Bab 4
“Assalammualaikum Encik Irfan.
Jasmine Khaleeda ni, Cikgu Nana.” Terus saja Jasmine memperkenalkan dirinya
apabila panggilannya berjawab.
“Waalaikummusaalam, cikgu.” Jawab
Irfan.
Kalau Jasmine tidak memperkenalkan
namanya tadi pun, Irfan sudah tahu panggilan tersebut daripada Jasmine. Tika
cikgu Nana itu menghubungi kali pertama pagi tadi, Irfan sudah menyimpan nombor
telefon Jasmine ke dalam simpanan telefonnya. Agar mudah untuk dia menghubungi
nanti kalau-kalau ada hal mustahak berkaitan dengan adiknya itu.
Tanpa menunggu lama, “Encik Irfan,
saya nak minta izin untuk ajar Nana kendalikan dirinya tika haid ni; di rumah
saya.” Senafas saja Jasmine mengutarakannya.
“Err.. rumah?” Tanya Irfan bagaikan
ragu-ragu.
“Ya, saya nak minta izin untuk bawa
Nana tinggal dengan saya. Hanya ketika dia period
sekarang.” Terang Jasmine lagi.
Irfan mengigit bibir. Dahinya
berkerut. Perlu ke cikgu ni bawa Nana balik rumah dia? Jasmine yang terasa
seperti Irfan sedang bungkam, “ Encik Irfan?” Seru Jasmine sedikit kuat.
“Ya..ya. Saya dengar.” Sedikit
kalut Irfan memberitahu.
“So,
boleh tak?”
Hati Jasmine berharap sungguh yang
Irfan akan membenarkan dia membawa Nana pulang ke rumah.
“Saya rasa tak perlulah kot Cikgu. Tadi saya tanya Nana cara pakai tuala
wanita tu. Dia kata, Cikgu pesan yang ada gam lekatkan pada seluar. Inshaa-Allah,
adik saya boleh urus diri dia sendiri.”
Namun jawapan yang
Jasmine dengar dari Irfan itu agak mengecewakan hati dia. Hurm.. dia tak nak
bagi aku ajar Nana! Tahukah abang si Nana ni tentang penyakit bulanan orang
perempuan ni? Gumam Jasmine.
“Oh gitu.Ya, memang
saya pesan pada Nana macam tu. Tak apalah kalau macam tu. Tapi saya harap,
Encik Irfan tahu bila hari sepatutnya Nana boleh mandi wajib.”
Sengaja Jasmine berkata begitu. Namun di
hatinya berharap Irfan sedar dan tahu tentang itu.
“Lagi satu, Jangan terlupa ya? Pastikan ia betul-betul
haid atau darah istihadhah. Assalammualaikum.”
Irfan tergamam
apabila Jasmine sudah memutuskan talian tanpa sempat dia membalas kata!
Termangu Irfan di situ.
Mandi wajid? Haid?
Istihadhah?
Kepala yang tidak
gatal digaru. Fikiran tiba-tiba menjadi celaru. Pada siapa yang mahu ditanya?
Macam mana aku nak ajar adik aku sedangkan aku tak tahu? Soal Irfan sendirian.
Matanya jatuh pada
Nana yang sudah terlena di ruang tamu itu, tadi dia nampak Nana mengusap perut
sendiri. Sakit sangat agaknya si adik itu sampai tertidur. Selalunya, Nana
takkan tidur petang. Tapi hari ni, Nana seperti orang keletihan!
Kalau aku bagi dia bawa Nana ke
rumah dia, mahu ke Nana nanti? Dan yang penting, boleh ke aku lepaskan Nana
pada orang yang aku tak kenal? Soalan demi soalan terluah dalam hati Irfan.
Nini, apa patut abang buat untuk
Nana?
“Dah telefon?” Soal Puan Jamilah
bila Jasmine melabuhkan punggung di hadapannya.
“Dahhh.”
“Aik. Lain macam aja dah awak tu Jasmine?” Kening Puan
Jamilah terangkat. Tanda meminta Jasmine bercerita.
Jasmine muncung, “Abang dia tu
macam tak kasi la mak. Dia pandai sangat agaknya nak ajar adik dia!”
“La, yang awak nak bersungut
kenapa? Patutnya bersyukur, dia nak ajar adik dia sendiri.” Kata-kata mak
Jasmine membuatkan Jasmine menggeleng kepala.
“Tak mungkin dia tahu. Tak apa,
Mine dah ingatkan dia jangan keliru dengan haid dan istihadhah. Dia tak sempat
cakap apa-apa, Mine dah letak telefon.” Jasmine sengih.
“Bertuah! Awak sengaja ya Jasmine?”
Soal Puan Jamilah. Cara anak dia tersengih itu, dia tahu Jasmine sengaja buat
begitu.
“Ya mak. Kalau dia yakin apa yang
dia nak ajar pada adik dia, dia takkan telefon Mine balik nanti. Tapi kalau dia
nak hantar Nana pada Mine, Mine rela hati akan bimbing Nana. Pada Mine, ni
tanggungjawab kita mak. Mustahil kita nak biarkan mereka, kalau kakak si Nana
tu ada mungkin Mine tak kisah sangat.” Puan Jamilah hanya menganggukan kepala
mendengar kata-kata Jasmine.
Faham, dulu anak-anak perempuannya
didatangi haid kali pertama, didedahkan pada mereka tentang perubahan diri yang
akan berlaku. Anak gadis ini perlu diberi perhatian lebih. Malah nak jaga
mereka bukan semudah menjaga anak lelaki. Yang penting kehormatan diri itu
perlu dilindungi!
Kata orang tua-tua dulu; menjaga
sekandang lembu tidak sesusah menjaga seorang anak gadis. Apatah lagi dengan
peredaran waktu ketika ini. Zaman sekarang bukan seperti zaman dia mendidik
anak-anak gadisnya. Kalau dulu, anak-anak balik mengaji dah malam pun, dia tak
risau. Tapi sekarang? Ada saja berita tentang anak-anak gadis yang hilang dilaporkan
oleh media massa. Hilang diculik atau hilang melarikan diri bersama teman
lelaki.
Dunia.. dunia.. dunia akhir zaman!
Ramai yang sibuk mengejar kesenangan hidup, hingga terlupa anak-anak dibiar
tanpa pengawasan. Anak-anak pandai berdikari konon, sebab diajar berdikari dan
buat keputusan sendirilah; ramai anak gadis yang berani mengikut lelaki yang
bukan mahramnya. Bebel Puan Jamilah dalam hati.
“Mak, nak masak apa ni dengan bayam
yang banyak ni?”
Diam. Tiada sahutan dari Puan
Jamilah.
“Mak!” Sergah Jasmine.
“Apa dia?” Sedikit tinggi suara
Puan Jamilah akibat terperanjat dengan sergahan dari Jasmine.
“Mak tu.. Mine tanya mak kan tadi?
Mak berangan ke apa, sampai Mine panggil tak dengar.” Soal Jaasmine.
Sambil menjeling si anak, “Isshhh..
sayur tu masak lemak putihlah. Sebab tu ayah nak sambal belacan Mine.” Puan
Jamilah bangkit membawa sayur bayam yang sudah disiang itu ke singki untuk
dibasuh.
Mendengarkan apa yang mak dia
katakan itu, pantas tangan Jasmine mengutil tangkai cili merah itu. Kemudian
dipatah-patah, sebelum dia juga berlalu ke singki. Kemudian dipanaskan kuali
bersama sedikit minyak untuk melayurkan cili dan bawang merah itu. Selepas itu
barulah dia memasukkan sedikit belacan. Digorengkan hingga garing.
Encik Ahmad sangat suka dengan
sambal belacan Jasmine. Padahal sama saja caranya yang Puan Jamilah buat. Tapi
kata ayah Jasmine, sambal belacan anak dara tumbuk lagi enak dari mak daranya
sediakan!
Setiap kali Encik Ahmad berkata
sedemikian, setiap kali itulah Puan Jamilah akan menjeling! Tapi Jasmine tahu,
ayahnya hanya sekadar bergurau. Malah dia juga tahu, maknya itu tidak mengambil
hati.
“Nana, bangun. Hari ni ada pasar
malam. Abang nak bawa Nana ni.” Hanya
sekali gerakan di hujung jari kaki, Nana sudah mencelikkan mata.
“Bangun, basuh muka. Jangan lupa
tudung Nana.” Arah Irfan lembut.
Nana hanya menurut arahan. Dia
berlalu ke dalam bilik. Tak sampai lima minit dia sudah siap menukar pakaian
dan menyarung tudungnya. Tshirt hitam berlengan panjang bersama seluar hitam.
Tudung juga berwarna hitam?
“Apa ni Nana? Semuanya hitam? Pakai
tudung lain. Macam orang berkabunglah Nana. Nana tukar tudung ya? Cari tudung
warna lain.”
Nana hanya berdiri tegak. Kepalanya
digelengkan. Tak mahu!
“Ayah ka..ta, gelap ba..gus o..rang
pe..rem..puan pakai. Ustazah kata tak me..narik per..hatian le..laki.”
Kata-kata Nana membuatkan Irfan memeluknya. Bibir Irfan jatuh di atas ubun-ubun
Nana yang berlitup.
Siapa kata adiknya bodoh?
Siapa kata Nana tak pandai?
“Warna gelap tak semestinya hitam
Nana. Nana boleh pakai warna lain, tapi gelap.” Nana memandang Irfan. Cuba
menghadam kata-kata si abang.
“Biru gelap. Kelabu. Janji warna
gelap. Nanti kat pasar malam kita tengok, ada orang jual tudung tak. Abang
pilihkan untuk Nana ok?” Nana senyum sambil mengangguk.
Ayah, Nana boleh ingat apa yang
ayah pesan!
Irfan menghulurkan
sekeping not RM20 pada Nana, “Nah, ni duit untuk Nana. Hari ni, abang nak Nana
beli apa saja yang Nana nak makan. Abang mahu Nana minta dan bayar sendiri.
Faham tak?”
“Kan.. Ki..ta
per..gi ber..dua?” Huluran Irfan itu tidak bersambut.
“Ya, tapi abang nak
Nana anggap, Nana pergi pasar malam sorang-sorang. Tanpa abang. Abang nak adik
abang berani cakap dengan orang.”
Nana teragak-agak
mahu mengambil duit itu. Sudahnya, Irfan meletakkan duit itu di tapak
tangannya.
“Nana jangan takut.
Abang akan tetap ada. Cuma abang nak ajar Nana berhadapan dengan orang ramai.
Jadi, pasar malam tempat pertama yang Nana boleh belajar. Kalau Nana nak makan
jagung, bila jumpa orang jual jagung; Nana orderlah
jagung tu. Lepas tu bayar duit. Faham tak?” Sekali lagi Nana menjatuhkan
kepala. Faham!
“Jom, kita pergi.”
Pasar malam Kampung
Melayu Majidee itu agak panjang untuk dilewati. Sementara pasar Kampung Melayu
itu dalam pembinaan, para penjaja tersebut menganjak ke belakang sedikit.
Sehingga ke jalan bahagian belakang Sekolah Agama Dato’ Abdullah Esa. Kalau
tidak dulu, deretan payung jualan mereka hanya di bahagian parkir kereta
belakang pasar itu.
Irfan memandang
Nana, apa agaknya yang Nana cari. Sedari tadi, Nana bukan hanya berjalan terus.
Tapi dia berhenti di setiap orang yang menjual makanan. Namun dia hanya sekadar
melihat tanpa bertanya atau meminta.
Tak boleh jadi ni..
nak maghrib dah ni. Desis hati Irfan.
“Nana, dah dua kali
kita pusing pasar malam ni. Nana tak beli apa-apa pun. Nana cari apa
sebenarnya?” Tanya Irfan.
“A..yam per..cik
yang selalu a..abah beli.”
Kaki Irfan terkaku.
Langkah terpasung. Dada bergetar hebat. Air mata berlinang dengan pantas.
Allah..
Nana rindu abah!
Ya, kami rindu abah dan mak!
“Nana, abang
rasakan, bukan pasar malam kat sini.” Ujar Irfan. Dia yakin ayam percik yang
Nana cari bukan dibeli dari pasar malam di sini. Sudah dua kali mereka berjalan
hingga ke hujung, tapi ayam percik tiada!
“Habis, kat
ma..na?” Irfan memaut bahu Nana apabila si kecil itu dilanggar orang.
“Nanti kita cuba
tengok kat pasar malam Taman Suria. Kalau tak jumpa, kita pergi pasar malam kat
stadium Larkin.” Cadang Irfan.
Lengan Irfan
ditarik, “Jomlah ki..ta per..gi sana.”
“Eh, bukan hari ni.
Hari ni kan hari Isnin. Pasar malam kat sini. Hari Rabu nanti, baru pasar malam
kat Taman Suria tu. Kat Larkin; hari Ahad, Nana.”
“Oh..” Keluh Nana.
“Hari ni, Nana beli
makanan lain ya?”
Tanpa menjawab,
Nana terus berlalu terus. Irfan hanya mengikut langkah Nana. Hinggalah Nana
berhenti sendiri. Nana menggamit Irfan supaya mendekat.
“A..bang, Nana nak
ya..ng tu.” Irfan senyum.
“Abang dah pesan
kat rumah kan tadi?”
Muka Nana sedikit
berubah.
“Orderlah
pada abang tu. Cepat Nana, orang ramai. Nanti Nana lambat dapat.” Sengaja Irfan
berkata begitu. Dia mahu Nana bertindak seperti yang dia mahu!
“A..abang, nak
piz..za ya..ng ni.”
“Yang mana dik?”’
Soal lelaki yang menjual pizza itu.
“Ni.” Tunjuk Nana
makin dekat dengan pizza tersebut.
“Nak berapa? Satu
potong RM2.50. lima RM10.” Nana menoleh ke arah Irfan.
Abangnya itu hanya
tersenyum. “Terpulang pada Nana. Nana ada duit kan?”
Dan Nana hanya
menjawab pertanyaan penjual itu dengan mengembangkan kelima-lima jarinya!
“A..bang campur
den..ngan ni.” Pinta Nana sambil jari telunjuknya ke arah pizza yang ada
tertulis Hawaii Chicken itu.
“Ok dik.”
“Well done,
Nana! Nana berani!” Ucap Irfan perlahan pada Nana.
Nana hanya tersipu
malu apabila dipuji oleh abangnya.
Irfan menarik nafas
lega. Nampaknya Nana perlu selalu didedahkan perkara sebegini. Nana perlu
sentiasa terbuka dengan orang ramai. Fikir Irfan.
Tak apa Nana, abang
ada banyak waktu untuk bantu Nana jadi berani dan berdikari! Luah hati Irfan.
Ya, itu azam Irfan
untuk adiknya; Nur Hana!
Malam makin larut. Mata
Irfan masih lagi segar. Dia hanya
memandang ke atas syiling. Fikirannya melayang mengingati kata-kata
Jasmine. Lengan yang sedang berada di
dahi itu dialihkan. Dari berbaring dia bangun, duduk di birai katil.
Kerana Nana, dia
mencari maklumat tentang haid. Kerana Nana, dia kenal tuala wanita. Balik dari
pasar malam tadi, dia singgah di kedai runcit. Tuala wanita untuk kegunaan
sebelah malam pula dibelinya! Semuanya gara-gara dia membaca sumber dari
internet itu.
Pengetahuan am itu
bolehlah dia cari dengan khidmat pak cik google. Tapi ilmu fiqh? Haid itu
fiqah.. ilmu agama tak boleh belajar melalui facebook atau dari blogger. Ia perlu
dirujuk oleh orang yang arif tentangnya.
Helaan nafas Irfan
terasa berat. Kakinya sudah meniti di atas lantai. Terus saja menuju ke bilik
Nana. Dibuka pintu bilik Nana dengan perlahan. Dengan cahaya suram bilik itu,
Irfan nampak Nana sedang tidur mengiring. Dia mendekati katil si adik, selimut
yang sudah berada di lutut, ditarik hingga ke dada Nana. Diperkemaskan lagi
kedudukan selimut itu.
“Nana, mungkin ini
yang terbaik untuk Nana. Walaupun esok, abang terpaksa untuk menipu adik abang
ni. Maafkan abang.”
Sebuah kucupan hinggap di rambut Nana. Nana yang sedang lena itu, sedikit bergerak.
“Syhhh..
tidur-tidur. Abang ni.” Bisik Irfan sambil menepuk-nepuk perlahan bahu Nana.
Kelopak mata yang
baru mahu terbuka itu kembali tertutup menyambung lena.
P/s: Thanks 4 ur reading!
Jangan lupa komen. ;)
2 comments:
Alhamdulillah. So irfan bagi la ek nana p rumah jasmine? Ermmm...terasa sangat bila baca cerita nie...selama nie tak pernah amik tahu pun pasal family yg ada anak istimewa mcm nana...mcm mana nk didik mereka hidup normal...thanks sis 😊
Tq Nurul, alhamdulillah. InshaaAllah sy Cuba yg terbaik.
Post a Comment