anna mana?” 

    Nurin masih memandang Jaja. Jawapan gadis yang hanya tua dua tahun darinya itu tidak memuaskan hati. Dia mahu Jaja bercerita dengan lebih lanjut sebelum mata perempuan itu terlelap. 

    Jaja diam. Kelopak mata dia kian layu. 

    Pek!

    Tapak tangan Nurin hinggap di paha Jaja. Terus terbuka besar kelopak mata yang hampir tertutup tadi.

    “Wei, cerita la! Sapa Imran tu?” Gesa Nurin.

    “Kan aku dah cakap, sepupu Anna.” 

    Dari terlentang, Jaja mengiring pula. Tubuhnya membelakangkan si Nurin. 

    “Anna..Anna.. Anna mana?”

    “Hishh, budak student nurse tu. Aku tak tau la nama betul dia. Suzana ke Suhana..”

    “Eh, bengong la kau ni. Main bagi aje nombor telefon kau pada orang. Entah – entah laki orang.”

    Nurin mula berleter, geram pula hatinya mendengar jawapan si kakak. Suka ambil mudah bab berkongsi maklumat diri. 

    “Dia bukan ada sini pun. Alah, jangan risaulah. Aku tak kemaruk nak cari lelaki jadi suami.” Bidasan Jaja mendiamkan mulut Nurin. 

    Melihatkan Jaja berpalingkan muka lagi, hati Nurin dihambat rasa serba salah. Tak lama lagi dirinya akan bertunang. Sedangkan si kakak belum mempunyai teman lelaki. 

    Jika boleh, memang Nurin tidak mahu melangkah bendul. Namun pihak keluarga Zakwan mahu mereka berdua mengikat tali pertunangan secepat mungkin. Bahkan pernikahan mereka akan dilangsungkan dalam masa setahun selepas bertunang.  

    “Kak, kau jangan salah faham.. aku bukan tak nak kau berkenalan dengan lelaki, tapi aku takut kalau kau tersalah orang. Salah orang untuk jatuh cinta.” Luah Nurin seakan memujuk Jaja yang seakan tercuit hati. 

    “Jangan risaulah. Sebodoh-bodoh aku, belum lagi nak jadi perosak rumahtangga orang.”

    Kendatipun hanya di paras nada suara yang mendatar, tapi ia cukup mencucuk naluri Nurin. Jaja berkecil hati! Nurin mengerti sementelah Jaja langsung tidak memandang mukanya. 

    Malah kakaknya menutup muka dengan bantal!

    Tidak semena Nurin merebahkan tubuhnya di belakang Jaja. Lalu tangan kanan melingkar di pinggang si kakak. Muka disembamkan rapat ke tengkuk perempuan itu. 

    “Kak, aku minta maaf. Aku sayang kau, sebab tu aku tak nak kau…”

    “Nurin, maruah aku sangat mahal harganya. Bukan sebarang orang boleh beli.”

    Dan setitis air mata Jaja jatuh tanpa Nurin melihatnya. 




Beberapa susunan rekod pesakit Jaja letakkan di atas kaunter. Kebetulan Anna baru keluar dari bilik pesakit berhadapan dengan kaunter tersebut. Segera dia menyapa Jaja dengan teruja. 

    “Kak! Ada tak dia telefon balik malam semalam?”

    Jaja menjatuhkan kepalanya. Bibir tersenyum memandang Anna.

    “Dia marah..”

    “Hah? Dia marah akak ke?” Bulat mata Anna mendengar perkataan marah itu. Tak berkelip dia memandang Jaja.

    Jaja menggeleng perlahan-lahan. 

    “Dia marah kau. Dia cakap tak ada kredit tak payahlah telefon orang. Dah tu guna telefon kawan pulak.” 

    Anna terus ketap bibir. Dalam hati sudah mulai mengomel tentang abang sepupu sendiri. 

    Ceh, orang sengaja telefon dia guna telefon Kak Jaja untuk dia jugak! Mana tau kali ni ‘menjadi’. 

    “Poyo aje Abang Im ni. Nanti orang telefon dia balik. Okeylah kak. Orang nak bawa patient pergi x-ray kejap. Bye!” Sempat Anna menyambar rekod pesakit yang Jaja letakkan tadi sebelum beredar. 

    Jaja hanya mampu mengangguk saja. Tiada butir perkataan yang terbit dari mulutnya. Dia juga harus beredar untuk turun ke tingkat 4. Ada rekod pesakit perlu dihantar di klinik yang terletak di aras tersebut. 

    Selesai menyerahkan rekod pesakit di klinik Urologi, Jaja kembali ke Jabatan Rekod Perubatan yang terletak di aras bawah tanah. Masuk saja di situ, gadis itu terus menonong ke satu sudut. Ruang tersorok yang selalu menjadi tempat makan mereka. 

    Segera botol air dicapai. Tak sempat duduk, air sudah diteguk rakus. Rasa dahaga sedikit lega apabila air melewati anak tekaknya. 

    Kerja sepertinya takkan berhenti berjalan selagi klinik di hospital ini tidak tutup. Apabila pesakit mendaftarkan nama mereka, nombor rekod perubatan mereka akan keluar secara automatik di mesin cetak di Jabatan Rekod ini. 

    “Jaja, cepat sikit! Rekod tingkat 4 ni menimbun. Nurse Doktor Teh Ah Cheng dah telefon minta rekod.”

    Suara Abang Man menerpa kuat. Jaja yang sedang meneguk lagi airnya menggeleng kepala. 

    “Hish, sabarlah! Suruh dia turun ambil sendiri kalau tak reti nak tunggu!” marah serta merta bertunas dalam hati gadis itu. Wajahnya berubah masam. Botol air ditutup kembali. Laju kakinya melangkah ke kaunter.

    Abang Man, senior lebih 10 tahun itu terkejut mendengar suara bengang Jaja. Ya, Abang Man tahu Jaja penat. Memang tugas menghantar rekod perubatan ini letih. Mereka penat berjalan.

    Tapi itukan tugas mereka. Cara kerja mereka memang macam tu. Nak buat macam mana? Mahu protes? Tak guna! Semua orang yang masuk kerja di Jabatan Rekod Perubatan ini sudah diberitahu oleh ketua mereka. 

    “Naik tangga Jaja! Jangan tunggu lif. Karang Doktor Tee Ah Cheng tu komplen..”

    “Eh, kisah pulak aku. Komplen la.. kan aku cakap tadi, tak boleh tunggu suruh nurse dia turun ambil sendiri. Banyak songeh pulak!” 

    Jaja langsung tak endahkan arahan Abang Man. Rekod pesakit yang lelaki itu susun di atas kaunter, dicapai kasar. Lalu dimasukkan ke dalam beg. Sudah penuh beg hitam yang digalas, Jaja hanya memeluk saja baki rekod perubatan tersebut. 

    Abang Man hanya melihat Jaja pergi dengan gelengan kepala. 

    “Kuat melawan si Jaja ni. Karang kena komplen, aku jugak yang menjawab dekat bawah ni.”

    “Kau pun satu. Suruh dia naik tangga buat apa? Dia kan despatch tingkat 3, bukannya tingkat 1. Marahlah dia.” Ujar Yuri seraya meletakkan sampul x-ray dan rekod pesakit di atas kaunter. 

    “Eh, betullah aku cakap. Aku naik tangga apa..”

    “Suka hati kaulah Man. Rekod dengan x-ray ni, aku dah scan out. Aku nak pergi keluar makan. Dah time aku rehat.” Lantas Yuri meninggalkan Abang Man. Namun lelaki itu tidak keseorangan, masih ada lagi Leya dan Hanisah di belakang. 

    Mereka berdua sedang mencari rekod pesakit untuk dihantar oleh Maslin dan Izan. 











No comments: