Wednesday, December 9, 2020

Tak Sengaja Cinta - Bab 4


“Awak tak sayang nyawa awak eh? Dekat tepi jalan pun main handphone.” Suara keras Yuri menerpa dengan tiba-tiba. 

Jaja yang sedang mencari rekod berpaling. Wajah Yuri tegang memandang dirinya. 

“Mana ada main telefon. Saya baca mesej la.”

“Sama aje. Kan dekat tepi jalan. Sibuk dengan telefon awak tu kenapa?” Yuri seakan tidak berpuas hati apabila Jaja menjawab begitu. 

Gadis itu juga bagai tidak berpuas hati. Tiba-tiba saja lelaki itu mencul dari rak sebelah dan memarahinya. Walaupun di lorong itu hanya mereka berdua saja, malah suara Yuri hanya kedengaran untuk Jaja, gadis itu tetap tidak selesa.

“Yang awak nak marah saya ni kenapa? Kalau kena langgar pun, saya. Bukannya awak!” 

Mata Yuri mencerlung tajam apabila Jaja menjelingnya. Semerta suhunya terasa hangat. 

“Orang nasihat sebab orang sayang. Kalau tidak, buat apa nak risau? Bukan dapat apa-apa pun!”

Jaja terus tergamam apabila suara keras Yuri singgah sebentar sebelum pergi. 
Maksudnya apa? Dia sayang aku? Desis Jaja termangu sendiri. 

“Jaja! Kat tangan kau tu ada MRN 304659 tak?” Jeritan kuat Abang Man menyedarkan Jaja. Pantas dia melihat kertas kecil bercetak di tangan kanan. 


“Tengah cari!” Gadis itu juga melontar suaranya dengan kuat membalas pertanyaan Abang Man.

“Tak payah cari. Rekod tu kat klinik. Doktor dia buat pekasam. Tak reti-reti pulangkan kat bawah ni. Lepas tu menyusahkan orang. Buang masa aje kau cari MRN tu.”

Mendengarkan bebelan Abang Man, Jaja terus merenyukkan kertas kecil tadi. Rekod lain yang sudah ditemui dia bawa ke depan. Bersahaja gadis itu meletakkan beberapa buah fail pesakit di sebelah Yuri. Lelaki itu sedang scan out rekod pesakit yang akan dihantar oleh rakan yang lain. 

“Sekali kan. Thank you.” Ucap Jaja.

Yuri hanya diam namun kedua-dua tanya bergerak serentak. Tangan kiri memegang rekod pesakit, tangan kanan mengimbas kod bar yang terdapat di muka hadapan fail tersebut.

 Sejurus kemudian Jaja beralih pula ke mesin cetak. Sudah panjang berjela nama pesakit yang keluar di situ. Pantas Jaja mengoyakkan bahagian yang bercetak. 

Diceraikan satu persatu, lalu dia bergegas ke rak yang telah dilabel. Kerja-kerja mencari rekod pesakit ini akan menjadi pantas apabila rekod disusun mengikut aturan yang sepatutnya. Yang menjadikan ia lambat adalah kerana rekod tidak dijumpai.

Sama ada salah letak rak, masih di klinik atau rekod sudah tidak aktif. Ketika Jaja kembali ke depan, ada tetamu di kaunter. Tegak berdiri belum ada yang menyantuninya. 

“Ya, encik. Boleh saya bantu?” Soal Jaja sambil menghulurkan rekod cariannya pada Yuri lagi. 

“Hi. Saya hari tu ada masuk wad. Kaki patah, ada masuk besi. Saya nak claim  SOCSO, sebab saya accident masa balik kerja.”   Beritahu lelaki itu. 

Tangan Jaja pantas menarik sehelai borang dari laci. Pen turut dicapai lalu diletakkan di atas kaunter tersebut. 

“Encik, tulis nama ikut dalam IC, tarikh, nama doktor, dan nombor MRN encik.” 
Dahi si pendengar berkerut apabila mendengar penerangan Jaja. Cepat saja dia mencelah. 

“Nombor MRN tu apa? Saya tak faham.” 

“Nombor yang dekat kad temu janji encik. Ada bawa kad warna oren tu?” Soal Jaja. 

“Oh, kad oren. Ada..sekejap.” Tidak berlengah, lelaki tersebut membuka beg duitnya. Kad jingga ditarik keluar.

“Ya, kad ni. Nombor ni.. tulis dekat sini.” Mata pen yang Jaja pegang menandai tempat kosong yang dikhaskan untuk nombor berikut. 

Jaja masih berdiri menanti lelaki tersebut selesai mengisi borang permohonan itu. Sementara pelanggannya menulis, Jaja menyediakan rekod pesakit yang pertama kali mendaftar di hospital mereka. 

“Cik, dah siap.” Ujar lelaki tersebut lantas menghentikan kerja yang Jaja sedang lakukan. 

“Ini nombor rujukan encik untuk encik telefon kita nanti. Selalunya proses dalam 3 minggu ke sebulan. Bergantung pada doktor. Cepat dia tulis, cepatlah siap.”

“Oh. Okey.”

“Tapi sebelum balik, encik kena bayar dulu di lobi.”

“Kena bayar ke?” Lelaki itu menyoal dengan suara yang sedikit terkejut. 

“Ya, encik. RM 120 lepas tu hantar resit tu dekat sini.” Jaja masih berlembut menerangkan pada si dia. Meskipun riak wajahnya mulai tidak berpuas hati.

“Saya nak claim SOCSO..”

“Ya, saya tahu. Ni borang pun untuk SOCSO. Memang kena bayar, encik.”

“Saya datang jauh-jauh.. pakai tongkat. Lagi mahu bayar ke?”

Yuri yang mendengar sudah panas hati. Segera dia mendekati kaunter tersebut. 

“Encik, sini hospital swasta. Bukan hospital kerajaan. Kalau tak bayar, kami tak boleh hantar pada doktor. Faham tak?” 

Lelaki tadi terdiam apabila Yuri seakan cuba melindungi Jaja dari dimaki hamun. Bukan tak pernah pesakit mengamuk di unit mereka ini. Masalahnya mereka hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh bahagian pengurusan.

Sedar dia tak mampu mengelak dari melakukan pembayaran, lelaki tersebut beredar. Namun mereka tetap mendengar mulutnya mengomel tidak berpuas hati. 

“Nak bayar 120 ringgit pun susah. Kan dia akan dapat lebih dari tu nanti.”

Jaja tidak menjawab mahupun mengulas lanjut apa yang Yuri perkatakan itu. Dia hanya mengerling jam di dinding sebelum berlalu ke loker.

Beg serta topi keledar dibawa bersama. Gadis itu sudah tamat waktu bekerja 10 minit yang lepas. Dia harus pulang sekarang. Nurin pasti sedang menunggunya di lobi. 

“Yuri, saya balik dulu. Nanti awak lampirkan resit patient tadi tu dekat borang dia ya. Terima kasih.”

“Hurm, baik-baik bawa motor tu.” Pesanan Yuri hanya disambut dengan senyuman sebelum meninggalkan lelaki itu keseorangan. 

Semua orang sudah pulang termasuk Jaja. Yuri yang bertugas atas panggilan akan tinggal di pejabat rekod itu seorang diri sehingga esok pagi.

 

No comments: