Sunday, December 27, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 4


“Kajlah
balik betul-betul ke?”

Farhan segera berpaling apabila suara Khyr menerpa. Spontan pemuda itu memutarkan bebola matanya ke atas. Tanda dia meluat dengan soalan tak cerdik si Khyr.

“Hurm, apa punya abanglah kau ni. Tak terkilan ke hati kau bila Kajlah balik tanpa menjamah nasi dia hatta sesuap?”

Khyr terdiam dengan tujahan soalan Farhan. Ya, dia mengakui. Farhan memang mempunyai sikap perihatin dan mesra yang baik dari dirinya. Lantaran itu, Farhan senang didekati oleh kaum Hawa. 

Disebabkan hal itu juga Khyr tidak berapa gemar Farhan cuba mendekati adiknya. Dia bimbang, Farhan tidak serius. Dia tak mahu Kajlah terluka dek Farhan. Itu sahaja.

“Khyr, adik yang kau suruh sediakan makan malam kau tu dah balik. Dia tak makan lauk yang dia masak sendiri. Tolonglah fikir, betul ke tindakan kau tadi? Hal kecil aje, kenapa kau nak besar-besarkan?”

Khyr hilang semangat untuk menjawab. Setiap persoalan Farhan bagai mantera yang telah melumpuhkan lidahnya. Lelaki itu hanya mampu termenung memandang pagar rumah yang telah tertutup.

Pandangannya lurus ke depan. Terbayangkan susuk tubuh kecil Kajlah melewati pagar itu. Tiba-tiba hati digaru rasa hiba. Menyesali tindakan sendiri.

Tidak berlengah, Khyr kembali memasuki rumahnya. Kunci kereta dicapai dengan pantas. Saat kakinya melangkah keluar, azan pun berkumandang.

“Tu nak ke mana pulak? Azan ni..”

Namun teguran Farhan bagai angin lalu saja. Pemuda itu langsung pekak. Laungan azan mahupun suara Farhan, langsung tidak mampu menyekat langkahnya.

“Hurm, baru sedarlah tu. Eloklah kau pergi pujuk buah hati aku tu. Kalau aku yang pujuk karang, jauh aku bawa dia pergi.”Ucap Farhan. Matanya tidak lekang memerhatikan kereta Perodua Aruz Khyr meninggalkan rumah mereka.

 

 

 

“Along minta maaf.” Mata Khyr seakan merayu. Namun Kajlah hanya membatu. Sengaja dia berhati beku.

“Kajlah, dengar tak Along cakap ni. Along minta maaf.”

Lelaki itu berusaha lagi meraih perhatian wajah yang masam mencuka di depannya. Tiada senyuman manis menyambut kedatangan Khyr tadi. Itupun setelah salam dijerit beberapa kali, barulah Kajlah membuka pagar.

“Apa masalah Along dengan Farhan? Kenapa soal cili kering nak dijadikan isu?”

Akhirnya setelah beberapa detik Kajlah berdiam diri, kini dia melontarkan pertanyaan. Persoalan yang bikin hatinya hangat sehinggakan dia berlalu meninggalkan Khyr. Sekali pun dia tidak menoleh ke belakang tadi.

“Mana ada..” Ujar Khyr pendek.

“Mana ada apa? Cara Along macam Farhan tu musuh tau! Along kalau tak suka dia duduk dengan along lagi, along cakaplah dengan dia. Suruh dia pindah, kan senang. Tak payah buat perangai tak semenggah macam tu. Kajlah meluat apatah lagi Farhan.” Panjang lebar bebelan Kajlah melepaskan geram di hati.

Khyr berdecit, “Along tak ada masalah pun dengan dia. Sekarang ni masalah along, adik along sendiri.”

Tangan gadis itu dicapai, Kajlah hanya membiarkan. Dia mahu lihat sejauh mana Khyr akan berterus-terang. Bukannya dia tidak tahu, Khyr cuba menyekat Farhan mendekati dirinya.

“Apa masalah yang Kajlah dah buat dengan along?”

Pertanyaan Kajlah itu menjentik hati Khyr. Kajlah tak pernah melakukan kesalahan. Bahkan adiknya itu seorang yang pandai menjaga kehormatan diri serta nama baik keluarga mereka.

“Tak.. Kajlah tak buat apa-apa. Yang salah along. Okey, along mengaku. Along cemburu bila nampak Kajlah berlari panggil Han tadi. Along rasa macam korang dah bercinta Kat belakang along..”

“Bila masa pulak?” Tanpa sempat Khyr menghabiskan ayatnya, Kajlah sudah menempelak.

Hish, memandai ajer dia ni! Dalam hati mengomelkan abangnya.

“Kan along kata, rasa. Maksudnya perasaan along jer. Along tau, along tak boleh nak halang perasaan korang…”

“Tak payah merepeklah, long. Layan along ni, sampai esok pun tak habis. Pergi balik. Kajlah nak cari makanan dekat dapur tu. Perut dah pedih ni!” Tangan sendiri direntap dari pegangan si abang. Namun Khyr kembali menarik tangannya.

“Jom, along belanja makan. Kesian adik along..”

“Malas. Kajlah penat. Pergi balik.”

Khyr tetap pegun di situ. Perasaan serba salah kian menebal. Wajah Kajlah memang nampak keletihan. Kalaulah dia tidak berperangai budak-budak tadi, pasti adiknya sudah kenyang ketika ini.

“Along nak tumpang solat…” Khyr terus menonong ke depan. Tidak dihiraukan mata Kajlah yang tajam menikam dirinya.

Sudahnya gadis itu mendengus kasar seraya berjalan memasuki rumah. Dia pun mengejar waktu ketika ini. Maghrib sedang merangkak pergi.

Selesai mengerjakan solat, Khyr tidak terus pulang. Sebaliknya dia menghidupkan televisyen pula. Dia harus berlama di sini demi memujuk Kajlah lagi.

“Tak payah masak, Kajlah. Along dah pesan bihun tom yam. Kejap lagi sampai la tu.” Cepat-cepat Khyr bersuara apabila melihat Kajlah keluar dari biliknya. Namun langkah gadis itu tetap menuju ke dapur.

Haihh, marah betul si Kajlah ni! Aku cakap dia buat derk aje. Nampaknya terpaksalah aku guna jalan terakhir. Harap-harap dia lembut hati lepas ni. Bantu aku Ya Allah! Di hujung monolog, Khyr mengajukan doa pada Yang Esa.

Tak lama kemudian, telefon bimbit Khyr berbunyi. Penghantar makan Food Panda sudah berada di luar pagar. Bergegas Khyr keluar, malah panjang juga langkah menuju ke dapur.

Kajlah sedang membancuh air saat Khyr masuk ke ruangan tersebut. Sedikit sebanyak, lelaki itu menarik nafas lega. Iyalah, adik tidak masak Maggi.

“Tom yam dah sampai. Jom, kita makan.” Sepertimana Kajlah tidak kekok di rumah sewa Khyr, begitu juga dengan lelaki itu. Di mana adiknya menyimpan sudu garpu pun dia tahu.

Kajlah hanya mengerling segala tindak tanduk abangnya dengan ekor mata. Kalau ikutkan hati yang merajuk, dia mahu isi perut dengan mi segera saja. Tetapi aroma daun limau purut di dalam menu berasal dari Thailand itu benar-benar membuatkan Kajlah mengalah.

Lantas dia melabuhkan duduk dengan mulut masih terkunci.

“Nah, tom yam sea food.” Bekas makan pakai buang yang masih berasap disorongkan di hadapan si adik.

Kemudian Khyr duduk sekali berhadapan dengan gadis itu. Bahkan dia juga menikmati menu yang sama.

“Bukan petang tadi sibuk suruh masak sambal sardin?” soalan Kajlah berbaur perlian.

“Itu tadi. Sekarang along nak makan tom yam dengan adik along.” Balas Khyr dengan kepala yang masih merunduk. Suaranya perlahan saja.

Kajlah tidak bertanya lanjut. Tumpuannya kini pada mangkuk tom yam. Perang dingin masih berlangsung.

“Hurm, kalau Kajlah nak tolong Aisyah.. along okey jer. Selama ni pun, baju dia tak ada yang menjolok mata.”

Suapan Kajlah terhenti seketika. Kepala diangkat, wajah si abang dipandang sejenak. Lelaki itu turut memandangnya.

“Dengar tak?” Soal Khyr.

“Hurm,” balas Kajlah pendek.

“Hurm aje?” Mata lelaki itu membulat. Tidak berpuas hati sungguh dia mendengar suara tindak balas si adik.

“Dah tu? Nak melompat sampai ke bintang? Ingat pujuk dengan cara ni Kajlah akan lupakan kisah petang tadi? Bagus jugak Kak Aisyah tu tak pilih along. Perangai entah apa-apa!” Hunusan kata-kata Kajlah terus mematikan akal Khyr.

Lidah terkulum tidak mampu membalas dengan serangan Kajlah. Akhirnya Khyr terbungkam merenung kekhilafan sendiri. Memang dia silap, dia ikut rasa cemburu sendiri.

Walhal, Farhan tak ada buat salah pun!

Namun tanpa Khyr sedar, Kajlah sedang sembunyi senyum. Tak sia-sia aku berlakon dengan muka kejung ni. Sampai naik lenguh otot muka aku.

Dan hati kecil gadis itu tertawa nakal…


 

1 comment:

Eifa said...

Padan muka along.....
Ikut sedap mulut aje bercakap.