Monday, May 10, 2021

Bab 1 Ms And Mr Frontliners

 

Bab 1


“Mengantuk jangan memandu la! Kan dah menyusahkan orang!”

Herdikan lelaki itu membuatkan mata-mata manusia di sekeliling mereka memandang tanpa lepas.

“Encik, saya ni dah cukup bersabar ni..” Widad ucap perlahan. Seboleh-bolehnya dia masih ingin bertahan.

Ya, salah gadis itu. Widad tertidur ketika lampu isyarat merah. Pemilik kereta itu telah melanggar belakang keretanya.

Jadi, lelaki itu pun salah juga!

Dalam keadaan tubuh yang letih setelah dua puluh empat jam bekerja tanpa henti, Widad mudah berang. Angin puting beliung cepat bertiup dalam dirinya. Dia bimbang mulutnya akan membalas herdikan tersebut.

Sementelah lelaki itu seakan memprovoke si Widad.

“Hei, cakap senang! Kereta saya jahanam teruk tahu!”

“Mujur aje kereta yang jahanam, bukan nyawa yang tercabut. Claim ajelah insuran!” Bentak Widad. Suaranya turut naik seoktaf. Dia sudah tidak peduli dengan keadaan sekeliling.

Buat apa bayar insurans kalau tidak mahu dituntut? Waktu inilah sesuai guna. Melainkan cukai jalan kereta itu sudah tamat tempoh.

“Tengku Widad!”

Semerta perang mulut itu terhenti. Baik tuan empunya nama mahupun si tukang provok. Masing-masing berkalih memandang pemilik suara tersebut. Garau serta garang.

Riak wajah Widad sudah berubah melihatkan figura itu kian mendekat. Wajah si dia serius dan ketat.

“Awak..”

“Koperal Zhariff.”

Tanpa mempedulikan Widad, lelaki itu terus memperkenalkan namanya sendiri. Manusia yang melanggar belakang kereta Widad terus terdiam. Tidak tahu mengapa.

Kerana panggilan Tengku Widad atau pengenalan Koperal Zhariff itu.

Kalau tidak disebabkan panggilan telefon TMJ, dia tidak bergegas ke sini. Terkocoh-kocoh Zhariff ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru ini.

Belum pun sempat kaki sampai di kaunter, suara garang Widad sudah kedengaran. Gadis itu sedang berlawan mulut.

Terus naik suhu hatinya!

Panas!

“Apa cerita sebenarnya ni? Siapa langgar siapa?” tajam mata Zhariff memandang Widad dan lelaki asing  silih berganti.

“Dia langgar belakang kereta saya!”

“Encik, lampu hijau.. saya tekan minyak macam biasalah. Mana saya tahu dia tidur dalam kereta. Hijau sepatutnya jalan. Lagi pun traffik light merah bukan alasan untuk tidur dalam kereta.” Cuping telinga Zhariff kian memerah apabila lelaki tersebut berkata sedemikian. Terus bebola matanya memandang Widad.

Gadis itu masih bersahaja. Langsung tiada rasa bersalah.

“Encik mana tahu dia tidur?” soal Zhariff mahukan kepastian. Mata tetap memandang si Widad.

“Ya Allah, encik.. saya dah langgar kereta dia, mestilah saya keluar pergi depan. Tapi dia tak keluar dari kereta. Saya jenguk, sedap tengah tidur. Tak sedar langsung! Puaslah saya ni ketuk tingkap kereta dia.” Cerita si dia penuh emosi. Memang benar-benar marah dari segi gayanya.

"Kenapa pandang saya macam tu? Saya terlelap tanpa sengaja, okey! Saya post called. I am a doctor. Last night my case didn’t stop until morning. Saya dah cakap dengan dia, saya boleh bayar kos repair kereta dia. Hantar bengkel saja. Eh, dia sibuk nak report. Ingat saya ni cikai sangat ke? Tak mampu bayar? This is wasting my time. I’m so sleepy. Pukul berapa boleh settle dengan keadaan orang ramai macam ni?”

Sudahlah tiada rasa bersalah, malah percakapan Widad kedengaran sedikit angkuh di telinga Zhariff. Ya, dia faham gadis itu penat. Tapi wajarkah dia berkata begitu? “Encik betul nak report jugak? Masih sempatkalau nak settle tepi ni.” Akhirnya Zhariff cuba memancing lelaki tadi. Kalau buat laporan, mereka berdua tetap kena tindakan. Yang langgar belakang tetap salah!

Namun dalam pada masa yang sama, Zhariff kasihankan Widad. Setelah berjaga 24 jam apa lagi yang gadis itu perlukan selain dari tilam dan bantal? 

Lelaki itu sudah faham benar dengan cara kerja mereka di dewan bedah. Jen dan Iris selalu menolak untuk keluar makan jika baru habis shift malam. 

Lain kali ya. Saya penat. Kes malam tadi non stop.”

“Maaf, saya tak larat. Saya scrub 5 jam.” 

"Zhariff, antara makan dan tidur, tidur itu lebih nikmat dari makan.”

Itu antara alasan yang teman-temannya berikan. Jika nasib tak baik, Jen dan Iris tak dapat dihubungi langsung! Mereka akan matikan telefon bimbit mereka. 

“Betul ke dia nak bayar?” Soal Lelaki itu seakan tidak mempercayai cakap Widad. 

“AstagfirullahalAzim.. Encik nak saya sign cek depan mata encik ke? Atau encik nak saya bagi cash money?”

Zhariff berdecit spontan, “Tengku Widad..” gadis itu terus tidak bersuara apabila Zhariff menyeru namanya dengan perlahan tetapi keras. 

Haiih, dia ni.. orang nak bagi selesaikan cepat, dia cari pasal pulak! Patutnya tadi aku cakap aje dengan TMJ aku sibuk! Biar dia yang uruskan adik dia ni. Huh!

Kalau dia nak bayar, saya terima aje la. Habis tu sekarang kita kena pergi bengkel sama-sama ke macam mana?” 

“Pergilah bengkel mana-mana pun. Saya tak kisah. Bagi aje saya bil. Ambil nombor telefon saya…” 

"Tak payah.” Zhariff pantas mencaras cakap Widad. 

Eh, suka hati dia aje cakap macam tu! Tahulah gaji dia besar. Anak tengku, tapi takkan la dia nak percaya dan serah bulat-bulat saja? Buatnya orang ni berkomplot dengan bos bengkel, takkan ke habis beribu nanti? Hishhhh… dia ni asal boleh ajelah! Desis Zhariff kegeraman. 

“Begini aje, encik tahu Kempas Medical Centre?” si koperal menyoal lagi.
“Tahu.” 
“Depan hospital tu ada bengkel kan?” 
Si dia mengangguk laju. 
“Encik hantar kereta encik dekat situ. Nanti saya telefon owner nya. Budak-budak polis ramai hantar situ.” Ujar Zhariff lagi. 
“Baik. Kiranya ni tak payah buat report la ya?”
Widad mendengus, “Tak payah. Kalau kat traffic light tadi encik terima tawaran saya, sekarang ni saya dah sedap tidur tahu tak?” 
Terus Zhariff memutarkan bebola matanya ke atas. Ya Allah, tak sudah lagi ke ni? Masih tak puas hati?
 
 

 

Prolog Ms And Mr Frontliners

 

Prolog


“Hello, Zhariff. Tolong aku boleh?” Dahi lelaki itu berkerut mendengara suara di hujung talian.

Semerta jam di pergelangan tangan dipandang.  Baru pukul 9.30 pagi, pertolongan apa yang dia mahukan? Sempat hati kecil Zhariff menggumam.

“Kenapa ni?” Soal lelaki itu.

“Tolong pergi Trafik IPD kejap. Adik aku dekat sana sekarang. Aku pagi-pagi buta ada patient dekat Red Zone. Tak boleh nak pergi handle dia. Tolong aku eh, Zhariff. I got to go now. Assalammualaikum.”

Gulp.

Trafik IPD?

Sunday, December 27, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 4


“Kajlah
balik betul-betul ke?”

Farhan segera berpaling apabila suara Khyr menerpa. Spontan pemuda itu memutarkan bebola matanya ke atas. Tanda dia meluat dengan soalan tak cerdik si Khyr.

“Hurm, apa punya abanglah kau ni. Tak terkilan ke hati kau bila Kajlah balik tanpa menjamah nasi dia hatta sesuap?”

Khyr terdiam dengan tujahan soalan Farhan. Ya, dia mengakui. Farhan memang mempunyai sikap perihatin dan mesra yang baik dari dirinya. Lantaran itu, Farhan senang didekati oleh kaum Hawa. 

Disebabkan hal itu juga Khyr tidak berapa gemar Farhan cuba mendekati adiknya. Dia bimbang, Farhan tidak serius. Dia tak mahu Kajlah terluka dek Farhan. Itu sahaja.

“Khyr, adik yang kau suruh sediakan makan malam kau tu dah balik. Dia tak makan lauk yang dia masak sendiri. Tolonglah fikir, betul ke tindakan kau tadi? Hal kecil aje, kenapa kau nak besar-besarkan?”

Khyr hilang semangat untuk menjawab. Setiap persoalan Farhan bagai mantera yang telah melumpuhkan lidahnya. Lelaki itu hanya mampu termenung memandang pagar rumah yang telah tertutup.

Pandangannya lurus ke depan. Terbayangkan susuk tubuh kecil Kajlah melewati pagar itu. Tiba-tiba hati digaru rasa hiba. Menyesali tindakan sendiri.

Tidak berlengah, Khyr kembali memasuki rumahnya. Kunci kereta dicapai dengan pantas. Saat kakinya melangkah keluar, azan pun berkumandang.

“Tu nak ke mana pulak? Azan ni..”

Namun teguran Farhan bagai angin lalu saja. Pemuda itu langsung pekak. Laungan azan mahupun suara Farhan, langsung tidak mampu menyekat langkahnya.

“Hurm, baru sedarlah tu. Eloklah kau pergi pujuk buah hati aku tu. Kalau aku yang pujuk karang, jauh aku bawa dia pergi.”Ucap Farhan. Matanya tidak lekang memerhatikan kereta Perodua Aruz Khyr meninggalkan rumah mereka.

 

 

 

“Along minta maaf.” Mata Khyr seakan merayu. Namun Kajlah hanya membatu. Sengaja dia berhati beku.

“Kajlah, dengar tak Along cakap ni. Along minta maaf.”

Lelaki itu berusaha lagi meraih perhatian wajah yang masam mencuka di depannya. Tiada senyuman manis menyambut kedatangan Khyr tadi. Itupun setelah salam dijerit beberapa kali, barulah Kajlah membuka pagar.

“Apa masalah Along dengan Farhan? Kenapa soal cili kering nak dijadikan isu?”

Akhirnya setelah beberapa detik Kajlah berdiam diri, kini dia melontarkan pertanyaan. Persoalan yang bikin hatinya hangat sehinggakan dia berlalu meninggalkan Khyr. Sekali pun dia tidak menoleh ke belakang tadi.

“Mana ada..” Ujar Khyr pendek.

“Mana ada apa? Cara Along macam Farhan tu musuh tau! Along kalau tak suka dia duduk dengan along lagi, along cakaplah dengan dia. Suruh dia pindah, kan senang. Tak payah buat perangai tak semenggah macam tu. Kajlah meluat apatah lagi Farhan.” Panjang lebar bebelan Kajlah melepaskan geram di hati.

Khyr berdecit, “Along tak ada masalah pun dengan dia. Sekarang ni masalah along, adik along sendiri.”

Tangan gadis itu dicapai, Kajlah hanya membiarkan. Dia mahu lihat sejauh mana Khyr akan berterus-terang. Bukannya dia tidak tahu, Khyr cuba menyekat Farhan mendekati dirinya.

“Apa masalah yang Kajlah dah buat dengan along?”

Pertanyaan Kajlah itu menjentik hati Khyr. Kajlah tak pernah melakukan kesalahan. Bahkan adiknya itu seorang yang pandai menjaga kehormatan diri serta nama baik keluarga mereka.

“Tak.. Kajlah tak buat apa-apa. Yang salah along. Okey, along mengaku. Along cemburu bila nampak Kajlah berlari panggil Han tadi. Along rasa macam korang dah bercinta Kat belakang along..”

“Bila masa pulak?” Tanpa sempat Khyr menghabiskan ayatnya, Kajlah sudah menempelak.

Hish, memandai ajer dia ni! Dalam hati mengomelkan abangnya.

“Kan along kata, rasa. Maksudnya perasaan along jer. Along tau, along tak boleh nak halang perasaan korang…”

“Tak payah merepeklah, long. Layan along ni, sampai esok pun tak habis. Pergi balik. Kajlah nak cari makanan dekat dapur tu. Perut dah pedih ni!” Tangan sendiri direntap dari pegangan si abang. Namun Khyr kembali menarik tangannya.

“Jom, along belanja makan. Kesian adik along..”

“Malas. Kajlah penat. Pergi balik.”

Khyr tetap pegun di situ. Perasaan serba salah kian menebal. Wajah Kajlah memang nampak keletihan. Kalaulah dia tidak berperangai budak-budak tadi, pasti adiknya sudah kenyang ketika ini.

“Along nak tumpang solat…” Khyr terus menonong ke depan. Tidak dihiraukan mata Kajlah yang tajam menikam dirinya.

Sudahnya gadis itu mendengus kasar seraya berjalan memasuki rumah. Dia pun mengejar waktu ketika ini. Maghrib sedang merangkak pergi.

Selesai mengerjakan solat, Khyr tidak terus pulang. Sebaliknya dia menghidupkan televisyen pula. Dia harus berlama di sini demi memujuk Kajlah lagi.

“Tak payah masak, Kajlah. Along dah pesan bihun tom yam. Kejap lagi sampai la tu.” Cepat-cepat Khyr bersuara apabila melihat Kajlah keluar dari biliknya. Namun langkah gadis itu tetap menuju ke dapur.

Haihh, marah betul si Kajlah ni! Aku cakap dia buat derk aje. Nampaknya terpaksalah aku guna jalan terakhir. Harap-harap dia lembut hati lepas ni. Bantu aku Ya Allah! Di hujung monolog, Khyr mengajukan doa pada Yang Esa.

Tak lama kemudian, telefon bimbit Khyr berbunyi. Penghantar makan Food Panda sudah berada di luar pagar. Bergegas Khyr keluar, malah panjang juga langkah menuju ke dapur.

Kajlah sedang membancuh air saat Khyr masuk ke ruangan tersebut. Sedikit sebanyak, lelaki itu menarik nafas lega. Iyalah, adik tidak masak Maggi.

“Tom yam dah sampai. Jom, kita makan.” Sepertimana Kajlah tidak kekok di rumah sewa Khyr, begitu juga dengan lelaki itu. Di mana adiknya menyimpan sudu garpu pun dia tahu.

Kajlah hanya mengerling segala tindak tanduk abangnya dengan ekor mata. Kalau ikutkan hati yang merajuk, dia mahu isi perut dengan mi segera saja. Tetapi aroma daun limau purut di dalam menu berasal dari Thailand itu benar-benar membuatkan Kajlah mengalah.

Lantas dia melabuhkan duduk dengan mulut masih terkunci.

“Nah, tom yam sea food.” Bekas makan pakai buang yang masih berasap disorongkan di hadapan si adik.

Kemudian Khyr duduk sekali berhadapan dengan gadis itu. Bahkan dia juga menikmati menu yang sama.

“Bukan petang tadi sibuk suruh masak sambal sardin?” soalan Kajlah berbaur perlian.

“Itu tadi. Sekarang along nak makan tom yam dengan adik along.” Balas Khyr dengan kepala yang masih merunduk. Suaranya perlahan saja.

Kajlah tidak bertanya lanjut. Tumpuannya kini pada mangkuk tom yam. Perang dingin masih berlangsung.

“Hurm, kalau Kajlah nak tolong Aisyah.. along okey jer. Selama ni pun, baju dia tak ada yang menjolok mata.”

Suapan Kajlah terhenti seketika. Kepala diangkat, wajah si abang dipandang sejenak. Lelaki itu turut memandangnya.

“Dengar tak?” Soal Khyr.

“Hurm,” balas Kajlah pendek.

“Hurm aje?” Mata lelaki itu membulat. Tidak berpuas hati sungguh dia mendengar suara tindak balas si adik.

“Dah tu? Nak melompat sampai ke bintang? Ingat pujuk dengan cara ni Kajlah akan lupakan kisah petang tadi? Bagus jugak Kak Aisyah tu tak pilih along. Perangai entah apa-apa!” Hunusan kata-kata Kajlah terus mematikan akal Khyr.

Lidah terkulum tidak mampu membalas dengan serangan Kajlah. Akhirnya Khyr terbungkam merenung kekhilafan sendiri. Memang dia silap, dia ikut rasa cemburu sendiri.

Walhal, Farhan tak ada buat salah pun!

Namun tanpa Khyr sedar, Kajlah sedang sembunyi senyum. Tak sia-sia aku berlakon dengan muka kejung ni. Sampai naik lenguh otot muka aku.

Dan hati kecil gadis itu tertawa nakal…


 

Wednesday, December 23, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 3

 

Kajlah tidak kekok mahu memasak di rumah Khyr. Habis diselongkar peti ais abangnya. Walaupun belum berkahwin, perkakas di ruang dapur lelaki itu lengkap segala-galanya.

Peti ais pun penuh dengan lauk dan stok makanan yang lain. Tidaklah air mineral semata yang berderet di dalam tempat dingin itu.

“Kentang ada, tomato ada, halia ada, ulam pun ada. Hurm, Along baru berbelanja la ni.” Sambil mengeluarkan keperluan untuk memasak, Kajlah bercakap seorang diri.

“Ala.. dia ni degillah! Dah orang pesan jangan pakai cili boh, dia beli lagi. Tak sedap tau tak?”

Tanpa gadis itu sedari bebelannya telah menarik perhatian orang lain. Kajlah tidak tahu dirinya sedang diintai disebalik tembok. Telatah si dia membuatkan langkah Farhan tadi terhenti.

Kononnya mahu ke dapur untuk meneguk air bagi menghilangkan dahaga. Namun terbantut apabila terdengar suara yang amat dikenalinya. Bibir tidak semena tersenyum. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan Kajlah.

Lantaran itu ringan saja mulut menyapa gadis tersebut.

“Assalammualaikum, bebel apa tu dear?”

Semerta Kajlah berpusing ke belakang, “Waalaikumusalam. Awak baru balik eh?” Sebaris senyuman cantik terbentuk di bibir.

“Yup.” Sepatah Farhan menjawab sambil kaki diatur kemas mendekati gadis itu. Kajlah tetap berdiri di situ tanpa gentar. Semakin lama semakin tubuh Farhan merapat.

Langkahnya terpasung betul-betul di sebelah gadis itu. Lantas tangan kanan menjalar di tepi tubuh Kajlah. Seperti yang Kajlah duga, Farhan mahu mengambil cawan di rak pinggan di sebelahnya. Namun bau minya wangi lelaki itu berjaya membuatkan jantung Kajlah sedikit lari temponya.

Bau maskulin jejaka tersebut sangat enak hingga menggetarkan jiwa.

“Along suruh memasak ke?” Farhan mengerling meja yang sedikit berselerak dengan bahan-bahan masakan.

“Haah. Along minta masakkan sambal sardin, tapi Kajlah tak suka pakai cili boh ni. Perut Kajlah alah dengan cuka.”

Lelaki itu terkesima sejenak mendengar bicara adik temannya. Dahi Farhan juga sedikit berkerut. Kalau tak boleh pakai cili boh ni, dia guna cili apa pulak? Gumam pemuda itu.

“Err, kita orang memang guna cili boh tu aje selama ni.” Mulut Farhan terjuih menunjukkan paket cili sederhana besar.

“Tahu. Kajlah dah pesan banyak kali dengan along. Jangan beli cili tu. Bukannya sedap pun kalau masak lauk.” Rungutan gadis itu mengundang rasa serba salah di hati Farhan.

“Habis tu Kajlah nak guna apa? Cakap dengan abang, abang pergi beli dekat kedai Aceh depan sana.”

“Tak apa ke?” Soal Kajlah.

Farhan menggelengkan kepala.

“Tak. Cakaplah. Nak beli apa?”

“Urm, cili kering. Awak beli yang kerinting tau. Kurang pedas. Kejap, Kajlah ambil duit.”

“Eh, tak payah! Ni kan rumah kami. Kenapa pulak Kajlah nak keluar duit? Tunggu kejap, abang pergi beli.” Segera Farhan menolak niat Kajlah. Lalu pemuda itu meninggalkan dapur tersebut dengan sedikit terkocoh-kocoh.

Namun Kajlah terlupa sesuatu. Cepat-cepat dia berlari anak, cuba mengejar Farhan sebelum lelaki itu keluar dari rumah.

“Awak!” Panggil gadis tersebut.

Si dia menoleh.

“Carefully drive. Tak payah kelam-kabut. Saya goreng telur dulu.” Bimbang pula hati Kajlah apabila melihat Farhan pergi dengan tergesa-gesa. Walaupun kedai runcit itu masih di dalam kawasan perumahan ini, ia tetap mendatangkan perasaan kurang enak di hati Kajlah.

Serta-merta Farhan tersenyum mendengar pesanan si buah hati anganannya. Mungkin dia masih ada harapan untuk mencuba nasib. Sementelah Kajlah muncul di muka pintu, sempat membawa dirinya berangan ke masa hadapan.

Bagai seorang isteri menitipkan pesanan buat sang suami. Indah! Itu yang sempat singgah di fikiran lelaki itu.

“Insya-Allah.” Sempat Farhan mengenyetkan mata kirinya terhadap Kajlah. Terus gadis itu tergelak kecil. Terhibur.

Seketika berlalu, kini mereka bertiga sedang duduk di meja makan. Kajlah menyendukkan nasi ke pinggan Khyr terlebih dahulu. Kemudian barulah pinggan Farhan dan berakhir di pinggannya.

Khyr terus membaca doa makan apabila kedua manusia di hadapannya sudah menanti. Mereka memberi laluan pada Khyr mencedok lauk berwarna merah itu. Apabila tiba giliran Farhan, tidak semena lelaki itu bersuara.

“Abang memang suka sambal sardin. Bulan depan abang beli sedozen. Kajlah datang sini jumpa Along, boleh masak lagi.”

“Ha... Eloklah tu. Biar kau dapat gout. Boleh aku reject kau jadi adik ipar aku.”

Farhan terbelangah apabila Khyr pantas mencantas cakapnya.

Kurang ajar betul, si Khyr ni! Suka doakan aku yang tak elok. Gumam Farhan dengan mata yang tajam mengerling temannya.

Namun Khyr seperti biasa, hanya menayang wajah serius dan tenangnya itu. Dalam hati Kajlah sudah mendongkol geram dengan mulut celupar si abang. Mujur saja dia perlu bersabar demi sebuah jawapan yang dinantikan dari lelaki itu.

Jika tidak, pasti bibir mungil Kajlah sudah membalas perlian Khyr. Memang betul makan makanan dalam tin tak bagus untuk kesihatan, tapi tak perlulah sampai nak reject Farhan. Esok-esok bila dah berkahwin, tahulah si Kajlah nak memasak lauk yang sedap-sedap untuk suaminya. Hishh, Khyr ni sengaja mahu mengugat perasaan Farhan!

“Along, cili yang Han beli tadi Kajlah dah kisar. Dalam bekas yang tutup biru tu. Dah ada bawang semua siap. Guna yang tu kalau nak masak.” Beritahu Kajlah.

“Mana datang cili kering? Along tak pernah beli…” Khyr mengangkat kepala. Wajah si adik dipandang meminta jawapan.

“Kajlah suruh Han beli. Kebetulan dia baru balik tadi.” Balas Kajlah tanpa riak bersalah. Namun Khyr agak tidak senang mendengarkannya. Semerta mata Khyr terhala ke arah Farhan pula.

Bagai tahu Khyr sedang memandang dirinya, Farhan mengjungkitkan kening. Seraya membalas pandangan mata lelaki itu.

“Tak boleh ke masak aje apa yang Along ada? Kenapa nak suruh Han pergi kedai?” Soal Khyr menghantar maksud tersirat pada Farhan. Namun Farhan sedar, pertanyaan itu bukan untuk Kajlah tetapi ditujukan buat dirinya.

“Takkan kau tak tau perut Kajlah sensitif dengan cuka? Cuba jangan pentingkan diri sendiri, Khyr. Perut kau mungkin okey dengan cili boh tu, tapi Kajlah tak. Boleh jadi dia hanya memasak untuk kau saja? Dia tak payah makan sebab cili boh kau beli tu.. gitu ke Khyr?” Lelaki terdiam apabila Farhan membahas membela Kajlah.

Air muka Kajlah sedikit berkocak. Jujurnya dia tidak suka dengan cara Khyr itu. Ya, dia sedikit terasa hati. Perlahan-lahan nafas dihela. Nasi di dalam pinggan yang belum diusik hanya dipandang.

Namun tidak lama. Kajlah tiba-tiba bangun dari dudukan. Seleranya sudah tiada. Perut yang lapar tidak dihiraukan lagi.

“Han, nanti nak tambah nasi, ambil yang Kajlah punya ni. Kajlah balik dulu. Assalammualaikum.”

“Eh, kenapa nak balik pulak? Makanlah, dear.”Farhan terkejut. Ikutkan hati mahu saja dia menarik tangan gadis itu agar duduk kembali. Tetapi apakan daya, dia tidak bisa melakukannya.

Khyr yang tidak mengjangkakan tindakan Kajlah itu turut menghalang si adik pergi.

“Duduk Kajlah. Makan nasi Kajlah tu.”

“Tak apalah. Kajlah pergi dulu.”

Farhan terus mendengus kasar apabila Kajlah tetap berlalu tanpa menoleh.

“Apa masalah kau yang sebenarnya Khyr?” Sejurus melontarkan pertanyaan, Farhan juga bangkit. Dia pantas mengejar Kajlah. Tidak dihiraukan Khyr yang sudah termangu sendirian.

Ketika Farhan sampai di muka pintu, Kajlah sudah membuka pintu pagar.

“Kajlah!” Pekik lelaki itu.

Langkah Kajlah terhenti seketika. Farhan berkaki ayam mendapatkan dirinya.

“Tak elok balik tak jamah nasi tu.” Tegur Farhan lembut. Dia sedaya upaya mahu membawa gadis tersebut kembali ke meja makan.

Dari riak wajah Kajlah, dia sudah tidak sudi lagi. Ada sesalan yang menghimpit dada. Dia sudah tersilap dari awal. Sepatutnya dia tak perlu ke mari meminta izin dari Khyr.

Langsung telefon saja ayah mereka. Pasti dia tak perlu hadap sikap Khyr yang mengjengkelkan itu.

“Tak apa, Han. Kajlah nak cepat ni. Kejap lagi azan Maghrib. Kajlah pergi dulu.”

Tak sempat Farhan mahu menahan lagi, Kajlah terus mengatur langkah. Sekali pun dia tidak menoleh ke belakang. Gadis itu benar-benar berjauh hati!

Dan sekali lagi Farhan menghamburkan dengusan kasar. Rahang kuat dikacip menahan geram.

Khyr.. kadang-kadang kau ni tak berhati perut! Memang patutlah hidup kau kesepian tanpa perempuan di sisi. Tempelak Farhan dalam hati.


Monday, December 14, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 2

 

“Kak, bila nak keluar baju baru? Saya tak tahan tengok teaser video terbaru Aisy Lee.” 

Aisyah pandang Kajlah dari atas ke bawah. Si gadis manis yang selalu menempah baju dengannya ditelek tidak berkelip. Ada sesuatu yang sedang mencucuk hati Aisyah. 

Tidak boleh tidak, dia harus melamar  Kajlah. Gadis itu sesuai menggayakan busana hasil jahitannya. Selama dia mengeluarkan pakaian muslimah siap jahit, Kajlah orang pertama yang akan membeli. 

Tubuh gadis itu memang ukuran yang tepat. Tak perlu diubah suai saiznya. Saiz M sedang elok saja menutupi tubuh Kajlah.

“Kajlah, boleh jadi model untuk keluaran terbaru baju akak?”

“Hah?”

Mulut Kajlah terus melopong mendengar pertanyaan Aisyah. Semakin terkejut apabila tangannya diheret oleh Aisyah. Si tukang jahit itu membawa Kajlah ke sebuah sudut di studio tersebut. Langkah kaki mereka terhenti, Aisyah terus menarik tirai. Di hadapan mata Kajlah kini terdapat sebuah rak yang penuh dengan gantungan baju labuh. 

Tanpa bicara, Aisyah menarik sehelai jubah berwarna terqoise yang bercorak taburan bunga putih kecil. Mata Kajlah sudah terbeliak. Tanpa disuruh, tangannya hinggap di plastik baju tersebut. 

“Cantiknya! Nak beli kak!” Kajlah sangat teruja melihat warna dan corak terbaru baju Aisy Lee. Gadis itu tidak berfikir panjang, terus saja mahu membeli seperti lazimnya. 

Tangannya menyelak pula deretan gantungan baju yang lain. Kali ini warna merah hati bercorak bunga kuning pula menggugat hati Kajlah. 

“Huwaaa.. ni lagi menyerlah kecantikannya! Ya Allah kak.. ada berapa warna ni.” Tangan Kajlah semakin tidak duduk diam. Ianya terhenti apabila sudah bertemu dengan warna terakhir. 

Biru muda yang diserikan dengan bunga kecil merah jambu. 

“Aduhai, semua cantik! Nak minta Along duit la. Kajlah nak beli semua!” 

Aisyah hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah Kajlah yang sedang kecelaruan pilihan. Fitrah seorang perempuan. Tidak boleh nampak benda cantik. Pasti akan cepat rambang mata. 

“Akak belum buka jualan lagi. Kajlah jadi model akak ya? Lepas photoshoot baru boleh jual.” 

Kajlah pandang Aisyah. Wajahnya sedikit hairan. Tidak semena dia melontar pertanyaan. 

“Akak mengandung ke?”

Selama ini, Aisyah yang memperagakan semua edisi Aisy Lee. Mengapa pula kali ini dia mahukan orang lain yang menggayakan busana hasil jahitannya?

“Mengandung? Mana ada!” Pantas saja Aisyah menangkis soalan Kajlah. 

Hish, budak ni.. ke situ pulak dia! 

“Oh, bukan eh?” Kajlah menyoal lagi. Kali ini bibirnya tersengih nakal. 

“Tak. Belum rezeki. Lagipun akak kan baru aje kahwin tiga bulan. Masih mood honeymoon, dik.” Ujar Aisyah. 

“Dah tu kenapa nak cari model?”

“Hurm, akak tak larat sebenarnya. Lagipun suami akak suruh rehat. Dia cakap cukup buat kerja jahit menjahit. Itupun dia dah mula suarakan pendapat suruh upah orang jahit ajer.” Aisyah mula buka mulut menceritakan hal yang sebenarnya.

Dari dulu Vincent sudah memberi cadangan tersebut. Aisyah yang menolak dengan alasan dia baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan pakaian. Dia tak mahu mengeluarkan modal yang banyak sedangkan dia belum tahu keadaan pasaran. 

Lantaran itu Hilman mencadangkan mereka mengeluarkan rekaan edisi terhad saja. Begitu juga dengan pilihan warna. Bahkan Aisyah sendiri yang menjadi model. Semua itu kerana dia mahu menjaga kualiti serta mengawal perbelanjaan. 

Tapi alang-alang sang suami mahu mengeluarkan upah model, lebih baik dia menerima dengan senang hati. Selama hari ini pun Aisyah bukannya berminat untuk beraksi di hadapan kemera Hilman. Dia terpaksa saja!

“Alahai, sweet nya suami akak Tetiba rasa nak kahwin pulak.”

“Ceh!” 

Terus Kajlah tertawa. Namun Aisyah hanya tersenyum seraya matanya masih memandang Kajlah. 

Budak ni memang sesuai jadi model Aisy Lee. Lagipun dia memang jenis pakai baju patuh syariah. Belum pernah lagi dia datang sini dengan seluar jean. Desis Aisyah. 

“Boleh Kajlah?”

“Boleh apa kak?” soal gadis itu seakan terlupa tentang permintaan Aisyah tadi. Matanya beradu dengan anak mata Aisyah. Seakan mencari pengertian dalam samar. 

“Jadi model Aisy Lee.” Ulang Aisyah lagi. 

“Hurm, bagi Kajlah fikir dulu boleh tak? Nak tanya along jugak. Takut dia bising. Along tu boleh tahan pedas mulut dia.” Beritahu Kajlah. 

Kepala Aisyah jatuh beberapa kali. Dia faham, seharusnya Kajlah harus meminta izin dengan keluarganya. Bimbang nanti orang tua gadis itu terkejut pula melihat gambar anak perempuan mereka di media sosial.

Tangan Kajlah dicapai oleh Aisyah, “Kalau boleh jangan lama sangat ya Kajlah. Sepatutnya photoshoot hujung minggu ni.” Harapan yang besar lagi tinggi itu cuba disampaikan sebaik mungkin pada gadis itu. 

“Insya-Allah kak. Saya tanya along hari ni jugak.”

“Harap-harap Khyr tak kisah.” Doa Aisyah. 

“Aamiin!”




Pulang saja dari studio menjahit Aisyah, Kajlah terus memandu ke rumah Khyr. Elok kereta diparkir di tepi jalan, kereta Khyr pun sampai. Sempat lelaki itu membunyikan hon tanda menyapa si adik. 

Tergesa-gesa Kajlah keluar dari Nissan Almeranya. Baru saja tubuh Khyr tegak berdiri, Kajlah sudah menerpa. 

“Along!” lengan lelaki itu disauk. 

“Waalaikumusalam..” pegangan Kajlah terus terlepas apabila Khyr memerli. 

Namun gadis itu hanya tertawa kecil. Langsung tidak terusik dengan perlian abangnya. Dengan wajah yang bersahaja, Kajlah memberi salam. 

“Hurm..” balas Khyr dengan mata yang menjeling. Salam sudah dijawab di dalam hati. 

“Apa mimpi datang ni?” wajah si adik dipandang seketika sebelum kakinya terus melangkah ke depan. 

“Ada benda nak minta pendapat Along.” 

Khyr menoleh, “Bukan sebab nak jumpa Farhan?” soal sang abang. 

Si adik menggeleng pantas, “Hish, taklah! Kajlah memang nak minta pendapat Along ni. Urgent! Cepat buka pintu, kita cakap dekat dalam.” Gesa Kajlah.

Khyr yang tertanya-tanya hanya menurut. Dia jadi tidak sabar pula mahu tahu apa yang Kajlah ingin cakapkan. Lalu hati lelakinya terkulum pertanyaan. 

Dapat offer kerja lain ke? 

Apabila berlabuh saja punggung di sofa, Khyr terus menyoal Kajlah. 

“Apa yang penting sangat sampai datang sini?” Soal Khyr. Lelaki itu tidak suka Kajlah datang ke rumahnya. Sudah banyak kali dia berpesan. 

Ini rumah bujang. Walaupun Kajlah adik dia, tapi Farhan bukan ada pertalian dengan mereka. Khyr bimbang kalau-kalau kedatangan Kajlah tidak tepat pada waktunya. 

Bagaimana jikalau dia tiada di rumah tetapi hanya ada Farhan saja? Adik perempuannya boleh tahan brutal. Kalau tidak, masakan Kajlah bisa memanjat pagar dengan jubahnya!

Bukankah tidak elok dipandang jiran? Khyr bimbang mereka ditangkap berdua-duaan saja. Pasti ia akan memalukan kedua-dua buah keluarga mereka. 

“Along.. Kajlah nak jadi model boleh tak?” tiada bahasa bunga-bunga sebagai umpan si abang, Kajlah terus berterus-terang. Wajah keletihan Khyr ditatap dalam-dalam. 

Dahi lelaki itu berkerut. 

“Dah buang tabiat?” Sergah Khyr garang. Si adik direnung bagai mahu menelan. 

Orang balik kerja penat-penat, dia nak buat kerja tak masuk dek akal pulak! Haih, budak ni.. Dalam hati Khyr mulai membebel.

“Kak Aisyah minta tolong.” Melihatkan tindak balas Khyr yang seakan mahu menentang, Kajlah terus menyebut nama Aisyah. 

Gadis itu berharap abangnya akan berlembut dan memberi keizinan. Mustahil Khyr tidak mengenali Aisyah. Lelaki itu juga tahu bagaimana rupa semua design baju keluaran Aisy Lee. 

“Aisyah?”Pantas Kajlah mengangguk laju apabila Khyr menyebut kembali nama itu.

“Haah. Tadi Kajlah pergi studio dia, hantar baju untuk majlis anak mak ngah tu. Lepas tu dia tanya boleh tak jadi model baju terbaru Aisy Lee.” Perhatian Khyr kini sepenuhnya pada penceritaan si adik.  Namun ada sedikit tanda tanya di dalam hati lelaki itu.

“Kenapa dia cari model?” Soal Khyr dengan dahi yang berkerut. Dia masih ingat pertemuan antara dia dan Aisyah di Shanghai dulu.

Sehingga di negara tembok besar, Aisyah dan Hilman melakukan sesi pengambaran pakaian muslimah mereka. Mengapa baru sekarang Aisyah mahu mencari model pula?

“Along, orang bisnes ni takkan sama pemikirannya dengan kita. Bila dah ada duit untuk gajikan orang, untuk apa kita perlu berpenat? Lebih baik kita buat kerja yang sepatutnya sebagai founder.” 

Kepetahan Kajlah memberi buah fikirannya telah mengunci mulut Khyr. Sejenak dia berfikir. Ada betul jugak cakap Kajlah. Kalau semua benda nak buat sendiri, pengsanlah! Desis lelaki itu sambil kepalanya terangguk-angguk sendirian.

Kajlah yang melihat reaksi si abang mulai berasa hairan. Namun dia mencuba nasib lagi. Kali ini dalam nada bergurau pula. Mana tahu menjadi. 

“Tu terangguk-angguk macam burung belatuk tu, Kajlah boleh jadi model Kak Aisyah ke?” 

Kepala Khyr terus statik. Mata memandang si adik tidak berkelip. Namun pandangannya tidak setajam tadi. 

“Along tak cakap apa pun lagi. Nanti Along fikir sambil mandi.” Ujar Khyr seraya mengangkat punggungnya.

“Along..” Kajlah mulai merengek. Dia mahu jawapan lelaki itu hari ini juga. Hujung minggu yang Aisyah maksudkan tadi sudah tidak berapa hari saja lagi. 

“Hish, kan Along cakap tunggu! Tak menyabar betul! Tolong masakkan Along sardin sementara Along mandi. Lapar ni tahu tak?” beritahu Khyr secara tidak langsung.

Gadis itu terus terdiam. Tak jadi mahu merayu. Bimbang Khyr bertempik mengata dia tidak faham bahasa. 

Lelaki jika penat ditambah pula dengan perut yang sedang berkeroncong, boleh jadi perang dunia kalau tak kena gaya. Lantaran itu orang tua-tua berpesan, apabila suami pulang hidangkan air dan makan dulu. Bukan terus membuat permintaan itu dan ini. 

“Telur ada tak?” Soal Kajlah.

Sambal sardin harus dilawankan dengan telur dadar. Barulah makan tidak menoleh kiri dan kanan! Sempat juga akal gadis itu bertingkah dalam diam.

“Ada dalam peti ais. Along nak bawang lebih!” Pesan Khyr sebelum meninggalkan adiknya yang mulai menanggalkan sarung kaki. 

Kajlah tidak selesa mahu memasak dengan memakai stoking. Stoking hitam nan nipis itu diletakkan di dalam beg. Tanpa membuang masa lagi, Kajlah terus mengatur langkah ke dapur orang bujang. 

Dia harus mengenyangkan perut si abang. Dengan harapan lelaki itu akan memberi jawapan yang akan menggembirakan hatinya dan hati Aisyah.


Sunday, December 13, 2020

Teaser video My Lovely Nani

 Assalamualaikum, selamat petang!

Selalunya saya suka sediakan teaser video untuk karya-karya saya dan muat naik di Facebook.  Tapi untuk My Lovely Nani, saya memilih memuat naik di YouTube. 

Anda boleh menonton teaser tersebut Di sini ya.

Saya tak sabar menanti si merah jambu ni siap. Doakan ya minggu kilang beri khabar gembira pada saya dan penulis Nuriffa. 

Berharap juga saya dapat selesaikan semua pengeposan buku kami  sebelum Disember 2020 nanti. 

Akhir kata, terima kasih kerana bersabar.❤️

Thursday, December 10, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 1

        “Kenapa tu kak? Muncung aje..” Hilman berbisik perlahan tatkala si abang ipar menonong mendahuluinya.
    
        “Dia tak bagi akak photoshoot design baru ni. Dia sanggup keluar duit bayar upah model.”

        Dahi Hilman berkerut memandang Aisyah. Sekilas dia mengerling pula pada Vincent yang sedang menyarung stoking.

        “Mana sempat!” Betah Hilman.

        “Akak dah cakap. Itu yang dia monyok aje. Sebelum ni elok aje, akaklah design, akaklah jahit, akak jugak yang jadi model. Alih-alih dia tak bagi akak photoshoot keluaran terbaru Aisy Lee. Bengang betul, suka tunjuk kuasa big boss dia sekarang.” Aisyah mengomel melepaskan geram di hati. Tanpa sedar, sang suami sedang menoleh memasang telinga.

        “Hil, bagitau abang. Suami mana yang suka isteri dia jadi tatapan orang dekat media sosial tu. Cuba cakap dengan abang, kalau Hil.. Hil suka isteri Hil orang lelaki lain tengok siang malam?”

        Gulp.

        “Err, Hil...”
       
         “Seorang isteri dibolehkan berhias untuk suaminya saja. Bukan untuk orang lain.”

        Hilman garu kepala apabila Vincent menambah lagi. Aisyah sudah terkemam bibir.
    
        Memang la betul.. tapi aku bekerja kut. Aku jual baju yang aku jahit sendiri. Haiih, dia ni.. sejak kahwin makin over pulak! Hati perempuan itu mengata suami sendiri.
    
    “Abang cemburu ke?”

        Vincent terus memutarkan bebola mata apabila Hilman menyoal polos. Buat-buat tak faham ke si Hilman ni?
        
        “Terpulanglah apa korang nak fikir. Tapi abang nak ingatkan, abang bukan suami dayus yang menutup mata saja. Abang dah cakap abang boleh upah model untuk Aisy Lee. Pergi cari orang lain. Jangan hasut kakak awak yang bukan-bukan.”
    
        Usai mengingatkan dua beradik itu, Vincent terus melangkah pergi. Sekali pun lelaki itu tidak menoleh ke arah isterinya. Aisyah pula mengeluh kasar.
    
        “Marah sungguh tu kak. Selalu setiap pagi Hil terpaksa tengok aksi korang bermanja-manja depan pintu ni. Hari ni bukan kata cium, salam pun tak ada!”
    
      “Diamlah Hil! Pergi kerja. Sibuk hal kakak kenapa?” Tidak semena Aisyah meradang mendengar omelan Hilman. Hatinya geram apabila Vincent langsung tidak menoleh tadi. Bertambah sakit bilamana tiada kucupan buatnya seperti hari-hari semalam.
    
        Aik? Aku pulak yang kena marah!

        Pemuda itu termangu apabila disergah garang oleh Aisyah. Malah ditinggalkan seorang diri di depan pintu rumah. Kakaknya langsung tidak menghantar pandangan sebelum Hilman pergi.
    
        “Hurm, ginilah hidup orang bujang. Nak pergi kerja pun tak ada orang tengok kat muka pintu ni. Nasib kau la Hil.. Sapa suruh single terlalu lama!”
    
        


        "Bang, mana nak cari model untuk Aisy Lee?”
    
      “Hil tanya abang? Bukan sebelum ni Hil memang bekerja dengan model? Siapa tak kenal Hilman Lee photographer kerek tu?”
    
        “Wah.. ni sudah lebih bang. Cemburukan kakak jangan babitkan Hil pulak.” Hilman pantas menangkis kata-kata Vincent.

Kerek dia cakap aku? Haih, saja cari pasal abang ipar aku ni!
    
        Dada Hilman terasa ketat. Mata masih tunak memandang Vincent. Dia cuba menahan sabar sedaya mungkin. Maklumlah abang sepupunya itu sudah sah menjadi suami kakaknya. Rasa hormat terhadap lelaki itu semakin berganda.
    
        Jikalau tidak mengenangkan status abang ipar, sudah pasti tangannya naik di mana-mana bahagian tubuh Vincent.
    
        “Abang tak kira… abang tak izinkan isteri abang buat kerja modelling Aisy Lee lagi.” Sekali lagi Hilman mendengar larangan Vincent. Wajah lelaki itu yang sedia ketat dari rumah, masih seperti tadi.
    
        Malah tiada unsur-unsur akan mengendur!
    
        Sudahnya Hilman menghamburkan keluhan berat. Tiada daya mahu menyusun kata. Sudah terang masakan mahu bersuluh lagi? Keputusan Vincent adalah muktamad. Dia takkan benarkan pemilik Aisy Lee yang memperagakan busana-busana terbaru itu.
    
        “Hurm, tak apalah. Nanti Hil tanya kawan. Berapa offer abang?”

        Pertanyaan Hilman berjaya memancing pandangan si abang ipar. Dari kepala menunduk menyemak fail, kini terus tegak. Matanya bagai terpanah dek mata Hilman. Statik tidak bergerak.
    
        “Berapa selalu rate yang Hil tau?”
    
        Jeda.
    
        Vincent masih tidak berganjak merenung Hilman. Si adik ipar mulai mengetuk meja dengan hujung jari. Dia tidak tahu mahu menjawab.
    
        Tugas dia selama ini, merakamkan gambar saja. Hilman tidak berurusan tentang bayaran model. Kalau tanya upah untuk fotografer yang cerewet seperti dirinya, dia tahulah mahu beri harga.
    
        Mampu atau tidak saja. Masa yang dia luangkan untuk kerja pengambaran adalah sangat mahal. Lantaran itu dia tidak suka bekerja dengan model yang berlagak Diva, tapi tak reti beraksi. Setiap pose dia kena ajar.
    
        Memang kena jerkahlah gamaknya nanti!
    
        “First things, model tu mesti pandai make up sendiri. Second, dia pandai gayakan pose yang menarik. Hil tak boleh kerja dengan orang macam kayu. Nanti Hil naik angin. So, kalau dua ni dia boleh buat dengan baik, memang bukan seratus dua ratus la upah dia perjam”
    
        Kepala Vincent terangguk-angguk. Dia tahu Hilman mempunyai kriteria yang agak tinggi untuk sesiapa yang bekerja dengannya.    Vincent masih ingat, ketika mereka mahu melancarkan pakaian muslimah Aisy Lee.
    
        Mereka hanya mengambil gambar di taman kecil depan rumah. Vincent melihat kesemua ragam Hilman dan Aisyah dari atas.
    
        Kakak, senyum!
   
        Kakak, pandang sini!
    
        Kakak, jangan kaku!
    
        Kakak, badan tu jangan bongkok!
    
        Kakak!
    
        Kakak!
    
        Sudahnya Aisyah meradang dan mengutuk Hilman di hadapan Vincent. Tanpa sedar bibir Vincent tersenyum sendiri mengenang kenangan lalu. Semuanya masih utuh di fikiran. Kalau soal Aisyah Humayra, mana pernah dia terlupa hatta sedetik.
    
        “Ni dah kenapa pulak tersenyum sorang-sorang? Abang dengar ke tidak apa yang Hil cakap?” Mata Hilman tajam merenung Vincent. Sakit pulanya melihat Vincent yang bagai dalam dunia tersendiri.

        Tu tak lain tak bukan, terkenangkan kakak la tu. Tadi sombong sangat, pergi pun tak salam. Lepas tu angau sendiri pulak! Payah betul seorang Vincent Lee ni!
        
        Senyuman lelaki itu semerta mati. Bahkan dia berdehem untuk mengawal perasaan malu sendiri. Namun dia cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
        
        “Abang dengarlah. Hil fikirlah apa yang sepatutnya. Sebab Hil yang akan bekerja dengan dia orang. Abang tak kisah soal bayaran. Janji bukan isteri abang yang beraksi depan kamera Hil. So, faham-faham sendiri la ya.”
        
        Bibir Hilman terceber mengejek si Vincent, “Dasar orang kaya.. mana sayang duit!” sesaat kemudian dia tertawa.
Vincent menjungkitkan kedua-dua bahunya.
        
        “Abang sayang kakak Hil bukan sedikit. Kalau suruh pilih antara Syah dan company atuk ni, abang akan pilih isteri abang. Hil nak ambil syarikat ni, ambillah.” Ujar Vincent tanpa teragak-agak. Dari riak wajah yang serius, lelaki itu memaksudkan apa yang diperkatakan.
        
        Mata Hilman membulat.
        
        “Gila! Hil tak nak company ni sorang. Kalau boleh, Hil memang tak ingin kerja di sini.” Protes Hilman.

        Kali Vincent pula yang tertawa. Ya, dia tahu Hilman tak berminat dari dulu. Sebab itu Hilman selalu selalu mengelak. Namun dia terperangkap tatkala Vincent kemalangan di Tokyo enam bulan yang lepas.
        
        Sementelah tulang kaki dan tangan Vincent patah. Jadi Hilman memang tidak boleh beralasan untuk lepas tangan urusan syarikat Lee & Son Logistics. Lantas mengikat Hilman sehingga lelaki itu tidak bisa melarikan diri lagi.
        
        “Kita berdua memang telah ditakdirkan untuk terus membangunkan syarikat mendiang atuk ni. Jika tidak, mendiang atuk tidak meletakkan nama kita berdua di dalam wasiatnya. Kakak Hil pun, dia tak perlu menjahit sehingga jauh malam. Mendiang atuk tetap menyediakan bahagian satu-satunya cucu perempuan keluarga Lee.”
        
        Hilman terdiam. Sedikit sebanyak dia berasa segan dengan Vincent. Lelaki itu tidak pernah bolot seorang harta mendiang atuk mereka. Malah berkali-kali Vincent merayu bantuan Hilman.
        
        Vincent tak larat mahu menguruskan seorang syarikat ini dan beberapa buah cawangan di luar negara. Akhirnya Hilman terpaksa akur setelah kemalangan yang berlaku ke atas Vincent. Bukankah setiap yang terjadi itu adalah suratan yang telah Allah aturkan dengan baik sekali?