Tuesday, November 10, 2020

Bab 3 - My Lovely Nani







“Hello, assalamualaikum abang!” 

Kak Aina menoleh seketika. Sengaja dia mahu melihat wajah Nani. Perempuan itu kelihatan sungguh ceria menjawab panggilan telefon sang suami. 

Pasti suami Nani mahu berbual-bual terlebih dahulu sebelum tidur. Maklumlah Malaysia awal 5 jam berbanding mereka di Riyadh. 

Dia dan Nani baru habis kerja pukul 7 malam tadi. Manakala langit di Malaysia sudah lama bergelap.  Malah sudah ke tengah malam. 

Semoga hubungan Nani dan suami akan baik-baik aje dik. Kak Aina doakan untuk awak.. getus perempuan itu seraya meneruskan langkah.

“Sayang, apa khabar hari ni?” soal Qayyum setelah salam sang isteri dijawab. 

“Alhamdulillah. Nani okey aje dekat sini. Abang makan apa hari ni?” 

Sesekali kepala Nani menoleh mencari susuk tubuh Kak Aina. Kakak seniornya itu masih berada di hadapan rak pameran berkaca. Mungkin sedang memilih makanan. Fikir Nani.

Bukan apa, dia akan berasa segan kalau-kalau Kak Aina terdengar perbualannya dengan Qayyum. 

“Abang singgah rumah mak kejap. Mak masak kari kambing. Biasalah.. favorite abah tu.” 

Bibir Nani tersungging, “Mak dengan abah sihat?” Dada sedikit ketat mendengar bicara Qayyum.

Maafkan Nani, mak. Nani isteri yang hanya pada nama isteri. Perut suami pun emaknya yang kenyangkan. 

Maafkanlah Nani…

“Sayang, hari ni sales abang capai target!”

Semerta kupu-kupu di hati Nani mengepak kegirangan. Mata perempuan itu bercahaya. Bibir yang merah delima itu berterusan mengukir senyuman. 

“Iya? Alhamdulillah!” 

“Ya. Harap-harap esok berganda target abang.” Ujar Qayyum. Suaranya sarat dengan harapan. 

“InsyaAllah! Doa jangan putus bang. Nani harap Nani takkan lama di sini.” Sambut Nani penuh makna. Jujurnya dia tidak ingin terlalu lama di bumi asing ini. 

Usai terlunas hutang sang suami, Nani mahu pulang ke tanah air!

“Ya. Abang sedang berusaha jugak ni…” 

Kebetulan mata Nani terpandangkan langkah Kak Aina yang kian menghampiri tempat duduk mereka. Lekas saja Nani mahu menamatkan perbualan mereka.

“Abang, esok Nani telefon abang pulak ya. Abang rehatlah dulu. Tidur.. esok nak cari sales lagi.” 

“Okey, sayang.. eh, Sayang! Abang hampir terlupa pulak nak bagitau. Duit yang sayang transfer tu dah masuk siang tadi…”

“Alhamdulillah. Abang settlekan dengan bank tau. Jangan guna untuk lain pulak. Keringat Nani tu..” Ujar Nani cuba mengingatkan sang suami. Maklumlah, manusia kan jenis cepat kelabu mata apabila nampak duit banyak. 

Elok-elok nak bayar hutang, lain pula yang dibuatnya. Nani tak mahu Qayyum tersalah guna. Cukup-cukuplah hutang yang membelengu diri dan kehidupan mereka setakat ini. 

“Ya, esok abang bayar semua dekat bank..”Sambut si suami. 

“Hurm, tunjukkan nanti bukti bayaran..”

“Nani tak percayakan abang?” Persoal Qayyum sedikit terasa hati. 

“Bukan tak percaya, tapi Nani nak simpan semua bukti pembayaran. Kita berurusan dengan bank bukan sedikit amaun. Nani tak mahu ada isu dengan bank di kemudian hari. Abang boleh fahamkan maksud Nani?”

Qayyum menghela nafas kuat di sana sehinggakan telinga Nani di sini ditampar hembusan itu. 

“Maafkan abang..”

Tak sempat Qayyum mahu mengatur ayat, Nani lebih dulu mencelah. 

“Abang, esok kita sembang lagi. I need to go, assalamualaikum.”

Klik. 

Perempuan itu seboleh-bolehnya berharap Kak Aina tidak mendengar perbualan mereka suami isteri. Hatta sepatah. Meskipun Nani telah bercerita asbab dia merantau di tanah Arab ini, cukuplah sekadar itu saja. Yang lain-lain adalah rahsia dirinya. 

“Makan, Nani. Balik karang rehat aje.” 

Nani hanya menayang senyum, “Segan saya dengan Kak Aina..” luah Nani dengan nada suara yang perlahan. 

Bertimpa-timpa perasaan malu yang menerjah. Pipi Nani kembali terasa pijar. Pagi tadi seniornya ajak makan bekal bersama. Kemudian membelanjakan wang untuk keperluan dapur. Kini membelikan makanan pula. 

“Kan Kak Aina cakap, kita ada sesama kita saja dekat sini. Jangan malu dengan Kak Aina. Kalau Nani ada masalah, cakap.. jangan diam sendiri. Kalau ada yang Kak Aina boleh tolong, akak akan tolong Nani. Dah, makan. Lepas ni kita balik terus.” Pinggan yang penuh dengan makanan itu ditolakkan di hadapan Nani. Begitu juga dengan segelas air buah. 


“Banyaknya Kak Aina! Tak habis ni..” Naik buntang mata Nani melihat nasi Arab tersebut. 

“Makanlah..” Gesa Kak Aina tidak lagi mengangkat muka. Pandangan mata perempuan itu sepenuhnya pada hidangan diri sendiri. 

Melihatkan Kak Aina sudah mulai menyudu makanan, barulah Nani memulakan santapannya. 




5 pagi di Riyadh, jam 10 pagi di Malaysia. Nani baru bangkit untuk solat Subuh. Dia ada masa lebih kurang dua jam untuk bersiap-siap untuk ke tempat kerja. 

Sang suami nun jauh di Malaysia, setiap detik diingatan. Sementelah  malam semalam Nani telah berjanji mahu menghubungi lelaki itu. Lantas usai solat, Nani menelefon Qayyum. 

“Assalammualaikum, abang..” 

“Waalaikumusalam,”

“Abang, Nani mengganggu abang ke?” Soal Nani lembut. Bimbang juga kalau-kalau sang suami sedang sibuk berurusan dengan bakal pelanggan. 

“Taklah.. abang baru sampai bank ni.”

Nani terus tersenyum. Lega sedikit hatinya mendengar  balasan Qayyum. 

“Nani dah nak pergi kerja ke?”

“Belum lagi. Lambat lagipun… pukul 6.30 baru gerak.” Ujar Nani. 

Qayyum yang mendengar hanya menjatuhkan kepala. Dia sudah mulai faham dan cuba serasikan dengan keadaan mereka. 

Perbezaan waktu yang agak besar juga memberi impak dalam hubungan jarak jauh mereka suami isteri. Ketika isterinya baru-baru di sana, Nani menghubungi selepas habis kerja, dia sudah lena kepenatan. 

Subuh hari Qayyum menelefon, Nani masih belum bangkit. 

Kini setelah sebulan berjauhan, barulah paangan tersebut boleh mengatasi masalah komunikasi mereka. 

“Oh, jaga diri baik-baik tau. Ingat abang kat sini."

Pesanan Qayyum itu mengundang tawa kecil Nani. Entah pesanan yang kali ke berapa pun dia sudah tidak tahu.

“Belum pernah lupa waima sesaat, bang.. InsyaAllah, selagi Allah izinkan.” 

“InsyaAllah! Abang pun selalu ingatkan sayang. Rindu.. rasa macam nak pergi aje jumpa buah hati abang ni. Tapi apa kan daya, keadaan ekonomi abang tak baik.” 

Terpejam mata Nani mendengar luahan Qayyum. Dia faham. Situasi mereka sangat tidak selesa saat ini. Sungguhpun ada duit lebih, mereka tidak boleh guna sebarang. 

Hutang yang melilit pinggang entah bila akan terlerai. Nani tidak boleh mengagak. 

“Tak apa, bang. Kita dah bincang kan sebelum kita capai kata putus dulu. Kita terpaksa bertahan dengan keadaan ni untuk beberapa tahun saja. Nani bayar 10 ribu sebulan. Lebih kurang 4 tahun lebih semuanya akan selesai. InsyaAllah!”

Kedengaran keluhan kasar dari hujung talian. Nani terdiam seketika. Dahinya berkerut sedikit. 

Mengapa pulak tu? Getus Nani penuh tanda tanya seorang diri.

“Abang?”

“Abang rasa bersalah dengan sayang. Tu semua duit sayang.. Sayang penat-penat bekerja dekat sana.."

“Haih.. Abang, dengar sini. Kita suami isteri kan? Tugas isteri adalah selalu ada di belakang suami tak kira susah atau senang kan?” Soal Nani bertali arus.

“Ya, betul. Tapi..”

Cakap Qayyum juga tangkas dicaras, 

“Nokhoda Nani sedang terumbang-ambing mengemudi bahtera, takkan Nani hanya melihat dan ikut terumbang-ambing? Mestilah Nani perlu bantu, supaya kita berjaya melepasi gelombang besar tu.” 

Meskipun Nani berkias, tapi kiasannya mendalam. Hingga menusuk ke dalam hati Qayyum. 

“Abang tak mampu nak ucapkan terima kasih pada sayang. Berjuta kalipun abang ucapkan, ia tetap tidak mampu membuang rasa terhutang budi abang ini.” Luahan Qayyum itu bikin Nani tertawa kecil.

“So, no need to say thank you to me. Nani buat semua ni untuk kehidupan kita akan datang. Nani bukan perempuan yang akan tinggalkan suami apabila suami itu kesusahan.”

“Terima kasih, sayang..”

Sekali lagi ungkapan itu lahir dari mulut Qayyum. Kali ke seribu mungkin... 



No comments: