Thursday, March 5, 2015

Wangian SyurgaMu

Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Akhirnya Kau beri lagi aku peluang untuk mengandungkan seorang lagi khalifahMu. Setelah dua kali aku keguguran selepas melahirkan Aliff Firdaus dan Aliff Farhan. Mendengar penerangan doktor tadi, kelahiran kali ini juga harus melalui pembedahan. Doktor juga menasihati aku untuk menandatangani borang kebenaran permandulan. Memandangkan ini pembedahan ketiga dan doktor juga menerangkan, risiko yang terpaksa aku lalui  dengan faktor umur yang sudah menginjak ke jendela empat puluhan ditambah pula dengan kesihatanku yang  mengidap kencing manis. Penyakit yang aku hidap sejak disahkan mengandung anakku yang nombor dua.

"Saya setuju, doktor. Yang penting nyawa isteri saya." Suamiku bersetuju tanpa persetujuan dariku. Aku menoleh ke arahnya.

"Tapi, kita belum ada anak perempuan. Iffah nak kita cuba lagi." Ya, kandungan ini juga lelaki. Aku teringin untuk punya puteri, seorang saja pun cukuplah.

"Isshh.. itu perancangan Allah. Rezeki yang telah ditetapkan untuk kita. Jangan pernah persoalkan. Kalau mengandung seterusnya pun rezeki kita dapat anak lelaki juga, nak mengandung lagi ke dengan risiko yang telah kita tahu?" Aku kelu. Aku tahu dia sayangkan aku. Aku juga sayangkan dia. Aku fikirkan anak aku sama. Kalau jadi apa-apa pada aku nanti bagaimana dengan mereka? Akhirnya aku bersetuju untuk menandatangi borang kebenaran permandulan itu bila tiba waktu aku akan dibedah nanti.

Kandunganku baru masuk minggu ke 35. Perut yang agak lebih besar berbeza sungguh ketika aku mengandungkan kedua anakku yang lain. Sembilan mac nanti aku ada temujanji dengan pakar sakit puan di hospital besar. Perkara biasa yang akan dijalani oleh para ibu mengandung. Ramai kenalan yang sangka aku sudah cukup bulan untuk melahirkan anakku. Tapi dari perkiraan tarikh masih belum waktunya lagi. Doktor mahu mencukupkan tempoh matang bayi terlebih dahulu iaitu 36 minggu ke atas baru mereka akan beri tarikh untuk aku jalani pembedahan kelahiran.

Perut aku memulas lain macam. Salah makan ke ni? Tapi tak mungkin. Aku cuma makan telur masak tumis air bersama soo hoon dan kulit tahu beserta kentang tengah hari tadi. Aku takut mahu makan pedas, bimbang akan mengalami pedih ulu hati. Di awal kehamilan, aku mabuk teruk. Makan pedas sikit saja, berguling guling aku menahan sakit di ulu hati. Tapi mengapa perut ini rasa lain macam? Tak sampai satu jam, sakit di pinggang mula menjalar. Makin lama makin kerap. Eh? Ini macam sakit nak bersalin! Cepat kujerit memanggil suamiku bila sakit yang aku rasakan makin kerap menyerang dan sungguh menyengat. Allahuakhbar!

Ketika di bilik saringan, perut aku diimbas dengan mesin pengimbas. Kemudian doktor yang melakukan pemeriksaan ke atas kandunganku memberitahu aku perlu dibedah dengan kadar segera bagi menyelamatkan bayiku. Ini kerana kandungan aku di diagnosis sebagai Polihidramnio.

"Puan, kita akan tolak puan ke dewan pembedahan dengan secepat mungkin? Kami bimbang, bayi akan lemas sebab dari scan yang saya tengok, air ketuban terlalu banyak. Ini kali ketiga puan jalani kelahiran secara pembedahan kan? Saya nasihatkan puan 'ikat' terus  kerana kebiasaannya pesakit yang melahirkan anak secara pembedahan  akan menyebabkan lapisan tisu di sekitar rahim melekat - lekat. Bila melekat-lekat boleh menyebabkan pendarahan berlaku ketika pembedahan." Tak sempat doktor itu menerangkan dengan lebih lanjut aku sudah menyampuk. 

"Tak pe doktor.. saya setuju. Doktor di klinik Ibu dan Anak sudah terangkan pada saya!"

"Puan faham ya apa yang diterangkan pada puan?" Aku mengangguk laju. Kemudian dia menghulurkan aku borang kebenaran pemandulan beserta pen sebatang. Tanpa ragu, tanganku melorek  huruf huruf yang membentuk tandatanganku. Baju pesakit untuk ke dewan pembedahan aku tukarkan dengan bajuku sendiri. Semoga Allah selamatkan kita sayang, bisikku sambil mengusap perutku yang besar. Seolah si kecil itu dengar butir bicaraku.

"Abang, ampunkan Iffah bang. Halalkan makan minum Iffah." Sebak. Itu yang aku rasakan saat kami terpisah sebelum aku ditolak masuk ke dalam dewan bedah. Dia mengucup dahiku seraya berkata "Abang sentiasa ampunkan Iffah   dan abang halalkan segala-galanya antara kita. In shaa Allah, selawat ke atas nabi banyak-banyak. Semoga Iffah kuat!" 

Kesejukkan yang terlampau menyebabkan aku menggigil seluruh tubuhku. Aku diminta tandatangan dua borang lagi. Borang keizinan bius dan borang keizinan permindahan darah. Argh... bila mendengar segala penerangan dari doktor bius itu aku jadi takut, walaupun ini bukan yang pertama kali aku masuk ke dewan bedah. 

Memandangkan aku cuma dibius separuh badan, aku hanya memasang telinga ketika doktor sedang bedah perutku. Telingaku dengar suara jururawat menyebut "baby out!"

"O315"suara doktor bius tadi menyebut angka. Oh, detik masa kelahiran anak aku pukul tiga lima belas minit pagi. Tapi, kenapa anak aku tak menangis?! Tiada tangisan dari dia! Lama aku tunggu, dia masih tidak menangis! Ya, Allah.. anak aku bisu ke? Hati berdebar debar.

"Doktor.."

"Ya,kenapa puan?"doktor bius yang sedang menukar botol air yang tergantung itu datang mendekat.

"Kenapa anak saya tak menangis?" 

Doktor perempuan itu mengusap tanganku"Tak ada apa puan. Anak puan ada pada doktor kanak-kanak. Mereka sedang memeriksa anak puan."tapi dari mata doktor itu seperti menyembunyikan sesuatu. Walaupun mukanya terlindung dengan face mask yang sedang dipakai. Aku yakin, sesuatu telah terjadi di atas dia.

Tak lama selepas itu, datang seorang doktor perempuan India kepadaku. Memperkenalkan diri sebagai Doktor Sanju. "Puan, anak puan kita dapati seperti mengalami masalah jantung dan Sindrom Patau.  Kita akan masukkan anak puan ke dalam incubator dan hantar anak puan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak untuk pemantauan dan pemeriksaan dengan lebih lanjut lagi ya? Banyakkan bersabar ya puan. Saya akan beritahu suami puan di luar." Anak aku.. Allah, panjangkanlah umurnya. Janganlah kau ambil dia dariku. Aku menangis mengenangkan anak kecilku itu. Sindrom Patau? Apakah itu? Aku tak pernah dengar. Selalu yang aku tahu Sindrom Down, tapi sindrom yang doktor itu sebutkan aku tak pernah dengar.

Tetiba-tiba telingaku dapat menangkap suara perempuan memanggil 'doktor' misi barangkali yang memanggil doktor itu. Jelas diperdengaran aku doktor lelaki membalas panggilan perempuan tadi. "Confirm? Tak pe nanti saya bagi tau patient." 

Tak lama selepas itu, doktor lelaki datang di sebelahku sambil mengendong anakku. Rupanya ini doktor yang azankan anak aku tadi. Aku tetap dengar walaupun azan yang dilaungkan tadi tidak kuat."Puan, saya doktor Zariff, doktor yang bedah puan tadi." Doktor yang memperkenalkan diri itu masih memakai gaun hijau. Tangannya juga masih bersarung tangan getah. Dia hanya merenungku. Seperti terlalu sukar untuk dia menyambung kata.

Aku nampak dia menarik nafas dalam sebelum memberitahuku,"Puan, takziah saya ucapkan. Anak puan sudah meninggal dunia."

"Allahuakhbar!"Tanpa segan dan silu aku menangis. Baru sejam yang lepas, aku ditolak masuk ke bilik pembedahan ini bersama perut yang memboyot. Di dalamnya ada cinta hatiku, tapi perutku sudah kembali kempis.. dia sudah tidak bernyawa.

"Puan, sabar puan. Redhakan dengan pinjaman Allah ini. Bacakan al fatihah di telinga."doktor lelaki itu meletakkan anakku di tepi kepalaku. Aku cium pipinya yang montok. Terlalu tersayat hati ini melihat dia hingga air mataku menitis ke pipinya. Sayang, aku tak dapat untuk memeluknya. Aku masih terbaring di atas katil pembedahan ini. Masih berada di dalam bilik pembedahan. Kemudian anak aku di bawa pergi. Aku nampak, dia dibalut keselurahan tubuhnya hingga mukanya tidak kelihatan. Dugaan apakah ni Ya Allah?

Aku menangis, tidak kuhiraukan misi yang memujuk. Air mataku keluar tidak berhenti. Esakkan tangisku makin kuat. Anak yang aku tunggu setelah abang-abangnya besar. Anak terakhir yang aku kandung sebelum tiub fallopianku diikat selepas dua kali aku keguguran. Mujahid kecilku yang Allah pinjamkan cuma untuk tempoh 35 minggu dalam rahimku. Allah... aku tak kuat Ya Allah. Tanpa sempat aku memeluk erat dia, dia sudah dibawa pergi. 

"Puan, sabar puan. Redhakan..." salah seorang mereka yang berbaju biru mengesat air mataku.

"Nak balik rumah boleh?" Aku nak balik rumah. Aku nak lihat anak aku lagi sebelum ayah dia menguruskan pengembumian dia.

"Puan Iffah, puan sekarang sedang berada dalam keadaan bius separuh badan. Dari pinggang ke kaki puan kebas. Kebas ni akan ambil masa 6 hingga ke 8 jam untuk hilang. Lagipun kan puan baru lepas bersalin. Doktor masih perlu pantau keadaan puan." Doktor bius itu cuba memujuk. Tapi aku tetap merayu. 

"Saya nak balik rumah. Saya nak balik terus." Air mataku dikesat seseorang.

"Puan, mengucap banyak-banyak. Istigfar sebanyak mungkin. Selawat ke atas nabi. Sedekah al fatihah untuk anak puan. Ingat satu perkara, perginya dia untuk tunggu puan di sana. Terima qada dan qadar Allah. Dia pergi dijemput Allah tapi telah memberi keuntungan kepada puan. Dia sudah tunggu puan di sana." Air mataku makin lebat. Staf yang menutup muka dengan face mask itu tetap menyeka titisan jernih milikku. Suaranya sebak aku nampak air matanya jatuh.

Aku sudah pulang ke rumah, tapi aku tak dapat tatap wajah anak aku buat kali terakhir. Tiada pelukkan dari aku untuk dia. Kantung susuku sudah empat hari membengkak. Sakit tapi tidak sesakit jiwa aku yang menanggung rindu. Rindu dengan mujahid kecilku.

Hati bertambah sedih bila menatap gambarnya di telefon suamiku. Kepalanya seperti bayi berusia 5 bulan. Agak besar kepalanya. Lengannya normal tapi dari bahagian siku ke jari-jari lebih kecil saiznya. Jari-jari tangannya seperti merengkot. Pehanya besar tapi bahagian lutut ke bawah mengecil. Jari kakinya juga merengkot. Anakku abnormal. Anakku mengalami kecacatan Sindrom Patau. Allahu.. sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk aku dan keluargaku. Aku redha dengan ujianMu ini. Dan aku bersyukur dengan hadiah wangian syurgaMu ini walau cuma sebentar, tapi aku sedar dengan keadaan dirinya begitu.. lebih baik dia dijemputMu. Kerana aku tahu, anak aku sememangnya tidak mampu bertahan dengan lama.

Untuk Aliff Firzan, anak ibu.. al fatihah buatmu sayang. Ibu sayang kamu!


PENGETAHUAN AM :

Polihidramnios

Masalah akan timbul sekiranya air ketuban terlalu banyak. Ini termasuklah :

1. Kedudukan bayi tidak stabil. Bayi akan sering bertukar kedudukannya seperti songsang, melintang dan kepala di bawah.

2. Kandungan nampak terlalu besar dan berat. Kesannya kepada tulang belakang amat ketara apabila anda berasa tidak selesa terutamanya di tri-mester akhir kehamilan.

3. Risiko kelahiran pramatang adalah tinggi kerana proses kelahiran boleh berlaku lebih awal.

4. Disebabkan kedudukan bayi yang tidak tetap, risiko melahirkan bayi secara caesarean adalah tinggi.

5. Kandungan air ketuban yang banyak sering dikaitkan dengan bayi berkemungkinan mempunyai kecacatan. Hal ini boleh dikesan melalui pemeriksaan ultrasound.

6. Kadang-kala masalah ini boleh menyebabkan anda mengalami kesukaran bernafas, berjalan dan lain-lain.

SINDROM PATAU

Sindrom Patau, atau dikenal sebagai Trisomy 13 adalah salah satu penyakit yang melibatkan kromosom, yaitu stuktur yang membawa informasi genetik seseorang dalam gene. Sindrom ini terjadi jika pasien memiliki lebih satu kromosom pada pasangan kromosom ke-13 karena tidak terjadinya persilangan antara kromosom saat proses meiosis. Beberapa pula disebabkan oleh translokasi Robertsonian. Lebih satu kromosom pada kromosom yang ke-13 mengganggu pertumbuhan normal bayi serta menyebabkan munculnya tanda-tanda Sindrom Patau. Seperti sindrom-sindrom lain akibat tidak terjadinya persilangan kromosom, misalnya Sindrom Down dan Sindrom Edward, risiko untuk mendapat bayi yang memiliki Sindrom Patau adalah tinggi pada ibu yang mengandung pada usia yang sudah meningkat.

Sejarah Sindrom Patau kali pertama Sindrom Patau ditemukan oleh Erasmus Bartholin pada tahun 1657. Maka Trisomy 13 juga dikenal sebagai Sindrom Bartholin-Patau. Namun Trisomy 13 lebih dikenal sebagai Sindrom Patau dibandingkan Sindrom Bartholin-Patau karena orang yang menemukan penyebab terjadinya Sindrom Patau adalah Dr Klaus Patau. Beliaulah yang menemukan kromosom yang lebih pada kromosom ke-13 pada tahun 1960, dan beliau adalah seorang ahli genetika asal Amerika yang lahir di Jerman. Sindrom Patau kali pertama dilaporkan terjadi di sebuah suku di Pulau Pasifik. Menurut laporan kejadian tersebut mungkin bersumber dari radiasi yang terjadi akibat ledakan ujian bom atom. 

Gejala dan tanda-tanda Sindrom Patau. Kejadian Sindrom Patau adalah sekitar 1 kasus per 8,000-12,000 kelahiran. Rata-rata umur bagi anak yang mengalami Sindrom Patau adalah sekitar 2.5 hari, dengan hanya satu dari 20 anak yang dapat hidup lebih dari 6 bulan. Namun sejauh ini laporan menunjukkan tidak ada yang hidup sampai dewasa. 


Manajemen medis anak-anak dengan trisomi 13 direncanakan berdasarkan kasus per kasus dan tergantung pada keadaan individual pasien. Pengobatan sindrom Patau berfokus pada masalah fisik tertentu dengan yang setiap anak lahir. Banyak bayi mengalami kesulitan bertahan dalam beberapa hari pertama atau minggu karena saraf parah masalah atau kompleks cacat jantung . Pembedahan mungkin diperlukan untuk memperbaiki kerusakan jantung atau celah bibir dan langit-langit . Terapi fisik, okupasi, dan pidato akan membantu individu dengan sindrom Patau mencapai potensi penuh perkembangan mereka.

Abnormaliti yang biasa terjadi pada bayi yang mengalami Sindrom Patau termasuk: 

1. Bibir sumbing 

2. Memiliki lebih jari tangan atau kaki 

3. Kepala kecil 

4. Mata kecil 

5. Abnormaliti pada tulang rangka, jantung dan ginjal 

6. Pertumbuhan terbantut 



Post a Comment