Wednesday, December 23, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 3

 

Kajlah tidak kekok mahu memasak di rumah Khyr. Habis diselongkar peti ais abangnya. Walaupun belum berkahwin, perkakas di ruang dapur lelaki itu lengkap segala-galanya.

Peti ais pun penuh dengan lauk dan stok makanan yang lain. Tidaklah air mineral semata yang berderet di dalam tempat dingin itu.

“Kentang ada, tomato ada, halia ada, ulam pun ada. Hurm, Along baru berbelanja la ni.” Sambil mengeluarkan keperluan untuk memasak, Kajlah bercakap seorang diri.

“Ala.. dia ni degillah! Dah orang pesan jangan pakai cili boh, dia beli lagi. Tak sedap tau tak?”

Tanpa gadis itu sedari bebelannya telah menarik perhatian orang lain. Kajlah tidak tahu dirinya sedang diintai disebalik tembok. Telatah si dia membuatkan langkah Farhan tadi terhenti.

Kononnya mahu ke dapur untuk meneguk air bagi menghilangkan dahaga. Namun terbantut apabila terdengar suara yang amat dikenalinya. Bibir tidak semena tersenyum. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan Kajlah.

Lantaran itu ringan saja mulut menyapa gadis tersebut.

“Assalammualaikum, bebel apa tu dear?”

Semerta Kajlah berpusing ke belakang, “Waalaikumusalam. Awak baru balik eh?” Sebaris senyuman cantik terbentuk di bibir.

“Yup.” Sepatah Farhan menjawab sambil kaki diatur kemas mendekati gadis itu. Kajlah tetap berdiri di situ tanpa gentar. Semakin lama semakin tubuh Farhan merapat.

Langkahnya terpasung betul-betul di sebelah gadis itu. Lantas tangan kanan menjalar di tepi tubuh Kajlah. Seperti yang Kajlah duga, Farhan mahu mengambil cawan di rak pinggan di sebelahnya. Namun bau minya wangi lelaki itu berjaya membuatkan jantung Kajlah sedikit lari temponya.

Bau maskulin jejaka tersebut sangat enak hingga menggetarkan jiwa.

“Along suruh memasak ke?” Farhan mengerling meja yang sedikit berselerak dengan bahan-bahan masakan.

“Haah. Along minta masakkan sambal sardin, tapi Kajlah tak suka pakai cili boh ni. Perut Kajlah alah dengan cuka.”

Lelaki itu terkesima sejenak mendengar bicara adik temannya. Dahi Farhan juga sedikit berkerut. Kalau tak boleh pakai cili boh ni, dia guna cili apa pulak? Gumam pemuda itu.

“Err, kita orang memang guna cili boh tu aje selama ni.” Mulut Farhan terjuih menunjukkan paket cili sederhana besar.

“Tahu. Kajlah dah pesan banyak kali dengan along. Jangan beli cili tu. Bukannya sedap pun kalau masak lauk.” Rungutan gadis itu mengundang rasa serba salah di hati Farhan.

“Habis tu Kajlah nak guna apa? Cakap dengan abang, abang pergi beli dekat kedai Aceh depan sana.”

“Tak apa ke?” Soal Kajlah.

Farhan menggelengkan kepala.

“Tak. Cakaplah. Nak beli apa?”

“Urm, cili kering. Awak beli yang kerinting tau. Kurang pedas. Kejap, Kajlah ambil duit.”

“Eh, tak payah! Ni kan rumah kami. Kenapa pulak Kajlah nak keluar duit? Tunggu kejap, abang pergi beli.” Segera Farhan menolak niat Kajlah. Lalu pemuda itu meninggalkan dapur tersebut dengan sedikit terkocoh-kocoh.

Namun Kajlah terlupa sesuatu. Cepat-cepat dia berlari anak, cuba mengejar Farhan sebelum lelaki itu keluar dari rumah.

“Awak!” Panggil gadis tersebut.

Si dia menoleh.

“Carefully drive. Tak payah kelam-kabut. Saya goreng telur dulu.” Bimbang pula hati Kajlah apabila melihat Farhan pergi dengan tergesa-gesa. Walaupun kedai runcit itu masih di dalam kawasan perumahan ini, ia tetap mendatangkan perasaan kurang enak di hati Kajlah.

Serta-merta Farhan tersenyum mendengar pesanan si buah hati anganannya. Mungkin dia masih ada harapan untuk mencuba nasib. Sementelah Kajlah muncul di muka pintu, sempat membawa dirinya berangan ke masa hadapan.

Bagai seorang isteri menitipkan pesanan buat sang suami. Indah! Itu yang sempat singgah di fikiran lelaki itu.

“Insya-Allah.” Sempat Farhan mengenyetkan mata kirinya terhadap Kajlah. Terus gadis itu tergelak kecil. Terhibur.

Seketika berlalu, kini mereka bertiga sedang duduk di meja makan. Kajlah menyendukkan nasi ke pinggan Khyr terlebih dahulu. Kemudian barulah pinggan Farhan dan berakhir di pinggannya.

Khyr terus membaca doa makan apabila kedua manusia di hadapannya sudah menanti. Mereka memberi laluan pada Khyr mencedok lauk berwarna merah itu. Apabila tiba giliran Farhan, tidak semena lelaki itu bersuara.

“Abang memang suka sambal sardin. Bulan depan abang beli sedozen. Kajlah datang sini jumpa Along, boleh masak lagi.”

“Ha... Eloklah tu. Biar kau dapat gout. Boleh aku reject kau jadi adik ipar aku.”

Farhan terbelangah apabila Khyr pantas mencantas cakapnya.

Kurang ajar betul, si Khyr ni! Suka doakan aku yang tak elok. Gumam Farhan dengan mata yang tajam mengerling temannya.

Namun Khyr seperti biasa, hanya menayang wajah serius dan tenangnya itu. Dalam hati Kajlah sudah mendongkol geram dengan mulut celupar si abang. Mujur saja dia perlu bersabar demi sebuah jawapan yang dinantikan dari lelaki itu.

Jika tidak, pasti bibir mungil Kajlah sudah membalas perlian Khyr. Memang betul makan makanan dalam tin tak bagus untuk kesihatan, tapi tak perlulah sampai nak reject Farhan. Esok-esok bila dah berkahwin, tahulah si Kajlah nak memasak lauk yang sedap-sedap untuk suaminya. Hishh, Khyr ni sengaja mahu mengugat perasaan Farhan!

“Along, cili yang Han beli tadi Kajlah dah kisar. Dalam bekas yang tutup biru tu. Dah ada bawang semua siap. Guna yang tu kalau nak masak.” Beritahu Kajlah.

“Mana datang cili kering? Along tak pernah beli…” Khyr mengangkat kepala. Wajah si adik dipandang meminta jawapan.

“Kajlah suruh Han beli. Kebetulan dia baru balik tadi.” Balas Kajlah tanpa riak bersalah. Namun Khyr agak tidak senang mendengarkannya. Semerta mata Khyr terhala ke arah Farhan pula.

Bagai tahu Khyr sedang memandang dirinya, Farhan mengjungkitkan kening. Seraya membalas pandangan mata lelaki itu.

“Tak boleh ke masak aje apa yang Along ada? Kenapa nak suruh Han pergi kedai?” Soal Khyr menghantar maksud tersirat pada Farhan. Namun Farhan sedar, pertanyaan itu bukan untuk Kajlah tetapi ditujukan buat dirinya.

“Takkan kau tak tau perut Kajlah sensitif dengan cuka? Cuba jangan pentingkan diri sendiri, Khyr. Perut kau mungkin okey dengan cili boh tu, tapi Kajlah tak. Boleh jadi dia hanya memasak untuk kau saja? Dia tak payah makan sebab cili boh kau beli tu.. gitu ke Khyr?” Lelaki terdiam apabila Farhan membahas membela Kajlah.

Air muka Kajlah sedikit berkocak. Jujurnya dia tidak suka dengan cara Khyr itu. Ya, dia sedikit terasa hati. Perlahan-lahan nafas dihela. Nasi di dalam pinggan yang belum diusik hanya dipandang.

Namun tidak lama. Kajlah tiba-tiba bangun dari dudukan. Seleranya sudah tiada. Perut yang lapar tidak dihiraukan lagi.

“Han, nanti nak tambah nasi, ambil yang Kajlah punya ni. Kajlah balik dulu. Assalammualaikum.”

“Eh, kenapa nak balik pulak? Makanlah, dear.”Farhan terkejut. Ikutkan hati mahu saja dia menarik tangan gadis itu agar duduk kembali. Tetapi apakan daya, dia tidak bisa melakukannya.

Khyr yang tidak mengjangkakan tindakan Kajlah itu turut menghalang si adik pergi.

“Duduk Kajlah. Makan nasi Kajlah tu.”

“Tak apalah. Kajlah pergi dulu.”

Farhan terus mendengus kasar apabila Kajlah tetap berlalu tanpa menoleh.

“Apa masalah kau yang sebenarnya Khyr?” Sejurus melontarkan pertanyaan, Farhan juga bangkit. Dia pantas mengejar Kajlah. Tidak dihiraukan Khyr yang sudah termangu sendirian.

Ketika Farhan sampai di muka pintu, Kajlah sudah membuka pintu pagar.

“Kajlah!” Pekik lelaki itu.

Langkah Kajlah terhenti seketika. Farhan berkaki ayam mendapatkan dirinya.

“Tak elok balik tak jamah nasi tu.” Tegur Farhan lembut. Dia sedaya upaya mahu membawa gadis tersebut kembali ke meja makan.

Dari riak wajah Kajlah, dia sudah tidak sudi lagi. Ada sesalan yang menghimpit dada. Dia sudah tersilap dari awal. Sepatutnya dia tak perlu ke mari meminta izin dari Khyr.

Langsung telefon saja ayah mereka. Pasti dia tak perlu hadap sikap Khyr yang mengjengkelkan itu.

“Tak apa, Han. Kajlah nak cepat ni. Kejap lagi azan Maghrib. Kajlah pergi dulu.”

Tak sempat Farhan mahu menahan lagi, Kajlah terus mengatur langkah. Sekali pun dia tidak menoleh ke belakang. Gadis itu benar-benar berjauh hati!

Dan sekali lagi Farhan menghamburkan dengusan kasar. Rahang kuat dikacip menahan geram.

Khyr.. kadang-kadang kau ni tak berhati perut! Memang patutlah hidup kau kesepian tanpa perempuan di sisi. Tempelak Farhan dalam hati.


No comments: