Bab 3
Jasmine mengeluarkan baju dan
seluar sukan Nana, diambil juga keperluan penting Nana yang lain itu. Nana
hanya memerhati. Wajah Nana jelas kelihatan sendu, malah masih tak hilang lagi
riak ketakutannya.
Perlahan Jasmine menarik tangan
Nana menuju ke tandas yang paling hujung. Jasmine mengunci pintu. Baju dan
seluar Nana disangkutkan ke pintu. Penutup mangkuk tandas itu diturunkan,
plastik yang berisi bungkusan tuala wanita itu Jasmine letakkan di atasnya.
Jasmine menunjukkan cara-cara yang
sepatutnya Nana lakukan bila Nana didatangi haid. Nana merenung tanpa berkelip
perbuatan Jasmine itu. Setelah tuala wanita itu diletakkan di seluar kecil
Nana, Jasmine menghulurkannya pada pemiliknya.
Nana, hanya mengambil dan
merenungnya.
“Nana, sekarang Nana pakai ya.
Memang mula-mula rasa tak selesa. Tapi Nana akan biasa nanti.” Nana tetap tidak
bergerak. Dia hanya memegang seluar kecilnya itu.
“Kenapa Nana? Nana malu cikgu ada
ya?” Jasmine tersenyum.
“Cikgu tunggu dekat singki ya.
Nanti Nana tukar baju sekali tau?” Nana hanya mengangguk.
Apabila Jasmine keluar dari tandas,
Nana terus mengunci pintu. Jasmine berdiri memandang cermin. Merenung wajah sendiri. Ya, menjadi guru
pendidikan khas ini, selalu buat diri Jasmine tilik diri sendiri. Bersyukur
dengan apa yang dianugerahkan untuknya. Para pelajarnya tidak minta untuk lahir
dengan keadaan seperti itu.
Walaupun mereka itu bukan terencat
akal atau anak-anak sindrom down, tapi mereka juga istimewa. Lembam itu
memerlukan kerjasama dari orang di sekeliling mereka. Orang terdekat dengan
mereka juga harus bersabar dengan kerenah mereka.
Pantulan cermin itu, menunjukkan
imej Nana di belakang Jasmine. Melihatkan Nana sudah kembali bersama baju
sekolah di tangan, Jasmine memusingkan badan menghadap Nana. Baju sekolah yang
sudah terkena darah itu, Jasmine cucikan di singki.
“Nana, kalau baju Nana atau seluar
Nana terkena darah lagi macam ni. Nana kena basuh sendiri tau. Hurm, yang Nana
pakai tadi pun sama. Sebelum Nana buang, Nana kena cuci dulu bersih-bersih.
Lepas tu Nana isi dalam plastik, baru Nana buang dalam tong sampah. Nana faham
tak cikgu cakap?” Soal Jasmine sambil tangan masih lagi mencuci bekas darah
Nana. Nana hanya memerhati perbuatan cikgunya itu.
“Cik..cikgu tak..ta..kut da..rah?” Soal
Nana. Matanya ralit memerhati tangan Jasmine yang sedang menyental bekas
darahnya tadi.
“Nana, haid itu darah dari tubuh
kita sendiri. Nana jangan takut tau. Kita, orang perempuan; memang akan
mengalami haid setiap bulan. Setiap kali datang bulan, Nana kena pakai tuala
wanita tu. Nana nampak kan cikgu ajar tadi?” Nana mengangguk apabila Jasmine
menyoal.
“Nanti, Nana tengok di bilik air.
Kalau banyak darahnya atau Nana tak selesa, Nana tukar pad lain. Jangan lupa
cuci macam cikgu pesan.”
“Pad?”
Berkerut dahi Nana mendengar perkataan yang Jasmine sebutkan tadi.
“Alamak! Sorry Nana, pad tu
maksudnya tuala wanita yang Nana pakai tadi tu.” Jasmine ketap bibir. Dalam
hati mengutuk diri sendiri! Mengapa sebut perkataan yang akan mengelirukan
Nana?
“Dah siap. Nanti balik rumah, boleh
cuci semula guna sabun.” Pakaian yang sedikit basah itu sudah diperah terlebih
dahulu, sebelum Jasmine memasukkan kesemuannya di dalam plastik tuala wanita
itu.
Kemudian mereka berdua keluar dari
bilik air itu untuk kembali ke kelas semula. Pada kiraan Jasmine, pasti Irfan
sudah pulang setelah Nana terpujuk untuk ke bilik air bersamanya tadi. Dan
sangkaan Jasmine tepat, bila tiada lagi susuk tubuh tinggi lampai abang Nana
itu di depan kelasnya.
Saat Jasmine mahu melabuhkan duduk
di kerusi, mata Jasmine tertacap pada sehelai nota bertulisan tangan yang
diletakkan di atas meja mengajarnya.
Assalammualaikum
cikgu,
Terima
kasih kerana membantu Nana.
Hanya
Allah SWT yang dapat membalasnya.
Irfan
Qusairy
Cantik tulisan dia! Puji hati
Jasmine.
Apalah sangat dengan pelajaran yang
saya ajar untuk Nana ini, sudah menjadi tanggungjawab saya; Encik Irfan. Sedangkan
apa yang saya terangkan dan ajar Nana cara-cara menguruskan dirinya tika haid
tadi, termasuk di dalam skop pembelajaran Nana.
Ya, nampak seperti Jasmine hanya
sekadar membantu atas dasar perikemanusian. Mungkin juga Irfan menganggap
Jasmine itu hanya bersimpati dengan adiknya itu. Tapi yang sebenarnya,
pengurusan diri itu adalah salah satu mata pelajaran bagi para pelajar
pendidikan khas.
Selain daripada Pengurusan Diri,
Kelahiran Manupulatif dan Pengurusan Tingkah Laku adalah mata pelajaran
tambahan untuk pelajar pendidikan khas seperti Nana. Program Pendidikan Khas
Integrasi yang kerajaan lancarkan, adalah untuk murid-murid yang berkeperluan
khas yang bermasalah di dalam pembelajaran, pendengaran dan penglihatan.
Adalah menjadi tanggungjawab
guru-guru yang mengajar pendidikan khas seperti Jasmine Khaleeda, untuk
memastikan para pelajarnya mampu menguruskan diri sendiri. Malah menjadi satu
kelegaan bagi ibu bapa, apabila anak-anak istimewa mereka itu, mampu berdikari.
Iyalah, sudah pasti ibu bapa itu mengharapkan anak-anak istimewa ini pandai
membawa diri dalam apa jua keadaan. Sama seperti anak-anak orang lain yang
normal!
“Encik Irfan, dulu ada seorang cikgu senior di sekolah yang saya
mengajar dan dia selalu berpesan pada saya;
Setiap
pelajar itu istimewa. Tak kira siapa pun mereka, mereka berhak untuk
mendapatkan pendidikan yang terbaik!” Ucap
Jasmine perlahan, bagaikan dia sedang bercakap bersama Irfan.
Lama Irfan menghadap skrin komputer
ribanya itu. Anak matanya tekun memandang aksara yang terpapar. Pulang saja
dari menjemput Nana di sekolah, dia terus berkurung di dalam pejabat urusan
Dobi Aqua. Kedai dobi yang terletak di hujung barisan lot kedai Taman Seri
Setanggi itu, adalah perniagaan keluarga Irfan sejak taman perumahan ini dibuka.
Apabila kedua ibu bapanya meninggal
dunia, Irfan mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jurutera. Dialah yang
mengambil alih meneruskan delegasi perniagaan tersebut. Mustahil untuk
dibiarkan pembantu kedai arwah ayah dia yang menjalankan operasi kedai tersebut
tanpa pengawasan. Bukan di situ saja kedai dobi keluarga mereka, terdapat satu
lagi cawangan Kedai Dobi Aqua di Kampung Melayu Majidee! Agak sukar sekiranya
Irfan hanya mengikuti perkembangan operasi kedai-kedai dobi tersebut dari jarak
jauh. Maka berundur diri dari kerjayanya sendiri saja pilihan yang Irfan ada.
Sesungguhnya menggalas
tanggungjawab itu bukanlah mudah. Lebih-lebih sekarang Irfan ibarat ayah dan
mak untuk Nini dan Nana. Disebabkan Nana didatangi haid yang pertama hari ini,
Irfan mencari maklumat tentang haid! Menguruskan perniagaan tidak sama dengan
menguruskan adik-adiknya. Apatah lagi Nana itu anak istimewa. Dia perlu lebih
peka!
“A..abang, Na..na nak ba..lik
rumah.” Suara Nana itu membuatkan Irfan panggung kepala. Nana sudah berdiri di
sisinya. Tadi Nana berada di sofa yang terdapat di dalam bilik tersebut. Tempat
biasa untuk dia merebahkan diri apabila pulang dari sekolah.
“Nana sakit perut ke?” Irfan
bertanya, dari matanya adiknya itu seperti tidak selesa!
Tadi pembacaannya menerusi intenet juga
ada menyebut tentang haid dan senggugut. Walaupun tak semua orang akan
mengalami sengggugut yang teruk, tapi kesakitan di bahagian pinggang dan
ari-ari itu tetap ada!
Nana hanya mengangguk menjawab
pertanyaan Irfan.
“Oklah, jom kita balik.” komputer
riba dimatikan. Beg sekolah Nana, dicapai. Mereka berjalan beriringan keluar
dari bilik urusan itu, bersama topi keledar masing-masing.
Setiap hari Irfan menang akan
menggunaka motor saja untuk menghantar dan menjemput Nana dari sekolah.
Melainkan, hari hujan saja baru dia akan menggunakan kereta.
Sampai saja di rumah, Nana terus
masuk ke bilik dan terus mengunci pintu. Irfan yang melihat mula berasa tidak
sedap hati. Tak pernah Nana akan mengunci pintu biliknya dari dalam!
“Nana..” Panggil Irfan sambil mengetuk
pintu bilik si adik. Nana tidak menyahut langsung panggilan abangnya. Bukan
cuma sekali Irfan menyeru nama Nana, malah berkali-kali! Namun Nana tetap
mendiamkan diri.
Ah, sudah. Kenapa pulak dengan adik
aku ni? Desis Irfan.
Emosi tak stabil atau senggugut
teruk? Minda Irfan mengingati setiap ayat bacaannya tadi.
Tak boleh jadi kalau macam ni!
Jerit hatinya pula.
Irfan terus meninggalkan pintu
bilik Nana itu. Dibawa kakinya ke almari sudut di ruang tamu. Kunci spare untuk pintu bilik dan pintu utama
rumahnya diambil. Pantas Irfan membawanya ke bilik Nana. Tapi baru saja anak
kunci itu dimasukkan ke tombol, pintu sudah terbuka dari dalam. Terjengul muka
Nana yang segar!
Terkebil-kebil mata Irfan memandang
Nana, “Nana mandi?” Nana menjatuhkan kepala.
Bertuah punya adik! Bukan nak cakap
nak mandi! Kita punyalah risaukan dia! Gumam Irfan.
Nana, bukannya tak pandai
menguruskan diri sendiri. Nana boleh mandi sendiri. Tapi kalau datang anginnya
mahu bermanja, Nana akan meminta untuk dimandikan. Walaupun ketika arwah mak
mereka ada, Nana tidak malu untuk menyuruh Irfan memandikannya.
Nana.. apa saja permintaannya akan
diturutkan oleh semua orang! Kerana mereka tahu, kelahiran Nana ketika usia mak
mereka sudah berusia, adalah anugerah tidak ternilai! Rezeki yang tidak
disangka. Malah kelahirannya juga mengalami kompilasi apabila tali pusat Nana
sudah terkeluar terlebih dahulu. Dan Nana diselamatkan dengan kelahiran
pembedahan.
Mungkin juga Nana didiagnoskan
sebagai anak lembam ketika berusia lapan tahun adalah kesan daripada cord prolapsed semasa Nana lahir dulu. Irfan
masih ingat lagi tika lahir, Nana tidak menangis malah kata ayah, Nana lembik! Dari
penerangan doktor, Nana disahkan Hypoxic
Ischaemic Encephalopathy (HIE). Dan kerana itu, Nana ditempatkan di NICU
dengan jangka masa yang lama. Nana juga kerap dibawa ke hospital sepanjang dua
tahun kelahirannya.
Syukur, perkembangan Nana seperti
anak orang lain walaupun agak lambat sedikit.
“Sini, abang sikatkan rambut tu
betul-betul.” Tangan Nana ditarik menuju ke katil bujangnya. Kedua-duanya duduk
bersila di atas katil. Perlahan irfan mula menyisir rambut panjang Nana.
“Nana pakai tak yang abang beli
tu?” Irfan bertanya untuk memastikan Nana tidak lupa.
“Pakai.” Jawab Nana.
Nur Hana.. adakalanya percakapannya
jelas dan tidak tergagap-gagap untuk satu perkataan!
“Betul ke Nana pakai tu?”
“Betul.” Irfan sengih. Walaupun
Nana di hadapannya, dan dia tidak melihat wajah si adik, tapi dari nada
suaranya Irfan tahu Nana mula emosi. Marah agaknya bila Irfan seperti tidak
yakin dengannya.
“Cuba Nana cakap dengan abang,
macam mana Nana pakai.” Pinta Irfan. Dia sengaja mahu Nana bercerita. Mahu
dengar dan tahu betul atau tidak, cara adiknya memakai tuala wanita itu. Dan
dia mahu membezakan dengan pembacaanya di internet tadi.
“Cik..gu pe..san ya..ng ada gam
le..katkan pa..da se..luar.” Berlinang air mata Irfan mendengar tutur kata
Nana.
Ya, hari ni Nana sudah bergelar
anak dara dalam erti kata yang sebenar!
“Pandai adik abang!” Bibir Irfan
menyentuh rambut lembab Nana. Haruman syampu rambut Nana menyusuk ke rongga
hidungnya.
“Nana sakit perut lagi?” Soal
Irfan.
“Sa..kit. Ta..pi Nana bo..leh
ta..han. Ka..ta. cikgu nan..ti Nana a..akan bia..sa.” jawapan Nana buat bibir
Irfan terus menerus melebar.
Terima kasih cikgu! Bisik hati
Irfan.
“Mak, Mine risaulah.” Dari tadi
Jasmine berkurung di dalam biliknya. Hatinya dilanda kerisauan. Fikirannya
teringatkan Nana! Anak muridnya itu sudah masuk ke dalam kotak fikirannya.
“Risau apanya ni Mine?” Soal Puan
Jamilah. Tangan yang sedang mengutil sayur bayam itu terhenti seketika.
“Nana.” Jawab Jasmine ringkas.
“Sapa pula Nana tu? Kamu ni
bercakap, macamlah mak ni kenal semua kawan-kawan kamu.” Jasmine sengih.
Iya tak ya juga aku ni. Main sebut
saja nama Nana tu. Hujung pangkalnya tak diceritakan! Gumam Jasmine sendiri.
“Nana tu anak murid Mine. Nama dia
Nur Hana, dia yang bahasakan diri dia Nana.”
“Dah kenapa pula dengan budak tu?”
Tanya Puan Jamilah sambil merenung muka Jasmine.
“Nana tu budak pendidikan khas mak.
Anak yatim piatu, tinggal dengan abang dia. Tadi dekat sekolah, Nana tu first day period. Menangis-nangis dia
mak. Sedih Mine tengok tadi, sampai Mine pun menangis sama.” Jasmine mula
bercerita. Wajah sendu Nana masih segar di peluput matanya. Riak Irfan yang
serba salah juga masih dia terbayang-bayang.
“Allah.. kesiannya budak tu.” Ucap
Puan Jamilah.
“Memang kesian mak. Mak ayah dia
meninggal kat Mekah. Mak ingat tragedi kren runtuh kat sana tu? Mak dengan ayah
Nana terlibat sama dengan accicident
tu.” Beritahu Jasmine.
“Allahuakhbar.
Innalillahwainnalillahirrajiun…”
“Itu yang merisaukan hati Mine
sekarang ni.” Berkerut-kerut dahi Puan Jamilah mendengar kata-kata si anak.
Agak sukar untuk dia menghadam maksud yang sedang cuba Jasmine sampaikan
padanya.
“Apa maksud Mine?”
“Mak, Nana tu kadang-kadang abang
dia yang mandikan. Bila anak perempuan akil baligh, setiap inci tubuhnya akan
mengalami perubahan sedikit demi sedikit.” Puan Jamilah mengangguk.
Ya, benar dan betul apa yang
Jasmine katakan itu.
“Mine takut, ia akan membangkitkan
nafsu si abang.”
“Astagfirullahal-Azim.. Jasmine
Khaleeda! Tak baik bersangka buruk dengan orang!” Tegur Puan Jamilah. Besar kelopak
matanya memandang si anak! Jauh sangat Jasmine berfikir.
“Mak, Mine bukan bersangka buruk.
Tapi Mine bimbang. Kita tak tahu mak, mereka tinggal berdua. Nana tu
kanak-kanak istimewa. Kita tak nampak cara Irfan mandikan Nana. Diajarnya Nana
berkemban ke, cuma mandi dengan berseluar dalam ke, atau berbogel ke? Mana kita
tahu. Kalau hati sudah dirasuk dek syaitan, nafsu sudah beraja; seorang bapa
pun sanggup menerkam anak sendiri!”
Mengucap panjang Puan Jamilah
mendengar telahan Jasmine. Anak bertuah nan seorang ini, memang suka berfikir
jauh ke depan! Kita tak terfikir pun sampai ke situ, tapi dia? Boleh pula dia
berfikir ke arah itu. Tapi ada benarnya juga, mereka berlainan jantina. Nanti makin
lama lain pula jadinya . Bisik hati Puan Jamilah.
“Habis, Mine boleh buat apa? Itu anak
orang Mine. Bukan anak abang Khaled. Bukan anak kak Mawar.”
“Sebab bukan anak buah Minelah Mine
risau. Anak-anak buah Mine ada mak bapanya lagi.” Jawab Jasmine senada.
“Mak, Mine nak bawa Nana tinggal
dengan kita boleh tak?” Terbuntang mata Puan Jamilah mendengar pertanyaan
Jasmine itu.
“Cikgu Jasmine Khaleeda, anak murid
awak tu memanglah yatim piatu, tapi awak juga yang kata dia tinggal dengan
abang dia. Bukannya dia sebatang kara!” Tegur Puan Jamilah.
“Tak.. macam ni, Mine nak minta izin
dengan abang dia. Dalam tempoh Nana haid ni, Mine nak bawa dia balik tinggal
dengan kita. Kita kena bantu dia mak. Takkan nak biarkan Irfan tu yang ajar
Nana mandi wajib?” Jasmine memandang Puan Jamilah. Nampak seperti dia merayu
dengan maknya sendiri, untuk memahami niat dia.
Betul juga. Aduhai, kesian betul
hati ni mendengar kisah budak tu. Gumam Puan Jamilah.
“Terpulanglah pada Mine. Minta izin
dulu dengan abang budak tu.” Jasmine senyum. Alhamdulillah. Bisik hatinya.
“Mak, agak-agak ayah marah tak?”
“Ishh, tak adanya ayah nak marah
kalau tahu niat Mine tu.” Kata-kata Puan Jamilah itu mengundang tawa kecil di
bibir anak gadisnya.
“Sekarang juga Mine nak telefon
abang dia. Harap-harap abang dia setuju!” Tak sempat Puan Jamilah berkata apa,
Jasmine sudah meninggalkan ruang dapur itu dengan pantas!
“Jasmine Khaleeda! Jangan lupa
datang sini balik! Ayah awak nak makan sambal belacan air tangan awak!” Laung Puan
Jamilah.
“Ya mak. Kejappppp….” Sahut Jasmine dari jauh,
P/s: Thanks 4 ur reading.
jangan lupa komen! tqvm :)
P/s: Thanks 4 ur reading.
jangan lupa komen! tqvm :)
9 comments:
Irfan izinkan ke tak ek????
Irfan izinkan ke tak ek????
Entah la.. Kita tunggu Irfan jawab apa eh kak.
Alaaa rasa tak puas plak baca...rasa macam nak tau sgt p yg jd kt nana...agak2 irfan bg tak?
Thanks syg. Kita tgu ya?
Baiknya.cikgu jasmine...sooo.sweet..:-):-)
;) Jasmine Khaleeda mmg Manis! Hihihi
Mmmm...best..hrp2 nti cikgu ni jd kakak ipar nana..tq Aina Hamra..
Tq yaya,hihi.. Stay tuned!
Post a Comment