Thursday, February 25, 2016

Manis As-Syifa'



 Keluhan yang terbit dari bibir gadis itu, kedengaran sangat jelas. Agak keras keluhannya. Sekejap-kejap jari-jarinya memicit pelipis sendiri. Sesekali dia menutup mata. Tanpa dia sedar, ada mata yang sedang ralit memerhati tingkah lakunya.
Entah mengapa hari ini Manis seperti resah sendiri. Seakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis itu. Sedari tadi Alya merenung teman serumahnya. Namun, lonjakkan perasaan Alya untuk bertanya tidak mampu dibentengkan lagi. Perlahan tangannya menyentuh bahu Manis.
“Manis, kau kenapa?”
“Tak ada apa.”Manis hanya menjawab perlahan. Ah, sebolehnya dia ingin menutup keresahan yang sudah terpamer. Tapi, Alya itu sudah terlalu lali dengan sikap Manis. Kerutan di dahi Manis saja dia sudah tahu! Sama ada kerutan bermasalah atau tidak!
“Nak sorok konon! Kau pening eh nak masuk disiplin mana? Ye la.. HO rebutan HOD. Team orthopedik nak kau. Anaest nak kau. O&G nak kau. Pendek kata semua nak kau masuk team dorang.”
Alya dijeling tajam. Bibir yang Manis herotkan menggelikan hati Alya hingga Alya tertawa.
“Berebut la mereka. Aku tak ingin pun nak join mereka tu.” Besar mata Alya mendengar kata-kata.
“Pulak.. Habis kau minta apa? Radiologi? Wei, kalau nak pi radiolagi ke, lab ke kan kena jadi MO kat mana-mana dulu.”Manis hanya menggelengkan kepala apabila Alya mengingatkan perkara itu.
“Aku nak join forensik!”
Erk.
Alya terkaku. Liur seakan berkumpul di dalam mulut. Tidak tertelan! Terkejut dengan kenyataan Manis. Forensik? Aduhai Manis... Aku rasa tak ada seorang pun dari batch kita yang nak jadi MO kat bilik mayat tu. Tiba-tiba kau pulak yang nak pergi situ. Bisik Alya di dalam hati.
“Kau nak apply forensik ke?”soal Alya yang masih terkejut.
“Ya la. Tapi masalahnya sekarang ni, mak aku tak bagi!”
Oh, ini yang buat Manis macam orang serabut jer aku tengok. Mak dia tak bagi rupanya!
“Sebab?” Pandangan mata Alya bertemu dengan anak mata Manis. Manis As- Syifa sememangnya seorang yang berani! Kerana keberanian itulah Manis mahu bergelar doktor forensik.
Bukanlah bermaksud doktor dari disiplin lain tu tidak berani. Kalau tiada keberanian, mereka tidak akan menamatkan pengajian di dalam bidang perubatan. Bidang yang agak berat pembelajarannya. Tapi, bidang forensik ini sangat luas. Ia juga menjadi salah satu cabang yang boleh merungkaikan sesuatu yang payah untuk diselesaikan.
“Hurm.. Takut aku kena badi orang mati! Angin jer aku ni dengar mak aku membebel.” Mimik muka Manis, menyimpul senyum di bibir Alya. Manis As-Syifa’... Doktor pelatih yang berwajah manis! Seorang yang berkaliber dan seorang yang pantas bertindak.
“Habis, abah kau cakap apa?”
“Abah aku ok jer. Tiada bantahan!”

 Nampaknya ada misi yang perlu dilakukan! Misi untuk Manis memujuk hati mak dia. Sungguh, dia terlalu ingin untuk menjadi pengamal perubatan forensik.  Dia mahu menimba pengalaman sebagai doktor forensik sebelum menyambung pengajian untuk dia bergelar pakar perubatan forensik. Tapi untuk dia mengejar cita-citanya itu, dia perlu mendapatkan restu dan reda dari mak dia sendiri.
Reda Allah swt itu setelah kedua ibu bapa kita reda! Agak sukar untuk Manis melembutkan hati mak dia sendiri. Tapi dia nekad, kali ini dia harus berjaya memujuk hati wanita itu.
Hati yang canggung ritmanya, dinyanyikan lagu selawat. Lembut dan perlahan, hanya hati gadis itu yang mendengar. Kaki diatur mendapatkan wanita yang duduk di tepi tingkap itu. Perlahan Manis menjatuhkan lutut ke lantai. Duduk melutut di hadapan Puan Zaifah. Kedua tangan belah tangan Manis menyentuh tangan yang sedikit berkedut itu. Terhenti tangan Puan Zaifah yang mencucuk jarum ke leher baju kurung. Jahitan tulang belut itu terhenti seketika.
“Mak..”seru Manis perlahan.
“Hurm.” Sedikit tegas suara Puan Zaifah. Marah barangkali Manis menggangu tumpuan dia ketika menjahit. Yalah, jahitan tulang belut terlalu rumit. Salah silang laluan benang, memang tak menjadilah tulang belutnya!
“Mak, izinkan Manis ya mak?” bebola mata Manis menjadi statik. Mata bundar gadis itu merenung Puan Zaifah. Padangan matanya penuh dengan rayuan.
“Izinkan apa?” soal Puan Zainah.
Manis As-Syifa’ tahu, Puan Zainah berpura-pura menyoal! Perlahan Manis menghela nafas. Mencari sedikit kekuatan untuk dia menyambung kata.
“Izinkan Manis untuk menjadi doktor forensik.”
Baju kurung yang sedang berada di pangkuan itu, diletak ke tepi. Wajah Puan Zaifah sedikit merah, marah agaknya.
“Mak suruh belajar jadi doktor, untuk Manis rawat orang! Mak nak Manis jadi pakar sakit puan nanti. Bukannnya jadi doktor orang yang dah mati!” Mata tua wanita itu merenung anak gadisnya sendiri.
“Mak, Manis nak jadi pakar forensik mak. Ya, doktor untuk mereka yang telah mati. Kadang kala kematian seseorang itu bukan kerana ajalnya. Betul, kalau Allah SWT tak mengizinkan, si mati itu tidak bertemu dengan ajalnya. Contohnya kematian yang telah dirancang oleh manusia lain.”
Puan Zainah hanya mendiamkan diri apabila Manis As-Syifa’ menggenggam jari-jarinya.
“Di sinilah peranan kepakaran seorang pengamal perubatan forensik.  Setiap laporan yang diberi, akan memberi kesan besar terhadap keputusan mahkamah. Mak tak mahu ke anak mak ni membantu pihak berkuasa? Mak tak ingin ke punya anak yang sama-sama mengheret penjenayah ke muka pengadilan?”Puan Zaifah tetap mendiamkan diri. Tiada kata yang terbit dari bibir wanita itu.
“Mak..” panggil Manis lagi.
“Manis saja anak mak. Mak tak mahu, esok-esok anak mak dijadikan mangsa pembalas dendam. Bukan mak tak tahu tugas-tugas forensik. Zaman sekarang ni, bunuh-bunuh tu dah jadi macam perkara biasa kat Malaysia ni.”
Ternyata luahan Puan Zaifah terkandung dengan seribu kerisauan untuk Manis As-Syifa’.
Allahuakhbar..
Perlahan Manis memeluk Puan Zaifah. Dia tahu kasih seorang ibu tidak akan terhenti walaupun anaknya sudah dewasa. Baik lelaki mahu pun perempuan. Apatah lagi Manis As-Syifa satu-satunya permata kasih milik pasangan itu.
“Mak, sesuatu kerja itu kalau diniatkan kerana Allah SWT; sudah menjadi satu ibadah. Tak kiralah kita kerja apa. Inshaa-Allah, Allah akan bantu kita.” kata Manis seusai melepaskan rangkulannya.
“Mak tak perlu risau.. hanya kes medikolegal saja yang memerlukan pengamal perubatan forensik itu perlu ke mahkamah. Tak semua kes kematian itu perlu dibedah siasat. Malah bukan semua kes mati itu tertakluk sebagai kes polis.” terang Manis perlahan. Berharap sangat Puan Zaifah dapat membezakan antara pengamal perubatan forensik dengan pegawai sains forensik.
Puan Zaifah terpana. Tersedar sesuatu. Dia terdiam, tapi matanya merenung zuriatnya sendiri. Hatinya bagai disimbah air sejuk! Suhu kepanasan di dalam hati tadi dengan perlahan menurun. Dingin.. itu yang dia rasakan sekarang.
Kata-kata Manis As-Syifa’ tadi telah membawa pergi kerisauan yang melanda dirinya. Ya, Puan Zaifah sangat gusar saat Manis memberitahu soal pilihannya selepas tamat housemanshipnya.
Teringat akan kata-kata ustazah yang memberi kuliah;
“Wakafkan anak-anak untuk ke jalan Allah swt. Inshaa-Allah, akan dipermudahkan segalanya.” Kata-kata ustazah itu terngiang-ngiang di telinga Puan Zaifah. Ustazah tersebut telah mewakafkan anak-anak beliau seawal umur 10 tahun untuk mendalami pengajian islam di Tarem.
Kuatnya hati seorang ibu melepaskan anaknya yang sekecil itu untuk berada di luar negara. Tanpa ibu dan ayah. Tanpa sesiapa yang terdiri dari kaum keluarga. Hanya semata-mata dia mahukan anak-anaknya duduk bergaul bersama para ulama.
Astagfirullahal-Azim.. anak aku cuma ingin meminta izin untuk dia bergelar pengamal forensik. Dia mahu merungkai sesuatu yang tersirat. Dia mahu sama-sama membanteras jenayah dengan kepakarannya. Mengapa aku tidak mahu meredakannya? Mengapa aku sukar untuk merestuinya? Sedangkan anak aku sudah berhempas pulas belajar perubatan untuk mengikut permintaan aku. Dia cuma ingin menjadi doktor forensik atas pilihannya sendiri.
“Kalau pilihan Manis kerana Allah SWT, mak akan redakan kerana ingin Allah memberi keredaan-Nya untuk anak mak.”
Bagaimana anak aku mahu mendapat keredaan dari Allah andai aku sendiri tak mahu reda dengan pilihan dan minat anak aku?
Akhirnya Puan Zaifah mengalah. Jika ingin dibandingkan dengan pengorbanan Manis, anak gadisnya itu sudah melakukan apa yang ingin dia mahukan. Sedangkan Manis As-Syifa’ bercita-cita untuk menjadi seorang guru dulu.
Pantas tubuh Puan Zaifah dirangkul. Dipeluk erat oleh Manis As-Syifa’. Setitis air mata gadis itu membasahi pipi. Akhirnya, dia boleh membuat pilihan. Dan pilihannya direstui oleh mak dia sendiri. Restu itu penting. Kalau hati seorang ibu itu terdetik perkataan tidak suka, apa saja yang si anak lakukan tetap tidak mudah untuk dia mengharunginya.
“Terima  kasih mak.”ucap Manis dalam sendu.

“Manis, aku kena pergi Sarawak.” Suara Alya yang kedengaran sedikit sedih itu menyebabkan Manis berkalih. Memandang wajah sendu teman baiknya.
“Sarawak? Bila lapor diri?” soal Manis.
Tiada apa yang perlu dihairankan. Mereka sudah maklum terlebih dahulu penempatan bertugas mereka bukan ditetapkan mengikut kehendak masing-masing.
“Minggu depan. Aduhai.. aku tak nak la pergi Sarawak. Sure aku tak dapat balik ke semenanjung nanti.”
Manis menggeleng kepala apabila mendengar Alya berkata begitu. Ternyata, Alya tidak menjangkakan dia ditugaskan di Sarawak. Sama ada akan bertugas di hospital atau di klinik kesihatan yang jauh ke dalam pedalaman, itu belum diketahui lagi. Kebiasaannya, tempat bertugas hanya akan diketahui setelah mereka melapor diri di Jabatan Kesihatan Nageri.
“Issh, tak la. Sapa kata? Boleh minta tukar nanti.”
“Memang la boleh isi borang transfer. Tapi makan tahun la untuk ditukarkan! Kenapa la aku dapat kat Sarawak? Kalau aku dapat jauh ke kawasan terpencil macam mana?” Manis cuma tersenyum memandang Alya yang sedang menyoalnya.
“Kerja aja la.”Alya menjengilkan mata. Geram dengan jawapan yang keluar daripada mulut Manis As- Syifa’.
“Memang la kerja. Tapi kerja dalam keadaan tak happy tu, memberi impak pada pesakit tau.”
“Kau tau ke kau tak happy bila kat sana?”
Jeda. Alya diam tak bersuara.
“Mana tau kau lebih suka berada kat sana. Silap-silap nanti tak mahu dah balik semenanjung. Ya la.. imbuhan untuk Sabah Sarawak tu lebih besar dari kat semanjung. Boleh banyak buat saving.”
“Ini bukan soal duit elaun la. Aku jadi doktor bukan sebab aku nak claim on call. Sebab aku memang minat dari dulu!”Alya cuba menidakkan apa yang Manis katakan sebentar tadi. Terasa tuduhan manis itu sungguh melampau!
“Hah.. tau pun kau! Kau belajar sampai lima tahun dulu sebab kau memang nak jadi doktor. So, apa salahnya kalau kau ditempatkan di pedalaman sekalipun? Pergi saja la. Tugas kau tetap akan sama; merawat orang sakit yang berbeza cuma persekitarannya saja.
Alya diam seribu bahasa. Benar, kalau sudah minat, dihantar ke mana-mana saja kita akan tetap teruskan minat kita itu.
Sambil tersenyum, Alya mengucapkan terima kasih kepada Manis kerana mengingatkannya soal itu. Dia hampir lupa pada objektif asal dirinya.
“Kau macam mana? Dapat mana?” Manis menyimpul senyum. Perlahan tangannya menghulurkan sekeping surat yang masih bersampul surat coklat. Dengan rasa tak sabar, Alya membuka surat tersebut. Laju saja pembacaannya. Teringin sangat nak tahu penempatan Manis.
“Jabatan Perubatan Forensik Sultanah Aminah Johor Bahru! Alhamdulillah. Tercapai juga impian kau untuk ke forensik. Tahniah Manis!” Alya kedengaran teruja. Dia tidak menyangka, rezeki Manis di sini. Malah Manis beruntung, sangat beruntung sebenarnya. Rumah milik keluarganya juga tidak terlalu jauh dengan hospital tersebut. Berbanding dengan hospital yang sedang mereka habiskan housemanship ini.
“Alhamdulillah. Allah makbulkan. Aku solat hajat tau. Sebab nak sangat pergi situ. Alhamdulillah.. Allah dengar permintaan aku.”
Alya turut tersenyum bilamana Manis gembira dengan penempatannya itu. Ya, Manis terlalu gembira, wajahnya jelas terpancar kegembiraan itu. Senyumannya juga terlalu Manis hari ini. Itu yang Alya dapat lihat dengan matanya sendiri. Pastilah Manis berasa terlalu gembira apabila dia berjaya menempatkan diri di unit yang dia inginkan.

Manis tekun mendengar penerangan ketua jabatannya menerangkan misi,visi dan objektif jabatan perubatan forensik tersebut. Tapi Manis lebih tertarik dengan piagam pelanggan bagi jabatan itu. Tempoh satu jam diambil untuk mengambil jenazah dari wad atau dari Jabatan Kecemasan selepas petugas diberitahu tentang kematian tersebut. Masa yang diperuntukkan untuk menyerahkan jenazah bersama dokumen-dokumen berkaitan kepada waris adalah 30 minit selepas tuntutan dilakukan. Manakala masa untuk bedah siasat medikolegal dilakukan adalah 2-4 jam setelah semua yang terlibat termasuk pasukan polis berada di mortuari sebelum bedah siasat dilakukan. Bagi masa menunggu laporan bedah siasat pula adalah dalam tempoh 3 bulan daripada tempoh laporan tersebut dipohon.
Mata Manis terpaku tetapi hatinya tetap meneruskan bacaannya. Kemudian dia terangguk-angguk perlahan. Ya, sesuai sangat piagam bagi jabatan itu. Orang meninggal tak boleh berlenggah untuk diuruskan. Kalau boleh jangan sampai hingga terlepas dua waktu solat. Bisik hati Manis.
“Ada apa-apa nak tanya Manis As-Syifa’?” Pandangan mata Manis bertemu dengan Doktor Fuad. Ketua Jabatan Perubatan Forensik tersebut.
“Tak ada apa, doktor.” Senyuman Manis mengiringi jawapan yang meniti di bibir gadis itu.
“Kalau tak ada apa-apa nak tanya, mari ikut saya. Kita tengok tempat penyimpanan jenazah pula ya?” Manis hanya mengangguk. Kakinya pantas menyaingi langkah dokor Fuad itu. Sekarang bilik mayat ini akan menjadi rumah keduanya. Dia harus tahu selok belok rumah sendiri!
Apabila mereka melewati deretan kabinet seakan loker itu, doktor Fuad berhenti. Dia tegak berdiri di situ. “Ok Manis As-Syifa’ di sini tempat penyimpanan jenazah. Bahagian ni, jenazah muslim. Di sebelah sana non muslim.” Manis menoleh ke sebelah kirinya. Terdapat deretan loker yang sama seperti di hadapannya.
“Doktor, kalau patient yang operation ray’s amputation biasanya jari mereka tu akan diserahkan kepada mereka semasa di wad. Tapi kalau kaki yang jalani pembedahan Below Knee Amputation (BKA) atau Above Knee Amputation (AKA) kat mana kita simpan?”soal Manis.
Teringat semasa dia bertugas di jabatan orthopedik, majoriti pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis kronik, terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong jari atau kaki yang telah dijangkiti kuman. Kebanyakan pesakit warga emas suka menahan kesakitan yang dialaminya. Mereka beralasan takut ke hospital, nanti kena potong kaki! Mentaliti yang sukar untuk diubah dalam masyakarakat kita. Semasa sakit yang baru terasa itu, kebanyakan mereka lebih suka berubat secara kampung.
Ada saja yang menggunakan daun sireh yang ditumbuk lumat, kemudian dipupukkan di bahagian yang sakit itu. Pengalaman Manis sendiri pernah bertemu dengan pesakit seperti itu. Terperanjat sungguh Manis apabila jari kaki pesakit itu gugur dengan sendiri! Apabila disoalselidik, pesakit itu mengaku dia menggunakan segala jenis daun herba untuk membalut jari kakinya.
Allahuakhbar! Kalaulah pesakit itu rujuk ke hospital terlebih awal, bukankah jari pesakit itu boleh diselamatkan? Tak semestinya pesakit kencing manis itu perlu potong kaki. Tak, bukan begitu! Masih ada cara untuk merawatnya.
“Oh. Kalau anggota badan, kita tempatkan di sini.” Tunjuk Doktor Fuad ke arah satu lagi bahagian loker penyimpanan itu.
“Saya rasa yang ini mesti awak tahu kan?” Manis hanya tersenyum lalu menjatuhkan kepalanya. Ya, dia tahu apa yang sedang berada di hadapannya itu.
Sebuah tempat yang seakan meja, yang diperpuat daripada besi aluminium tahan karat. Hanya setinggi paras pinggang Manis As-Syifa. Meja tersebut juga sudah tersedia lubang laluan air. Terdapat juga pili air di bahagian atas meja itu.
Di sinilah sekujur mayat akan diletakkan. Di atas ruang inilah mayat tersebut akan menjalani pembedahan bedah siasat. Tak kira lelaki atau perempuan, tak kira muslim atau tidak, di sinilah mereka akan terbaring untuk doktor forensik mencari punca kematian mereka.

“Doktor Fuad, maaf mengganggu. Ada masalah sikit ni.” Kedua-dua mereka menoleh ke arah suara itu. Baik doktor Fuad sendiri mahupun Manis As-Syifa’, sama-sama berpaling memandang doktor Johny. Doktor lelaki ini tergesa-gesa mendapatkan doktor Fuad dan Manis.
“Kenapa ni Johny?” Sedikit berkerut dahi doktor Fuad apabila dia bertanya.
“Relative patient mengamuk kat luar.” Terang Doktor Johny. Manis menelan liur, di bilik mayat pun masih ada yang ingin mengamuk? Huh, Ingatkan hanya di wad atau di dewan bedah! Atau di jabatan-jabatan lain saja. Desis hati Manis.
“Sebab apa?” tanya Doktor Fuad lagi.
Iya juga.. pasal apa waris pesakit mengamuk di bilik mayat? Manis hanya memandang sambil memasang telinga.
“Mereka tak nak buat post mortem. Mereka kata, nanti kita ambil semua organ.”  Berkerut dahi Manis mendengarnya.
“Johny, awak ni tahu ke tidak polisi untuk kita lakukan bedah siasat?” Tanya Doktor Fuad sedikit tegas.
“Tahu bos. Tapi saya takut nak terangkan pada mereka. Tengok muka mereka pun saya sudah kecut.” Doktor Fuad menggeleng.
“Pengecut! Nak expalain dengan relative pun takut!” merah muka Johny apabila Doktor Fuad menyergahnya sebegitu.
Doktor Fuad memandang Manis, “Manis, waris pesakit boleh atau tidak menolak post mortem?”
“Kalau bedah siasat klinikal mereka boleh saja menolak untuk tidak kita bedah. Bedah siasat medikolegal pun boleh, tapi waris harus mendapatkan perintah dari mahkamah majistret  terlebih dahulu.” Jawab Manis penuh yakin.
“Good. Sekarang pergi terangkan pada waris kat luar. Apa dan kenapa kita perlu lakukan post mortem?” Manis berpandangan dengan Johny. Dia hanya mampu menelan liur apabila ketua jabatannya itu berlalu pergi.
“Johny, saya tak tahu apa-apa pasal body tu.”
Kurang asam betul la si Johny ni! Dia boleh serahkan fail  pesakit ni saja? Habis aku la ni yang kena berdepan dengan waris yang sedang mengamuk tu?
“You baca ni dulu eh? Jangan lama-lama tau!” Johny mengingatkan Manis. Waris  yang sedang menanti di luar itu perlu diuruskan secepat mungkin. Pantas Manis membaca setiap helaian laporan yang ditulis oleh doktor yang merawat pesakit tersebut.

Dari mata Manis, dia dapat melihat sebuah keluarga sedang dirundung duka. Ah, insan yang disayang telah menemui sang pencipta. Siapa yang tak menangis? Perlahan kakinya melangkah, entah mengapa segenap hatinya turut berasa sayu. Tiba-tiba Manis teringatkan Encik Azam dan Puan Zaifah. Andai sampai janji Allah SWT, dia juga akan menempuh detik ini. Sama seperti yang sedang terhidang di depan matanya.
Kita semua pinjaman milik Allah! Hak mutlak Allah SWT!
“Assalammualaikum.” Ucap Manis saat dia sudah berada di hadapan keluarga waris tersebut. Salamnya dijawab dengan tegas oleh seorang lelaki. Mungkin anak waris. Desis Manis.
“Maaf ya encik, puan. Saya doktor Manis As-Syifa’. Boleh saya tahu, mengapa pihak waris menolak untuk melakukan bedah siasat?”
“Ayah saya tu dah meninggal. Kenapa nak bedah lagi? Nak ambil semua organ dalaman dia ke? Saya tak izinkan doktor bedah ayah saya!” Lelaki tadi terus meninggi suara pada Manis As-Syifa’. Ahli keluarga yang lain juga tak mahu memberi keizinan untuk prosedur bedah siasat dijalankan.
Perlahan Manis menggeleng kepala. Dia tahu mereka dalam kesedihan, tapi Manis perlu menjaga hati mereka. Dalam pada masa yang sama, Manis perlu menerangkan kepada mereka, objektif bedah siasat bukan begitu! Bukan untuk mengambil organ dalaman manusia!
“Encik salah faham ni, bedah siasat bukan untuk ambil organ si mati.”
“Ahh, jangan nak menipu la doktor!” kata-kata Manis terus dipotong, belum sempat lagi Manis menyudahkan penerangannya.
“Astagfirullahal-Azim. Bertenang encik! Mengucap boleh? Dengar dulu apa yang saya mahu cakapkan.” Terdiam lelaki tadi apabila Manis bertegas menegurnya. Senyap seketika ruang perjumpaan mereka.
“Kami hanya jalankan bedah siasat untuk mengetahui sebab-sebab dan punca kematian. Bukan ambil organ si mati. Untuk pengetahuan semua, organ si mati sudah tidak berfungsi apabila jantung sudah tidak berdegup. Jadi tiada guna pun organ-organ tersebut. Sebarang permindahan organ, perlu mendapatkan kebenaran dari waris. Itu sekiranya si mati itu menjadi pengikrar derma organ. Dan bilik mayat bukan tempat untuk melakukannya!”seluruh keluarga itu diam tidak berkutik. Hanya saki baki tangisan saja yang kedengaran.
“ Doktor, makcik tak nak post mortm tu. Kesiankanlah arwah suami makcik. Makcik tak sanggup!” Lirih suara wanita yang sudah berumur itu. Lebih berumur daripada Puan Zaifah. Hati Manis tersentuh.Tulusnya kasih sayang wanita ini, hingga dia tak sanggup jasad kaku suaminya disakiti.
Ya Allah, kau berikanlah aku kekuatan untuk berdepan dengan mereka. Andai sebuah kematian itu dugaan-Mu buat keluarga ini, Kau ringankan dan permudahkan segala urusan aku dan mereka.
“Puan, arwah suami puan meninggal dengan tiba-tiba. Kematian mengejut. Cuma dengan bedah siasat saja kita akan ketahui punca kematiannya. Seperti yang dikeluarkan oleh fatwa kebangsaan; hukum asal pembedahan mayat itu haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenal pasti punca kematian dan penyelidikan khususnya dalam bidang perubatan.”
Jeda. Semua yang berada di situ menghadam kata-kata Manis As-Syifa’. Melihatkan mereka tidak memberi jawapan, Manis tahu; mereka tetap tak mahu bedah siasat dijalankan!
“Tapi kalau keluarga puan tetap menolak postmortem dilakukan, kami tak boleh memaksa. Lagi pun, bedah siasat ini hanya bedah siasat klinikal. Bukan kes polis. Kami akan uruskan tuntutan  jenazah secepat mungkin. Saya minta diri dulu ya?” sempat Manis menepuk perlahan tangan yang sudah mula berkedut itu. Dan tanpa dijangka, Manis ditarik oleh tangan itu ke dalam dakapannya. Manis menelan liur.
“Terima kasih, nak. Terima kasih banyak-banyak!” Luahan isteri si mati itu mengundang sebak di hati Manis. Air matanya juga bertakung menanti pecah!
“Sudah tugas saya puan.” Manis terus beredar daripada mereka semua. Puas ditahannya air mata supaya tidak jatuh di khayalak ramai. Tapi dia kalah! Air mata Manis tetap jatuh saat dia berpaling daripada mereka.
“Doktor Manis As-Syifa’…”Pantas Manis menyeka air matanya, menyembunyikan sendu yang singgah sebentar tadi.
“Ya..” ada getaran di dadanya saat melihat susuk tubuh di hadapannya. Jantungnya mengepam laju darahnya hingga naik ke atas. Pipinya tiba-tiba rasa panas saat matanya menangkap bebola mata milik lelaki itu.

      Manis mengamati si dia yang segak berdiri. Seraut wajah yang tak pernah dia lupakan. Lelaki ini yang menolong dia ketika dia jatuh dan mengalami kelukaan gara-gara diragut. Dia masih ingat, kejadian yang berlaku di tahun pertama dia bergelar doktor pelatih. Sudah dua tahun kejadian itu berlalu.
Malam itu hujan renyai-renyai. Sudah lewat malam ketika itu. Manis yang baru saja habis shif petang, berjalan kaki menuju ke rumah sewanya. Ya lah, shif petang houseman akan berakhir pada detik 12 malam. Kawasan perumahan yang Manis menyewa itu tidak terlalu jauh dengan hospital. Dan selalunya Manis cuma berjalan kaki saja andai Alya jadual Alya tidak sama dengannya.
Sedang Manis berjalan kaki itu, tiba-tiba beg sandang Manis direntap kasar dari tepi. Manis cuba menarik semula beg tersebut, tetapi lelaki yang sedang memakai topi keledar itu menendang perut Manis. Malah dia menendang berkali-kali perut Manis yang sudah jatuh terbaring.  Ada juga tendangannya terkena pada kaki Manis As-Syifa’. Manis menjerit meminta tolong dalam menangis, tapi tak seorang pun yang mendengar. Bahkan tiada satu kenderaan pun yang  lalu di situ. Peragut itu terus berlari ke arah kawannya yang sedang menanti di motosikal.
Dalam susah payah Manis cuba bangkit dan mengatur langkah. Terbongkok-bongkok dia menahan sakit diperut dan kaki. Sudahnya langkah Manis menjadi pincang. Tidak teratur! Terlalu sakit Manis rasakan! Hanya beberapa meter saja lagi untuk dia sampai di simpang perumahan sewanya. Akhirnya Manis rebah ke bumi, tidak tertahan dengan senak di perut. Terlalu sakit!
Dan lelaki di hadapannya ini yang membantu Manis. Entah dari mana dia datang, entah siapa pun dia; Manis tak tahu! Pertemuan yang tidak berulang. Hanya sekali pertemuan mereka. Lelaki itu yang membawa Manis ke hospital. Lelaki itu yang menguruskan segala-galanya. Tanpa sempat Manis bertanyakan nama dia sudah meninggalkan Manis di Jabatan Kecemasan & Trauma itu. Dia pergi dalam keadaan tergesa-gesa.
Manis masih ingat, lelaki itu memakai jaket kulit hitam. Sebelum dia pergi, sempat dia menegur Manis.
“Lain kali jangan jalan kaki seorang diri lagi. Apatah lagi hari dah jauh malam!”
Dan hari ini, suara itu bergema lagi di telinga Manis. Suara yang sama. Manis tak pernah lupa! 

“Manis, ASP tadi tu kirim salam kau. Dia pesan, jangan jalan kaki sorang-sorang.”
ASP? Lelaki tadi pegawai polis yang berpangkat ASP? Soal Manis di dalam hati.
“Manis! You dengar tak I cakap ni?” Johny mengetuk meja di hadapan Manis menyebabkan Manis panggung kepala.
“Dengarlah.” Manis hanya jawab sepatah. Fikriannya melayang entah ke mana.
“You kenal dia ke?” soal Johny. Tapi Manis hanya menggeleng.
“Hurm.. pelik la. Tak kenal, tapi dia pesan jangan jalan kaki sorang-sorang.” Johny terus diam apabila Manis tidak memberi sebarang respon tentang bebelannya tadi.
“Atau you tak nak mengaku yang you kenal dia?” tersungging bibir Manis mendengar apa yang Johny katakan
Manis menggelangkan kepala lagi, “Buat apa saya tak nak mengaku kalau saya betul-betul kenal dia?  Saya tak kenal dia siapa, awak cakap dia ASP baru saya tau dia pegawai polis.”
Assistant Superitendent Police.. tapi siapa nama dia pun Manis tak tahu! Tadi pun selepas pegawai polis itu menegurnya, dia hanya menyampaikan kata ingin bertemu dengan Doktor Johny. Itu saja!  Nampaknya pertemuan kedua antara Manis dan lelaki itu berlalu begitu saja. Sama seperti beberapa tahun yang lepas! Dan yang peliknya, bagaimana dia tahu sebaris nama Manis As-Syifa’ tu?

“Manis, masuk ikut pintu belakang. Mak dah buka pintu. Baju Manis masuk dalam mesin basuh. Cuci terus!” Manis mengeluh perlahan. Namun dia tetap berjalan perlahan di tepi rumah, menuju ke pintu belakang. Mujur la rumah mereka tu rumah paling hujung! Mudah untuk ke pintu belakang.
Mak.. tak pernah berubah! Dari hari pertama aku jadi MO di forensik sampai la sekarang. Dah jadi pakar pun, mak tetap pesan benda yang sama setiap hari. Pelik sungguh! Mak kata takut ada yang mengikut balik. Hurm.. entahlah, susah nak cakap. Sepanjang aku bertugas, tak ada pula aku ni kena kacau dek hantu. Yang penting nawaitu kita tu kena betul. Kita kena menghormati setiap jenazah yang kita uruskan. Muslim ke tak muslim ke, kita niatkan kerana Allah swt. Inshaa-Allah, Allah akan jaga kita!
“Manis, tu ada posmen hantar surat siang tadi. Mak letak kat atas meja tu.” Beritahu Puan Zaifah saat Manis keluar dari biliknya. Pantas Manis mengambil sampul surat putih itu.
Alya!
Dari tulisan tangan itu, Manis sudah tahu siapa penghantarnya. Perlahan tangan Manis menarik  isi sampul tersebut. Alhamdulillah.. bisik hati Manis.
“Surat apa tu Manis?”
“Kad jemputan kahwin Alya, abah. Dia jemput kita sekeluarga hujung bulan ni. Nanti kita pergi ya?” Encik  Azam cuma mengangguk bersetuju.
“Hurm.. elok juga tu. Nanti boleh Manis curi sireh junjung si Alya tu.” Berkerut dahi Manis mendengar Puan Zaifah menyampuk sebegitu.
Curi sireh? Mak ni mula la dia nak ajar aku yang bukan-bukan!
“Hissh.. orang nak pergi majlis kahwin, untuk meraikan pengantin. Yang nak suruh anak awak mencuri tu buat apa? Molek sikit perangai tu maknya!”
Manis menyimpul senyum apabila Encik Azam menegur Puan Zaifah. Nada suara abahnya senada, tapi Manis tahu Encik Azam memaksudkannya.
“Apa pulak? Tu petua orang tua-tua bang oii. Orang lelaki ni apa yang dia tahu? Kalau kita lambat kahwin, curi sireh junjung pengantin tu. Lepas tu kunyah! Kalau awak tak risaukan anak awak tak berkahwin, saya ni yang hari-hari dok fikirkan dia tahu tak? Umur makin meningkat. Kita makin hari dimamah usia. Anak orang lepas sorang-sorang naik pelamin. Anak kita? Hari-hari dok mengadap mayat! Tak kisah langsung soal jodoh!”
Gulp.
Manis cuma mendiamkan mulut. Tapi boleh cair tahi telinga kalau Puan Zaifah sudah mula membebel soal jodoh! Dan Emosi Puan Zaifah juga sudah berubah!
Encik Azam menoleh ke arah Manis, “Jangan dilayan mak kamu tu Manis. Abah tak ajar anak abah mencuri. Petua..petua.. awak ingat, awak suruh anak awak curi sireh pengantin;  jodoh akan turun langit ke?” bibir Puan Zaifah sedikit ke depan. Muncung!
“Tu bunga yang berderet kat dalam pasu awak tu tak nak petik?”
Riak wajah Puan Zaifah berubah apabila Encik Azam bertanya. Di dahinya jelas terlintang kerutan.
“Eh, awak kan pandai sangat bab petua orang tua-tua ni. Mandikan la anak awak ni dengan 7 jenis bunga. Biar naik sikit seri muka dia tu. Maklum la, kerja hari-hari tengok mayat, seri pun dah hilang. Agaknya kan, anak awak ni orang tengok macam hantu kot. Tu pasal orang tak nak kat anak awak!”
Puan Zaifah mengetap bibir. Dia tahu, suaminya sengaja memerli dirinya!
Ah.. sudah. Mak dan abah perang sindir-menyindir!
“Mak..abah. Sudah la tu. Kalau belum jodoh, mak suruh Manis kunyah sireh pengantin ke, abah suruh mandi bunga ke, memang tetap tak berjodoh! Tapi kalau ‘petua’ agama mak ikut tak apa.” Kata-kata Manis menyebabkan muka kedua orang tuanya berubah. Lebih-lebih lagi Puan Zaifah.
“Jangan berhenti mendoakan Manis, doa seorang ibu itu makbul. Doakan Manis bertemu lelaki yang boleh mengimamkan Manis. Yang boleh mendidik Manis. Lelaki yang anggap mak dan abah sebagai ibu bapanya sendiri.”
Tangan Encik Azam dan Puan Zaifah dicapai. Kedua-duanya dicium silih berganti. Dia tahu.. Mereka risaukan dia. Ibu bapa mana tak risaukan anak sendiri? Tapi nak buat macam mana? Doa saja petua yang paling layak untuk diamalkan! Beribu-ribu doa yang kita ucapkan dengan kudus dari hati, pasti Allah mendengarnya.
“Manis masuk tidur dulu ya? Esok ada mortality meeting.” Sebaris senyuman diberikan untuk Encik Azam dan Puan Zaifah. Manis bangkit dari dudukan menuju ke bilik. Kad jemputan Alya dibawa sekali. Terkesan dengan kata-kata Manis, Encik Azam dan Puan Zaifah terkunci mulut. Tidak mampu membalas kata-kata anak mereka sendiri. Tapi naluri dan pandangan mata seorang ayah, Encik Azam tahu Manis As-Syifa’ sedikit terluka dengan saranan isterinya tadi.
Hurm.. Aku pun sama naik juga! Siap kata orang tengok anak aku macam hantu. Alahai.. Ni semua pasal petua bini aku. Petua-petua.. Tak sudah-sudah dengan petua! Kang aku bagi petua berkongsi suami; baru dia tahu!

Dalam menanti lena datang menjengah, Manis hanya terkebil-kebil memandang hamparan bintang di langit-langit biliknya. Ralit matanya yang masih segar itu merenung sticker glow in the dark pada plafon biliknya. Mata memerhati bintang di dalam kegelapan bilik, tapi mindanya ligat mengingati peristiwa siang tadi.
Ah, lelaki tadi sedang mengganggu fikirannya! Bintang yang selalu menjadi terapi Manis As- Syifa’ sebelum tidur;  tidak berjaya menenangkan fikirannya. Aroma terapi pati ros yang memenuhi segenap ruang biliknya tidak mampu menenangkan dirinya!
“Kalau you tak kenal dia, kenapa dia suruh ingatkan you; jangan jalan kaki sorang-sorang?” Suara Doktor Johny menampar gegendang telinga Manis.  Pertanyaan rakan sejawatnya itu hanya dijawab dengan mengangkat bahu. Banyak kali Johny bertanya, namun dia tiada jawapan! Sudahnya dia hanya mengjongket bahu.
Sungguh, Dia tak kenal lelaki itu!
Walaupun pesanan yang disampaikan kepadanya sama seperti beberapa tahun dulu, kenyataannya mereka tak pernah berkenalan! Pertemuan mereka sekadar atas sikap keperihatinan seorang manusia. Lelaki itu menjumpai jasad seorang gadis yang terkujur di tepi jalan. Tapi Manis tahu, lelaki itu mengingati dirinya. Buktinya pesanan yang dititipkan untuknya tetap sama seperti kali pertama dulu. Tiada perkataan lain yang digunapakai!
Akhirnya Manis terlena dalam kekusutan yang tidak terurai…

“Manis, kenapa I called tak angkat?” soal Johny.
Manis yang baru saja mencecahkan punggung di kerusinya, menoleh sekilas. “Kan saya pergi meeting. Silent-kan telefon la.” Pantas tangan Manis mengubah sound setting telefonnya.
“Kenapa?” soal Manis.
“Ada brought in dead case (BID) tengah on the way.”
Manis hanya mengangguk. Faham apa yang diberitahu oleh Johny itu. Mayat yang dibawa dari luar oleh pihak polis. Dalam ertika lain kes polis! Dan wajib perlu menjalani bedah siasat! Cuma mayat yang sedang dalam perjalanan itu belum boleh diklafikasikan dibawah kes apa, Manis tak tahu! Boleh jadi nahas jalan raya ( motor vehicle accident), kes bunuh diri (suicide) atau kes jenayah (homicide).
Mata Manis mencuri pandang jam bonia yang melilit di pergelangan tangan kanannya. Sudah pukul 4.30 petang! Alamaknya hari ni balik lambat! Terus saja Manis bangkit dari dudukan, pada Johny ditinggalkan pesan. Dia mahu ke surau bagi melunaskan hutangnya dengan Allah. Nanti apabila body sampai, pasti akan ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Sementara belum sibuk, baiklah dia menunaikan solat asarnya terlebih dahulu.

Borang P61 yang telah dikeluarkan oleh pihak polis itu diteliti satu persatu. Borang  P61 (Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat, Polis 61 Pindaan 4/86)  itu seakan mandotari bagi semua doktor yang bertugas di forensik untuk  memulakan autopsi. Akhir sekali mata Manis terhenti di sepotong nama; yang tertera  di dalam salah satu ruang pada borang tersebut. ASP Uqasyah Wazien. Tidak semena, Manis panggung kepala. Spontan! Namun pantas Manis melarikan pandangan matanya bertembung dengan mata lelaki itu.
Uqasyah Wazien.
Manis mengulangi sepotong nama itu.
Jadi yang jumpa aku terbaring di tepi jalan dulu tu polis? Dan dia sedang berdiri di hadapan aku?
Manis teringat seseuatu..
Kes polis! Ini juga bermaksud, dia akan turut serta ketika sesi post mortem dijalankan sebagai pemerhati. Allah..mengapa jantung ini berdegup laju?

Ukasyah Wazien hanya memerhati Manis yang sedang memakai gaun pakai buang yang bwarna kuning. Hidung dan mulutnya juga sudah ditutupi face mask. Perlahan jari-jaring runcing itu memasuki ruang jari di sarung getah tersebut. Manis As-Syifa’ sudah bersedia untuk memulakan autopsi sambil dibantu oleh doktor lain.
Ukasyah tetap setia berdiri memerhati Manis. Jelas di telinganya Manis sedang membaca surah Al-Fatihah. Bersedekah ke atas si mati. Walaupun perlahan tapi tetap sampai di pendengaran Ukasyah. Bilik mayat yang sunyi daripada sebarang bunyi itu sangat membantu untuk Ukasyah dengar terang apa yang keluar dari bibir Manis.
“Maaf, pak cik.. saya doktor Manis As-Syifa’. Izinkan saya menyentuh tubuh badan pak cik. In shaa Allah.. saya takkan sakiti tubuh badan pak cik. Saya janji  saya akan lakukan kerja saya dengan lemah lembut. Bismillah..” Dengan lafaz itu, barulah Manis mengambil pisau pembedahan itu dan memulakan tugasnya.
Benar, Manis As-Syifa’ melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu cermat sekali. Seperti yang telah diriwayatkan di dalam hadis; dari Aisyah r.a Rasulullah SAW bersabda:
“Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkan/mematahkannya sewaktu hidupnya.”
(Riwayat Abu Daud)
Dia terlalu professional! Walaupun dia berasa tidak senang apabila ASP Ukasyah berada ketika bedah siasat itu berlangsung. Namun Manis tetap melakukan tugasnya seperti biasa. Seolah-olah ASP Ukasyah itu tiada di situ. Sehinggalah sesi bedah siasat itu tamat selepas 2 jam berikutnya. Peluh-peluh halus menghiasi dahi Manis. Panas? Tak mungkin! Bilik mayat ini agak sejuk d  isebabkan oleh penghawa dingin. Atau Manis berperang dengan perasaan kerana ASP Ukasyah?
 Dari mata Ukasyah, Manis seorang yang sangat berani. Dia tahu, bidang perubatan forensik bukan mudah untuk belajar. Hatinya terdetik rasa kagum. Malah dia tak sangka, Allah pertemukan mereka lagi di bilik mayat! Ah, di mana tempat pertemuan itu sememangnya tidak terjangka. Lihat saja kali pertama dia menjumpai Manis. Di tepi jalan dan gadis itu berada di dalam keadaan tak sedarkan diri!
ASP Ukasyah ralit memerhati tingkah laku Manis, tanpa sedar bibirnya tersenyum sendiri. Dia tetap manis seperti dulu! Desis hati Ukasyah.
Melihatkan Manis sudah menyelesaikan segala urusannya, Ukasyah perlahan mendekati doktor itu. “Terima kasih doktor.”
Manis panggung kepala, bibirnya koyak senyum.
“Tanggungjawab saya, tuan.”
 Aduh, semanis madu senyuman dia. Wajar la nama dia Manis As-Syifa’!
Ada getaran di dalam hati Ukasyah. Namun dia hanya mampu menahannya di dalam diam. Hati Ukasyah terdetik sesuatu, bagaimana andai doktor Manis ini milik orang?
Jangan cari pasal Ukasyah!
“Doktor parking kereta kat mana? Gelap ni..” soal Ukasyah. Bimbang, apatah lagi parkir yang berdekatan dengan bilik mayat itu gelap. Lampu yang ada hanya di bangunan jabatan forensic itu saja. Tiang lampunya ada, tapi limpahan cahayanya tiada! Rosak barangkali.
“Dekat saja tuan. Petang tadi saya sempat alihkan ke situ.”  Jari telunjuk Manis tegak menghala ke keretanya. Tidak terlalu jauh dari tempat mereka berdiri. Lampu simbah di tepi bilik mayat itu menjelaskan pandangan mata Ukasyah terhadap kereta Manis. Terus saja memori Ukasyah mengakses huruf dan nombor empat angka itu.
“Saya balik dulu, tuan.”  Ukasyah hanya mengangguk sambil membalas senyuman Manis.
“Hati-hati.” Hanya itu yang mampu keluar daripada ulas bibir Ukasyah. Matanya menyoroti langkah Manis yang berlalu pergi.
Mengapa setiap pertemuan hanya sebentar yang Allah aturkan untuk aku dan dia?
Nafas dilepaskan kasar. Letih, tapi ASP Ukasyah masih belum boleh pulang ke rumah. Dia perlu ke ibu pejabat untuk menyelesaikan sedikit urusan berkenaan kes baru ini. Namun, tiba-tiba Ukasyah tersenyum sendiri.
Kes baru! Lelaki tua yang ditemui mati ditikam bersama dua bilah pisau di sisi akan disiasat di bawah kanun keseksaan syeksen 302. Pastinya doktor tu akan pergi ke tempat kejadian untuk melihat sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kematian si mati. Kemudian, apabila tiba saatnya nanti, dia akan turun naik mahkamah sebagai saksi professional. Nampaknya hari ini bukan hari terakhir aku akan berurusan dengan dia. Ukasyah berkata-kata di dalam hati.
Wajah yang sedikit tegang itu mula mengendur. Senyuman yang tadi cuma tersungging, kini semakin melebar! Masih akan ada pertemuan lagi antara dia dan Manis As-Syifa’!

 Manis memerhati keadaan sekeliling, fikirannya ligat mencernakan hasil bedah siasatnya semalam. Tak mungkin! tak mungkin tak ada bukti lain. Mustahil polis hanya menjumpai dua bilah pisau sahaja! Sedang kepala si mati itu seperti dipukul berkali-kali dengan objek tumpul. Kematiannya bukan kerana tikaman, tetapi akibat pendarahan di kepalanya!
  Lantai yang telah diconteng mengikut kedudukan  ketika si mati dijumpai direnung oleh Manis. Ada bekas darah yang sudah kering di situ;  di bahagian kepala. Tak mungkin kerana pergelutan dan kepala mangsa dihentak ke lantai berkali-kali. Bisik hati Manis.
Ukasyah yang sedari tadi memandang Manis, cuba berteka-teki sendirian. Mengapa doktor Manis itu sedang berfikir sesuatu? Apakah bukti yang kami jumpa bercanggah dengan apa yang dia ketemui semasa bedah siasat?
“Kenapa doktor? Ada sesuatu ke?” akhirnya Manis disoal. Hati tak betah melihat doktor itu merenung dan memerhati sekeliling seorang diri.
“Betul ke cuma dua bilah pisau yang ditemui?”
Jawapan Mani situ mengundang tanda tanya dalam hati Ukasyah. Namun kepalanya terlebih dahulu mengangguk. Sedangkan hatinya ingin menyoal sebelum menjawab!
“Pasti ada bukti lagi yang belum ditemui atau sudah dihapuskan.”
“Maksud doktor?” sengaja Ukasyah menyoal. Sedangkan  hatinya faham. Ah, kes belum pun 24 jam lagi. Pastilah siasatannya baru hendak bermula!
“Bahagian kepala si mati dipukul berkali-kali dengan objek tumpul dan keras.”
“Ya..saya tahu darah di lantai tu bukan sebab hentakan ketika bergelut.” Kata Ukasyah. Matanya meratah disetiap inci muka Manis As-Syifa’. Wahai mata, jangan sengaja menambah dosaku! Desis Ukasyah di dalam hati.
“Tuan!” Ukasyah menoleh ke arah suara yang menyapa.
Plastik besar jernih itu diangkat tinggi. Jelas di mata Ukasyah dan Manis melihat apa isi kandungan plastik tersebut. Manis tersenyum. Ya, itulah buktinya! Objek itu yang digunakan bagi menghentikan nadi si mati dari terus berdenyut. Sebatang kayu besbol yang terdapat kesan darah!
“Kat mana jumpa?” Manis hanya mendengar.
“Dalam bilik anak gadis si mati.” Berkerut dahi Manis mendengarnya.
Takkanlah pelakunya anak si mati! Tapi boleh jadi juga. Sekarang ni apa saja boleh terjadi. Kadang-kadang orang yang kita tak sangka itulah si pelakunya. Hurm.. itu sudah tugas polis Manis, tugasan kau sudah berakhir. Pasti gadis itu akan ditahan reman untuk membantu siasatan. Maka, tunggu saja prosiding mahkamah nanti.

Panggilan telefon daripada Alya tadi mampu membuatkan Manis hilang fokus terhadap kerjanya. Matanya memerhati skrin yang sudah gelap itu. Hilang sudah bicara bakal pengantin itu. Alya mahu Manis menjadi pengapitnya nanti! Itu yang buat Manis termenung panjang.
Mahu doktor itu tak termenung, majlis nikah Alya akan berlangsung pada hari jumaat ini selepas solat jumaat. Hari ini sudah hari rabu! Alya..mana boleh kata tidak padanya! Alya sudah lama berkawan dengan Manis. Apalah sangat dengan permintaan Alya yang mahukan Manis menjadi pengapitnya;  jika dibandingkan dengan susah senang mereka dari zaman belajar dulu.
Nampaknya terpaksa pergi awal!
Pantas jari Manis lincah menari di atas keyboard. Carian chalet yang berdekatan dengan rumah Alya diakses. Yalah, takkan mahu tidur di rumah pengantin? Lagipun Manis mahu membawa sekali Encik Azam dan Puan Zaifah. Mustahil dia tiga beranak mahu bermalam di rumah pengantin, chalet la yang menjadi pilihan Manis As-Syifa’. Boleh juga dia menenangkan fikiran sambil bawa orang tuanya berjalan di sekitar Melaka nanti. 
Mujur juga hari khamis, cuma separuh hari bekerja; sebelum maghrib Manis sudah sampai di chalet Hajah Mahawa di Pengkalan Balak. Elok saja punggungnya mencecah tilam, pintu biliknya diketuk orang. Tak perlu diteka siapa gerangannya, Manis tahu Encik Azam yang mengetuknya. Pasti abahnya mahu meminta kunci kereta.
“Nah!”
“Hai, tak minta lagi dah hulur?”Manis hanya sengih memandang abahnya.
“Tahu dah. Masjid kat depan tu jer tau abah.”
Sambil mengangguk. “Dah nampak tadi.”
“Manis tak ikut ke?” soal Puan Zaifah yang baru saja keluar dari bilik sebelah.
“Cuti mak.”
Mendengarkan si anak berkata begitu, terus saja Puan Zaifah membuka langkah mengekori langkah Encik Azam. Sempat juga dia memesan agar Manis tidak lelap waktu senja begini. Maklumlah, anak daranya itu keletihan memandu. Manis hanya tersenyum lebar.
Mak ni.. macam tau-tau aja orang nak baring kejap.
Hishh.. kan mak tu, pasti la dia tahu sekilas air muka kau tu Manis oii!

Sambil menanti Encik Azam dan Puan Zaifah pulang dari Masjid, Manis berjalan kaki di pantai. Sengaja dia memilih menyusuri kawasan berpasir itu. Deruan ombak itu mengamit hati Manis untuk menikmatinya. Bukan tiada jalan tar untuk ke deretan kedai di sebelah sana, lagipun kawasan pantai itu agak terang untuk disusuri. Itu yang menyebabkan Manis memilihnya.
Panggilan telefon daripada Alya itu sedikit menyentakkan Manis. Suara Alya kedengaran tenggelam timbul lantaran dek angin laut yang bertiup. Namun, Manis tetap memasang telinga dengan tekun. Mendengar percakapan Alya.
“Manis, kau kat mana?”
“Pantai, kenapa?”
“Jangan lupa datang rumah aku, ambil baju pengapit ni.” Terhenti langkah Manis mendengar suruhan Alya itu.
Baju pengapit? Macam la aku ni tak ada baju nak pakai!
“Aku ada bawa baju la.”
“Hishhh, baju kau tak cantik!” Sela Alya.
“Amboi! Kau tau ke aku bawa baju yang mana?”
Alya ketawa besar di hujung talian. Manis menjeling seakan Alya berada di depan matanya.
“Alah, mesti la aku sponsor. Kan aku yang nak kau jadi pengapit aku. Datang ambil tau! Aku tunggu.” Arah Alya lagi.
Alahai.. siap sponsor! Apa rupa la baju si Alya belikan tu. Jangan yang serabut ada rambu ramba sudah la! Alya ni kadang-kadang bukan boleh percaya selera dia.
“Tunggu la. Lepas makan nanti. Ni aku tunggu mak dengan abah aku balik masjid.” Beritahu  Manis sambil kakinya menguis-nguis pasir di hujung kakinya.
“Oh..ok. Jangan lupa tau!”
Manis hanya mampu mendengus kasar apabila Alya mengingatkan dia lagi. Namun dia tersenyum sendiri. Kalut! Takut sangat orang tak datang ambil baju tu. Bisik hati Manis.

 Manis terlalu cantik apabila mengenakan baju yang telah disediakan oleh Alya. Walaupun hanya sekadar jubah dress yang berwarna pink belacan, tapi shawl yang berwarna biru terqoise itu begitu membangkitkan warna baju tersebut. Apatah lagi Manis As-Syifa’ itu tinggi lampai! Senyuman yang menghiasi bibirnya sangat manis.
Saat Manis memayungi Alya yang mengatur langkah perlahan di tengah halaman, mata Manis terpaku. Jantung seakan laju berdegup. Pengapit pengantin lelaki itu sangat dikenali! ASP Ukasyah.. Allah, kecilnya dunia!
“Alya, siapa pengapit suami kau tu.”  Bisik Manis di telinga Alya.
“Kawan  Firhan.”
Kawan?
“Kenapa?” soal Alya dalam bisikan juga.
“Tak ada apa. Pernah jumpa dia kat bilik mayat.”
Diam. Perbualan bisikan mereka berakhir apabila Alya dan Manis sudah berada betul-betul di hadapan pengantin lelaki. Mata Manis menyapa senyuman manis ASP Ukasyah. Si tampan itu bertambah kacak apabila bibirnya terukir senyuman. Manis hanya mampu membalas senyuman itu. Agak kekok sedikit rekahan bibir Manis. Dia malu sebenarnya!

Usai majlis Alya tadi, Manis terus memandu ke Banda Hilir. Bukannya tak pernah pergi, tapi sengaja mahu pergi lagi. Manis sudah berjanji dengan Encik Azam dan Puan Zaifah untuk jalan-jalan di sana.  Kereta sengaja Manis parkir di parkir kereta Mahkota Prade. Mereka hanya perlu menyeberang jalan saja untuk ke Bukit St.Paul.
Dari A’Famosa mereka menaiki anak tangga di situ. Perlahan saja Manis mendaki, sengaja mahu menunggu Encik Azam dan Puan Zaifah. Entah, berkali-kali datang ke Melaka; berkali-kali juga mereka sekeluarga mendaki bukit ini. Tak jemu langsung! Walaupun di atas bukit ini hanya terdapat tinggalan sejarah zaman penjajahan Portugis ke atas Melaka. Dulu dari atas Bukit St. Paul ni, boleh nampak Selat Melaka, tapi sayang.. sekarang sudah tidak kelihatan lagi. Pesatnya pembangunan, sudah menjauhkan lagi laut dan daratan.
Manis leka memerhati pelukis jalanan melukis kubu Melaka itu. Cantik! Desis hati Manis. Tanpa sedar, ada sesorang sedang mendekatinya.
“Kan saya pesan, jangan jalan sorang-sorang. Kenapa degil sangat ni?!”
“Tuan! Tuan buat apa atas bukit ni?”
“Jawab soalan saya. Kenapa jalan sorang-sorang? Kan tempat ramai orang ni! Peragut bukan kira tempat perlancongan ke apa. Yang dia tahu dia ada mangsa!”
“Err.. tuan salah faham ni. Saya bersama family saya. Saya saja jer bagi mereka peluang kat mak dan abah saya honeymoon. Dorang kat situ..”  mata Ukasyah  mengikut hala jari  telunjuk Manis.
Benar, ada pasangan suami isteri sedang duduk di atas batu sambil memandang ke arahnya. Perlahan kaki Ukasyah melangkah ke arah Encik Azam dan Puan Zaifah. Setelah bersalaman dengan abah Manis, Ukasyah berlalu pergi. Manis hanya memandang lelaki itu, tidak sekalipun dia menoleh ke belakang.
Ah, dia memang macam tu! Datang tak dijemput, pergi tak dihalau! Lantak dia la.
Hampir sejam juga Manis bersama mak dan abahnya di atas Bukit St. Paut itu. menikmati hiburan dari seniman jalan di situ. Suara lelaki yang bermain gitar itu sangat merdu. Walaupun hanya bermain gitar, tapi dia sangat berkebolehan. Setelah meletakkan sekeping not sepuluh ringgit di dalam topi yang disediakan, baru Manis mengajak orang tuanya turun dari bukit tersebut.
Elok saja Manis menjejakkan kaki di gerai kraftangan yang terdapat di Dataran Belanda itu, Manis disapa oleh Ukasyah.
“Beli apa?”
“Kus semangat! Tuan!” Ukasya hanya tersengih memandang Manis.
“Tuan ni ikut saya ke?” tanya Manis tanpa malu.
“Eh,Tak la!”
“Habis tu? Tadi kat atas bukit, sekarang kat sini.”
“Kebetulan jer. Saya pun jalan-jalan macam awak  juga. Tadi, lepas turun bukit tu, saya masuk IPK sekejap. Jumpa kawan. Lepas tu saya nampak awak turun tangga tu sorang diri.” Ukasyah menunjukkan anak tangga bangunan Stadhuys itu.
“IPK? Ibu pejabat kontijen polis? Yang kat depan Muzium Islam tu ke?”
Ukasyah hanya mengangguk.
Fuhhhh…Nasib baik ada IPK yang boleh dijadikan kambing hitam!  Ya la.. IPK tu terletak di bawah Bukit St. Paul. Berhadapan dengan Muzium Islam.
Dan sebenarnya memang Ukasyah mengintip dan mengekori Manis As-Syifa’ tapi, takkan nak mengaku? Apa motif ASP Ukasyah turun pangkat jadi mata-mata untuk seorang doktor forensik? Bukannya si Manis tu penjenayah yang sedang diburu!
“Orang tua awak mana?” Mata Ukasyah meliar sekeliling. Sukar mencari Encik Azam dan Puan Zaifah. Ramai sangat pengunjung yang berkeliaran di sekitar Dataran Belanda itu. Di sini, kalau tak singgah, memang tak lengkaplah berkunjung ke negeri Melaka.
“Ada, kat Pancuran Air Pancut Victoria tu. Nak makan cendol, dah habis pulak. Duduk saja la mereka di situ.”
Bermula di situlah Ukasyah memberanikan diri meminta nombor telefon Manis. Tanpa sedar mereka semakin rapat dan mesra. Bibit percintaan mula dirasai. Tanpa sedar sudah setengah tahun mereka bercinta. Namun, siapa sangka hujan boleh turun dengan lebat di kala panas terik mentari.

 “Awak, Mak saya bagitau ada orang hantar cincin merisik untuk saya.”  
“Amboi, tak sempat lagi saya beli cincin untuk awak.. Dah ada orang merisik awak?” Nada suara Ukasyah kedengaran seperti sedang berjauh hati dengan Manis.
“Please la Syah.. Jangan nak perli saya. Saya tak tahu menahu pun pasal ni. Tadi telefon mak baru mak cakap.”
“So, awak terima?” Soal Ukasyah.
“Kan saya ada conference...”
“Saya tak tanya awak ada sekali ke tidak. Saya tau awak tak ada sekarang. Awak pergi postmortem conference. Saya tanya, awak terima ke tidak?”
Manis terdiam. Air matanya tiba-tiba memenuhi kolam matanya. Cepat saja air mata itu membasahi pipinya.
“Manis As-Syifa’... awak dengar tak? Kenapa senyap?”
“Bukan saya yang terima, Syah. Tapi mak terima tanpa pengetahuan saya..”
Akhirnya Manis teresak!
Ukasyah mengeluh keras!
Manis menyeka air matanya sendiri. Dadanya terasa sakit. Saat Puan Zaifah memberitahu tentang kedatangan tetamu yang membawa hajat itu, Manis resah sendiri. Hatinya seakan dapat mengagak penghujung perjalanan cintanya. Manis berada di persimpangan, kalau dia meneruskan langkah, ada harapan yang akan musnah. Andai Manis memilih jalan lain, hati Ukasyah dan hatinya yang akan kecewa.
Manis buntu, bagaimana mahu memilih? Sedangkan cincin tanda itu sudah diterima oleh Puan Zaifah. Dan penerimaan cincin itu sudah mengikat Manis As-Syifa’! Maka tiada pilihan yang mampu Manis lakukan.
Tapi.. Kalau Ukasyah bertindak sekarang, mungkin masih mampu dia mengubah pilihannya. Ah, silap Manis sendiri. Dia yang terlalu berahsia. Dia yang menyembunyikan tentang  hubungannya dengan Ukasyah.
“Syah... Jumpa abah saya please..” Tiba-tiba Manis merayu.
Ukasyah mengeluh lagi.
“Dari awal lagi saya nak jumpa family awak. Tapi awak larang saya kan? Awak kata kenal hati budi masing-masing dulu. Sekarang, bila dah jadi macam ni.. baru minta saya datang? Dah cukup kenal hati saya ke doktor Manis As-Syifa’?”
Pipi Manis terasa pijar. Bagai ditampar orang! Tajam sungguh sindiran Ukasyah. Bukan saja muka Manis berbahang, hatinya juga bagai dilapah-lapah. Ya.. Memang berkali Ukasyah ingin berjumpa dengan Encik Azam, tapi Manis melarang! Kalaulah Manis biarkan Ukasyah bertandang ke rumahnya, pasti Puan Zaifah takkan menerima cincin tanda itu.
Manis menangis lagi. Menyesali larangan dia dulu. Nak menyesal pun tak berguna lagi Manis. Awak dah jadi milik orang!
“Tak apa la, belajar la terima keputusan mak awak tu. Tak ada jodoh kita barangkali.”
“Semudah itu awak pujuk saya, Syah?! Sesenang itu awak mahu mengalah?!”
Manis meninggi suara. Geram, Ukasyah tahu Manis sedang melepaskan kegeramannya. Manis marah Puan Zaifah sebenarnya, hanya kerana menerima sebentuk cincin belah rotan. Cincin yang Manis tak tahu siapa penghantarnya. Puan Zaifah cuma beritahu, bakal tunangannya itu telah lama mengenali diri Manis. Puas difikir, tapi tiada seorang pun yang Manis dapat teka siapa yang telah merisiknya.
“Saya bukan mengalah Manis... tapi saya belajar untuk reda. Saya pujuk hati sendiri untuk terima pilihan keluarga awak. Sebab saya tahu, tiada seorang ibu pun yang mahu anaknya tak bahagia dunia akhirat. Kecewa... Ya, saya kecewa. Bertahun saya mencari awak. Hari-hari saya berdoa agar Allah ketemukan lagi dengan awak. Gadis manis yang saya tolong dulu. Dan doa saya termakbul. Kita ketemu lagi. Tapi mungkin kita memang hanya untuk berkawan.”
Makin kuat tangisan Manis. Tangisan itu sangat-sangat menuntun jiwa lelaki Ukasyah. Kalaulah, Manis sedang berada di hadapannya, pasti sudah ditariknya Manis ke dalam pelukan! Memujuk gadis pujaan hatinya. Tapi apakan daya, Manis nun jauh di Hong Kong menghadiri persidangan autopsi peringkat antarabangsa di sana. Kesian doktor cantik manis itu, pasti fokusnya sudah hilang.
“Manis As-Syifa’... Saya sayang awak. Dan saya tahu awak juga sayang saya. Tolong jangan menangis lagi. Reda.. Manis. Reda untuk melepaskan saya. Belajar untuk melupakan saya, sebelah jari awak sudah tersedia cincin untuk disarungkan. Cuma tunggu awak balik saja.”
“Syah! Saya tak nak orang tu. Saya cuma nak awak!”
“Syhhh..please sayang... Dengar sini, kadang-kadang orang yang kita sayang, orang yang kita cinta bukan jadi milik kita. Setiap percaturan itu, Allah sudah sediakan yang terbaik untuk kita.”
“Syahhhhh..”
Ketenangan suara Ukasyah makin membuatkan Manis sakit hati. Makin lebat tangisan air matanya! Hati yang baru kenal cinta itu sudah terluka. Sakit.. Tak tertahan Manis rasakannya. Marahkan Ukasyah pun ya juga, mudah sangat menerima apa yang Manis katakan. Pada Manis, Ukasyah tidak berani mempertahankan perasaan lelaki itu sendiri. Ukasyah sendiri tak mahu perjuangkan cinta mereka!
Akhirnya, Manis mematikan panggilan tersebut. Tiada lagi suara Ukasyah memujuknya. Hilang sudah cintanya sekelip mata. Yang ada cuma air mata... menemani kedinginan malam Manis As-Syifa’ di pulau itu. Perlahan Manis merebahkan kepala di atas bantal. Matanya ditutup agar dia dapat menghilangkan segala-galanya.

“Ni kenapa monyok jer? Tak suka ke Zain minta cepatkan pernikahan tu?”
Zain.. Zain mana la yang nak berbinikan sangat aku ni! Tabah la hati.. Ingat pesan Syah, reda!
Sejak panggilan telefon di Hong Kong seminggu lepas, Manis cuba untuk melupakan ASP Ukasyah itu. Tiada lagi pertemuan. Tiada lagi pesanan ringkas yang mengandungi kata-kata rindu. Tiada lagi panggilan telefon di tengah malam hanya untuk mengucapkan cinta mereka.
Cinta mereka sudah bernoktah! Dan Manis sedang belajar untuk melupakan seraut wajah tampan itu.
“Abah.. Mak kata Manis balik, pihak lelaki nak bertunang dulu. Apa hal pulak tiba-tiba nak nikah terus?” Soal Manis berani. Musykil sungguh hatinya.
“Elok la tu Manis. Nikah kahwin ni buat apa nak ditangguh-tangguhkan? Zain tu kenal lama dah anak abah ni. Dia kata, bimbang Manis sambung belajar nanti sampai lupa nak kahwin.”
Encik Azam tergelak kecil sebelum menyambung lagi.
“Nampaknya, bakal menantu abah tu sangat faham anak abah ni! Ya la kan, Manis kalau dah pegang buku memang tak ingat benda lain. Kan?”
Bahu satu-satunya anak gadisnya diraih. Mengelus lembut di situ. Hati Manis tersentuh, bukan keperihatinan si bakal suaminya. Tapi kerana wajah tua Encik Azam itu nampak gembira. Dikerling pula pada Puan Zaifah yang sedang mengaturkan cawan untuk abahnya. Wajah maknya pun sekarang selalu senyum. Apatah lagi apabila sedang bertelefon, bila ditanya; bakal menantu yang telefon!
Haihhhh, mengalahkan orang bercinta!
“Abah, kenapa bakal menantu ayah tu tak pernah nak telefon Manis sendiri. Dia tak nak tanya ke Manis ni suka kat dia ke tidak?”
“Kenapa? Manis tak suka ke cincin Zain bagi tu?” Sampuk Puan Zaifah. Encik Azam hanya merenung muka Manis, dia cuba menghadam kata-kata si anak.
Manis menelan liur. Punggungnya bergerak sedikit membetulkan dudukan.
Bukan soal cincin mak, tapi soal hati! Hati Manis ada orang lain!
Serasa itu yang mahu Manis luahkan. Tapi dia tahu, kalau tersalah cakap, pasti Puan Zaifah mengamuk!
“Tak ada la. Manis tanya aja.” Perlahan saja suara Manis. Sempat juga kepala digelengkan.
“Dia sibuk sayang. Dia pesan kat Manis jaga diri. Lagipun dia tengah selesaikan semua urusan nikah kahwin tu. Dia nak majlis berlangsung sebelum Manis pergi buat sub.”
Manis mendiamkan diri, mendengar apa yang Encik Azam sampaikan. Mana dia tahu, aku nak sambung belajar? Hurm, mesti la mak yang beritahu! Mak ni... Bisik hati Manis.
“Entah la ayah. Belum tahu lagi.”
Mana-mana pun boleh. Bukan dunia perubatan kat Malaysia ni tak maju. Kalau tak maju, kita tak akan ada program ijazah lanjutan perubatan di sini. Tak mungkin, kita dapat melahirkan doktor pakar di negara kita sendiri. Manis ingin menyambung subspeciality dalam Patologi Forensik, mungkin sebab itu Zain mahu mempercepatkan pernikahan mereka.

“Mak..”seru Manis.
“Kenapa Manis?”
Tangan si anak dicapai. Matanya jatuh ke muka Manis yang sudah didandan. Cantik! Manis yang dalam sepersalinan serba putih susu itu tampak begitu ayu. Jari-jari runcing yang dihiasi inai itu menaikkan lagi seri pengantinnya. Terus saja Puan Zaifah meraih tangan Manis.
Sejuk!
“Manis takut?” Manis hanya menunduk. Terasa sebak sendiri. Dia sendiri tak tahu mengapa!
“Adat la nak. Gadis yang menanti akad dilafaz itu memang akan alami seperti Manis rasakan sekarang. Inshaa-Allah, Zain mampu jadi imam Manis dengan baik.” sebuah ciuman kudus dari si ibu singgah di dahi anak gadisnya.
“Manis tunggu saja dalam bilik ni. Zain yang minta sesi batal air sembahyang tu, dilakukan di di sini. Pelamin tu hanya untuk bergambar saja katanya.” Kelu lidah Manis untuk bertanya. Ah, sememangnya begitulah seeloknya. Bisik Manis sendirian.
“Beri laluan.. Pengantin nak masuk!” Makin berdegup kencang jantung Manis mendengar suara itu.
Pengantin nak masuk? Itu bermaksud.. aku sudah sah bergelar isteri kepada Zain!
Pantas saja, Kepala ditundukkan. Jari-jarinya menggenggam erat bunga tangan di atas pehanya.
“Maaf ya.. Boleh tak tinggalkan pengantin berdua? Si suami mahu imamkan isterinya terlebih dahulu.” Usai berkata begitu, seluruh ruang bilik itu yang tadi gamat dengan usikan kini sunyi sepi. Manis masih lagi tak mampu untuk panggung kepala.
“Assalammualaikum isteriku... Izinkan saya mengimamkan awak untuk kali pertama.”
Suara yang begitu lemah lembut itu menggetarkan naluri Manis As-Syifa’. Setitis air mata Manis jatuh di pipi. Hatinya makin sebak. Pantas saja dia bangkit dari kerusi kecil itu. Tanpa teragak-agak, Manis membentangkan sejadah miliknya. Diambil lagi sehelai dari dalam almari, dihamparkan pula di belakang sejadah tadi. Sememangnya, Manis sudah berwuduk sedari tadi. Dia hanya menanti adamnya di sejadah sementara lelaki itu berlalu ke bilik air di dalam biliknya itu.

“Ya Allah ya tuhanku, jadikanlah aku suami yang baik. Yang sentiasa melindungi perasaan hanya untuk isteriku yang sah. Jauhilah kami dari sebarang fitnah dunia. Lindungilah rumahtangga yang baru kami bina. Suburkanlah cinta di hati kami, sebagaimana cintanya Nabi Muhammad SAW terhadap Siti Khadijah. Kurniakanlah kasih sayang isteriku sepertimana kasih sayang Zulaikha terhadap Yusuf-Mu. Kurniakanlah kami keluarga yang sakinah, mawaddah, wa-rahmah dan kekalkanlah hingga ke jannah. Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Terima kasih Ya Allah, atas penyatuan-Mu terhadap hati kami. Aamiin Ya Rabbal A’lamin.” Setiap butir doa yang dipohon oleh Zain, sungguh menusuk hati Manis. Air matanya tanpa dipaksa menitis lagi. Hatinya juga turut  mengaminkan doa-doa tersebut.
Usai berdoa, lelaki yang telah sah bergelar suami kepada Manis itu berpaling menghadapnya. Perlahan tangan kanan dihulur untuk bersalam. Manis hanya menyambut. Tanpa disuruh, dia tunduk mengucup belakang tangan si suami. Ada satu perasaan halus menjalar di dalam dirinya.
Saat Manis panggung kepala, dua ulas bibir sang suami mendarat di dahinya. Tidak semena kelopak matanya terpejam. Damai.. itu yang dirasakan sekarang!
“Terima kasih sudi terima saya dalam hidup awak.”
Bibir merah Zain senyum mekar lagi. Tiada sebarang reaksi dari Manis, dia hanya melarikan pandangan matanya dari bertembung dengan mata Zain. Faham dengan keadaan Manis yang masih kekok, Zain cuba bangkit dari tikar sejadah.
“Awak..”
“Tak apa, saya faham. Lagipun, mereka tengah tunggu kita kat luar.” Sisa air mata di hujung mata Manis, diseka lembut oleh Zain.
“Comot dah  mata ni.” Zain senyum lagi, dia tahu isterinya mahu cakap sesuatu. Tapi biarlah dulu. Masih ada banyak masa lagi untuk mereka bersama.
Pintu bilik yang tertutup itu, dibuka oleh Zain. Kaum saudara yang sedari tadi menanti terus saja masuk ke bilik pengantin itu. Perlahan Zain mendapatkan Manis semula bersama pengiring yang membawa dulang batal air sembahyang.
Seutas rantai emas berloketkan hati, diambil dari bekasnya. Perlahan Zain mendekatkan tubuhnya pada Manis. Rapat, sangat rapat. Apabila rantai itu sudah dikalungkan ke leher Manis yang ditutupi shawl itu, Zain menghulur tangan untuk bersalam. Sesi batal air sembahyang kali kedua selepas mereka berjemaah tadi. Sekali lagi dua ulas bibir milik Zain, menyentuh dahi Manis. Selesai upacara tersebut, barulah mereka beriringan ke ruang tamu di bawah. Tangan kanan Manis, digenggam kemas oleh Zain. Mereka hanya mengikut arahan dari untuk  pose yang jurugambar mahukan.
Begitu juga ketika majlis persandingan di sebelah petang. Manis tak banyak bercakap, dia hanya menurut apa yang keluarga mereka mahukan. Bukan dia tak kisah langsung, tapi ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dari senyuman yang sedikit canggung itu, Zain tahu.. fikiran Manis tidak bersamanya ketika ini.
Setelah berakhirnya majlis mereka, Manis cepat-cepat naik ke biliknya. Laju saja tanganya membuka setiap pin tudung yang banyak tersemat di kepalanya. Kepala yang mula berdenyut mula meminta untuk dibebaskan. Manis perlu membasahkan rambutnya! Baju pengantin yang tersarung ditubuhnya, dilucutkan segera. Mujur juga busana yang digayakan sekadar dress labuh dan longgar. Tak adalah susah untuk Manis menanggalkannya!
Elok saja kakinya melangkah ke bilik air, pintu bilik terkuak dari luar. Cepat-cepat Manis menghilangkan diri ke dalamnya. Bunyi air pancuran yang deras, memberitahu Zain bahawa isterinya sedang mandi. Perlahan Zain mengutip pakaian pengantin yang berada di lantai. Penyakut baju di dalam almari digunakan untuk menyakut baju Manis. Matanya mengerling jam di tangan. Lamanya mandi! Bisik hati Zain.
“Manis, jangan lama sangat. Asar nak habis ni.” Beritahu Zain sambil mengetuk pintu bilik air itu. Tak sampai lima minit, Manis sudah terjengul di muka pintu siap berpakaian. Wajahnya masih basah. Rambutnya juga basah! Zain yang hanya bersinglet sambil tuala melilit pinggang tidak berkata apa. Terpaku dirinya melihat Manis yang kelihatan sangat segar di mata.
“Saya tunggu awak imamkan saya.” Zain mengangguk, terus dia menutup pintu bilik air.
Suasana menjadi hening lagi apabila Zain membaca doa yang sama seusai mereka nikah. Setiap bicara hati Zain itu menggetarkan hati Manis. Tatkala bibir Zain menjauh dari dahi Manis, mata redup itu merenung mata si isteri. Tangan Manis yang mula menanggalkan kain telekung itu disentuh perlahan. Terbantut pergerakkan Manis untuk melipat kain putih bersulam bunga itu.
“Manis As-Syifa’… tak nak tanya apa-apa pada suami awak ni?” soal Zain lembut.
“Banyak! Terlalu banyak saya nak tanya. Tapi saya sendiri tak tahu dari mana hendak mula. Rasa tertipu.” Luah Manis bersama air mata yang mengalir. Manis sebak sendiri!
Pantas Zain menarik Manis ke dalam pelukannya. Dipeluk erat sang isteri. Dia tahu Manis rasa tertipu dengan perbuatannya ini. Manis hanya menangis, sedikitpun dia tak membalas sentuhan suaminya.
“Syhhh..”
“Kenapa awak buat saya macam ni Syah? Kenapa?”
“Dengar dulu apa yang saya nak cakapkan boleh?” tubuh Manis yang seakan menyorok di dadanya dijauhkan. Muka yang lencun dengan air mata itu dikesat dengan jari-jarinya.
“Saya, Ukasyah Wazien beristerikan Manis As-Syifa’ bukan dengan pembohongan. Saya melamar isteri saya berwakilkan ibu dan ayah. Ibu dan ayah memang panggil saya Zien. Pada mulanya, saya terlupa pesan pada mereka. Tentang Syah. Hanya awak yang panggil saya Syah! Hati saya gembira bila mak dan abah terima pinangan saya.”
Manis hanya diam. Dia lebih banyak mendengar. Telinga jelas menangkap keluhan berat dari bibir suaminya. Serba salah ya encik suami?
“Malam awak called dari Hong Kong tu, saya hanya mahu menguji awak. Saya nak dengar rayuan awak pujuk saya. Tapi sayang… awak terus lupakan saya. Awak langsung tak telefon, tak mesej, tak nak jumpa saya. Kejam betul awak ya? Awak seksa hati saya.”
“Ya la.. Zain dah pinang dia dulu. Kita ni sapa..” Manis menjeling apabila Ukasyah sengaja buat-buat berjauh hati.
“E’eh dia ni… dia yang kejam! Orang macam orang gila kat Hong kong tu tau tak? Menangis sampai ke pagi. Dia sedap kat sini main-mainkan orang!” Ukasyah senyum. Dia terlalu rindukan Manis As-Syifa’. Tanpa berlengah, Manis dipeluk erat lagi. Tanpa malu seluruh wajah isterinya dicium. Manis terpaksa menahan muka Ukasyah dengan jari-jarinya.
“Syah! Stop it!”
“Rindu. Sangat-sangat!” gemersik suara Ukasyah seakan menggoda Manis.
“Saya nak tanya pasal borang nikah. Bukan ke borang tu nama Zain? Tandatangan pun Zain.” Berkerut-kerut dahi Manis menyoal.
“Memang la saya tulis Zain, dah awak tu mati-mati nak bersuamikan si Zain tu.” Ukasyah mencebik.
“Mana boleh padam. Kan dakwat hitam?”
“Saya guna pensil la sayang. Pensil 2B lagi.” Ukasyah hanya menjawab dalam sengih. Diciumnya lagi muka Manis As-Syifa’.
“Kenapa awak tak call saya sendiri? Kenapa call mak?”
“La… dengan mak sendiri pun nak cemburu?”
“Bukan cemburu la! Dah la tak telefon, buat orang tercari-cari sapa Zain tu. Sibuk konon!” Ukasyah terlepas tawa. Dia terasa lucu apabila Manis yang mencuka mengherotkan mulutnya.
“Memang tengah sibuk la sayang time tu. Court kes. Awak marah saya lagi tak?”
Manis diam. geleng tidak, angguk pun tidak.
“Ke bengang sebab tak dapat kahwin dengan Zain?” pantas Manis mencubit lengan Ukasyah.
“Patut la awak minta batal air sembahyang dalam bilik. Siap minta dorang tu semua keluar bilik tinggalkan kita berdua. Awak takut saya mengamuk kat bawah ya?”
Ukasyah ketawa lagi.
“Untung saya, dapat isteri bijak. Tak payah nak terangkan, dia dah faham. Tapi kan sayang, part minta dorang tu keluar bukan sebab takut awak mengamuk depan orang. Tapi saya memang nak imamkan awak untuk kali pertama. Takkan nak tayang kita sembahyang kat orang?”
 Manis hilang punca kata. Ukasyah Wazien sudah sah jadi suami dia. Nak tanya apa lagi? Takkan nak mengamuk? Tak ingat setiap butir bicara hatinya bersama Allah? Bukan ke kau yang mengaminkan doa-doanya? Bukankah Ukasyah Wazien yang berada di hati kau? Hati Manis berkata-kata sendiri.

“Nak pergi mana?” soal Ukasyah apabila melihat Manis mula membuka langkah.
“Turun la. Tengok yang bersepah kat bawah tu. Takkan nak duduk dalam bilik pulak?”
“Tak payah. Saya dah kemas tadi. Tak ada apa nak kemas lagi. Caterer pun dah datang ambil barang-barang dorang. Sini, duduk dekat saya.” Ruang tilam di sebelah Ukasyah ditepuk perlahan.
Apabila Manis sudah berdiri di hadapannya, tangan si isteri ditarik supaya menurut permintaannya.
“Saya nak cerita dengan awak.”
“Cerita apa?”
Manis hanya memerhati jari-jarinya yang sudah bersulam dengan jari Ukasyah. Bibirnya tersenyum sendiri tatkala matanya tertacap tiga jari kanan Ukasyah turut berinai. Di tangan kiri juga turut berinai. Siang tadi dia tak perasan! Yalah, hati libang libu. Mana nak tengok orang lain!
“Sebenarnya kan sayang, masa kat Banda Hilir  tu saya memang follow awak.” Besar mata Manis apabila Ukasyah mula membuka cerita.  Bebola mata Manis jadi statik merenung Ukasyah.
“Masa awak jalan sorang-sorang kat pantai pun saya intip awak.”
“Hah?!” Ukasyah sengih.
Kali ni, mesti isteri aku betul-betul mengamuk!
“Mak dengan abah ada sekali.”
“Mak..maksud awak apa?”
“Saya bermalam depan bilik awak, sayang. Saya nampak dari tingkap masa awak sampai petang khamis tu. Saya sengaja jumpa abah kat masjid. Saya minta awak dengan abah kat masjid. Mula-mula abah terkejut dengar. Tapi bila saya cakap, saya lelaki yang telefon abah masa anak dia kena ragut dulu. Abah cuma memeluk saya.”
“Awak yang telefon abah?” Ukasyah hanya mengangguk. Sungguh, hari ni terlalu banyak perkara yang masuk ke dalam kepala otak Manis As-Syifa’!
Seawal jam sebelas pagi, dia sudah sah bergelar isteri orang. Terkejut bukan kepalang apabila suara suami yang memberi salam adalah suara lelaki yang berjaya mencuri cintanya. Pengakuan demi pengakuan dari Ukasyah  menyebabkan kepala Manis makin sakit.
“Ya, tapi bukan saya yang seluk telefon dari dalam poket awak. Koperal Dhila, sayang. Saya yang minta dia memeriksa badan awak. Malam tu kami ada operasi, kami jumpa awak terbaring di tepi jalan.
Ya, Manis masih ingat. Sudah menjadi kebiasaannya, telefon akan disimpan di dalam poket seluar. Di tepi cover telefon itu, disisipkan kad pengenalannya. Dan Manis juga ingat, Ukasyah menitip pesan sebelum pergi apabila dia  sudah sedar. Keesokkannya, Encik Azam dan Puan Zaifah sudah terjengul di birai katilnya di wad tersebut. Menangis-nangis, Puan Zaifah melihat keadaan Manis ketika itu.
“Siapa sangka, kita ketemu lagi. Pasal pengapit pula, memang saya tak tahu awak kawan Doktor Alya. Isteri Firhan, kawan baik saya. Saya nak minta kita bergambar berdua masa tu, tapi saya malu. Sudahnya saya intip awak sampai ke Banda Hilir.”
“So, awak memang bukan dari IPK kan masa tu?”
Ukasyah senyum simpul. Kemudian dia menggeleng.
“Tak. Abah bagitau, awak nak pergi kat Bangunan Stadhyus. Saya pergi dulu kat situ.”
“Abah bagitau?”
Sekali saja anggukan kepala Ukasyah menyebabkan Manis merebahkan badannya ke tilam yang bersalut cadar merah hati itu. Perlahan dia mengiring, kemudian dia membawa lutut ke dadanya sendiri. Tangisannya pecah di situ!
“Sayang… please maafkan saya!” perlahanUkasyah memeluk Manis dari belakang.
Dia tahu, Manis rasa tertipu. Dia sedar Manis rasa dipermainkan. Tapi dia tak ada pilihan lain. Ya.. silap dia, tak berterus-terang pasal pinangan atas nama Zain itu.
“Awak kejam Syah! Awak biarkan saya tanggung sorang-sorang! Saya macam orang gila menangis kerana awak. Tapi.. awak seronok main-mainkan saya!”
“Tak sayang! Abang tak main-mainkan sayang! Abang terlalu cintakan sayang, sebab tu abang buat macam ni. Abang mengaku, abang silap pasal Zain. Sumpah! Ia hanya salah faham asalnya!”
“Salah faham apa?! Kalau mak dan abah sememangnya tahu dari awal itu bukan salah faham! Tapi memang sengaja mahu mendera perasaan saya!”
Manis menepis tangan yang sedang melingkar di pinggangnya itu. Namun Ukasyah makin melilitkan tangannya.
“Abang pun terseksa sayang. Sapa kata abang seronok? Kalau seronok, abang tak telefon mak dan abah untuk tanya keadaan sayang. Kita sama-sama terseksa! Sebab tak mahu rasa terseksa lagi, abang cepatkan perkahwinan kita. Asalnya abang mahu kita bertunang dulu, lepas sayang habis subspeciality training tu baru kita nikah. Tapi, abang tak sanggup! Abang tak boleh biarkan kita berterusan macam ni! I’m so sorry sayang. Please forgive me..”
Ukasyah merayu perlahan. Bohong, kalau Manis katakan dia tidak terharu! Tipu kalau Manis kata dia tidak gembira bersuamikan Ukasyah Wazien. Tapi…
“Sayang… maafkan abang. Abang merayu sangat-sangat!” bisikan Ukasyah itu menyapa lagi cuping telinga Manis.
Sepantas kilat Manis membalikkan tubuhnya menghadap Ukasyah. Matanya yang penuh dengan air, mengaburkan pandangan matanya. Wajah tampan sang suami sangat kelam di matanya.
“Abang kejam!” luah Manis lagi dalam tangisan yang berterusan.
“Syhhh.. abang janji, abang tak buat lagi macam ni. Abang tak sanggup dah!”
“Manis sayang abang!”
“Ya, sayang. Abang tahu!”
“Manis rindu abang!”
“Abang pun rindu sayang! Rindu sangat-sangat!” pantas saja Ukasyah memeluk erat Manis. Ciumannya bertalu memenuhi segenap raut wajah sang isteri. Cinta hati yang terlalu dirindui. Ikatan perkahwinan yang baru terjalin, menyekat rasa amarah Manis As-Syifa’.
“Abang cintakan awak, Manis As-Syifa’!”
Benarlah, marah sang isteri untuk perkara remeh sememangnya tidak akan berpanjangan. Rindu…biarkanlah ia terlerai. Kasih, biarkan ia menyubur. Sayang, biarkan ia mewangi. Cinta.. biarkanlah menyimpul mati di hati kami.
Kekalkanlah cinta di hati kami Ya Allah..
-Tamat-

7 comments:

Unknown said...

Indah nya..ending yg best..tengh2 tu memdebarkn..tp arap sangt zain tu shah..sbb nama kn shah kn belakang dia ada zain..tp takot jugak salah org..terima kasih dear..

Unknown said...

Indah nya..ending yg best..tengh2 tu memdebarkn..tp arap sangt zain tu shah..sbb nama kn shah kn belakang dia ada zain..tp takot jugak salah org..terima kasih dear..

Unknown said...

Done!!
Hahaha xsangka zain adalah asp...
Best dear...

Unknown said...

Done!!
Hahaha xsangka zain adalah asp...
Best dear...

Unknown said...

Wow..finally.. Sgtla berdebar..igtkan dengan siapala manis kne kawin.. Good job..tersusun cantik bahasanya..

Unknown said...

Wow..finally.. Sgtla berdebar..igtkan dengan siapala manis kne kawin.. Good job..tersusun cantik bahasanya..

Milla said...

Best...teruskan berkarya...