Sunday, December 20, 2015

Rindu, Cinta Di Mana?



Cerpen: Rindu, Cinta Di Mana?
Kata-kata Arieq siang tadi, membawa kaki Maya melangkah mendekati Puan Reena yang sedang duduk menyulam sarung bantal. Hobi Puan Reena di kala lapang. Hasil kerjanya halus dan kemas. Sarung bantal dari kain kapas berwarna merah jambu itu disulam bunga menggunakan benang sulam berwarna merah hati dan kuning. Daunnya berwarna hijau tua. Cantik!
Terserlah sulaman itu. Seolah olah warnanya hidup.
Merah jambu warna kesukaan Maya. Maya tersenyum.. tahu sarung bantal yang sedang disulam oleh Puan Reena itu untuk dirinya. Mata mengerling mencari si ayah. Tiada. Hairan.. selalu ada saja Encik Firdaus. Dia akan selalu ada dengan Puan Reena, walau bukan duduk sebelah menyebelah, tapi tetap berdekatan. Di tangannya pasti ada buku agama yang dipegang. Bila umur makin meningkat, itu saja yang dilakukan bila di malam hari. Sementara menunggu mata terkatup.
“Ibu, ayah mana?” Punggung sudah berlabuh berdepan dengan Puan Reena. Dibelek sulaman si ibu. Hatinya memuji kecantikan hasil tangan ibu sendiri.
“Ayah pergi rumah kenduri. Rumah Pak Latif. Kenapa?” Tunak matanya memandang anak gadisnya.
Kepala digeleng ke kiri dan kanan. “Ibu..” Perlahan, ada getaran halus di dada. Debran gugup yang isedang memalu hati Maya. Tapi maya harus mengatasinya, dia harus memberitahu ibunya.
“Maya nak cakap apa?” Faham sudah, kalau anak datang menempel; mesti ada sesuatu yang ingin dibicarakan. Jari yang memegang jarum sulam terhenti. Jarum disemat ke kain berwarna merah jambu itu. Perhatian kini dialihkan sepenuhnya kepada anak gadisnya.
“Err.. ibu ingat tak Arieq? Kawan Maya.”
“Arieq yang selalu teman Maya study dulu?” Maya.. dia tak pernah berahsia dengan Puan Reena. Ibunya ibarat sahabat tempat dia meluahkan segala susah senang, segala kisah suka
dan duka ketika belajar. Sekarang sudah bekerja pun Puan Reena tempat dia meluahkan apa saja yang berlaku.
Kepala diangguk. “Ya bu. Dialah.”
“Kenapa dengan Arieq?”
“Arieq nak masuk meminang Maya.” kepala anak gadis itu menunduk. Mukanya membahang.Malu. Walaupun Puan Reena selalu mendengar isi hatinya tapi bila bercakap soal ini, terasa malu sungguh!
“Ibu dia suka Maya tak? Ibu tak mahu Maya jadi macam ibu. Maya nampak kan apa ibu
lalui?” soalan pertama yang Puan Reena usulkan. Dia sebenarnya sangat takut apa yang dialamiya akan turut dilalui oleh si anak. Maya hanya mengukir senyum.
Maya nampak selama ni. Maya lihat dan Maya mendengar. Semuanya, dari dia kecil hingga dewasa. Segalanya jelas di penglihatan seorang gadis bernama Maryam Sumayyah! Nenek tak suka ibu. Nenek selalu cakap lepas dengan ibu. Kerana terlalu benci, nenek sanggup tolak ibu yang sedang sarat mengandungkan adik. Kesian ibu... kerana tolakan nenek, adik meninggal dalam perut. Sampai sekarang, hanya Maya seorang saja anak ibu dan ayah. Bisik hati Maya. Dia tetap ingat kejadian itu walau ketika itu dia hanya berumur lapan tahun. Semuanya kerana Encik Firdaus menolak pilihan ibunya .
“Ibu bukan tak suka dia Maya, tapi ibu takut bila Maya kata dia orang kampung sebelah. Ibu takut Maya akan tempuh apa yang ibu lalui. Berkahwin, bukan untuk sehari dua sayang. Berkahwin ni..kalau boleh hingga hujung nyawa. Syukur, ayah Maya tetap pertahankan ibu. Walaupun nenek selalu meminta ayah menceraikan ibu. Bagaimana dengan Arieq? Kenali dulu keluarga Arieq sayang. Kalau mak dia suka dan terima Maya, ibu tiada halangan kalau dia mahu memperisterikan Maya.”
Nafas hembus perlahan. Lidah Puan Reena terlalu berat untuk meneruskan kata. Jauh di sudut hatinya, dia sangat takut! Bimbang sejarah hidup bersama mertua akan diulangi oleh anak gadisnya.
Dengan sukar dan nafas yang tertahan-tahan… “Tapi kalau Maya selalu tersindir bersama jelingan tajam, lebih baik undur diri. Kita dapat lihat orang akan menyukai kita atau tidak dengan hanya satu pertemuan. Faham ibu cakap apa?”
Maya hanya menekur memandang hamparan permaidani di hujung kaki. Meningatkan pengalaman si ibu, hati gadisnya menjadi sebak. Ya, dadanya diserbu dengan pelbagai perasaan. Tabahnya ibu membuatkan dia selalu kunci mulut apabila bersama nenek. Kalaulah tidak menenangkan kesabaran ibunya, dia yang selalu akan hilang sabar dengan nenek sendiri!
Apa tidaknya, nenek Maya selalu memburukkan Puan Reena depan Maya. Wanita yang nenek dia tak suka itu, isteri kepada anak lelaki neneknya. Wanita yang mengandungkan dirinya. Perempuan yang bertarung nyawa ketika melahirkan Maryam Sumayyah! Hati siapa yang tidak sakit? Siapa yang tidak marah andai orang memburukkan emak sendiri? Tapi, Maya terpaksa menyimpan segala kemarahannya! Hanya kerana Puan Reena.
Ah, nenek tu lupa agaknya... Masa nenek sakit dulu bukan menantu kesayangan nenek yang jaga! Tapi perempuan yang nenek kata betina jalang tu yang jaga nenek! Malangnya nenek tak pernah bersyukur, makanan yang ibu masak nenek buang. Geli kononnya! Allahurabbi, sabarnya hati ibu melayan kerenah nenek; Allah saja yang tahu! Maya menghadam kata-kata hati sendiri. Air matanya bertakung.
 “Inshaa-Allah bu, Maya tak lupa pesan ibu.”


Arieq memandang uminya dengan penuh kasih. Wanita pertama yang sangat dicintainya sebelum Maya. Sejak kematian abi, uminya itulah yang membanting tulang untuk membesarkan Arieq. Uminya wanita hebat! Tidak pernah sepanjang hidup mereka anak beranak, meminta bantuan daripada saudara mara. Ketika Arieq melanjutkan pelajarannya, segala-galanya umi yang sediakan. Umi bekerja siang malam untuk keselesaan Arieq.
 Entah mengapa, detak hati Arieq tidak menentu. Terasa berdebar-debar untuk memulakan bicara. Bimbang sebenarnya umi menolak pilihan hatinya. Tapi Maya itu indah segala-galanya. Maya itu bukan saja cantik luaran, tapi budi bahasanya sangat menambat hatinya. Mustahil umi takkan jatuh suka dengan Maya.
Bismillah...
“Umi, Arieq nak cakap sesuatu.”
Perlahan kepala dijatuhkan ke atas pangkuan umi. Umi yang sedang menonton televisyen itu memaku pandangan pada satu-satunya zuriat yang dia ada.
“Cakap apa?”
“Arieq sudah berkenankan anak dara orang.” Terbuntang mata umi mendengar Arieq berkata begitu. Terkejut sebenarnya, tak sangka! Sambil koyak senyum, umi bertanya.. “Anak siapa?”
“Anak pakcik Firdaus.”
Firdaus? Diakah? Tapi kalau nama Firdaus.. cuma dia saja. Tak ada orang lain.
Senyuman umi terus kaku. Bias kegembiraan tadi sudah hilang. Arieq nampak jelas di matanya.
Mengapa dengan umi? Soal hati Arieq.
Arieq terus bangkit. Tangan umi dicari, digenggam erat tangan tua itu.
“Umi? Kenapa ni?”
“Cari la orang lain Arieq.”
 “Umi.. Kenapa pulak ni? Umi pernah bercinta dengan pak cik Firdaus ke sebelum berkahwin dengan abi?”
“Isssh, ke situ pulak dia! Cinta umi hanya abi saja yang pernah tawan. Tiada orang lain sehinggalah sekarang. Hanya untuk abi Arieq.” Pipi Arieq dicubit mesra. Tersengih panjang si anak. Kalau bukan bekas kekasih, mengapa umi meminta aku mencari orang lain? Hati Arieq menyoal sendirian lagi.
“Umi dengar orang kampung cerita, isteri Firdaus tu bomohkan dia. Umi ni dengar jer la orang cakap-cakap. Kalau Arieq kahwin dengan anak dia, umi takut anak umi pun kena bomoh.”
“Astagfirullahal-Azim... Umi, mereka tu ada bukti ke bercerita begitu? Kalau tak betul, jadi fitnah umi.” Terdiam umi apabila Arieq menegur dengan lembut.
“Umi tak kenal Maya lagi, berdosa umi menuduh ibunya sebegitu. Arieq tak suka ibu pergi sama-sama duduk bawah pohon depan tu; bercerita kisah orang. Itu sudah jatuh mengumpat, umi.” Tangan umi dibelai mesra. Muka umi bertukar keruh. Mungkin baru tersedar dengan teguran Arieq.
Ya, walaupun bukan kita yang membawa mulut, bukan kita yang menjaja kisah orang; tapi kita mendengar! Kita pun terpalit sama dalam sesi umpat-mengumpat itu.
Allah.. Ampunkan aku ya Allah.
“Siapa nama dia?”
“Maryam Sumayyah.. Arieq cuma minta umi kenal dulu dengan keluarga dia. Kalau umi tak suka nanti, Arieq cuba ikut kehendak ibu.” Perlahan saja kata-kata Arieq, namun ia sangat menusuk ke hati umi. Umi tahu, Arieq marah. Umi sama macam orang lain, suka bercerita kisah orang lain!
Arieq yang baru saja mahu bangkit itu, dipaut. Terduduk kembali anak bujangnya itu. Wajah Arieq ditatap dalam-dalam. Umi tahu, Arieq terkilan dengan umi. Bisik hati umi.
“Hujung minggu nanti, bawa Maya makan tengahari kat sini. Arieq minta izin dengan keluarga dia ya? Ingat tau, umi cuma nak Maya saja yang datang. Lain kali baru jemput keluarganya.” Arieq memandang tanpa kata, mahupun senyuman. Mengapa umi tiba-tiba ubah fikiran? Desis hati Arieq. “Umi mahu menguji Maya?” Soal Arieq tanpa berselindung.
 “Arieq yang minta umi kenal dia dulu kan? Ni umi nak kenal Maya la ni. Jangan lupa tau?!” Arieq hanya mengangguk apabila tapak tangan umi mendarat di ubun-ubunnya. Itu tandanya umi sedang memujuk Arieq!
Ya rabb, andai umi mahu menguji Maya, Kau permudahkanlah segalanya. Kalau umi sekadar mahu memujuk hatiku, Engkau lembutkanlah hati umi untuk menerima Maya. Sesungguhnya Maryam Sumayyah itu sudah terlalu ‘cantik’ ciptaan-Mu.


Maya turut sama membantu di ruang dapur yang sederhana kecil itu. Tangannya lincah membuat kerja dapur. Setiap pergerakkan dan perbuatan Maya, umi kerling dengan ekor mata. Hati tuanya mula kagum dengan kelincahan Maya di dapur. Orang kata, gadis yang lincah di dapur, tidak kekok membuat kerja dapur adalah atas didikan ibunya. Pasti Maya selalu membantu ibunya. Desis umi dalam hati. “Maya ada berapa orang adik beradik?” Soal umi memulakan bicara.
 “Maya anak tunggal makcik.” Perlahan Maya menjawab. Namun tangannya masih lagi memotong sayur.
“Oh, ibu Maya memang cuma mahukan Maya saja ke?” Sengaja umi bertanya. Dia mahu lihat reaksi Maya. Kata mereka, ibu Maya tu makan perancang dulu sebab tu ada anak seorang saja. Kononnya penat beranak ramai!
“Tak la makcik. Ibu tak boleh mengandung lagi lepas ibu terjatuh masa mengandungkan adik lelaki Maya.”
“Allahuakhbar! Sampai begitu? Habis adik Maya?” Umi cuba menelan liur, namun tersekat di kerongkong. Mungkinkah...
Wajah Maya bertukar suram. Dia masih ingat bagaimana ibu boleh jatuh dari tangga! Nenek! Nenek tolak ibu di tangga. Perlahan kelopak mata dipejam. Tapi tidak lama, kenangan dulu harus dibuang jauh!
“Tak ada rezeki kami makcik. Adik Maya meninggal dalam perut ibu.” Hati umi tersentuh melihat mata Maya yang sedang digenangi air. Pantas dia menghampiri Maya, memaut bahu Maya. Tanpa sedar, bibirnya mengucup kepala Maya yang dilindungi tudung itu.
 “Maafkan umi.” Bisik Umi. Maya hanya tersenyum segaris. Meleraikan pautan, umi memandang ke dalam mata Maya. Umi mencari sesuatu di dalam mata gadis itu. Benar, Maryam Sumayyah telah menambat hatinya. Dengan hanya merenung wajah gadis itu, hanya dengan mendengar lemah lembut bicara gadis itu, hati tuanya tertawan. Tapi dia mahu sesuatu dari Maya! Nashrieq Idham satu-satunya harta dunia akhirat umi. Dia mahu Arieq berdampingan dengan orang betul. Dia percaya anak lelakinya mampu menjadi suami yang baik. Tapi mampukah Maya menjadi bidadari Arieq?
“Maya..”
“Ya , makcik.”
“Maya tahu kan Arieq satu-satunya waris makcik.” Maya mula terasa seperti ada kebimbangan dengan nada suara umi. Mata tua itu beralih arah memandang gadis manis bertudung itu. Sengaja umi mencari mata galak itu. Mereka bertentangan mata.
“Tahu, makcik.” Serentak dengan anggukkan Maya membalas kata umi.
“Kalau Maya kahwin dengan Arieq nanti, mahu ke Maya tinggal serumah dengan mertua.”
Gulp.
Debaran di hati Maya makin kuat dirasainya. Mungkinkah aku juga akan mengalami pengalaman yang sama dengan ibu? Maya bermonolog dalam hati.
“Inshaa-Allah, kalau ada jodoh kami; saya akan ikut saja ke mana Arieq bawa saya tinggal.”
“Maya tak kisah?” Umi seakan tidak berpuas hati dengan jawapan Maya.
“Syurga Arieq di bawah tapak kaki makcik. Dan kalaulah saya ditakdirkan berjodoh dengan Arieq, syurga saya adalah dengan reda dia sebagai seorang suami.” Lembut saja Maya menuturkan kata-kata itu.
Nampaknya Maya tahu bagaimana mahu mencari pintu syurga. Tapi, mengapa cakap-cakap orang itu tidak sekali pun menyentuh perihal yang elok-elok keluarga mereka? Hati umi berbisik perlahan.
Sorotan mata umi mengundang senyum di bibir Maya. Hati kecil Maya tahu, wanita pertama kekasih hatinya itu  berasa curiga dengannya. Pastilah mengenai cakap-cakap orang kampung tentang keluarganya. Semuanya bermula dengan mulut neneknya dan mak cik maya sendiri!
Tak kenal takkan jatuh cinta umi. Kenal la hati kami untuk tahu kebenarannya cerita orang. Hati Maya seakan merayu. Tapi, mustahil untuk umi mendengarnya.
Namun, Maya berharap hati umi akan dapat menerima kehadirannya dalam keluarga dua beranak itu. Gadis itu bimbang, umi akan menolak dirinya mentah-mentah kerana fitnah yang bertahun tersebar itu. Tapi dia tidak dapat menghalang andai kebimbangan hati ibunya sendiri terjadi. Ah, siapa la kita hendak menolak takdir?


“Waris kepada Maryam Sumayyah binti Firdaus?” suara doktor lelaki yang berkaca mata itu bertanya. Matanya meliar memandang muka setiap waris yang sedang menanti di luar kompleks dewan bedah itu.
“Ya, saya suami Maryam Sumayyah.” Arieq datang mendekat kepada doktor itu. Begitu juga dengan umi serta Puan Reena dan juga Encik Firdaus.
“Saya doktor Azwan, pakar sakit puan. Encik tahukan isteri encik mengandung dengan keadaan uri terlalu bawah?”
Hati Arieq berdebar-debar. Gerak hatinya seakan mengatakan keadaan isterinya tidak begitu bagus. Dia dapat rasakan itu yang doktor pakar itu mahu katakan padanya. Arieq hanya mampu mengangguk. Ya, dia tahu risiko yang Maya hadapi apabila disahkan oleh doktor tentang kandungan uri di bawah.
Malah uri Maya telah menutupi pintu rahimnya. Maya tidak diberi pilihan untuk mencuba melalui proses melahirkan secara normal. Ini kerana keadaan Maya sangat berisiko untuk pendarahan berlaku.
“Begini ya encik. Isterinya mengalami pendarahan yang sangat serius. Kami sudah cuba untuk menghentikan pendarahan tersebut. Kami cuba menyelamatkan rahim isteri encik memandangkan ini kelahiran pertama. Tapi, kalau pendarahan masih berlaku, kita tiada pilihan lain melainkan melakukan pembedahan semula untuk membuang rahim tersebut.”
“Ya Allah! Macam mana anak saya nak mengandung lagi nanti?” Puan Reena menyoal laju. Arieq sudah tidak tertanya. Dia hanya memandang doktor itu menjawab soalan ibu mertuanya.
“Puan, yang penting sekarang. Nyawa anak puan tu bergantung dengan keadaan pendarahan yang dialaminya. Sekarang ni, pembedahan sudah selesai. Kita akan pantau keadaanya di ICU.” Kata doktor Azwan itu lagi.
Sejurus itu, mereka sekeluarga terus menuju ke Unit Rawatan Rapi. Arieq tak sabar menanti Maya. Hatinya terlalu ingin menatap wajah isterinya. Tadi dia sudah menatap wajah cinta hati mereka sebelum anak syurga itu dihantar ke Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak. Bayi comel itu di tempatkan sementara di NICU gara-gara Maya diberi bius sepenuhnya. Dari penerangan jururawat yang bertugas, hanya untuk memantau kesan ubat yang diberikan kepada Maya enam jam yang lepas.
Ya, enam jam! Sangat lama bagi satu pembedahan kelahiran. Padahal tempoh yang doktor katakan hanya selama 45 minit atau 1 jam. Tapi, keadaan Maya memang sudah dijangka. Pendarahan teruk berlaku sehingga ketua pakar sakit puan dipanggil untuk membantu menghentikan pendarahan. Bayangkan Maya kehilangan darah sebanyak 8 liter!
Allahuakhbar..
Apabila doktor panggil untuk berjumpa kali pertama tadi, tangkai hati Arieq bagaikan direntap kasar! Jantungnya seakan mahu terhenti. Lututnya juga menggigil. Penantian selama enam jam itu sungguh mendebarkan! Sudahlah ketika itu hanya dia yang menanti di ruang menunggu itu. Uminya hanya datang bersama dengan Puan Reena dan Encik Firdaus apabila doktor memberitahu Maya mengalami pendarahan serius.
Syukur, Alhamdulillah. Semuanya selamat. Dan mereka berharap pendarahan itu benar-benar sudah berhenti. Sekarang hanya untuk tempoh pemantauan saja.
Sayu hati Arieq apabila melihat Maya yang diam tidak berkutik. Perlahan, bibir Arieq menyentuh dahi si isteri. Kucupan pertama untuk si dia yang bertarung nyawa demi cinta hati mereka. Tapi, mengapa di dalam mulut Maya ada tiub? Dan Maya tidak sedarkan diri!
“Doktor, apa dalam mulut isteri saya ni?” soal Arieq sopan.
“Oh, ini tiub pernafasan encik. Sementara ni, kami memang tak akan cabut. Kita akan tunggu keadaan pesakit benar-benar stabil.” Arieq senyap mendengar. Jari-jarinya menggenggam jari Maya.
Perlahan Arieq membongkokkan badan, mendekatkan kepala di tepi telinga Maya… “Terima kasih, rindu. Terima kasih untuk cinta hati kita. Sekarang abang minta lagi sekali untuk rindu kuatkan semangat. Kali ini, untuk abang dan cinta hati kita.” Perlahan sahaja bisikan kata-kata itu.
“Doktor, drain dah penuh.”
“Penuh? Takkan la kot. Patient belum sejam lagi kat sini.” Balas doktor perempuan yang sedang berada tidak jauh dari katil Maya itu. dan Arieq mendengarnya! Tadi jururawat itu membetulkan sesuatu di tepi katil Maya di sebelah sana. Drain? Botol yang tergantung kat katil tu ke? Arieq menyoal sendiri.
“La, doktor ni. Betul la. Sebab belum sejam la saya bagitau. Patient bleeding ni.” Kata-kata jururawat itu singgah lagi di telinga Arieq.
Allah, bleeding? Maya sedang mengalami pendarahan lagi? Hati Arieq tertanya-tanya sendiri. Kemudian, doktor itu datang ke katil Maya lalu meminta Arieq beredar dari katil tersebut. Tirai yang berwarna peach itu ditarik oleh jururawat. Makin tak keruan rasa hati Arieq!
“Call O&G team. Minta mereka review patient sekarang!” Arieq di sebalik tirai itu mendengar arahan doktor perempuan tadi.
Ya Allah, Maya! Hanya itu yang terlafaz di hati Arieq. Air mata lelakinya begitu cepat memenuhi kolam mata lelakinya. Bagai musim bah, air sungai yang menanti melimpah! Dia tetap berdiri di situ, menanti apa yang mereka lakukan pada isterinya, Maya.
Pandangan matanya, menangkap seorang doktor perempuan datang dari luar unit itu. Laju saja doktor itu melewati Arieq cuma berhenti di katil Maya. Arieq masih lagi menanti, tapi tiada seorang pun doktor yang memberitahu Arieq apa-apa tentang Maya. Hatinya menjadi makin tidak sedap! Dia tidak betah menanti, tapi matanya melihat mereka sedang sibuk menguruskan Maya! Dia tetap berdiri dan memasang telinga. Matanya hanya memerhati seorang demi seorang yang masuk di sebalik tirai itu.
“Suami patient ada tak kat luar?” suara doktor lelaki menyapa pendengaran Arieq.
“Ada.” Arieq tak tahu suara perempuan uang menjawab itu doktor atau jururawat. Arieq tak dapat melihat mereka di sebalik tirai itu. hanya suara yang dia dapat dengar.
“Tak apa saya jumpa dia. Ambil concent bak sini. Biar saya minta sain sekali.”


Arieq menanti lagi di ruang menunggu di luar kompleks pembedahan itu. umi juga tetap menemaninya. Begitu juga dengan keluarga mertuanya. Puan Reena dan Encik Firdaus juga tidak betah duduk.
Maya dihantar lagi ke dewan bedah untuk menjalani pembedahan semula. Tadi doktor pakar yang menerangkan keadaan Maya berkata, Maya perlu dibedah lagi. Kalau usaha mereka semasa pembedahan pertama gagal, Maya terpaksa menjalani pembedahan hysterectomy untuk membuang peranakan Maya itu.
Arieq hanya mengangguk dan menurunkan tandatangan di borang kebenaran pembedahan itu. Kalau hanya itu saja jalan yang mampu Maya tempuh untuk menghentikan pendarahan, Arieq bersetuju tanpa banyak soal! Yang penting nyawa Maya. Apalah sangat untuk disayangkan rahim itu kalau nyawa Maya di ambang bahaya?


“Rindu, cinta mana?”
“Cinta saja yang dicari. Kita yang menunggu dari tadi langsung tak ditanya.” Bibir Arieq koyak senyum.
“Rindu ada depan mata abang, kan? Buat apa tanya yang di depan mata. Mestilah abang tanya orang yang tak ada di depan mata.”
Arieq ketawa kecil apabila Maya mencemikkan bibirnya. Pantas tangannya meraih pinggang Maya. Mengikat si isteri dari terus berlalu.
“Dengan cinta pun nak cemburu. Kan anak dara rindu sendiri tu. Bukan abang tanya orang lain kan?”
“Bila pulak Maya cemburu dengan cinta?”
“Eleh, tak mengaku konon!” bibir muncung Maya dicuit dengan hujung jari. Pantas saja Maya menggigit jari Aireq. Perlahan, sekadar gigitan manja. Arieq mencubit pula pipi gebu Maya.
"Rindu, abang tanyakan... Cinta mana?"
"Ikut tok dia la. Apa lagi..."
"Pergi mana?" Jari-jari Arieq menyulam jari Maya.
"Pergi melawat baby kak Ida."
Bibir Arieq sedikit ke depan apabila dia menyebut 'ooo' yang panjang.
Kak Ida, sepupu Maya yang baru saja melahirkan anak. Tadi Puan Reena dan Encik Firdaus datang mengambil anak mereka, Marsya Irdina. Umi ikut turut serta.
Sejak bertunang dulu, umi akan dibawa ke mana saja pasangan itu pergi. Hingga majlis kahwin sanak saudara sebelah keluarga Puan Reena di Pulau Pinang umi turut serta.
Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jangan didengarkan buah mulut orang. Orang bukan rapat dengan kita, tak semua orang tahu hal kita!
Apabila umi bergaul mesra dengan Puan Reena, barulah dia tahu apa yang diperkatakan orang tentang besannya itu adalah fitnah semata-mata.
Nenek Maya baru saja sebulan meninggal dunia. Dia sememangnya sudah sakit uzur. Puan Reena yang banyak menjaganya ketika akhir hidupnya. 
"Abang, Cinta dah berumur empat tahun lebih. Kita dah boleh bagi dia adik sayang."
"Tak payah la kot. Abang ok jer ada rindu dengan cinta."
"Abang.. Maya dah boleh mengandung lain..."
"Abang tak sanggup la rindu. Dulu masa rindu bersalinkan cinta, rindu mengalami pendarahan yang teruk tau. Lama rindu terlantar kat ICU."
Memori itu masih ada lagi di ingatan Arieq. Dia hampir kehilangan Maya gara-gara kandungan Maya uri di bawah.
Mengandung lagi? Arieq tak sanggup! Dia tak sanggup untuk menempuh saat itu lagi.
"Tapi sekarang Maya mengandung!"
Lidah Arieq kelu. Matanya terpaku merenung sang isteri. 
"Ma...ma.. Macam mana boleh mengandung? Rindu terlupa makan pil perancang ke?" Arieq mula risau. Dia takut sebenarnya!
"Dari awal tahun lagi Maya memang dah tak makan pil perancang tu." Jujur sahaja Maya mengaku.
"Astagfirullahal Azim.. Rindu tahu tak rindu bahayakan diri rindu?! Kenapa tak bincang dengan abang?!"
Nada suara Arieq bertukar tegas tapi bukanlah dia menengking Maya. Dia cuma tak sangka, Maya akan berhenti makan ubat perancang itu tanpa pengetahuan dia.
"Abang, setiap anak itu kandungannya berbeza. Pembawakkannya juga berlainan. Inshaa-Allah, mungkin kali ni Maya boleh bersalin biasa."
"Tapi..."
"Syyyyhh." Jari telunjuk Maya tegak di bibir Arieq. Meminta si suami mengunci bicara.
"Maya tak ada masalah kesihatan lain. Berdosa untuk kita menyekat rezeki Allah. Sedangkan untuk tidak dibenarkan hamil itu perlu dua sokongan pakar dari mereka yang arif. Dan Maya hanya pernah mengalami komplikasi kelahiran. Bukannnya Maya tak boleh mengandung sampai bila-bila." Arieq hanya mendiamkan diri. 
Ya, dulu pembedahan kali kedua itu doktor tidak membuang rahim Maya. Kata mereka, pendarahan yang Maya mengalami itu bukan dari rahim Maya. Tapi dari ovari Maya! Ada ketumbuhan cyst di sebelah ovari kiri Maya. Ketika pembedahan melahirkan Marsya Irdina, doktor tidak membuang ovari itu, mereka hanya mengeluarkan cyst tersebut. Tapi di situlah penyebabnya pendarahan berlaku.
"Lagipun, abang tu asyik lebihkan cinta. Cinta pun selalu tok dia bawa jalan-jalan. Umi pun mereka bawa. Maya tinggal sorang-sorang. Nanti adik sayang dah ada, tak la Maya sunyi lagi."
"Ishh... Bila abang lebihkan cinta dari rindu?! Sama aja. Dua-dua penting dalam hidup abang. Sebab rindu, ada cinta. Dan kerana hati abang cintakan Maryam Sumayyah la rindu itu sentiasa menghiasi hidup abang."
"Kiranya, abang tak marah Maya la kan?"
"Marah apa?" Soal Arieq.
"Maya tak makan lagi pil perancang tu..."
"Nak marah buat apa? Benih abang. Abang abi dia. Uminya memang suka buat dulu baru bagitau abi."
Perli Arieq. Maya hanya ketawa. 
"Ya la, kalau bagitau.. abinya bantah. Adik sayang dah ujud dalam rahim umi, baru la umi bagitau. Sebab, mustahil untuk abi mahu jadi pembunuh waris sendiri kan?"
"Nakal!"
Sebuah ciuman singgah di dahi Maya. 
Dia Maryam Sumayyah, pendamping syurga duniawi Nashrieq Idham. Semoga, cinta yang sedang mekar ini akan terus mewangi hingga ke jannah. Aamiin..
Doa hati kecil Arieq.


Tamat.



P/s: Sudilah kiranya anda yang membaca nukilan ini meninggalkan komen untuk saya. Supaya saya dapat perbaiki lagi penulisan saya. 
Sesungguhnya menulis itu sukar, tak seindah perasaan ketika kita membacanya.
Terima kasih,
Wassalam.