Sunday, October 18, 2020

Bab 1 - My Lovely Nani





“Makan roti aje Nani?”

Kunyahan Nani termati dek alunan suara itu.

“Saya masih belum biasa dengan makan orang sini kak.”

“Tapi Nani boleh masak sendiri kan? Bawalah bekal. Kita kerja 12 jam Nani. Kita di Riyadh. Bukan di Malaysia. Walaupun dekat sana kita memang kadang-kadang tak sempat makan, tapi tempoh kita bekerja pendek. 7 jam lebih saja.”

Nani diam. Butir bicara seakan terkulum di rengkung. Memang sebuah kenyataan itu adakalanya begitu menyesakkan dada.  

Biarlah orang mahu cakap apa. Janji dirinya tahu mengejar target sendiri. Hampir kesemua gaji pertamanya di sini sudah dipindahkan ke akaun bank di Malaysia. Yang tinggal bersamanya hanyalah duit belanja sehingga cukup bulan.

Tak apa... Sementara waktu saja ni kak. InsyaAllah, bila segala-galanya selesai saya akan pulang. Kembali menikmati kehidupan saya yang dulu. Desis Nani dalam hati.

Masakan dia mahu bercerita duduk hal yang sebenarnya? 

Oh, tidak! Itu keaiban keluarganya! 
Lama memerhati dan cakapnya tidak berbalas, sudahnya Aina sendiri mengambil langkah berdiam diri.

Mungkin Nani jenis yang tak makan berat macam aku gamaknya. Kalau aku.. Tak boleh kalau tak jamah nasi sehari. Mahu menggigil aku jadinya! 
Tengoklah badan Nani. Solid ajer. Aku ni? Dah macam beruang kutub rupanya. Debab!

“Kenapa pulak Kak Aina termuncung-muncung sendiri tu?” Berkerut kening Nani memandang teman barunya itu.

Marah aku ke? Bisik hati kecil Nani.

“Tak ada apa. Jom makan. Akak masak lebih nasi lemak ni.” Pelawa Kak Aina. Kali ini siap disendukkan nasi ke dalam pinggan.

Hurm, nasi lemak.. rindunya nasi lemak mak buat!

Dalam hati Nani semerta terkenangkan ibu di tanah air. Hati disagat kepiluan tatkala rindu itu menyapa. 

“Jamah aje la kak..” Segan-segan Nani mahu menyenduk lebih, sungguhpun anak tekak terlalu teringin. 

“Apa pulak jamah.. makan betul-betul. Senduk lebih sikit. Hari-hari makan roti kenyang ke?” soal Kak Aina. Nani yang diam tidak menjawab hanya dikerling sejenak. 

“Dengan akak tak payah segan, Nani. Kita jauh dari keluarga sendiri. Kawan-kawanlah keluarga kita di sini. Nanti balik, akak tunjukkan kedai Bakala yang selalu akak pergi tu. Kalau nak beli tempe, pesan aje dengan pemandu bas.” Sambung Kak Aina lagi. 

“Pemandu bas mana?” Tangan Nani yang menyenduk sambal itu terhenti. Kepala dipanggung, menatap muka Kak Aina yang sedang mengunyah.

“Pemandu bas hospital kita ni la. Kebanyakan dia orang tu, orang Indonesia. Dia orang ada buat tempe.” 

Nani tercengang. Dia tak pernah tahu. Bahkan dia tidak pernah menegur mereka. Maklumlah, dia bukan mahir dengan Bahasa Arab. Sungguhpun sedang belajar, dia masih bimbang mahu bertutur di dalam bahasa tersebut. 

Rupa-rupanya.. boleh aje cakap Melayu. Mereka serumpun!

“Oh.. bolehlah nanti saya masak lontong. Hurm, simptom home sick betul!” 

Kak Aina tertawa apabila Nani mengata diri sendiri, “Biasalah tu. Baru-baru.. nanti sebulan dua lagi Nani akan okey. Yang penting kita tau kat mana kedai runcit yang jual banyak benda. Kalau teringin masakan Malaysia, masak sendiri aje. Akak selalu aje minta adik-beradik akak pos belacan.” Ujar perempuan itu lagi. 

Ha'ah kan.. kenapa aku tak terfikir minta tolong Karen aje? Minah tu anak tauke kedai runcit..beli dari dia pun boleh. Dalam hati Nani membayangkan teman baiknya itu.

Sedang Nani teringatkan Karen, Kak Aina menyoal lagi. Perempuan itu bagai sedang cuba beramah mesra dengan Nani. 

“Nani.. dekat Malaysia, kerja bahagian apa?”

“A&E, kak.”

“Wah! Mesti tak terkira dah berapa kali CPR patients kan?”

Nani hanya melayangkan senyuman. 
Jauh di sudut hati, dia rindukan Malaysia. Rindukan segala-galanya. Suami, mak dan adik beradik. Bahkan kawan-kawan yang masih dan selalu berperang di lapangan Kecemasan dan Trauma. 

Bila ditugaskan di ambulance call, mereka responders pertama. Tentulah CPR akan dilakukan di tempat kejadian jika ianya perlu. Jadi memang dia sudah tidak ingat, berapa orang pesakit yang dia cuba selamatkan dari kematian.

Ah, aku bukan malaikat! Aku hanya menjalankan tugas dengan doa Allah permudahkan semuanya. Desis Nani dalam hati.

“Kita beruntung dik, dekat tempat kita paling teruk pun patient kena tembak. Traumatic accident. Dekat sini, nasib tak baik kita jumpa lambakan patients yang kena bom. Hati kena sentiasa get ready, Nani. Akak dulu masa kali pertama dapat kes macam tu, akak mabuk. Akak jadi kalut. Tak tahu nak buat apa. Tapi itulah.. pengalaman cikgu paling bagus dalam kehidupan.” 

Sambil makan cerita dari mulut Kak Aina telah membuang jauh kerinduan insan tersayang Nani. Kini dia lebih tertarik dengan pengalaman teman barunya itu. 

“Akak dah lama kerja sini?” Soal Nani. 

“Baru sekali renew contract. Dulu akak kerja di KK. Sepanjang perkhidmatan, akak di klinik. Bila datang sini tercampak ke ED, sampai mabuk jadinya.” 

Bibir Nani juga ikut tersungging tatkala Kak Aina tergelak kecil. Mengetawakan diri sendiri. 

“Akak minta tukar, so kerjalah di sini. Jumpa pulak dengan Nani.” Ujar Kak Aina jujur. 

“Orang Arab cukup suka dengan misi Malaysia. Dia orang mesti akan tanya 'ant min Malizia? Kalau kita jawab ya, mesti mereka akan beri macam-macam. Coklatlah selalunya..”

Anda orang Malaysia? Desis Nani apabila pertanyaan bahasa Arab itu meluncur dari mulut Kak Aina. 

Ya, Nani tahu kebanyakan pesakit di sini begitu menghargai jururawat dari Malaysia. Lihat saja tadi, pesakit yang sudah dibenarkan pulang menghadiahkan Nani sebuah beg kecil yang berisi coklat.

“Kak,” 

Perlahan-lahan Nani menayangkan hadiah tersebut di depan Kak Aina.

“Ha.. tengok. Kan betul akak cakap. Ini cara mereka menghargai kita. Orang di tempat kita sendiri pun kadang-kadang berat mulut nak ucapkan terima kasih pada kita.”

Bebelan Kak Aina mengundang senyuman nipis di bibir Nani. Dalam hati perempuan itu berkata,

Betullah tu… 

No comments: