Monday, January 11, 2016

Setitis Kasih Selaut Sayang

Bab 4




“Assalammualaikum Encik Irfan. Jasmine Khaleeda ni, Cikgu Nana.” Terus saja Jasmine memperkenalkan dirinya apabila panggilannya berjawab.
“Waalaikummusaalam, cikgu.” Jawab Irfan.
Kalau Jasmine tidak memperkenalkan namanya tadi pun, Irfan sudah tahu panggilan tersebut daripada Jasmine. Tika cikgu Nana itu menghubungi kali pertama pagi tadi, Irfan sudah menyimpan nombor telefon Jasmine ke dalam simpanan telefonnya. Agar mudah untuk dia menghubungi nanti kalau-kalau ada hal mustahak berkaitan dengan adiknya itu.
Tanpa menunggu lama, “Encik Irfan, saya nak minta izin untuk ajar Nana kendalikan dirinya tika haid ni; di rumah saya.” Senafas saja Jasmine mengutarakannya.
“Err.. rumah?” Tanya Irfan bagaikan ragu-ragu.
“Ya, saya nak minta izin untuk bawa Nana tinggal dengan saya. Hanya ketika dia period sekarang.” Terang Jasmine lagi.
Irfan mengigit bibir. Dahinya berkerut. Perlu ke cikgu ni bawa Nana balik rumah dia? Jasmine yang terasa seperti Irfan sedang bungkam, “ Encik Irfan?” Seru Jasmine sedikit kuat.
“Ya..ya. Saya dengar.” Sedikit kalut Irfan memberitahu.
“So, boleh tak?”
Hati Jasmine berharap sungguh yang Irfan akan membenarkan dia membawa Nana pulang ke rumah.
Saya rasa tak perlulah kot Cikgu. Tadi saya tanya Nana cara pakai tuala wanita tu. Dia kata, Cikgu pesan yang ada gam lekatkan pada seluar. Inshaa-Allah, adik saya boleh urus diri dia sendiri.”
Namun jawapan yang Jasmine dengar dari Irfan itu agak mengecewakan hati dia. Hurm.. dia tak nak bagi aku ajar Nana! Tahukah abang si Nana ni tentang penyakit bulanan orang perempuan ni? Gumam Jasmine.
“Oh gitu.Ya, memang saya pesan pada Nana macam tu. Tak apalah kalau macam tu. Tapi saya harap, Encik Irfan tahu bila hari sepatutnya Nana boleh mandi wajib.”
 Sengaja Jasmine berkata begitu. Namun di hatinya berharap Irfan sedar dan tahu tentang itu.
“Lagi satu,  Jangan terlupa ya? Pastikan ia betul-betul haid atau darah istihadhah. Assalammualaikum.”
Irfan tergamam apabila Jasmine sudah memutuskan talian tanpa sempat dia membalas kata! Termangu Irfan di situ.
Mandi wajid? Haid? Istihadhah?
Kepala yang tidak gatal digaru. Fikiran tiba-tiba menjadi celaru. Pada siapa yang mahu ditanya? Macam mana aku nak ajar adik aku sedangkan aku tak tahu? Soal Irfan sendirian.
Matanya jatuh pada Nana yang sudah terlena di ruang tamu itu, tadi dia nampak Nana mengusap perut sendiri. Sakit sangat agaknya si adik itu sampai tertidur. Selalunya, Nana takkan tidur petang. Tapi hari ni, Nana seperti orang keletihan!
Kalau aku bagi dia bawa Nana ke rumah dia, mahu ke Nana nanti? Dan yang penting, boleh ke aku lepaskan Nana pada orang yang aku tak kenal? Soalan demi soalan terluah dalam hati Irfan.
Nini, apa patut abang buat untuk Nana?


“Dah telefon?” Soal Puan Jamilah bila Jasmine melabuhkan punggung di hadapannya.
“Dahhh.”
“Aik. Lain macam aja dah awak tu Jasmine?” Kening Puan Jamilah terangkat. Tanda meminta Jasmine bercerita.
Jasmine muncung, “Abang dia tu macam tak kasi la mak. Dia pandai sangat agaknya nak ajar adik dia!”
“La, yang awak nak bersungut kenapa? Patutnya bersyukur, dia nak ajar adik dia sendiri.” Kata-kata mak Jasmine membuatkan Jasmine menggeleng kepala.
“Tak mungkin dia tahu. Tak apa, Mine dah ingatkan dia jangan keliru dengan haid dan istihadhah. Dia tak sempat cakap apa-apa, Mine dah letak telefon.” Jasmine sengih.
“Bertuah! Awak sengaja ya Jasmine?” Soal Puan Jamilah. Cara anak dia tersengih itu, dia tahu Jasmine sengaja buat begitu.
“Ya mak. Kalau dia yakin apa yang dia nak ajar pada adik dia, dia takkan telefon Mine balik nanti. Tapi kalau dia nak hantar Nana pada Mine, Mine rela hati akan bimbing Nana. Pada Mine, ni tanggungjawab kita mak. Mustahil kita nak biarkan mereka, kalau kakak si Nana tu ada mungkin Mine tak kisah sangat.” Puan Jamilah hanya menganggukan kepala mendengar kata-kata Jasmine.
Faham, dulu anak-anak perempuannya didatangi haid kali pertama, didedahkan pada mereka tentang perubahan diri yang akan berlaku. Anak gadis ini perlu diberi perhatian lebih. Malah nak jaga mereka bukan semudah menjaga anak lelaki. Yang penting kehormatan diri itu perlu dilindungi!
Kata orang tua-tua dulu; menjaga sekandang lembu tidak sesusah menjaga seorang anak gadis. Apatah lagi dengan peredaran waktu ketika ini. Zaman sekarang bukan seperti zaman dia mendidik anak-anak gadisnya. Kalau dulu, anak-anak balik mengaji dah malam pun, dia tak risau. Tapi sekarang? Ada saja berita tentang anak-anak gadis yang hilang dilaporkan oleh media massa. Hilang diculik atau hilang melarikan diri bersama teman lelaki.
Dunia.. dunia.. dunia akhir zaman! Ramai yang sibuk mengejar kesenangan hidup, hingga terlupa anak-anak dibiar tanpa pengawasan. Anak-anak pandai berdikari konon, sebab diajar berdikari dan buat keputusan sendirilah; ramai anak gadis yang berani mengikut lelaki yang bukan mahramnya. Bebel Puan Jamilah dalam hati.
“Mak, nak masak apa ni dengan bayam yang banyak ni?”
Diam. Tiada sahutan dari Puan Jamilah.
“Mak!” Sergah Jasmine.
“Apa dia?” Sedikit tinggi suara Puan Jamilah akibat terperanjat dengan sergahan dari Jasmine.
“Mak tu.. Mine tanya mak kan tadi? Mak berangan ke apa, sampai Mine panggil tak dengar.” Soal Jaasmine.
Sambil menjeling si anak, “Isshhh.. sayur tu masak lemak putihlah. Sebab tu ayah nak sambal belacan Mine.” Puan Jamilah bangkit membawa sayur bayam yang sudah disiang itu ke singki untuk dibasuh.
Mendengarkan apa yang mak dia katakan itu, pantas tangan Jasmine mengutil tangkai cili merah itu. Kemudian dipatah-patah, sebelum dia juga berlalu ke singki. Kemudian dipanaskan kuali bersama sedikit minyak untuk melayurkan cili dan bawang merah itu. Selepas itu barulah dia memasukkan sedikit belacan. Digorengkan hingga garing.
Encik Ahmad sangat suka dengan sambal belacan Jasmine. Padahal sama saja caranya yang Puan Jamilah buat. Tapi kata ayah Jasmine, sambal belacan anak dara tumbuk lagi enak dari mak daranya sediakan!
Setiap kali Encik Ahmad berkata sedemikian, setiap kali itulah Puan Jamilah akan menjeling! Tapi Jasmine tahu, ayahnya hanya sekadar bergurau. Malah dia juga tahu, maknya itu tidak mengambil hati.


“Nana, bangun. Hari ni ada pasar malam.  Abang nak bawa Nana ni.” Hanya sekali gerakan di hujung jari kaki, Nana sudah mencelikkan mata.
“Bangun, basuh muka. Jangan lupa tudung Nana.” Arah Irfan lembut.
Nana hanya menurut arahan. Dia berlalu ke dalam bilik. Tak sampai lima minit dia sudah siap menukar pakaian dan menyarung tudungnya. Tshirt hitam berlengan panjang bersama seluar hitam. Tudung juga berwarna hitam?
“Apa ni Nana? Semuanya hitam? Pakai tudung lain. Macam orang berkabunglah Nana. Nana tukar tudung ya? Cari tudung warna lain.”
 Nana hanya berdiri tegak. Kepalanya digelengkan. Tak mahu!
“Ayah ka..ta, gelap ba..gus o..rang pe..rem..puan pakai. Ustazah kata tak me..narik per..hatian le..laki.” Kata-kata Nana membuatkan Irfan memeluknya. Bibir Irfan jatuh di atas ubun-ubun Nana yang berlitup.
Siapa kata adiknya bodoh?
Siapa kata Nana tak pandai?
“Warna gelap tak semestinya hitam Nana. Nana boleh pakai warna lain, tapi gelap.” Nana memandang Irfan. Cuba menghadam kata-kata si abang.
“Biru gelap. Kelabu. Janji warna gelap. Nanti kat pasar malam kita tengok, ada orang jual tudung tak. Abang pilihkan untuk Nana ok?” Nana senyum sambil mengangguk.
Ayah, Nana boleh ingat apa yang ayah pesan!
Irfan menghulurkan sekeping not RM20 pada Nana, “Nah, ni duit untuk Nana. Hari ni, abang nak Nana beli apa saja yang Nana nak makan. Abang mahu Nana minta dan bayar sendiri. Faham tak?”
“Kan.. Ki..ta per..gi ber..dua?” Huluran Irfan itu tidak bersambut.
“Ya, tapi abang nak Nana anggap, Nana pergi pasar malam sorang-sorang. Tanpa abang. Abang nak adik abang berani cakap dengan orang.”
Nana teragak-agak mahu mengambil duit itu. Sudahnya, Irfan meletakkan duit itu di tapak tangannya.
“Nana jangan takut. Abang akan tetap ada. Cuma abang nak ajar Nana berhadapan dengan orang ramai. Jadi, pasar malam tempat pertama yang Nana boleh belajar. Kalau Nana nak makan jagung, bila jumpa orang jual jagung; Nana orderlah jagung tu. Lepas tu bayar duit. Faham tak?” Sekali lagi Nana menjatuhkan kepala. Faham!
“Jom, kita pergi.”


Pasar malam Kampung Melayu Majidee itu agak panjang untuk dilewati. Sementara pasar Kampung Melayu itu dalam pembinaan, para penjaja tersebut menganjak ke belakang sedikit. Sehingga ke jalan bahagian belakang Sekolah Agama Dato’ Abdullah Esa. Kalau tidak dulu, deretan payung jualan mereka hanya di bahagian parkir kereta belakang pasar itu.
Irfan memandang Nana, apa agaknya yang Nana cari. Sedari tadi, Nana bukan hanya berjalan terus. Tapi dia berhenti di setiap orang yang menjual makanan. Namun dia hanya sekadar melihat tanpa bertanya atau meminta.
Tak boleh jadi ni.. nak maghrib dah ni. Desis hati Irfan.
“Nana, dah dua kali kita pusing pasar malam ni. Nana tak beli apa-apa pun. Nana cari apa sebenarnya?” Tanya Irfan.
“A..yam per..cik yang selalu a..abah beli.”
Kaki Irfan terkaku. Langkah terpasung. Dada bergetar hebat. Air mata berlinang dengan pantas.
Allah..
Nana rindu abah! Ya, kami rindu abah dan mak!
“Nana, abang rasakan, bukan pasar malam kat sini.” Ujar Irfan. Dia yakin ayam percik yang Nana cari bukan dibeli dari pasar malam di sini. Sudah dua kali mereka berjalan hingga ke hujung, tapi ayam percik tiada!
“Habis, kat ma..na?” Irfan memaut bahu Nana apabila si kecil itu dilanggar orang.
“Nanti kita cuba tengok kat pasar malam Taman Suria. Kalau tak jumpa, kita pergi pasar malam kat stadium Larkin.” Cadang Irfan.
Lengan Irfan ditarik, “Jomlah ki..ta per..gi sana.”
“Eh, bukan hari ni. Hari ni kan hari Isnin. Pasar malam kat sini. Hari Rabu nanti, baru pasar malam kat Taman Suria tu. Kat Larkin; hari Ahad, Nana.”
“Oh..” Keluh Nana.
“Hari ni, Nana beli makanan lain ya?”
Tanpa menjawab, Nana terus berlalu terus. Irfan hanya mengikut langkah Nana. Hinggalah Nana berhenti sendiri. Nana menggamit Irfan supaya mendekat.
“A..bang, Nana nak ya..ng tu.” Irfan senyum.
“Abang dah pesan kat rumah kan tadi?”
Muka Nana sedikit berubah.
“Orderlah pada abang tu. Cepat Nana, orang ramai. Nanti Nana lambat dapat.” Sengaja Irfan berkata begitu. Dia mahu Nana bertindak seperti yang dia mahu!
“A..abang, nak piz..za ya..ng ni.”
“Yang mana dik?”’ Soal lelaki yang menjual pizza itu.
“Ni.” Tunjuk Nana makin dekat dengan pizza tersebut.
“Nak berapa? Satu potong RM2.50. lima RM10.” Nana menoleh ke arah Irfan.
Abangnya itu hanya tersenyum. “Terpulang pada Nana. Nana ada duit kan?”
Dan Nana hanya menjawab pertanyaan penjual itu dengan mengembangkan kelima-lima jarinya!
“A..bang campur den..ngan ni.” Pinta Nana sambil jari telunjuknya ke arah pizza yang ada tertulis Hawaii Chicken itu.
“Ok dik.”
“Well done, Nana! Nana berani!” Ucap Irfan perlahan pada Nana.
Nana hanya tersipu malu apabila dipuji oleh abangnya.
Irfan menarik nafas lega. Nampaknya Nana perlu selalu didedahkan perkara sebegini. Nana perlu sentiasa terbuka dengan orang ramai. Fikir Irfan.
Tak apa Nana, abang ada banyak waktu untuk bantu Nana jadi berani dan berdikari! Luah hati Irfan.
Ya, itu azam Irfan untuk adiknya; Nur Hana!


Malam makin larut. Mata Irfan masih lagi segar. Dia hanya  memandang ke atas syiling. Fikirannya melayang mengingati kata-kata Jasmine. Lengan yang  sedang berada di dahi itu dialihkan. Dari berbaring dia bangun, duduk di birai katil.
Kerana Nana, dia mencari maklumat tentang haid. Kerana Nana, dia kenal tuala wanita. Balik dari pasar malam tadi, dia singgah di kedai runcit. Tuala wanita untuk kegunaan sebelah malam pula dibelinya! Semuanya gara-gara dia membaca sumber dari internet itu.
Pengetahuan am itu bolehlah dia cari dengan khidmat pak cik google. Tapi ilmu fiqh? Haid itu fiqah.. ilmu agama tak boleh belajar melalui facebook atau dari blogger. Ia perlu dirujuk oleh orang yang arif tentangnya.
Helaan nafas Irfan terasa berat. Kakinya sudah meniti di atas lantai. Terus saja menuju ke bilik Nana. Dibuka pintu bilik Nana dengan perlahan. Dengan cahaya suram bilik itu, Irfan nampak Nana sedang tidur mengiring. Dia mendekati katil si adik, selimut yang sudah berada di lutut, ditarik hingga ke dada Nana. Diperkemaskan lagi kedudukan selimut itu.
“Nana, mungkin ini yang terbaik untuk Nana. Walaupun esok, abang terpaksa untuk menipu adik abang ni. Maafkan abang.”
Sebuah kucupan hinggap di rambut Nana. Nana yang sedang lena itu, sedikit bergerak.
“Syhhh.. tidur-tidur. Abang ni.” Bisik Irfan sambil menepuk-nepuk perlahan bahu Nana.
Kelopak mata yang baru mahu terbuka itu kembali tertutup menyambung lena.






P/s: Thanks 4 ur reading!
Jangan lupa komen. ;)






Post a Comment