Monday, November 9, 2020

Bab 2 - My Lovely Nani

 




Seperti yang Kak Aina janjikan pagi tadi, kini mereka berada di sebuah pasaraya. Kata senior Nani itu, inilah pasaraya yang kebanyakan pekerja Malaysia membeli-belah keperluan memasak. Banyak barang!

Bersinar-sinar mata Nani melihat keadaan sekeliling. Benar, banyak dan mudah untuk dibeli. Ikan pun segar. Lebih kurang aje ikan di sini dengan ikan di tanah air. Tak ada pula ikan yang pelik di pasaraya ini. 

“Nani nak beli apa?” 

“Err, tengok-tengok aje dulu Kak Aina. Dah tahu tempat, nanti Nani boleh pergi sendiri.” 

Nani cuba beralasan. Mana ada duit lebih lagi di tangan perempuan itu? Dia sudah kirimkan duit gaji ke Malaysia!

“Lah, kan dah sampai ni. Beli aje la yang perlu untuk seminggu dua ni.” Nani hanya menggeleng perlahan. Sebal juga kulit mukanya apabila bebola mata Kak Aina membidik tepat ke mata.

Ni mesti duit dah tak ada dekat tangan ni. Tak boleh jadi ni, Nani.. bukan macam ni cara mahu membantu keluarga! Getus Kak Aina. 

Tanpa berlengah, Kak Aina mencapai barang-barang asas dengan pantas. Nani hanya mengekor tanpa bicara. Fikir dia, Kak Aina memang ke sini mahu membeli keperluan yang sudah habis. 

Tapi sebenarnya tidak!

“Nani, tak salah kita cari duit untuk keluarga di kampung. Tapi jangan jadi hamba sehingga diri sendiri tiada kegembiraan. Faham?”

Bilah kata itu sungguhpun lembut, namun tetap menusuk ke jantung Nani. Pijar kulit mukanya bagai terkena lada. 

Nani terus menerus berdiam diri. Hanya mengatur langkah hingga Kak Aina selesai membayar semua barang dapur yang perempuan itu beli.

“Ni semua untuk Nani. Kak Aina tak nak Nani makan roti hari-hari. Tak payah bayar. Kak Aina belanja Nani.”

Huluran beberapa bungkus plastik itu tidak bersambut. Nani dilanda perasaan malu yang menebal. Wajah Kak Aina tidak mampu ditatap. 

“Nani..”

“Kak Aina..” Semerta air mata Nani jatuh berderai saat perempuan itu memaut bahunya. Kak Aina pula yang terkaku melihat Nani berubah tingkah. 

Sudahnya perempuan itu menarik tangan Nani ke kafe di sebelah pasaraya tersebut. Ruang sedikit tertutup menjadi pilihan Kak Aina. Dia bersedia mahu menjadi telinga jika Nani mahu berkongsi masalahnya. 



***



Lama Kak Aina termenung setelah mendengar cerita Nani. Hati terdetik rasa marah sebenarnya, namun dia tidak menyebut. Bimbang Nani terasa hati.

Suami apa yang tega membiarkan sang isteri berkorban sejauh ini? 

Hanya kerana Nani bisa menggunakan kemahirannya sebagai jururawatkah?

Mentang-mentang misi Malaysia berharga di Arab, sanggup dia memberi izin isteri merantau di sini! Omelan panjang lebar Kak Aina itu hanya bergema di dalam hati.

“Sebab tu, Nani hantar resume pada Melorita. Tak sangka pula terpilih. Walaupun hati berat nak datang sini, tapi Nani terpaksa Kak Aina. Nani tak mahu masa depan kami buruk. Sebelum suami Nani diisyhtiharkan muflis, lebih baik Nani cari duit…”

“Habis tu suami Nani buat apa sekarang? Maksud Kak Aina kerja apa bila bisnes tu tak berkembang langsung.” 

“Hurm, jual penapis air.” Senyuman nipis meniti di bibir Nani. Sukar Kak Aina mahu menelah maksud senyuman itu. Malukah Nani?

“Tak apa. Janji dia bekerja. Janji bukan Nani menanggung biawak hidup. Kerja apa-apa pun tak kisah. Asalkan dia bukan makan hasil bini dia.”

Kata-kata nasihat Kak Aina itu sedikit terkesan di hati Nani. Suaminya memang bekerja sebelum-sebelum ini pun, tapi keadaan yang menuntut untuk dia membantu. Kalau tidak memikirkan masa hadapan, sudah pasti Nani pun tak ingin untuk berjauhan dengan suami dan keluarga sendiri.

“Insya-Allah, target Nani untuk langsaikan hutang dan bersihkan nama kami dari sebarang senarai hitam.” Ujar Nani. Dia mengharapkan Kak Aina faham situasi dirinya kini. 

Pada pandangan mata Kak Aina, Nani seorang isteri yang baik. Sanggup menempuh susah senang bersama suami. Malah wanita itu sanggup berkorban apa saja. 

Jika tidak masakan Nani berada di sini? Negara asing yang terletak di bumi anbiya' ini. 

“Nani, akak faham keadaan Nani. Ramai kawan-kawan kita di sini lebih kurang situasi Nani. Tapi, satu nasihat akak untuk Nani. Simpan sikit gaji Nani untuk diri sendiri guna akaun lain. Jangan semua bayar hutang. Macam akak, akak hanya hantar pada mak akak ikut keperluan keluarga di kampung. Duit over time selalunya akak pergi melancong.”

Bulat mata Nani memandang Kak Aina, “Kita boleh buat over time ke Kak Aina?” soal Nani. 

“Bolehlah! Tiga bulan ni Nani memang terima gaji basic. Sebab Nani kan dalam tempoh percubaan. Dah confirm Nanti, boleh dah kerja over time.” 

Kepala Nani terangguk-angguk perlahan. Mungkin dia tidak perasan tentang penerangan kerja lebih masa. Semerta akal Nani mula merangka jadual akan datang. 

Dalam hati Kak Aina dia mengharapkan Nani tidak dipergunakan oleh suami sendiri. Bukan tiada suami kawan-kawannya di sini berpaling kasih di Malaysia. 

Ada!

Semua itu Kak Aina pendam dalam hati. Dia tidak mahu prestasi Nani terganggu kerana bimbangkan perkara itu terjadi ke atas dirinya. Nani masih dalam tempoh percubaan. Dia harus bekerja dengan tekun supaya boleh terus berada di sini. 

“Oh. Bolehlah nanti Nani….”

Tiba-tiba telefon Nani berdering. Terencat terus ayat yang sedang dia cuba sampai kan pada Kak Aina. Semerta jam di pergelangan tangan disapa. 

“Maaf Kak Aina, suami Nani..”

“Eh, tak apa! Nani berbuallah. Kak Aina pergi order minuman. Nani nak air apa?”

“Apa-apa aje kak..”







No comments: