Thursday, December 10, 2020

Cinta Sehingga Akhir Waktu - Bab 1

        “Kenapa tu kak? Muncung aje..” Hilman berbisik perlahan tatkala si abang ipar menonong mendahuluinya.
    
        “Dia tak bagi akak photoshoot design baru ni. Dia sanggup keluar duit bayar upah model.”

        Dahi Hilman berkerut memandang Aisyah. Sekilas dia mengerling pula pada Vincent yang sedang menyarung stoking.

        “Mana sempat!” Betah Hilman.

        “Akak dah cakap. Itu yang dia monyok aje. Sebelum ni elok aje, akaklah design, akaklah jahit, akak jugak yang jadi model. Alih-alih dia tak bagi akak photoshoot keluaran terbaru Aisy Lee. Bengang betul, suka tunjuk kuasa big boss dia sekarang.” Aisyah mengomel melepaskan geram di hati. Tanpa sedar, sang suami sedang menoleh memasang telinga.

        “Hil, bagitau abang. Suami mana yang suka isteri dia jadi tatapan orang dekat media sosial tu. Cuba cakap dengan abang, kalau Hil.. Hil suka isteri Hil orang lelaki lain tengok siang malam?”

        Gulp.

        “Err, Hil...”
       
         “Seorang isteri dibolehkan berhias untuk suaminya saja. Bukan untuk orang lain.”

        Hilman garu kepala apabila Vincent menambah lagi. Aisyah sudah terkemam bibir.
    
        Memang la betul.. tapi aku bekerja kut. Aku jual baju yang aku jahit sendiri. Haiih, dia ni.. sejak kahwin makin over pulak! Hati perempuan itu mengata suami sendiri.
    
    “Abang cemburu ke?”

        Vincent terus memutarkan bebola mata apabila Hilman menyoal polos. Buat-buat tak faham ke si Hilman ni?
        
        “Terpulanglah apa korang nak fikir. Tapi abang nak ingatkan, abang bukan suami dayus yang menutup mata saja. Abang dah cakap abang boleh upah model untuk Aisy Lee. Pergi cari orang lain. Jangan hasut kakak awak yang bukan-bukan.”
    
        Usai mengingatkan dua beradik itu, Vincent terus melangkah pergi. Sekali pun lelaki itu tidak menoleh ke arah isterinya. Aisyah pula mengeluh kasar.
    
        “Marah sungguh tu kak. Selalu setiap pagi Hil terpaksa tengok aksi korang bermanja-manja depan pintu ni. Hari ni bukan kata cium, salam pun tak ada!”
    
      “Diamlah Hil! Pergi kerja. Sibuk hal kakak kenapa?” Tidak semena Aisyah meradang mendengar omelan Hilman. Hatinya geram apabila Vincent langsung tidak menoleh tadi. Bertambah sakit bilamana tiada kucupan buatnya seperti hari-hari semalam.
    
        Aik? Aku pulak yang kena marah!

        Pemuda itu termangu apabila disergah garang oleh Aisyah. Malah ditinggalkan seorang diri di depan pintu rumah. Kakaknya langsung tidak menghantar pandangan sebelum Hilman pergi.
    
        “Hurm, ginilah hidup orang bujang. Nak pergi kerja pun tak ada orang tengok kat muka pintu ni. Nasib kau la Hil.. Sapa suruh single terlalu lama!”
    
        


        "Bang, mana nak cari model untuk Aisy Lee?”
    
      “Hil tanya abang? Bukan sebelum ni Hil memang bekerja dengan model? Siapa tak kenal Hilman Lee photographer kerek tu?”
    
        “Wah.. ni sudah lebih bang. Cemburukan kakak jangan babitkan Hil pulak.” Hilman pantas menangkis kata-kata Vincent.

Kerek dia cakap aku? Haih, saja cari pasal abang ipar aku ni!
    
        Dada Hilman terasa ketat. Mata masih tunak memandang Vincent. Dia cuba menahan sabar sedaya mungkin. Maklumlah abang sepupunya itu sudah sah menjadi suami kakaknya. Rasa hormat terhadap lelaki itu semakin berganda.
    
        Jikalau tidak mengenangkan status abang ipar, sudah pasti tangannya naik di mana-mana bahagian tubuh Vincent.
    
        “Abang tak kira… abang tak izinkan isteri abang buat kerja modelling Aisy Lee lagi.” Sekali lagi Hilman mendengar larangan Vincent. Wajah lelaki itu yang sedia ketat dari rumah, masih seperti tadi.
    
        Malah tiada unsur-unsur akan mengendur!
    
        Sudahnya Hilman menghamburkan keluhan berat. Tiada daya mahu menyusun kata. Sudah terang masakan mahu bersuluh lagi? Keputusan Vincent adalah muktamad. Dia takkan benarkan pemilik Aisy Lee yang memperagakan busana-busana terbaru itu.
    
        “Hurm, tak apalah. Nanti Hil tanya kawan. Berapa offer abang?”

        Pertanyaan Hilman berjaya memancing pandangan si abang ipar. Dari kepala menunduk menyemak fail, kini terus tegak. Matanya bagai terpanah dek mata Hilman. Statik tidak bergerak.
    
        “Berapa selalu rate yang Hil tau?”
    
        Jeda.
    
        Vincent masih tidak berganjak merenung Hilman. Si adik ipar mulai mengetuk meja dengan hujung jari. Dia tidak tahu mahu menjawab.
    
        Tugas dia selama ini, merakamkan gambar saja. Hilman tidak berurusan tentang bayaran model. Kalau tanya upah untuk fotografer yang cerewet seperti dirinya, dia tahulah mahu beri harga.
    
        Mampu atau tidak saja. Masa yang dia luangkan untuk kerja pengambaran adalah sangat mahal. Lantaran itu dia tidak suka bekerja dengan model yang berlagak Diva, tapi tak reti beraksi. Setiap pose dia kena ajar.
    
        Memang kena jerkahlah gamaknya nanti!
    
        “First things, model tu mesti pandai make up sendiri. Second, dia pandai gayakan pose yang menarik. Hil tak boleh kerja dengan orang macam kayu. Nanti Hil naik angin. So, kalau dua ni dia boleh buat dengan baik, memang bukan seratus dua ratus la upah dia perjam”
    
        Kepala Vincent terangguk-angguk. Dia tahu Hilman mempunyai kriteria yang agak tinggi untuk sesiapa yang bekerja dengannya.    Vincent masih ingat, ketika mereka mahu melancarkan pakaian muslimah Aisy Lee.
    
        Mereka hanya mengambil gambar di taman kecil depan rumah. Vincent melihat kesemua ragam Hilman dan Aisyah dari atas.
    
        Kakak, senyum!
   
        Kakak, pandang sini!
    
        Kakak, jangan kaku!
    
        Kakak, badan tu jangan bongkok!
    
        Kakak!
    
        Kakak!
    
        Sudahnya Aisyah meradang dan mengutuk Hilman di hadapan Vincent. Tanpa sedar bibir Vincent tersenyum sendiri mengenang kenangan lalu. Semuanya masih utuh di fikiran. Kalau soal Aisyah Humayra, mana pernah dia terlupa hatta sedetik.
    
        “Ni dah kenapa pulak tersenyum sorang-sorang? Abang dengar ke tidak apa yang Hil cakap?” Mata Hilman tajam merenung Vincent. Sakit pulanya melihat Vincent yang bagai dalam dunia tersendiri.

        Tu tak lain tak bukan, terkenangkan kakak la tu. Tadi sombong sangat, pergi pun tak salam. Lepas tu angau sendiri pulak! Payah betul seorang Vincent Lee ni!
        
        Senyuman lelaki itu semerta mati. Bahkan dia berdehem untuk mengawal perasaan malu sendiri. Namun dia cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
        
        “Abang dengarlah. Hil fikirlah apa yang sepatutnya. Sebab Hil yang akan bekerja dengan dia orang. Abang tak kisah soal bayaran. Janji bukan isteri abang yang beraksi depan kamera Hil. So, faham-faham sendiri la ya.”
        
        Bibir Hilman terceber mengejek si Vincent, “Dasar orang kaya.. mana sayang duit!” sesaat kemudian dia tertawa.
Vincent menjungkitkan kedua-dua bahunya.
        
        “Abang sayang kakak Hil bukan sedikit. Kalau suruh pilih antara Syah dan company atuk ni, abang akan pilih isteri abang. Hil nak ambil syarikat ni, ambillah.” Ujar Vincent tanpa teragak-agak. Dari riak wajah yang serius, lelaki itu memaksudkan apa yang diperkatakan.
        
        Mata Hilman membulat.
        
        “Gila! Hil tak nak company ni sorang. Kalau boleh, Hil memang tak ingin kerja di sini.” Protes Hilman.

        Kali Vincent pula yang tertawa. Ya, dia tahu Hilman tak berminat dari dulu. Sebab itu Hilman selalu selalu mengelak. Namun dia terperangkap tatkala Vincent kemalangan di Tokyo enam bulan yang lepas.
        
        Sementelah tulang kaki dan tangan Vincent patah. Jadi Hilman memang tidak boleh beralasan untuk lepas tangan urusan syarikat Lee & Son Logistics. Lantas mengikat Hilman sehingga lelaki itu tidak bisa melarikan diri lagi.
        
        “Kita berdua memang telah ditakdirkan untuk terus membangunkan syarikat mendiang atuk ni. Jika tidak, mendiang atuk tidak meletakkan nama kita berdua di dalam wasiatnya. Kakak Hil pun, dia tak perlu menjahit sehingga jauh malam. Mendiang atuk tetap menyediakan bahagian satu-satunya cucu perempuan keluarga Lee.”
        
        Hilman terdiam. Sedikit sebanyak dia berasa segan dengan Vincent. Lelaki itu tidak pernah bolot seorang harta mendiang atuk mereka. Malah berkali-kali Vincent merayu bantuan Hilman.
        
        Vincent tak larat mahu menguruskan seorang syarikat ini dan beberapa buah cawangan di luar negara. Akhirnya Hilman terpaksa akur setelah kemalangan yang berlaku ke atas Vincent. Bukankah setiap yang terjadi itu adalah suratan yang telah Allah aturkan dengan baik sekali?

No comments: