Bab 5
Masuk hari ini, sudah hari kedua Nana uzur. Irfan perhatikan saja apa yang Nana lakukan. Tuala wanita yang digunakan guna Nana yang kendalikan sendiri. Malah dia setiap kali keluar dari bilik air, Nana akan membawa bungkusan kecil. Dan dia akan membuangnya ke dalam tong sampah!
Dalam hati Irfan mengucap syukur.
Nana faham apa yang cikgu dia ajarkan. Sesungguhnya dia berterima kasih pada Jasmine
kerana sudi menunjukkan Nana cara yang betul. Dan hari ini sepatutnya Irfan
melancarkan rancangannya. Nana perlu diberitahu agar adiknya itu boleh ke rumah
Jasmine, untuk cikgunya itu mengajar tentang mandi hadas tersebut.
“Nana, hurm.. abang nak cakap
sesuatu.” Nana yang sedang menonton televisyen itu menoleh.
“Ca…kap apa?”
Hati Irfan berdebar-debar. Nafas
ditarik dalam sebelum menyambung bicara.
“Nana, dulu abang kerja dekat
mana?”
“Hurm..kat KL.”
“Pandai adik abang.
Err, esok abang kena pergi KL.” Luah Irfan perlahan.
Mata bening Nana
ditatap. Irfan tak pasti tindakannya ini dapat diterima oleh Nana ataupun
tidak.
“KL?”
“Ya. KL. Bos abang
kata, kerja abang dulu ada yang tak selesai. Dia panggil abang untuk siapkan.”
Maaf Nana. Abang
terpaksa menipu!
“Na..Nana?” Liur
Irfan terasa kesat tika ditelan tatkala Nana menyoal.
“Sementara abang
pergi, Nana tinggal dengan Cikgu Jasmine ya? Abang dah minta tolong dia. Sekejap
aja abang pergi. Seminggu.”
Nana menundukkan
kepala, “Dulu mak pun ka..ta seke..jap. Ta..pi a..bah dengan mak tak.. balik.”
Allah..
“Nana..”
Irfan memeluk Nana.
Esak tangisan Nana sangat melumatkan hati lelakinya. Sehingga air matanya juga
membasahi pipi.
Sendu kedua-dua
beradik itu silih berganti. Dalam kesunyian malam, jiwa mereka meratapi. Rindu
yang selalu menyeru tiada sahutan.
Pemergian yang
ditangiskan tak akan kembali. Berbulan-bulan lamanya hati memanggil-manggil
mak. Berhari-hari abah diseru. Tapi, tiada suara yang menyahut.
Allah..
Bukanlah hati ini
tidak reda. Bukanlah jiwa ini tidak pasrah. Tapi, tiada nisan untuk kami
lepaskan rindu ini. Tiada kubur yang boleh kami tuju.
Ya Rabb...
Mereka insan
terpilih yang Kau pilih. Mereka yang telah Kau janjikan untuk bersemadi di
kalangan para syuhada.
Dan aku reda dengan ketentuanMu.
Dan aku reda dengan ketentuanMu.
“Nana, abang tak
jadi pergi.” Kata Irfan sambil teresak kecil. Hatinya luluh melihat Nana
begitu. Nana terlalu takut!
Irfan masih ingat bagaimana
keadaan Nana bila mereka diberitahu yang kedua-dua orang tuanya sudah meninggal
dunia di Mekah. Kalau dia yang lelaki sukar untuk menerima apatah lagi
adik-adiknya. Nana tidak percaya langsung apa yang Irfan sampaikan padanya.
Hinggalah hari sepatutnya mak dan abah mereka pulang dari tanah suci.
Mereka tiga beradik
hanya mampu mendakap beg besar milik mak dan abah mereka. Hanya beg yang berada
di muka pintu tapi bukan jasad tuannya! Dan Irfan tiada kekuatan untuk
membuka dan melihat isi kandungan beg-beg tersebut.
Nini, menangis
berhari-hari. Nana? Nana bagaikan orang histeria yang menjerit mencari mak dan
abah mereka. Hanya Nana yang membuka beg-beg tersebut. Dikeluarkan baju-baju
milik mak dan abah mereka. Dicium satu persatu. Air mata Nana tak pernah
kering!
Dan hari ini,
mereka menangis lagi. Bezanya Nini tiada
bersama mereka. Kalau beginilah keadaan Nana, bagaimana Irfan mahu terus
memaksa diri untuk menipu? Ya benar, sememangnya Irfan hanya di sini, mulut
saja kata dia akan ke Kuala Lumpur. Tapi dia tak mampu melihat Nana. Dia tak
kuat untuk mendengar tangisan Nana. Dia tak gagah untuk menatap Nana yang
sedang ketakutan. Takut akan pemergian yang tak pulang!
“Kenapa tak jadi
pula? Kan Encik Irfan yang telefon saya semalam...”
Keluhan kecil
tercetus dari bibir Irfan, dan telinga Jasmine mendengar dengan jelas!
Ya, dia yang
telefon cikgu itu malam kelmarin.
“Kematian mak dan
abah kami satu tamparan buat kami. Lebih-lebih lagi pada Nana. Kematian yang
batu nisannya jauh nun di sana. Kubur yang kami sendiri tak tahu di mana
letaknya.”
Jasmine kaget.
“Semalam, bila saya
beritahu Nana; saya perlu tinggalkan dia dengan Cikgu, Nana menangis. Nana
takut saya takkan pulang seperti arwah mak dan abah. Hingga ke pagi dia tidur
dengan saya. Malah dia tak mahu ke sekolah langsung!” Suara Irfan sayu menyapa
pendengaran Jasmine.
Begitu sekalikah
Nana? Hati Jasmine berbisik.
Jasmine, kau tak
pernah mengalami kehilangan orang yang tersayang. Mak dan ayah masih ada di
sisi kau. Sedangkan Nana?
Bagaikan ada suara
kecil yang lain menyoal Jasmine.
Ya Allah, bagaimana
aku dapat membantu Nana? Macam mana aku mahu mengajarnya bersuci daripada haid?
Desis Jasmine.
Matanya terpejam
seketika. Hatinya bukan main gembira lagi saat mata ingin terlelap Irfan
mengkhabarkan keizinannya. Tapi hari ini, wali anak muridnya itu memberitahu
dia tak mampu untuk membohongi adiknya.
Jasmine teringat
sesuatu!
“Encik Irfan, Nana
mengaji di mana?” Soal Jasmine tiba-tiba.
“Er.. kami abah
yang ajar sendiri. Tapi sejak mereka pergi, Nana belum sambung mengaji lagi.”
Beritahu Irfan.
“Nini dah lama
khatam, sebelum masuk sekolah menengah lagi.” Sambungnya lagi.
“Alhamdulillah. Tak
apa kalau macam tu, saya akan ajarkan Nana pasal mandi hadas di sekolah saja.
Lagipun Nana tu dia mampu faham. Dia bukanlah murid yang slow sangat. Malah dia juga belajar di kelas biasa. Inshaa-Allah
dia juga boleh menduduki peperiksaan UPSR.”
“Tak menyusahkan
cikgu ke?” Soal Irfan.
“Inshaa-Allah tak.
Hanya untuk yang pertama kali. Nanti Nana akan biasa dan tahu apa yang
sepatutnya dia lakukan apabila tiba waktunya. Ha.. lagi satu, mak saya guru
Kafa pencen. Jadi mungkin Nana akan lebih selesa mengaji dengan mak saya. Nanti
lepas Nana suci, Encik Irfan boleh hantar dia pada mak saya.”
“Allahukhabar.”
Hanya itu yang terluah dari bibir Irfan. Tubir matanya basah lagi!
“Kami tak mampu nak
tolong dari segi emosi Nana. Ya, saya tahu Nana masih lagi di peringkat untuk
cuba menyesuaikan diri dengan kehilangan. Tapi, mana tahu Nana akan rasa
sesuatu ketika berada di rumah saya nanti.” Ujar Jasmine.
Entah mengapa
nalurinya menyebut mak sendiri. Hatinya tiba-tiba teringatkan Puan Jamilah di
rumah. Ya, mak Jasmine itu guru Kafa pencen. Malah dia sememangnya mengajar
anak-anak jiran yang mahu mengaji. Malah ada juga kelas mengaji untuk kaum
wanita di hujung minggu.
Dan pada Jasmine,
mak dia boleh mengajar Nana sepertimana Puan Jamilah mengajar dia dan kakaknya
dulu. Naluri keibuan itu lain. Takkan sama dengan abang atau ayah! Bukankah Nana
itu anak yatim piatu? Malah kisah dan peringatan tentang anak-anak yatim piatu
juga terkandung di dalam Al-Quran.
“…Dan mereka bertanya
kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: “Menguruskan urusan mereka secara
patut adalah baik, jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah
saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang
mengadakan kebaikan…” (Surah Al-Baqarah ayat: 220)
“Saya
tak tahu nak kata pada cikgu. Bersyukur sangat-sangat…”
Jasmine
terus memotong cakap Irfan, “Tak apa Encik Irfan. Mungkin ini hikmah saya
ditukarkan ke sekolah Nana. Inshaa-Allah, saya akan bantu setakat yang mampu
untuk anak murid saya.”
Subhanallah
Maha Suci Allah…
Semoga
Kau memberi perlindungan serta rahmatMu ke atas cikgu Nana ini. Hati Irfan
berdoa.
“Macam
mana hari ni? Nana masih lagi uzur?” Tanya Jasmine perlahan.
“Sikit.
Tak ba..banyak.” Jawab Nana juga dalam nada perlahan.
“Hari
ni, hari kelima Nana uzur. Nana tuliskan apa yang cikgu suruh tulis?”
Anggukan
kepala Nana buat Jasmine tersenyum.
“Mana?
Tunjuk pada cikgu.” Minta Jasmine.
Buku
kecil yang Jasmine belikan untuk Nana dihulurkan.
“Pandai
Nana!” Serentak bibir yang memuji, tapak tangan Jasmine mendarat di atas kepala
Nana. Mengusap perlahan di situ.
Di buku
catatan itu, Jasmine menyuruh Nana menulis tarikh hari pertama Nana didatangi
uzur. Nota untuk mandi hadas juga Jasmine menyuruh Nana tulis. Agar mudah Nana
membuat semakkan dan rujukan nanti.
“Ingat
ya Nana, jangan cerita dengan orang Nana sudah uzur.” Pesan Jasmine lagi.
“Ke..na..pa?”
Bulat mata Nana memandang Jasmine.
“Itu
rahsia orang perempuan. Kita kena jaga diri kita elok-elok.”
Nana…
dia kanak-kanak yang fizikalnya normal. Jasmine bimbang, orang akan mengambil
kesempatan dengan lembam yang dia miliki.
“A..bang?”
Jasmine
tersenyum nipis, “Abang tak apa. Tapi Nana jangan minta abang mandikan lagi ya?”
Nana mengangguk.
“Nana
selalu tidur dengan abang?” Selidik Jasmine.
“Ka..dang-kadang.”
“Kalau
boleh kawal diri Nana. Kalau abang ajak tidur, Nana cakap Nana nak tidur
sendiri tau.”
“Ke..napa?”
Soal Nana lagi.
“Nana
sayang, Nana perempuan, abang tu lelaki. Orang perempuan dan orang lelaki tak
boleh tidur sama melainkan suami isteri. Kita kena ada rasa malu dengan abang
kita. Cikgu pun ada abang macam Nana. Cikgu pun ada kakak macam Nana. Tapi cikgu
tidur dengan kakak cikgu. Abang cikgu tidur bilik dia.” Terang Jasmine.
“Tapi
kakak kat as..rama.”
“Ya,
cikgu tahu. Tak apa. Dulu pun cikgu tidur sama kakak. Lepas tu kakak cikgu
belajar sekolah lain. Jauh. Tapi bila dia balik kami tidur sama. Sekarang dia
dah kahwin. Duduk rumah lain. Cikgu tidur sorang-sorang macam Nana.”
“Oh.”
Jasmine senyum makin lebar. Nampaknya Nana ni, masalahnya sosialisasi!
“Nana,
nanti hujung minggu, Nana minta dengan
abang nak tidur dengan cikgu. Cakap elok-elok dengan abang. Kita tidur berdua
nak?” Pancing Jasmine mengena bila Nana menjatuhkan kepala.
Dan
hujung minggu nanti adalah genap seminggu Nana haid! Jasmine mahu Nana mandi
hadas di rumahnya! Kalau Nana mampu mendengar kata untuk kelas tambahan selepas waktu persekolahan, boleh jadi Nana takkan mempersoalkan Irfan menghantarnya tuisyen di rumah Jasmine! Hati Jasmine tersenyum lebar.
P/s: thanks 4 ur reading!
jangan lupa komen. ;)
P/s: thanks 4 ur reading!
jangan lupa komen. ;)
4 comments:
best 3x.
Huhuhu...
Pandai cikgu mine ni..
Pandai cikgu mine ni..
Post a Comment