Keluhan
yang terbit dari bibir gadis itu, kedengaran sangat jelas. Agak keras
keluhannya. Sekejap-kejap jari-jarinya memicit pelipis sendiri. Sesekali dia
menutup mata. Tanpa dia sedar, ada mata yang sedang ralit memerhati tingkah
lakunya.
Entah mengapa hari ini Manis seperti
resah sendiri. Seakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis itu. Sedari
tadi Alya merenung teman serumahnya. Namun, lonjakkan perasaan Alya untuk
bertanya tidak mampu dibentengkan lagi. Perlahan tangannya menyentuh bahu
Manis.
“Manis, kau kenapa?”
“Tak ada apa.”Manis hanya menjawab
perlahan. Ah, sebolehnya dia ingin menutup keresahan yang sudah terpamer. Tapi,
Alya itu sudah terlalu lali dengan sikap Manis. Kerutan di dahi Manis saja dia
sudah tahu! Sama ada kerutan bermasalah atau tidak!
“Nak sorok konon! Kau pening eh nak
masuk disiplin mana? Ye la.. HO rebutan HOD. Team orthopedik nak kau. Anaest nak kau. O&G nak kau. Pendek
kata semua nak kau masuk team dorang.”
Alya dijeling tajam. Bibir yang Manis
herotkan menggelikan hati Alya hingga Alya tertawa.
“Berebut la mereka. Aku tak ingin pun
nak join mereka tu.” Besar mata Alya mendengar kata-kata.
“Pulak.. Habis kau minta apa? Radiologi?
Wei, kalau nak pi radiolagi ke, lab ke kan kena jadi MO kat mana-mana
dulu.”Manis hanya menggelengkan kepala apabila Alya mengingatkan perkara itu.
“Aku nak join forensik!”
Erk.
Alya terkaku. Liur seakan berkumpul di
dalam mulut. Tidak tertelan! Terkejut dengan kenyataan Manis. Forensik? Aduhai Manis...
Aku rasa tak ada seorang pun dari batch
kita yang nak jadi MO kat bilik mayat tu. Tiba-tiba kau pulak yang nak pergi situ. Bisik Alya di dalam hati.
“Kau nak apply forensik ke?”soal Alya yang masih terkejut.
“Ya la. Tapi masalahnya sekarang ni, mak
aku tak bagi!”
Oh, ini yang buat Manis macam orang serabut jer aku tengok. Mak dia tak bagi rupanya!
Oh, ini yang buat Manis macam orang serabut jer aku tengok. Mak dia tak bagi rupanya!
“Sebab?” Pandangan mata Alya bertemu
dengan anak mata Manis. Manis As- Syifa sememangnya seorang yang berani! Kerana
keberanian itulah Manis mahu bergelar doktor forensik.
Bukanlah bermaksud doktor dari disiplin
lain tu tidak berani. Kalau tiada keberanian, mereka tidak akan menamatkan
pengajian di dalam bidang perubatan. Bidang yang agak berat pembelajarannya.
Tapi, bidang forensik ini sangat luas. Ia juga menjadi salah satu cabang yang
boleh merungkaikan sesuatu yang payah untuk diselesaikan.
“Hurm.. Takut aku kena badi orang mati!
Angin jer aku ni dengar mak aku
membebel.” Mimik muka Manis, menyimpul senyum di bibir Alya. Manis As-Syifa’...
Doktor pelatih yang berwajah manis! Seorang yang berkaliber dan seorang yang
pantas bertindak.
“Habis, abah kau cakap apa?”
“Abah aku ok jer. Tiada bantahan!”
Nampaknya ada misi yang perlu dilakukan! Misi
untuk Manis memujuk hati mak dia. Sungguh, dia terlalu ingin untuk menjadi
pengamal perubatan forensik. Dia mahu
menimba pengalaman sebagai doktor forensik sebelum menyambung pengajian untuk
dia bergelar pakar perubatan forensik. Tapi untuk dia mengejar cita-citanya itu,
dia perlu mendapatkan restu dan reda dari mak dia sendiri.
Reda Allah swt itu setelah kedua ibu bapa
kita reda! Agak sukar untuk Manis melembutkan hati mak dia sendiri. Tapi dia
nekad, kali ini dia harus berjaya memujuk hati wanita itu.
Hati yang canggung ritmanya, dinyanyikan
lagu selawat. Lembut dan perlahan, hanya hati gadis itu yang mendengar. Kaki
diatur mendapatkan wanita yang duduk di tepi tingkap itu. Perlahan Manis
menjatuhkan lutut ke lantai. Duduk melutut di hadapan Puan Zaifah. Kedua tangan
belah tangan Manis menyentuh tangan yang sedikit berkedut itu. Terhenti tangan
Puan Zaifah yang mencucuk jarum ke leher baju kurung. Jahitan tulang belut itu
terhenti seketika.
“Mak..”seru Manis perlahan.
“Hurm.” Sedikit tegas suara Puan Zaifah.
Marah barangkali Manis menggangu tumpuan dia ketika menjahit. Yalah, jahitan
tulang belut terlalu rumit. Salah silang laluan benang, memang tak menjadilah
tulang belutnya!
“Mak, izinkan Manis ya mak?” bebola mata
Manis menjadi statik. Mata bundar gadis itu merenung Puan Zaifah. Padangan
matanya penuh dengan rayuan.
“Izinkan apa?” soal Puan Zainah.
Manis As-Syifa’ tahu, Puan Zainah
berpura-pura menyoal! Perlahan Manis menghela nafas. Mencari sedikit kekuatan
untuk dia menyambung kata.
“Izinkan Manis untuk menjadi doktor
forensik.”
Baju kurung yang sedang berada di
pangkuan itu, diletak ke tepi. Wajah Puan Zaifah sedikit merah, marah agaknya.
“Mak suruh belajar jadi doktor, untuk
Manis rawat orang! Mak nak Manis jadi pakar sakit puan nanti. Bukannnya jadi
doktor orang yang dah mati!” Mata tua wanita itu merenung anak gadisnya
sendiri.
“Mak, Manis nak jadi pakar forensik mak.
Ya, doktor untuk mereka yang telah mati. Kadang kala kematian seseorang itu
bukan kerana ajalnya. Betul, kalau Allah SWT tak mengizinkan, si mati itu tidak
bertemu dengan ajalnya. Contohnya kematian yang telah dirancang oleh manusia
lain.”
Puan Zainah hanya mendiamkan diri
apabila Manis As-Syifa’ menggenggam jari-jarinya.
“Di sinilah peranan kepakaran seorang
pengamal perubatan forensik. Setiap
laporan yang diberi, akan memberi kesan besar terhadap keputusan mahkamah. Mak
tak mahu ke anak mak ni membantu pihak berkuasa? Mak tak ingin ke punya anak
yang sama-sama mengheret penjenayah ke muka pengadilan?”Puan Zaifah tetap
mendiamkan diri. Tiada kata yang terbit dari bibir wanita itu.
“Mak..” panggil Manis lagi.
“Manis saja anak mak. Mak tak mahu,
esok-esok anak mak dijadikan mangsa pembalas dendam. Bukan mak tak tahu
tugas-tugas forensik. Zaman sekarang ni, bunuh-bunuh tu dah jadi macam perkara
biasa kat Malaysia ni.”
Ternyata luahan Puan Zaifah terkandung
dengan seribu kerisauan untuk Manis As-Syifa’.
Allahuakhbar..
Perlahan Manis memeluk Puan Zaifah. Dia
tahu kasih seorang ibu tidak akan terhenti walaupun anaknya sudah dewasa. Baik
lelaki mahu pun perempuan. Apatah lagi Manis As-Syifa satu-satunya permata
kasih milik pasangan itu.
“Mak, sesuatu kerja itu kalau diniatkan
kerana Allah SWT; sudah menjadi satu ibadah. Tak kiralah kita kerja apa.
Inshaa-Allah, Allah akan bantu kita.” kata Manis seusai melepaskan
rangkulannya.
“Mak tak perlu risau.. hanya kes
medikolegal saja yang memerlukan pengamal perubatan forensik itu perlu ke
mahkamah. Tak semua kes kematian itu perlu dibedah siasat. Malah bukan semua
kes mati itu tertakluk sebagai kes polis.” terang Manis perlahan. Berharap
sangat Puan Zaifah dapat membezakan antara pengamal perubatan forensik dengan
pegawai sains forensik.
Puan Zaifah terpana. Tersedar sesuatu.
Dia terdiam, tapi matanya merenung zuriatnya sendiri. Hatinya bagai disimbah
air sejuk! Suhu kepanasan di dalam hati tadi dengan perlahan menurun. Dingin..
itu yang dia rasakan sekarang.
Kata-kata Manis As-Syifa’ tadi telah
membawa pergi kerisauan yang melanda dirinya. Ya, Puan Zaifah sangat gusar saat
Manis memberitahu soal pilihannya selepas tamat housemanshipnya.
Teringat akan kata-kata ustazah yang
memberi kuliah;
“Wakafkan anak-anak untuk ke jalan Allah
swt. Inshaa-Allah, akan dipermudahkan segalanya.” Kata-kata ustazah itu
terngiang-ngiang di telinga Puan Zaifah. Ustazah tersebut telah mewakafkan
anak-anak beliau seawal umur 10 tahun untuk mendalami pengajian islam di Tarem.
Kuatnya hati seorang ibu melepaskan
anaknya yang sekecil itu untuk berada di luar negara. Tanpa ibu dan ayah. Tanpa
sesiapa yang terdiri dari kaum keluarga. Hanya semata-mata dia mahukan
anak-anaknya duduk bergaul bersama para ulama.
Astagfirullahal-Azim.. anak aku cuma
ingin meminta izin untuk dia bergelar pengamal forensik. Dia mahu merungkai
sesuatu yang tersirat. Dia mahu sama-sama membanteras jenayah dengan
kepakarannya. Mengapa aku tidak mahu meredakannya? Mengapa aku sukar untuk
merestuinya? Sedangkan anak aku sudah berhempas pulas belajar perubatan untuk
mengikut permintaan aku. Dia cuma ingin menjadi doktor forensik atas pilihannya
sendiri.
“Kalau pilihan Manis kerana Allah SWT,
mak akan redakan kerana ingin Allah memberi keredaan-Nya untuk anak mak.”
Bagaimana anak aku mahu mendapat
keredaan dari Allah andai aku sendiri tak mahu reda dengan pilihan dan minat
anak aku?
Akhirnya Puan Zaifah mengalah. Jika
ingin dibandingkan dengan pengorbanan Manis, anak gadisnya itu sudah melakukan
apa yang ingin dia mahukan. Sedangkan Manis As-Syifa’ bercita-cita untuk
menjadi seorang guru dulu.
Pantas tubuh Puan Zaifah dirangkul.
Dipeluk erat oleh Manis As-Syifa’. Setitis air mata gadis itu membasahi pipi.
Akhirnya, dia boleh membuat pilihan. Dan pilihannya direstui oleh mak dia
sendiri. Restu itu penting. Kalau hati seorang ibu itu terdetik perkataan tidak
suka, apa saja yang si anak lakukan tetap tidak mudah untuk dia mengharunginya.
“Terima
kasih mak.”ucap Manis dalam sendu.
“Manis, aku kena pergi Sarawak.” Suara
Alya yang kedengaran sedikit sedih itu menyebabkan Manis berkalih. Memandang
wajah sendu teman baiknya.
“Sarawak? Bila lapor diri?” soal Manis.
Tiada apa yang perlu dihairankan. Mereka
sudah maklum terlebih dahulu penempatan bertugas mereka bukan ditetapkan
mengikut kehendak masing-masing.
“Minggu depan. Aduhai.. aku tak nak la
pergi Sarawak. Sure aku tak dapat
balik ke semenanjung nanti.”
Manis menggeleng kepala apabila
mendengar Alya berkata begitu. Ternyata, Alya tidak menjangkakan dia ditugaskan
di Sarawak. Sama ada akan bertugas di hospital atau di klinik kesihatan yang
jauh ke dalam pedalaman, itu belum diketahui lagi. Kebiasaannya, tempat
bertugas hanya akan diketahui setelah mereka melapor diri di Jabatan Kesihatan
Nageri.
“Issh, tak la. Sapa kata? Boleh minta tukar nanti.”
“Memang la boleh isi borang transfer.
Tapi makan tahun la untuk
ditukarkan! Kenapa la aku dapat kat
Sarawak? Kalau aku dapat jauh ke kawasan terpencil macam mana?” Manis cuma
tersenyum memandang Alya yang sedang menyoalnya.
“Kerja aja la.”Alya menjengilkan mata. Geram dengan jawapan yang keluar
daripada mulut Manis As- Syifa’.
“Memang la kerja. Tapi kerja dalam keadaan tak happy tu, memberi impak pada pesakit tau.”
“Kau tau ke kau tak happy bila kat sana?”
Jeda. Alya diam tak bersuara.
“Mana tau kau lebih suka berada kat
sana. Silap-silap nanti tak mahu dah balik semenanjung. Ya la.. imbuhan untuk Sabah Sarawak tu lebih besar dari kat semanjung.
Boleh banyak buat saving.”
“Ini bukan soal duit elaun la. Aku jadi doktor bukan sebab aku nak claim on call. Sebab aku memang minat
dari dulu!”Alya cuba menidakkan apa yang Manis katakan sebentar tadi. Terasa
tuduhan manis itu sungguh melampau!
“Hah.. tau pun kau! Kau belajar sampai
lima tahun dulu sebab kau memang nak jadi doktor. So, apa salahnya kalau kau ditempatkan di pedalaman sekalipun?
Pergi saja la. Tugas kau tetap akan
sama; merawat orang sakit yang berbeza cuma persekitarannya saja.
Alya diam seribu bahasa. Benar, kalau
sudah minat, dihantar ke mana-mana saja kita akan tetap teruskan minat kita
itu.
Sambil tersenyum, Alya mengucapkan
terima kasih kepada Manis kerana mengingatkannya soal itu. Dia hampir lupa pada
objektif asal dirinya.
“Kau macam mana? Dapat mana?” Manis
menyimpul senyum. Perlahan tangannya menghulurkan sekeping surat yang masih
bersampul surat coklat. Dengan rasa tak sabar, Alya membuka surat tersebut.
Laju saja pembacaannya. Teringin sangat nak tahu penempatan Manis.
“Jabatan Perubatan Forensik Sultanah
Aminah Johor Bahru! Alhamdulillah. Tercapai juga impian kau untuk ke forensik.
Tahniah Manis!” Alya kedengaran teruja. Dia tidak menyangka, rezeki Manis di
sini. Malah Manis beruntung, sangat beruntung sebenarnya. Rumah milik
keluarganya juga tidak terlalu jauh dengan hospital tersebut. Berbanding dengan
hospital yang sedang mereka habiskan housemanship ini.
“Alhamdulillah. Allah makbulkan. Aku
solat hajat tau. Sebab nak sangat pergi situ. Alhamdulillah.. Allah dengar
permintaan aku.”
Alya turut tersenyum bilamana Manis
gembira dengan penempatannya itu. Ya, Manis terlalu gembira, wajahnya jelas
terpancar kegembiraan itu. Senyumannya juga terlalu Manis hari ini. Itu yang
Alya dapat lihat dengan matanya sendiri. Pastilah Manis berasa terlalu gembira
apabila dia berjaya menempatkan diri di unit yang dia inginkan.
Manis tekun mendengar penerangan ketua
jabatannya menerangkan misi,visi dan objektif jabatan perubatan forensik
tersebut. Tapi Manis lebih tertarik dengan piagam pelanggan bagi jabatan itu.
Tempoh satu jam diambil untuk mengambil jenazah dari wad atau dari Jabatan
Kecemasan selepas petugas diberitahu tentang kematian tersebut. Masa yang
diperuntukkan untuk menyerahkan jenazah bersama dokumen-dokumen berkaitan
kepada waris adalah 30 minit selepas tuntutan dilakukan. Manakala masa untuk
bedah siasat medikolegal dilakukan adalah 2-4 jam setelah semua yang terlibat
termasuk pasukan polis berada di mortuari sebelum bedah siasat dilakukan. Bagi
masa menunggu laporan bedah siasat pula adalah dalam tempoh 3 bulan daripada
tempoh laporan tersebut dipohon.
Mata Manis terpaku tetapi hatinya tetap
meneruskan bacaannya. Kemudian dia terangguk-angguk perlahan. Ya, sesuai sangat
piagam bagi jabatan itu. Orang meninggal tak boleh berlenggah untuk diuruskan. Kalau
boleh jangan sampai hingga terlepas dua waktu solat. Bisik hati Manis.
“Ada apa-apa nak tanya Manis As-Syifa’?”
Pandangan mata Manis bertemu dengan Doktor Fuad. Ketua Jabatan Perubatan
Forensik tersebut.
“Tak ada apa, doktor.” Senyuman Manis
mengiringi jawapan yang meniti di bibir gadis itu.
“Kalau tak ada apa-apa nak tanya, mari
ikut saya. Kita tengok tempat penyimpanan jenazah pula ya?” Manis hanya
mengangguk. Kakinya pantas menyaingi langkah dokor Fuad itu. Sekarang bilik
mayat ini akan menjadi rumah keduanya. Dia harus tahu selok belok rumah
sendiri!
Apabila mereka melewati deretan kabinet
seakan loker itu, doktor Fuad berhenti. Dia tegak berdiri di situ. “Ok Manis
As-Syifa’ di sini tempat penyimpanan jenazah. Bahagian ni, jenazah muslim. Di
sebelah sana non muslim.” Manis
menoleh ke sebelah kirinya. Terdapat deretan loker yang sama seperti di
hadapannya.
“Doktor, kalau patient yang operation ray’s
amputation biasanya jari mereka tu akan diserahkan kepada mereka semasa di
wad. Tapi kalau kaki yang jalani pembedahan Below
Knee Amputation (BKA) atau Above Knee
Amputation (AKA) kat mana kita simpan?”soal Manis.
Teringat semasa dia bertugas di jabatan
orthopedik, majoriti pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis kronik,
terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong jari atau kaki yang telah
dijangkiti kuman. Kebanyakan pesakit warga emas suka menahan kesakitan yang
dialaminya. Mereka beralasan takut ke hospital, nanti kena potong kaki! Mentaliti
yang sukar untuk diubah dalam masyakarakat kita. Semasa sakit yang baru terasa
itu, kebanyakan mereka lebih suka berubat secara kampung.
Ada saja yang menggunakan daun sireh
yang ditumbuk lumat, kemudian dipupukkan di bahagian yang sakit itu. Pengalaman
Manis sendiri pernah bertemu dengan pesakit seperti itu. Terperanjat sungguh
Manis apabila jari kaki pesakit itu gugur dengan sendiri! Apabila
disoalselidik, pesakit itu mengaku dia menggunakan segala jenis daun herba
untuk membalut jari kakinya.
Allahuakhbar! Kalaulah pesakit itu rujuk
ke hospital terlebih awal, bukankah jari pesakit itu boleh diselamatkan? Tak
semestinya pesakit kencing manis itu perlu potong kaki. Tak, bukan begitu!
Masih ada cara untuk merawatnya.
“Oh. Kalau anggota badan, kita tempatkan
di sini.” Tunjuk Doktor Fuad ke arah satu lagi bahagian loker penyimpanan itu.
“Saya rasa yang ini mesti awak tahu
kan?” Manis hanya tersenyum lalu menjatuhkan kepalanya. Ya, dia tahu apa yang
sedang berada di hadapannya itu.
Sebuah tempat yang seakan meja, yang
diperpuat daripada besi aluminium tahan karat. Hanya setinggi paras pinggang
Manis As-Syifa. Meja tersebut juga sudah tersedia lubang laluan air. Terdapat juga
pili air di bahagian atas meja itu.
Di sinilah sekujur mayat akan
diletakkan. Di atas ruang inilah mayat tersebut akan menjalani pembedahan bedah
siasat. Tak kira lelaki atau perempuan, tak kira muslim atau tidak, di sinilah
mereka akan terbaring untuk doktor forensik mencari punca kematian mereka.
“Doktor Fuad, maaf mengganggu. Ada
masalah sikit ni.” Kedua-dua mereka menoleh ke arah suara itu. Baik doktor Fuad
sendiri mahupun Manis As-Syifa’, sama-sama berpaling memandang doktor Johny.
Doktor lelaki ini tergesa-gesa mendapatkan doktor Fuad dan Manis.
“Kenapa ni Johny?” Sedikit berkerut dahi
doktor Fuad apabila dia bertanya.
“Relative
patient mengamuk kat luar.” Terang
Doktor Johny. Manis menelan liur, di bilik mayat pun masih ada yang ingin
mengamuk? Huh, Ingatkan hanya di wad atau di dewan bedah! Atau di
jabatan-jabatan lain saja. Desis hati Manis.
“Sebab apa?” tanya Doktor Fuad lagi.
Iya juga.. pasal apa waris pesakit
mengamuk di bilik mayat? Manis hanya memandang sambil memasang telinga.
“Mereka tak nak buat post mortem. Mereka
kata, nanti kita ambil semua organ.” Berkerut dahi Manis mendengarnya.
“Johny, awak ni tahu ke tidak polisi
untuk kita lakukan bedah siasat?” Tanya Doktor Fuad sedikit tegas.
“Tahu bos. Tapi saya takut nak terangkan
pada mereka. Tengok muka mereka pun saya sudah kecut.” Doktor Fuad menggeleng.
“Pengecut! Nak expalain dengan relative
pun takut!” merah muka Johny apabila Doktor Fuad menyergahnya sebegitu.
Doktor Fuad memandang Manis, “Manis,
waris pesakit boleh atau tidak menolak post
mortem?”
“Kalau bedah siasat klinikal mereka
boleh saja menolak untuk tidak kita bedah. Bedah siasat medikolegal pun boleh,
tapi waris harus mendapatkan perintah dari mahkamah majistret terlebih dahulu.” Jawab Manis penuh yakin.
“Good.
Sekarang pergi terangkan pada waris kat luar. Apa dan kenapa kita perlu lakukan
post mortem?” Manis berpandangan dengan Johny. Dia hanya mampu menelan liur
apabila ketua jabatannya itu berlalu pergi.
“Johny, saya tak tahu apa-apa pasal body tu.”
Kurang asam betul la si Johny ni! Dia boleh serahkan fail pesakit ni saja? Habis aku la ni yang kena
berdepan dengan waris yang sedang mengamuk tu?
“You
baca ni dulu eh? Jangan lama-lama tau!” Johny mengingatkan Manis. Waris yang sedang menanti di luar itu perlu
diuruskan secepat mungkin. Pantas Manis membaca setiap helaian laporan yang
ditulis oleh doktor yang merawat pesakit tersebut.
Dari mata Manis, dia dapat melihat
sebuah keluarga sedang dirundung duka. Ah, insan yang disayang telah menemui
sang pencipta. Siapa yang tak menangis? Perlahan kakinya melangkah, entah
mengapa segenap hatinya turut berasa sayu. Tiba-tiba Manis teringatkan Encik
Azam dan Puan Zaifah. Andai sampai janji Allah SWT, dia juga akan menempuh
detik ini. Sama seperti yang sedang terhidang di depan matanya.
Kita semua pinjaman milik Allah! Hak
mutlak Allah SWT!
“Assalammualaikum.” Ucap Manis saat dia
sudah berada di hadapan keluarga waris tersebut. Salamnya dijawab dengan tegas
oleh seorang lelaki. Mungkin anak waris. Desis Manis.
“Maaf ya encik, puan. Saya doktor Manis
As-Syifa’. Boleh saya tahu, mengapa pihak waris menolak untuk melakukan bedah
siasat?”
“Ayah saya tu dah meninggal. Kenapa nak
bedah lagi? Nak ambil semua organ dalaman dia ke? Saya tak izinkan doktor bedah
ayah saya!” Lelaki tadi terus meninggi suara pada Manis As-Syifa’. Ahli
keluarga yang lain juga tak mahu memberi keizinan untuk prosedur bedah siasat
dijalankan.
Perlahan Manis menggeleng kepala. Dia
tahu mereka dalam kesedihan, tapi Manis perlu menjaga hati mereka. Dalam pada
masa yang sama, Manis perlu menerangkan kepada mereka, objektif bedah siasat
bukan begitu! Bukan untuk mengambil organ dalaman manusia!
“Encik salah faham ni, bedah siasat
bukan untuk ambil organ si mati.”
“Ahh, jangan nak menipu la doktor!”
kata-kata Manis terus dipotong, belum sempat lagi Manis menyudahkan
penerangannya.
“Astagfirullahal-Azim. Bertenang encik!
Mengucap boleh? Dengar dulu apa yang saya mahu cakapkan.” Terdiam lelaki tadi
apabila Manis bertegas menegurnya. Senyap seketika ruang perjumpaan mereka.
“Kami hanya jalankan bedah siasat untuk
mengetahui sebab-sebab dan punca kematian. Bukan ambil organ si mati. Untuk
pengetahuan semua, organ si mati sudah tidak berfungsi apabila jantung sudah
tidak berdegup. Jadi tiada guna pun organ-organ tersebut. Sebarang permindahan
organ, perlu mendapatkan kebenaran dari waris. Itu sekiranya si mati itu
menjadi pengikrar derma organ. Dan bilik mayat bukan tempat untuk
melakukannya!”seluruh keluarga itu diam tidak berkutik. Hanya saki baki
tangisan saja yang kedengaran.
“ Doktor, makcik tak nak post mortm tu.
Kesiankanlah arwah suami makcik. Makcik tak sanggup!” Lirih suara wanita yang
sudah berumur itu. Lebih berumur daripada Puan Zaifah. Hati Manis
tersentuh.Tulusnya kasih sayang wanita ini, hingga dia tak sanggup jasad kaku
suaminya disakiti.
Ya Allah, kau berikanlah aku kekuatan
untuk berdepan dengan mereka. Andai sebuah kematian itu dugaan-Mu buat keluarga
ini, Kau ringankan dan permudahkan segala urusan aku dan mereka.
“Puan, arwah suami puan meninggal dengan
tiba-tiba. Kematian mengejut. Cuma dengan bedah siasat saja kita akan ketahui
punca kematiannya. Seperti yang dikeluarkan oleh fatwa kebangsaan; hukum asal
pembedahan mayat itu haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan darurat
dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit,
mengenal pasti punca kematian dan penyelidikan khususnya dalam bidang
perubatan.”
Jeda. Semua yang berada di situ menghadam
kata-kata Manis As-Syifa’. Melihatkan mereka tidak memberi jawapan, Manis tahu;
mereka tetap tak mahu bedah siasat dijalankan!
“Tapi kalau keluarga
puan tetap menolak postmortem
dilakukan, kami tak boleh memaksa. Lagi pun, bedah siasat ini hanya bedah
siasat klinikal. Bukan kes polis. Kami akan uruskan tuntutan jenazah secepat mungkin. Saya minta diri dulu
ya?” sempat Manis menepuk perlahan tangan yang sudah mula berkedut itu. Dan
tanpa dijangka, Manis ditarik oleh tangan itu ke dalam dakapannya. Manis
menelan liur.
“Terima kasih, nak.
Terima kasih banyak-banyak!” Luahan isteri si mati itu mengundang sebak di hati
Manis. Air matanya juga bertakung menanti pecah!
“Sudah tugas saya
puan.” Manis terus beredar daripada mereka semua. Puas ditahannya air mata
supaya tidak jatuh di khayalak ramai. Tapi dia kalah! Air mata Manis tetap
jatuh saat dia berpaling daripada mereka.
“Doktor Manis
As-Syifa’…”Pantas Manis menyeka air matanya, menyembunyikan sendu yang singgah
sebentar tadi.
“Ya..” ada getaran di dadanya
saat melihat susuk tubuh di hadapannya. Jantungnya mengepam laju darahnya
hingga naik ke atas. Pipinya tiba-tiba rasa panas saat matanya menangkap bebola
mata milik lelaki itu.
Manis
mengamati si dia yang segak berdiri. Seraut wajah yang tak pernah dia lupakan.
Lelaki ini yang menolong dia ketika dia jatuh dan mengalami kelukaan gara-gara
diragut. Dia masih ingat, kejadian yang berlaku di tahun pertama dia bergelar
doktor pelatih. Sudah dua tahun kejadian itu berlalu.
Malam itu hujan
renyai-renyai. Sudah lewat malam ketika itu. Manis yang baru saja habis shif
petang, berjalan kaki menuju ke rumah sewanya. Ya lah, shif petang houseman
akan berakhir pada detik 12 malam. Kawasan perumahan yang Manis menyewa itu
tidak terlalu jauh dengan hospital. Dan selalunya Manis cuma berjalan kaki saja
andai Alya jadual Alya tidak sama dengannya.
Sedang Manis berjalan
kaki itu, tiba-tiba beg sandang Manis direntap kasar dari tepi. Manis cuba
menarik semula beg tersebut, tetapi lelaki yang sedang memakai topi keledar itu
menendang perut Manis. Malah dia menendang berkali-kali perut Manis yang sudah
jatuh terbaring. Ada juga tendangannya
terkena pada kaki Manis As-Syifa’. Manis menjerit meminta tolong dalam
menangis, tapi tak seorang pun yang mendengar. Bahkan tiada satu kenderaan pun
yang lalu di situ. Peragut itu terus
berlari ke arah kawannya yang sedang menanti di motosikal.
Dalam susah payah Manis
cuba bangkit dan mengatur langkah. Terbongkok-bongkok dia menahan sakit diperut
dan kaki. Sudahnya langkah Manis menjadi pincang. Tidak teratur! Terlalu sakit
Manis rasakan! Hanya beberapa meter saja lagi untuk dia sampai di simpang
perumahan sewanya. Akhirnya Manis rebah ke bumi, tidak tertahan dengan senak di
perut. Terlalu sakit!
Dan lelaki di hadapannya
ini yang membantu Manis. Entah dari mana dia datang, entah siapa pun dia; Manis
tak tahu! Pertemuan yang tidak berulang. Hanya sekali pertemuan mereka. Lelaki
itu yang membawa Manis ke hospital. Lelaki itu yang menguruskan segala-galanya.
Tanpa sempat Manis bertanyakan nama dia sudah meninggalkan Manis di Jabatan
Kecemasan & Trauma itu. Dia pergi dalam keadaan tergesa-gesa.
Manis masih ingat,
lelaki itu memakai jaket kulit hitam. Sebelum dia pergi, sempat dia menegur
Manis.
“Lain kali jangan jalan
kaki seorang diri lagi. Apatah lagi hari dah jauh malam!”
Dan hari ini, suara itu
bergema lagi di telinga Manis. Suara yang sama. Manis tak pernah lupa!
“Manis, ASP tadi tu
kirim salam kau. Dia pesan, jangan jalan kaki sorang-sorang.”
ASP? Lelaki tadi
pegawai polis yang berpangkat ASP? Soal Manis di dalam hati.
“Manis! You dengar tak I cakap ni?” Johny mengetuk meja di hadapan Manis menyebabkan Manis
panggung kepala.
“Dengarlah.” Manis
hanya jawab sepatah. Fikriannya melayang entah ke mana.
“You
kenal dia ke?” soal Johny. Tapi Manis hanya menggeleng.
“Hurm.. pelik la. Tak
kenal, tapi dia pesan jangan jalan kaki sorang-sorang.” Johny terus diam
apabila Manis tidak memberi sebarang respon tentang bebelannya tadi.
“Atau you tak nak mengaku yang you kenal dia?” tersungging bibir Manis
mendengar apa yang Johny katakan
Manis menggelangkan
kepala lagi, “Buat apa saya tak nak mengaku kalau saya betul-betul kenal
dia? Saya tak kenal dia siapa, awak
cakap dia ASP baru saya tau dia pegawai polis.”
Assistant
Superitendent Police.. tapi siapa nama dia pun Manis tak
tahu! Tadi pun selepas pegawai polis itu menegurnya, dia hanya menyampaikan
kata ingin bertemu dengan Doktor Johny. Itu saja! Nampaknya pertemuan kedua antara Manis dan
lelaki itu berlalu begitu saja. Sama seperti beberapa tahun yang lepas! Dan
yang peliknya, bagaimana dia tahu sebaris nama Manis As-Syifa’ tu?
“Manis, masuk ikut
pintu belakang. Mak dah buka pintu. Baju Manis masuk dalam mesin basuh. Cuci
terus!” Manis mengeluh perlahan. Namun dia tetap berjalan perlahan di tepi
rumah, menuju ke pintu belakang. Mujur la rumah mereka tu rumah paling hujung!
Mudah untuk ke pintu belakang.
Mak.. tak pernah
berubah! Dari hari pertama aku jadi MO di forensik sampai la sekarang. Dah jadi
pakar pun, mak tetap pesan benda yang sama setiap hari. Pelik sungguh! Mak kata
takut ada yang mengikut balik. Hurm.. entahlah, susah nak cakap. Sepanjang aku
bertugas, tak ada pula aku ni kena kacau dek hantu. Yang penting nawaitu kita
tu kena betul. Kita kena menghormati setiap jenazah yang kita uruskan. Muslim
ke tak muslim ke, kita niatkan kerana Allah swt. Inshaa-Allah, Allah akan jaga
kita!
“Manis, tu ada posmen
hantar surat siang tadi. Mak letak kat atas meja tu.” Beritahu Puan Zaifah saat
Manis keluar dari biliknya. Pantas Manis mengambil sampul surat putih itu.
Alya!
Dari tulisan tangan
itu, Manis sudah tahu siapa penghantarnya. Perlahan tangan Manis menarik isi sampul tersebut. Alhamdulillah.. bisik
hati Manis.
“Surat apa tu Manis?”
“Kad jemputan kahwin
Alya, abah. Dia jemput kita sekeluarga hujung bulan ni. Nanti kita pergi ya?”
Encik Azam cuma mengangguk bersetuju.
“Hurm.. elok juga tu.
Nanti boleh Manis curi sireh junjung si Alya tu.” Berkerut dahi Manis mendengar
Puan Zaifah menyampuk sebegitu.
Curi sireh? Mak ni mula
la dia nak ajar aku yang bukan-bukan!
“Hissh.. orang nak
pergi majlis kahwin, untuk meraikan pengantin. Yang nak suruh anak awak mencuri
tu buat apa? Molek sikit perangai tu maknya!”
Manis menyimpul senyum
apabila Encik Azam menegur Puan Zaifah. Nada suara abahnya senada, tapi Manis
tahu Encik Azam memaksudkannya.
“Apa pulak? Tu petua
orang tua-tua bang oii. Orang lelaki ni apa yang dia tahu? Kalau kita lambat
kahwin, curi sireh junjung pengantin tu. Lepas tu kunyah! Kalau awak tak
risaukan anak awak tak berkahwin, saya ni yang hari-hari dok fikirkan dia tahu
tak? Umur makin meningkat. Kita makin hari dimamah usia. Anak orang lepas
sorang-sorang naik pelamin. Anak kita? Hari-hari dok mengadap mayat! Tak kisah
langsung soal jodoh!”
Gulp.
Manis cuma mendiamkan
mulut. Tapi boleh cair tahi telinga kalau Puan Zaifah sudah mula membebel soal
jodoh! Dan Emosi Puan Zaifah juga sudah berubah!
Encik Azam menoleh ke
arah Manis, “Jangan dilayan mak kamu tu Manis. Abah tak ajar anak abah mencuri.
Petua..petua.. awak ingat, awak suruh anak awak curi sireh pengantin; jodoh akan turun langit ke?” bibir Puan Zaifah
sedikit ke depan. Muncung!
“Tu bunga yang berderet
kat dalam pasu awak tu tak nak petik?”
Riak wajah Puan Zaifah
berubah apabila Encik Azam bertanya. Di dahinya jelas terlintang kerutan.
“Eh, awak kan pandai
sangat bab petua orang tua-tua ni. Mandikan la anak awak ni dengan 7 jenis
bunga. Biar naik sikit seri muka dia tu. Maklum la, kerja hari-hari tengok
mayat, seri pun dah hilang. Agaknya kan, anak awak ni orang tengok macam hantu
kot. Tu pasal orang tak nak kat anak awak!”
Puan Zaifah mengetap
bibir. Dia tahu, suaminya sengaja memerli dirinya!
Ah.. sudah. Mak dan
abah perang sindir-menyindir!
“Mak..abah. Sudah la
tu. Kalau belum jodoh, mak suruh Manis kunyah sireh pengantin ke, abah suruh
mandi bunga ke, memang tetap tak berjodoh! Tapi kalau ‘petua’ agama mak ikut
tak apa.” Kata-kata Manis menyebabkan muka kedua orang tuanya berubah.
Lebih-lebih lagi Puan Zaifah.
“Jangan berhenti
mendoakan Manis, doa seorang ibu itu makbul. Doakan Manis bertemu lelaki yang
boleh mengimamkan Manis. Yang boleh mendidik Manis. Lelaki yang anggap mak dan
abah sebagai ibu bapanya sendiri.”
Tangan Encik Azam dan
Puan Zaifah dicapai. Kedua-duanya dicium silih berganti. Dia tahu.. Mereka
risaukan dia. Ibu bapa mana tak risaukan anak sendiri? Tapi nak buat macam
mana? Doa saja petua yang paling layak untuk diamalkan! Beribu-ribu doa yang
kita ucapkan dengan kudus dari hati, pasti Allah mendengarnya.
“Manis masuk tidur dulu
ya? Esok ada mortality meeting.”
Sebaris senyuman diberikan untuk Encik Azam dan Puan Zaifah. Manis bangkit dari
dudukan menuju ke bilik. Kad jemputan Alya dibawa sekali. Terkesan dengan
kata-kata Manis, Encik Azam dan Puan Zaifah terkunci mulut. Tidak mampu membalas
kata-kata anak mereka sendiri. Tapi naluri dan pandangan mata seorang ayah,
Encik Azam tahu Manis As-Syifa’ sedikit terluka dengan saranan isterinya tadi.
Hurm.. Aku pun sama
naik juga! Siap kata orang tengok anak aku macam hantu. Alahai.. Ni semua pasal
petua bini aku. Petua-petua.. Tak sudah-sudah dengan petua! Kang aku bagi petua
berkongsi suami; baru dia tahu!
Dalam menanti lena
datang menjengah, Manis hanya terkebil-kebil memandang hamparan bintang di
langit-langit biliknya. Ralit matanya yang masih segar itu merenung sticker glow in the dark pada plafon biliknya. Mata memerhati bintang di
dalam kegelapan bilik, tapi mindanya ligat mengingati peristiwa siang tadi.
Ah, lelaki tadi sedang
mengganggu fikirannya! Bintang yang selalu menjadi terapi Manis As- Syifa’
sebelum tidur; tidak berjaya menenangkan
fikirannya. Aroma terapi pati ros yang memenuhi segenap ruang biliknya tidak
mampu menenangkan dirinya!
“Kalau you tak kenal dia, kenapa dia suruh
ingatkan you; jangan jalan kaki sorang-sorang?” Suara Doktor Johny menampar
gegendang telinga Manis. Pertanyaan
rakan sejawatnya itu hanya dijawab dengan mengangkat bahu. Banyak kali Johny
bertanya, namun dia tiada jawapan! Sudahnya dia hanya mengjongket bahu.
Sungguh, Dia tak kenal
lelaki itu!
Walaupun pesanan yang
disampaikan kepadanya sama seperti beberapa tahun dulu, kenyataannya mereka tak
pernah berkenalan! Pertemuan mereka sekadar atas sikap keperihatinan seorang manusia.
Lelaki itu menjumpai jasad seorang gadis yang terkujur di tepi jalan. Tapi
Manis tahu, lelaki itu mengingati dirinya. Buktinya pesanan yang dititipkan
untuknya tetap sama seperti kali pertama dulu. Tiada perkataan lain yang
digunapakai!
Akhirnya Manis terlena
dalam kekusutan yang tidak terurai…
“Manis, kenapa I called tak angkat?” soal Johny.
Manis yang baru saja
mencecahkan punggung di kerusinya, menoleh sekilas. “Kan saya pergi meeting. Silent-kan telefon la.” Pantas tangan
Manis mengubah sound setting
telefonnya.
“Kenapa?” soal Manis.
“Ada brought in dead case (BID) tengah on the way.”
Manis hanya mengangguk.
Faham apa yang diberitahu oleh Johny itu. Mayat yang dibawa dari luar oleh
pihak polis. Dalam ertika lain kes polis! Dan wajib perlu menjalani bedah
siasat! Cuma mayat yang sedang dalam perjalanan itu belum boleh diklafikasikan
dibawah kes apa, Manis tak tahu! Boleh jadi nahas jalan raya ( motor vehicle accident), kes bunuh
diri (suicide) atau kes jenayah (homicide).
Mata Manis mencuri
pandang jam bonia yang melilit di pergelangan tangan kanannya. Sudah pukul 4.30
petang! Alamaknya hari ni balik lambat! Terus saja Manis bangkit dari dudukan,
pada Johny ditinggalkan pesan. Dia mahu ke surau bagi melunaskan hutangnya dengan
Allah. Nanti apabila body sampai,
pasti akan ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Sementara belum sibuk,
baiklah dia menunaikan solat asarnya terlebih dahulu.
Borang P61 yang telah
dikeluarkan oleh pihak polis itu diteliti satu persatu. Borang P61 (Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat,
Polis 61 Pindaan 4/86) itu seakan
mandotari bagi semua doktor yang bertugas di forensik untuk memulakan autopsi. Akhir sekali mata Manis
terhenti di sepotong nama; yang tertera
di dalam salah satu ruang pada borang tersebut. ASP Uqasyah Wazien.
Tidak semena, Manis panggung kepala. Spontan! Namun pantas Manis melarikan
pandangan matanya bertembung dengan mata lelaki itu.
Uqasyah Wazien.
Manis mengulangi
sepotong nama itu.
Jadi yang jumpa aku
terbaring di tepi jalan dulu tu polis? Dan dia sedang berdiri di hadapan aku?
Manis teringat
seseuatu..
Kes polis! Ini juga
bermaksud, dia akan turut serta ketika sesi post mortem dijalankan sebagai
pemerhati. Allah..mengapa jantung ini berdegup laju?
Ukasyah Wazien hanya
memerhati Manis yang sedang memakai gaun pakai buang yang bwarna kuning. Hidung
dan mulutnya juga sudah ditutupi face
mask. Perlahan jari-jaring runcing itu memasuki ruang jari di sarung getah
tersebut. Manis As-Syifa’ sudah bersedia untuk memulakan autopsi sambil dibantu
oleh doktor lain.
Ukasyah tetap setia
berdiri memerhati Manis. Jelas di telinganya Manis sedang membaca surah
Al-Fatihah. Bersedekah ke atas si mati. Walaupun perlahan tapi tetap sampai di
pendengaran Ukasyah. Bilik mayat yang sunyi daripada sebarang bunyi itu sangat
membantu untuk Ukasyah dengar terang apa yang keluar dari bibir Manis.
“Maaf, pak cik.. saya
doktor Manis As-Syifa’. Izinkan saya menyentuh tubuh badan pak cik. In shaa
Allah.. saya takkan sakiti tubuh badan pak cik. Saya janji saya akan lakukan kerja saya dengan lemah
lembut. Bismillah..” Dengan lafaz itu, barulah Manis mengambil pisau pembedahan
itu dan memulakan tugasnya.
Benar, Manis As-Syifa’
melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu cermat sekali. Seperti yang telah
diriwayatkan di dalam hadis; dari Aisyah r.a Rasulullah SAW bersabda:
“Memecahkan/mematahkan
tulang mayat sama seperti memecahkan/mematahkannya sewaktu hidupnya.”
(Riwayat
Abu Daud)
Dia terlalu
professional! Walaupun dia berasa tidak senang apabila ASP Ukasyah berada
ketika bedah siasat itu berlangsung. Namun Manis tetap melakukan tugasnya
seperti biasa. Seolah-olah ASP Ukasyah itu tiada di situ. Sehinggalah sesi
bedah siasat itu tamat selepas 2 jam berikutnya. Peluh-peluh halus menghiasi
dahi Manis. Panas? Tak mungkin! Bilik mayat ini agak sejuk d isebabkan oleh penghawa dingin. Atau Manis
berperang dengan perasaan kerana ASP Ukasyah?
Dari mata Ukasyah, Manis seorang yang sangat
berani. Dia tahu, bidang perubatan forensik bukan mudah untuk belajar. Hatinya
terdetik rasa kagum. Malah dia tak sangka, Allah pertemukan mereka lagi di
bilik mayat! Ah, di mana tempat pertemuan itu sememangnya tidak terjangka.
Lihat saja kali pertama dia menjumpai Manis. Di tepi jalan dan gadis itu berada
di dalam keadaan tak sedarkan diri!
ASP Ukasyah ralit
memerhati tingkah laku Manis, tanpa sedar bibirnya tersenyum sendiri. Dia tetap
manis seperti dulu! Desis hati Ukasyah.
Melihatkan Manis sudah
menyelesaikan segala urusannya, Ukasyah perlahan mendekati doktor itu. “Terima
kasih doktor.”
Manis panggung kepala,
bibirnya koyak senyum.
“Tanggungjawab saya,
tuan.”
Aduh, semanis madu senyuman dia. Wajar la nama
dia Manis As-Syifa’!
Ada getaran di dalam
hati Ukasyah. Namun dia hanya mampu menahannya di dalam diam. Hati Ukasyah
terdetik sesuatu, bagaimana andai doktor Manis ini milik orang?
Jangan cari pasal
Ukasyah!
“Doktor parking kereta kat mana? Gelap ni..”
soal Ukasyah. Bimbang, apatah lagi parkir yang berdekatan dengan bilik mayat
itu gelap. Lampu yang ada hanya di bangunan jabatan forensic itu saja. Tiang
lampunya ada, tapi limpahan cahayanya tiada! Rosak barangkali.
“Dekat saja tuan.
Petang tadi saya sempat alihkan ke situ.” Jari telunjuk Manis tegak menghala ke keretanya.
Tidak terlalu jauh dari tempat mereka berdiri. Lampu simbah di tepi bilik mayat
itu menjelaskan pandangan mata Ukasyah terhadap kereta Manis. Terus saja memori
Ukasyah mengakses huruf dan nombor empat angka itu.
“Saya balik dulu,
tuan.” Ukasyah hanya mengangguk sambil
membalas senyuman Manis.
“Hati-hati.” Hanya itu
yang mampu keluar daripada ulas bibir Ukasyah. Matanya menyoroti langkah Manis
yang berlalu pergi.
Mengapa setiap
pertemuan hanya sebentar yang Allah aturkan untuk aku dan dia?
Nafas dilepaskan kasar.
Letih, tapi ASP Ukasyah masih belum boleh pulang ke rumah. Dia perlu ke ibu
pejabat untuk menyelesaikan sedikit urusan berkenaan kes baru ini. Namun,
tiba-tiba Ukasyah tersenyum sendiri.
Kes baru! Lelaki tua
yang ditemui mati ditikam bersama dua bilah pisau di sisi akan disiasat di
bawah kanun keseksaan syeksen 302. Pastinya doktor tu akan pergi ke tempat
kejadian untuk melihat sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kematian si
mati. Kemudian, apabila tiba saatnya nanti, dia akan turun naik mahkamah
sebagai saksi professional. Nampaknya hari ini bukan hari terakhir aku akan
berurusan dengan dia. Ukasyah berkata-kata di dalam hati.
Wajah yang sedikit
tegang itu mula mengendur. Senyuman yang tadi cuma tersungging, kini semakin
melebar! Masih akan ada pertemuan lagi antara dia dan Manis As-Syifa’!
Manis memerhati keadaan sekeliling, fikirannya
ligat mencernakan hasil bedah siasatnya semalam. Tak mungkin! tak mungkin tak
ada bukti lain. Mustahil polis hanya menjumpai dua bilah pisau sahaja! Sedang
kepala si mati itu seperti dipukul berkali-kali dengan objek tumpul.
Kematiannya bukan kerana tikaman, tetapi akibat pendarahan di kepalanya!
Lantai yang telah diconteng mengikut
kedudukan ketika si mati dijumpai
direnung oleh Manis. Ada bekas darah yang sudah kering di situ; di bahagian kepala. Tak mungkin kerana
pergelutan dan kepala mangsa dihentak ke lantai berkali-kali. Bisik hati Manis.
Ukasyah yang sedari
tadi memandang Manis, cuba berteka-teki sendirian. Mengapa doktor Manis itu
sedang berfikir sesuatu? Apakah bukti yang kami jumpa bercanggah dengan apa
yang dia ketemui semasa bedah siasat?
“Kenapa doktor? Ada
sesuatu ke?” akhirnya Manis disoal. Hati tak betah melihat doktor itu merenung
dan memerhati sekeliling seorang diri.
“Betul ke cuma dua
bilah pisau yang ditemui?”
Jawapan Mani situ
mengundang tanda tanya dalam hati Ukasyah. Namun kepalanya terlebih dahulu
mengangguk. Sedangkan hatinya ingin menyoal sebelum menjawab!
“Pasti ada bukti lagi
yang belum ditemui atau sudah dihapuskan.”
“Maksud doktor?”
sengaja Ukasyah menyoal. Sedangkan
hatinya faham. Ah, kes belum pun 24 jam lagi. Pastilah siasatannya baru
hendak bermula!
“Bahagian kepala si
mati dipukul berkali-kali dengan objek tumpul dan keras.”
“Ya..saya tahu darah di
lantai tu bukan sebab hentakan ketika bergelut.” Kata Ukasyah. Matanya meratah
disetiap inci muka Manis As-Syifa’. Wahai mata, jangan sengaja menambah dosaku!
Desis Ukasyah di dalam hati.
“Tuan!” Ukasyah menoleh
ke arah suara yang menyapa.
Plastik besar jernih
itu diangkat tinggi. Jelas di mata Ukasyah dan Manis melihat apa isi kandungan
plastik tersebut. Manis tersenyum. Ya, itulah buktinya! Objek itu yang
digunakan bagi menghentikan nadi si mati dari terus berdenyut. Sebatang kayu
besbol yang terdapat kesan darah!
“Kat mana jumpa?” Manis
hanya mendengar.
“Dalam bilik anak gadis
si mati.” Berkerut dahi Manis mendengarnya.
Takkanlah pelakunya
anak si mati! Tapi boleh jadi juga. Sekarang ni apa saja boleh terjadi.
Kadang-kadang orang yang kita tak sangka itulah si pelakunya. Hurm.. itu sudah
tugas polis Manis, tugasan kau sudah berakhir. Pasti gadis itu akan ditahan
reman untuk membantu siasatan. Maka, tunggu saja prosiding mahkamah nanti.
Panggilan telefon
daripada Alya tadi mampu membuatkan Manis hilang fokus terhadap kerjanya.
Matanya memerhati skrin yang sudah gelap itu. Hilang sudah bicara bakal
pengantin itu. Alya mahu Manis menjadi pengapitnya nanti! Itu yang buat Manis
termenung panjang.
Mahu doktor itu tak
termenung, majlis nikah Alya akan berlangsung pada hari jumaat ini selepas
solat jumaat. Hari ini sudah hari rabu! Alya..mana boleh kata tidak padanya!
Alya sudah lama berkawan dengan Manis. Apalah sangat dengan permintaan Alya
yang mahukan Manis menjadi pengapitnya; jika dibandingkan dengan susah senang mereka
dari zaman belajar dulu.
Nampaknya terpaksa pergi
awal!
Pantas jari Manis
lincah menari di atas keyboard. Carian chalet yang berdekatan dengan rumah Alya
diakses. Yalah, takkan mahu tidur di rumah pengantin? Lagipun Manis mahu
membawa sekali Encik Azam dan Puan Zaifah. Mustahil dia tiga beranak mahu bermalam
di rumah pengantin, chalet la yang menjadi pilihan Manis As-Syifa’. Boleh juga
dia menenangkan fikiran sambil bawa orang tuanya berjalan di sekitar Melaka
nanti.
Mujur juga hari khamis,
cuma separuh hari bekerja; sebelum maghrib Manis sudah sampai di chalet Hajah
Mahawa di Pengkalan Balak. Elok saja punggungnya mencecah tilam, pintu biliknya
diketuk orang. Tak perlu diteka siapa gerangannya, Manis tahu Encik Azam yang
mengetuknya. Pasti abahnya mahu meminta kunci kereta.
“Nah!”
“Hai, tak minta lagi
dah hulur?”Manis hanya sengih memandang abahnya.
“Tahu dah. Masjid kat
depan tu jer tau abah.”
Sambil mengangguk. “Dah
nampak tadi.”
“Manis tak ikut ke?”
soal Puan Zaifah yang baru saja keluar dari bilik sebelah.
“Cuti mak.”
Mendengarkan si anak
berkata begitu, terus saja Puan Zaifah membuka langkah mengekori langkah Encik
Azam. Sempat juga dia memesan agar Manis tidak lelap waktu senja begini.
Maklumlah, anak daranya itu keletihan memandu. Manis hanya tersenyum lebar.
Mak ni.. macam tau-tau
aja orang nak baring kejap.
Hishh.. kan mak tu,
pasti la dia tahu sekilas air muka kau tu Manis oii!
Sambil menanti Encik
Azam dan Puan Zaifah pulang dari Masjid, Manis berjalan kaki di pantai. Sengaja
dia memilih menyusuri kawasan berpasir itu. Deruan ombak itu mengamit hati
Manis untuk menikmatinya. Bukan tiada jalan tar untuk ke deretan kedai di sebelah
sana, lagipun kawasan pantai itu agak terang untuk disusuri. Itu yang
menyebabkan Manis memilihnya.
Panggilan telefon
daripada Alya itu sedikit menyentakkan Manis. Suara Alya kedengaran tenggelam
timbul lantaran dek angin laut yang bertiup. Namun, Manis tetap memasang
telinga dengan tekun. Mendengar percakapan Alya.
“Manis, kau kat mana?”
“Pantai, kenapa?”
“Jangan lupa datang
rumah aku, ambil baju pengapit ni.” Terhenti langkah Manis mendengar suruhan
Alya itu.
Baju pengapit? Macam la
aku ni tak ada baju nak pakai!
“Aku ada bawa baju la.”
“Hishhh, baju kau tak
cantik!” Sela Alya.
“Amboi! Kau tau ke aku
bawa baju yang mana?”
Alya ketawa besar di
hujung talian. Manis menjeling seakan Alya berada di depan matanya.
“Alah, mesti la aku sponsor. Kan aku yang nak kau jadi
pengapit aku. Datang ambil tau! Aku tunggu.” Arah Alya lagi.
Alahai.. siap sponsor! Apa rupa la baju si Alya belikan
tu. Jangan yang serabut ada rambu ramba sudah la! Alya ni kadang-kadang bukan
boleh percaya selera dia.
“Tunggu la. Lepas makan
nanti. Ni aku tunggu mak dengan abah aku balik masjid.” Beritahu Manis sambil kakinya menguis-nguis pasir di
hujung kakinya.
“Oh..ok. Jangan lupa
tau!”
Manis hanya mampu
mendengus kasar apabila Alya mengingatkan dia lagi. Namun dia tersenyum
sendiri. Kalut! Takut sangat orang tak datang ambil baju tu. Bisik hati Manis.
Manis terlalu cantik apabila mengenakan baju
yang telah disediakan oleh Alya. Walaupun hanya sekadar jubah dress yang
berwarna pink belacan, tapi shawl yang berwarna biru terqoise itu begitu
membangkitkan warna baju tersebut. Apatah lagi Manis As-Syifa’ itu tinggi
lampai! Senyuman yang menghiasi bibirnya sangat manis.
Saat Manis memayungi
Alya yang mengatur langkah perlahan di tengah halaman, mata Manis terpaku.
Jantung seakan laju berdegup. Pengapit pengantin lelaki itu sangat dikenali!
ASP Ukasyah.. Allah, kecilnya dunia!
“Alya, siapa pengapit
suami kau tu.” Bisik Manis di telinga
Alya.
“Kawan Firhan.”
Kawan?
“Kenapa?” soal Alya
dalam bisikan juga.
“Tak ada apa. Pernah
jumpa dia kat bilik mayat.”
Diam. Perbualan bisikan
mereka berakhir apabila Alya dan Manis sudah berada betul-betul di hadapan
pengantin lelaki. Mata Manis menyapa senyuman manis ASP Ukasyah. Si tampan itu
bertambah kacak apabila bibirnya terukir senyuman. Manis hanya mampu membalas
senyuman itu. Agak kekok sedikit rekahan bibir Manis. Dia malu sebenarnya!
Usai majlis Alya tadi,
Manis terus memandu ke Banda Hilir. Bukannya tak pernah pergi, tapi sengaja
mahu pergi lagi. Manis sudah berjanji dengan Encik Azam dan Puan Zaifah untuk
jalan-jalan di sana. Kereta sengaja
Manis parkir di parkir kereta Mahkota Prade. Mereka hanya perlu menyeberang
jalan saja untuk ke Bukit St.Paul.
Dari A’Famosa mereka
menaiki anak tangga di situ. Perlahan saja Manis mendaki, sengaja mahu menunggu
Encik Azam dan Puan Zaifah. Entah, berkali-kali datang ke Melaka; berkali-kali
juga mereka sekeluarga mendaki bukit ini. Tak jemu langsung! Walaupun di atas
bukit ini hanya terdapat tinggalan sejarah zaman penjajahan Portugis ke atas
Melaka. Dulu dari atas Bukit St. Paul ni, boleh nampak Selat Melaka, tapi
sayang.. sekarang sudah tidak kelihatan lagi. Pesatnya pembangunan, sudah
menjauhkan lagi laut dan daratan.
Manis leka memerhati
pelukis jalanan melukis kubu Melaka itu. Cantik! Desis hati Manis. Tanpa sedar,
ada sesorang sedang mendekatinya.
“Kan saya pesan, jangan
jalan sorang-sorang. Kenapa degil sangat ni?!”
“Tuan! Tuan buat apa
atas bukit ni?”
“Jawab soalan saya.
Kenapa jalan sorang-sorang? Kan tempat ramai orang ni! Peragut bukan kira
tempat perlancongan ke apa. Yang dia tahu dia ada mangsa!”
“Err.. tuan salah faham
ni. Saya bersama family saya. Saya
saja jer bagi mereka peluang kat mak dan abah saya honeymoon. Dorang kat
situ..” mata Ukasyah mengikut hala jari telunjuk Manis.
Benar, ada pasangan
suami isteri sedang duduk di atas batu sambil memandang ke arahnya. Perlahan
kaki Ukasyah melangkah ke arah Encik Azam dan Puan Zaifah. Setelah bersalaman
dengan abah Manis, Ukasyah berlalu pergi. Manis hanya memandang lelaki itu,
tidak sekalipun dia menoleh ke belakang.
Ah, dia memang macam
tu! Datang tak dijemput, pergi tak dihalau! Lantak dia la.
Hampir sejam juga Manis
bersama mak dan abahnya di atas Bukit St. Paut itu. menikmati hiburan dari
seniman jalan di situ. Suara lelaki yang bermain gitar itu sangat merdu.
Walaupun hanya bermain gitar, tapi dia sangat berkebolehan. Setelah meletakkan
sekeping not sepuluh ringgit di dalam topi yang disediakan, baru Manis mengajak
orang tuanya turun dari bukit tersebut.
Elok saja Manis
menjejakkan kaki di gerai kraftangan yang terdapat di Dataran Belanda itu,
Manis disapa oleh Ukasyah.
“Beli apa?”
“Kus semangat! Tuan!”
Ukasya hanya tersengih memandang Manis.
“Tuan ni ikut saya ke?”
tanya Manis tanpa malu.
“Eh,Tak la!”
“Habis tu? Tadi kat
atas bukit, sekarang kat sini.”
“Kebetulan jer. Saya
pun jalan-jalan macam awak juga. Tadi,
lepas turun bukit tu, saya masuk IPK sekejap. Jumpa kawan. Lepas tu saya nampak
awak turun tangga tu sorang diri.” Ukasyah menunjukkan anak tangga bangunan
Stadhuys itu.
“IPK? Ibu pejabat
kontijen polis? Yang kat depan Muzium Islam tu ke?”
Ukasyah hanya
mengangguk.
Fuhhhh…Nasib baik ada
IPK yang boleh dijadikan kambing hitam!
Ya la.. IPK tu terletak di bawah Bukit St. Paul. Berhadapan dengan
Muzium Islam.
Dan sebenarnya memang
Ukasyah mengintip dan mengekori Manis As-Syifa’ tapi, takkan nak mengaku? Apa
motif ASP Ukasyah turun pangkat jadi mata-mata untuk seorang doktor forensik?
Bukannya si Manis tu penjenayah yang sedang diburu!
“Orang tua awak mana?”
Mata Ukasyah meliar sekeliling. Sukar mencari Encik Azam dan Puan Zaifah. Ramai
sangat pengunjung yang berkeliaran di sekitar Dataran Belanda itu. Di sini,
kalau tak singgah, memang tak lengkaplah berkunjung ke negeri Melaka.
“Ada, kat Pancuran Air
Pancut Victoria tu. Nak makan cendol, dah habis pulak. Duduk saja la mereka di
situ.”
Bermula di situlah
Ukasyah memberanikan diri meminta nombor telefon Manis. Tanpa sedar mereka
semakin rapat dan mesra. Bibit percintaan mula dirasai. Tanpa sedar sudah
setengah tahun mereka bercinta. Namun, siapa sangka hujan boleh turun dengan
lebat di kala panas terik mentari.
“Awak, Mak saya bagitau ada orang
hantar cincin merisik untuk saya.”
“Amboi, tak sempat lagi
saya beli cincin untuk awak.. Dah ada orang merisik awak?” Nada suara Ukasyah
kedengaran seperti sedang berjauh hati dengan Manis.
“Please
la Syah.. Jangan nak perli saya. Saya tak tahu menahu pun pasal ni. Tadi
telefon mak baru mak cakap.”
“So,
awak terima?” Soal Ukasyah.
“Kan saya ada conference...”
“Saya tak tanya awak
ada sekali ke tidak. Saya tau awak tak ada sekarang. Awak pergi postmortem conference. Saya tanya, awak
terima ke tidak?”
Manis terdiam. Air
matanya tiba-tiba memenuhi kolam matanya. Cepat saja air mata itu membasahi pipinya.
“Manis As-Syifa’... awak
dengar tak? Kenapa senyap?”
“Bukan saya yang
terima, Syah. Tapi mak terima tanpa pengetahuan saya..”
Akhirnya Manis teresak!
Ukasyah mengeluh keras!
Manis menyeka air
matanya sendiri. Dadanya terasa sakit. Saat Puan Zaifah memberitahu tentang
kedatangan tetamu yang membawa hajat itu, Manis resah sendiri. Hatinya seakan
dapat mengagak penghujung perjalanan cintanya. Manis berada di persimpangan,
kalau dia meneruskan langkah, ada harapan yang akan musnah. Andai Manis memilih
jalan lain, hati Ukasyah dan hatinya yang akan kecewa.
Manis buntu, bagaimana
mahu memilih? Sedangkan cincin tanda itu sudah diterima oleh Puan Zaifah. Dan
penerimaan cincin itu sudah mengikat Manis As-Syifa’! Maka tiada pilihan yang
mampu Manis lakukan.
Tapi.. Kalau Ukasyah
bertindak sekarang, mungkin masih mampu dia mengubah pilihannya. Ah, silap
Manis sendiri. Dia yang terlalu berahsia. Dia yang menyembunyikan tentang
hubungannya dengan Ukasyah.
“Syah... Jumpa abah
saya please..” Tiba-tiba Manis merayu.
Ukasyah mengeluh lagi.
“Dari awal lagi saya
nak jumpa family awak. Tapi awak
larang saya kan? Awak kata kenal hati budi masing-masing dulu. Sekarang, bila
dah jadi macam ni.. baru minta saya datang? Dah cukup kenal hati saya ke doktor
Manis As-Syifa’?”
Pipi Manis terasa
pijar. Bagai ditampar orang! Tajam sungguh sindiran Ukasyah. Bukan saja muka
Manis berbahang, hatinya juga bagai dilapah-lapah. Ya.. Memang berkali Ukasyah
ingin berjumpa dengan Encik Azam, tapi Manis melarang! Kalaulah Manis biarkan
Ukasyah bertandang ke rumahnya, pasti Puan Zaifah takkan menerima cincin tanda
itu.
Manis menangis lagi.
Menyesali larangan dia dulu. Nak menyesal pun tak berguna lagi Manis. Awak dah
jadi milik orang!
“Tak apa la, belajar la
terima keputusan mak awak tu. Tak ada jodoh kita barangkali.”
“Semudah itu awak pujuk
saya, Syah?! Sesenang itu awak mahu mengalah?!”
Manis meninggi suara.
Geram, Ukasyah tahu Manis sedang melepaskan kegeramannya. Manis marah Puan
Zaifah sebenarnya, hanya kerana menerima sebentuk cincin belah rotan. Cincin
yang Manis tak tahu siapa penghantarnya. Puan Zaifah cuma beritahu, bakal
tunangannya itu telah lama mengenali diri Manis. Puas difikir, tapi tiada
seorang pun yang Manis dapat teka siapa yang telah merisiknya.
“Saya bukan mengalah
Manis... tapi saya belajar untuk reda. Saya pujuk hati sendiri untuk terima
pilihan keluarga awak. Sebab saya tahu, tiada seorang ibu pun yang mahu anaknya
tak bahagia dunia akhirat. Kecewa... Ya, saya kecewa. Bertahun saya mencari
awak. Hari-hari saya berdoa agar Allah ketemukan lagi dengan awak. Gadis manis
yang saya tolong dulu. Dan doa saya termakbul. Kita ketemu lagi. Tapi mungkin
kita memang hanya untuk berkawan.”
Makin kuat tangisan
Manis. Tangisan itu sangat-sangat menuntun jiwa lelaki Ukasyah. Kalaulah, Manis
sedang berada di hadapannya, pasti sudah ditariknya Manis ke dalam pelukan!
Memujuk gadis pujaan hatinya. Tapi apakan daya, Manis nun jauh di Hong Kong
menghadiri persidangan autopsi peringkat antarabangsa di sana. Kesian doktor
cantik manis itu, pasti fokusnya sudah hilang.
“Manis As-Syifa’...
Saya sayang awak. Dan saya tahu awak juga sayang saya. Tolong jangan menangis
lagi. Reda.. Manis. Reda untuk melepaskan saya. Belajar untuk melupakan saya,
sebelah jari awak sudah tersedia cincin untuk disarungkan. Cuma tunggu awak
balik saja.”
“Syah! Saya tak nak orang
tu. Saya cuma nak awak!”
“Syhhh..please
sayang... Dengar sini, kadang-kadang orang yang kita sayang, orang yang kita
cinta bukan jadi milik kita. Setiap percaturan itu, Allah sudah sediakan yang terbaik
untuk kita.”
“Syahhhhh..”
Ketenangan suara
Ukasyah makin membuatkan Manis sakit hati. Makin lebat tangisan air matanya!
Hati yang baru kenal cinta itu sudah terluka. Sakit.. Tak tertahan Manis
rasakannya. Marahkan Ukasyah pun ya juga, mudah sangat menerima apa yang Manis
katakan. Pada Manis, Ukasyah tidak berani mempertahankan perasaan lelaki itu
sendiri. Ukasyah sendiri tak mahu perjuangkan cinta mereka!
Akhirnya, Manis
mematikan panggilan tersebut. Tiada lagi suara Ukasyah memujuknya. Hilang sudah
cintanya sekelip mata. Yang ada cuma air mata... menemani kedinginan malam
Manis As-Syifa’ di pulau itu. Perlahan Manis merebahkan kepala di atas bantal.
Matanya ditutup agar dia dapat menghilangkan segala-galanya.
“Ni kenapa monyok jer?
Tak suka ke Zain minta cepatkan pernikahan tu?”
Zain.. Zain mana la
yang nak berbinikan sangat aku ni! Tabah la hati.. Ingat pesan Syah, reda!
Sejak panggilan telefon
di Hong Kong seminggu lepas, Manis cuba untuk melupakan ASP Ukasyah itu. Tiada
lagi pertemuan. Tiada lagi pesanan ringkas yang mengandungi kata-kata rindu.
Tiada lagi panggilan telefon di tengah malam hanya untuk mengucapkan cinta
mereka.
Cinta mereka sudah
bernoktah! Dan Manis sedang belajar untuk melupakan seraut wajah tampan itu.
“Abah.. Mak kata Manis
balik, pihak lelaki nak bertunang dulu. Apa hal pulak tiba-tiba nak nikah
terus?” Soal Manis berani. Musykil sungguh hatinya.
“Elok la tu Manis.
Nikah kahwin ni buat apa nak ditangguh-tangguhkan? Zain tu kenal lama dah anak
abah ni. Dia kata, bimbang Manis sambung belajar nanti sampai lupa nak kahwin.”
Encik Azam tergelak kecil
sebelum menyambung lagi.
“Nampaknya, bakal
menantu abah tu sangat faham anak abah ni! Ya la kan, Manis kalau dah pegang
buku memang tak ingat benda lain. Kan?”
Bahu satu-satunya anak
gadisnya diraih. Mengelus lembut di situ. Hati Manis tersentuh, bukan
keperihatinan si bakal suaminya. Tapi kerana wajah tua Encik Azam itu nampak
gembira. Dikerling pula pada Puan Zaifah yang sedang mengaturkan cawan untuk
abahnya. Wajah maknya pun sekarang selalu senyum. Apatah lagi apabila sedang
bertelefon, bila ditanya; bakal menantu yang telefon!
Haihhhh, mengalahkan
orang bercinta!
“Abah, kenapa bakal
menantu ayah tu tak pernah nak telefon Manis sendiri. Dia tak nak tanya ke
Manis ni suka kat dia ke tidak?”
“Kenapa? Manis tak suka
ke cincin Zain bagi tu?” Sampuk Puan Zaifah. Encik Azam hanya merenung muka
Manis, dia cuba menghadam kata-kata si anak.
Manis menelan liur.
Punggungnya bergerak sedikit membetulkan dudukan.
Bukan soal cincin mak,
tapi soal hati! Hati Manis ada orang lain!
Serasa itu yang mahu
Manis luahkan. Tapi dia tahu, kalau tersalah cakap, pasti Puan Zaifah mengamuk!
“Tak ada la. Manis
tanya aja.” Perlahan saja suara Manis. Sempat juga kepala digelengkan.
“Dia sibuk sayang. Dia
pesan kat Manis jaga diri. Lagipun dia tengah selesaikan semua urusan nikah
kahwin tu. Dia nak majlis berlangsung sebelum Manis pergi buat sub.”
Manis mendiamkan diri,
mendengar apa yang Encik Azam sampaikan. Mana dia tahu, aku nak sambung belajar?
Hurm, mesti la mak yang beritahu! Mak ni... Bisik hati Manis.
“Entah la ayah. Belum
tahu lagi.”
Mana-mana pun boleh.
Bukan dunia perubatan kat Malaysia ni tak maju. Kalau tak maju, kita tak akan
ada program ijazah lanjutan perubatan di sini. Tak mungkin, kita dapat
melahirkan doktor pakar di negara kita sendiri. Manis ingin menyambung subspeciality dalam Patologi Forensik,
mungkin sebab itu Zain mahu mempercepatkan pernikahan mereka.
“Mak..”seru Manis.
“Kenapa Manis?”
Tangan si anak dicapai.
Matanya jatuh ke muka Manis yang sudah didandan. Cantik! Manis yang dalam
sepersalinan serba putih susu itu tampak begitu ayu. Jari-jari runcing yang
dihiasi inai itu menaikkan lagi seri pengantinnya. Terus saja Puan Zaifah
meraih tangan Manis.
Sejuk!
“Manis takut?” Manis
hanya menunduk. Terasa sebak sendiri. Dia sendiri tak tahu mengapa!
“Adat la nak. Gadis
yang menanti akad dilafaz itu memang akan alami seperti Manis rasakan sekarang.
Inshaa-Allah, Zain mampu jadi imam Manis dengan baik.” sebuah ciuman kudus dari
si ibu singgah di dahi anak gadisnya.
“Manis tunggu saja
dalam bilik ni. Zain yang minta sesi batal air sembahyang tu, dilakukan di di
sini. Pelamin tu hanya untuk bergambar saja katanya.” Kelu lidah Manis untuk
bertanya. Ah, sememangnya begitulah seeloknya. Bisik Manis sendirian.
“Beri laluan..
Pengantin nak masuk!” Makin berdegup kencang jantung Manis mendengar suara itu.
Pengantin nak masuk?
Itu bermaksud.. aku sudah sah bergelar isteri kepada Zain!
Pantas saja, Kepala
ditundukkan. Jari-jarinya menggenggam erat bunga tangan di atas pehanya.
“Maaf ya.. Boleh tak
tinggalkan pengantin berdua? Si suami mahu imamkan isterinya terlebih dahulu.”
Usai berkata begitu, seluruh ruang bilik itu yang tadi gamat dengan usikan kini
sunyi sepi. Manis masih lagi tak mampu untuk panggung kepala.
“Assalammualaikum
isteriku... Izinkan saya mengimamkan awak untuk kali pertama.”
Suara yang begitu lemah lembut itu menggetarkan naluri Manis As-Syifa’. Setitis air mata Manis jatuh di pipi. Hatinya makin sebak. Pantas saja dia bangkit dari kerusi kecil itu. Tanpa teragak-agak, Manis membentangkan sejadah miliknya. Diambil lagi sehelai dari dalam almari, dihamparkan pula di belakang sejadah tadi. Sememangnya, Manis sudah berwuduk sedari tadi. Dia hanya menanti adamnya di sejadah sementara lelaki itu berlalu ke bilik air di dalam biliknya itu.
Suara yang begitu lemah lembut itu menggetarkan naluri Manis As-Syifa’. Setitis air mata Manis jatuh di pipi. Hatinya makin sebak. Pantas saja dia bangkit dari kerusi kecil itu. Tanpa teragak-agak, Manis membentangkan sejadah miliknya. Diambil lagi sehelai dari dalam almari, dihamparkan pula di belakang sejadah tadi. Sememangnya, Manis sudah berwuduk sedari tadi. Dia hanya menanti adamnya di sejadah sementara lelaki itu berlalu ke bilik air di dalam biliknya itu.
“Ya Allah ya tuhanku,
jadikanlah aku suami yang baik. Yang sentiasa melindungi perasaan hanya untuk
isteriku yang sah. Jauhilah kami dari sebarang fitnah dunia. Lindungilah
rumahtangga yang baru kami bina. Suburkanlah cinta di hati kami, sebagaimana
cintanya Nabi Muhammad SAW terhadap Siti Khadijah. Kurniakanlah kasih sayang
isteriku sepertimana kasih sayang Zulaikha terhadap Yusuf-Mu. Kurniakanlah kami
keluarga yang sakinah, mawaddah, wa-rahmah dan kekalkanlah hingga ke jannah. Ya
Allah ya tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Terima
kasih Ya Allah, atas penyatuan-Mu terhadap hati kami. Aamiin Ya Rabbal
A’lamin.” Setiap butir doa yang dipohon oleh Zain, sungguh menusuk hati Manis.
Air matanya tanpa dipaksa menitis lagi. Hatinya juga turut mengaminkan doa-doa tersebut.
Usai berdoa, lelaki
yang telah sah bergelar suami kepada Manis itu berpaling menghadapnya. Perlahan
tangan kanan dihulur untuk bersalam. Manis hanya menyambut. Tanpa disuruh, dia
tunduk mengucup belakang tangan si suami. Ada satu perasaan halus menjalar di
dalam dirinya.
Saat Manis panggung
kepala, dua ulas bibir sang suami mendarat di dahinya. Tidak semena kelopak
matanya terpejam. Damai.. itu yang dirasakan sekarang!
“Terima kasih sudi
terima saya dalam hidup awak.”
Bibir merah Zain senyum
mekar lagi. Tiada sebarang reaksi dari Manis, dia hanya melarikan pandangan
matanya dari bertembung dengan mata Zain. Faham dengan keadaan Manis yang masih
kekok, Zain cuba bangkit dari tikar sejadah.
“Awak..”
“Tak apa, saya faham.
Lagipun, mereka tengah tunggu kita kat luar.” Sisa air mata di hujung mata
Manis, diseka lembut oleh Zain.
“Comot dah mata ni.” Zain senyum lagi, dia tahu
isterinya mahu cakap sesuatu. Tapi biarlah dulu. Masih ada banyak masa lagi
untuk mereka bersama.
Pintu bilik yang
tertutup itu, dibuka oleh Zain. Kaum saudara yang sedari tadi menanti terus
saja masuk ke bilik pengantin itu. Perlahan Zain mendapatkan Manis semula
bersama pengiring yang membawa dulang batal air sembahyang.
Seutas rantai emas
berloketkan hati, diambil dari bekasnya. Perlahan Zain mendekatkan tubuhnya
pada Manis. Rapat, sangat rapat. Apabila rantai itu sudah dikalungkan ke leher
Manis yang ditutupi shawl itu, Zain menghulur tangan untuk bersalam. Sesi batal
air sembahyang kali kedua selepas mereka berjemaah tadi. Sekali lagi dua ulas
bibir milik Zain, menyentuh dahi Manis. Selesai upacara tersebut, barulah
mereka beriringan ke ruang tamu di bawah. Tangan kanan Manis, digenggam kemas
oleh Zain. Mereka hanya mengikut arahan dari untuk pose yang jurugambar mahukan.
Begitu juga ketika
majlis persandingan di sebelah petang. Manis tak banyak bercakap, dia hanya
menurut apa yang keluarga mereka mahukan. Bukan dia tak kisah langsung, tapi
ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dari senyuman yang sedikit canggung
itu, Zain tahu.. fikiran Manis tidak bersamanya ketika ini.
Setelah berakhirnya
majlis mereka, Manis cepat-cepat naik ke biliknya. Laju saja tanganya membuka
setiap pin tudung yang banyak tersemat di kepalanya. Kepala yang mula berdenyut
mula meminta untuk dibebaskan. Manis perlu membasahkan rambutnya! Baju
pengantin yang tersarung ditubuhnya, dilucutkan segera. Mujur juga busana yang
digayakan sekadar dress labuh dan longgar. Tak adalah susah untuk Manis
menanggalkannya!
Elok saja kakinya
melangkah ke bilik air, pintu bilik terkuak dari luar. Cepat-cepat Manis
menghilangkan diri ke dalamnya. Bunyi air pancuran yang deras, memberitahu Zain
bahawa isterinya sedang mandi. Perlahan Zain mengutip pakaian pengantin yang
berada di lantai. Penyakut baju di dalam almari digunakan untuk menyakut baju
Manis. Matanya mengerling jam di tangan. Lamanya mandi! Bisik hati Zain.
“Manis, jangan lama
sangat. Asar nak habis ni.” Beritahu Zain sambil mengetuk pintu bilik air itu.
Tak sampai lima minit, Manis sudah terjengul di muka pintu siap berpakaian.
Wajahnya masih basah. Rambutnya juga basah! Zain yang hanya bersinglet sambil
tuala melilit pinggang tidak berkata apa. Terpaku dirinya melihat Manis yang
kelihatan sangat segar di mata.
“Saya tunggu awak
imamkan saya.” Zain mengangguk, terus dia menutup pintu bilik air.
Suasana menjadi hening
lagi apabila Zain membaca doa yang sama seusai mereka nikah. Setiap bicara hati
Zain itu menggetarkan hati Manis. Tatkala bibir Zain menjauh dari dahi Manis,
mata redup itu merenung mata si isteri. Tangan Manis yang mula menanggalkan
kain telekung itu disentuh perlahan. Terbantut pergerakkan Manis untuk melipat
kain putih bersulam bunga itu.
“Manis As-Syifa’… tak
nak tanya apa-apa pada suami awak ni?” soal Zain lembut.
“Banyak! Terlalu banyak
saya nak tanya. Tapi saya sendiri tak tahu dari mana hendak mula. Rasa
tertipu.” Luah Manis bersama air mata yang mengalir. Manis sebak sendiri!
Pantas Zain menarik
Manis ke dalam pelukannya. Dipeluk erat sang isteri. Dia tahu Manis rasa
tertipu dengan perbuatannya ini. Manis hanya menangis, sedikitpun dia tak
membalas sentuhan suaminya.
“Syhhh..”
“Kenapa awak buat saya
macam ni Syah? Kenapa?”
“Dengar dulu apa yang
saya nak cakapkan boleh?” tubuh Manis yang seakan menyorok di dadanya
dijauhkan. Muka yang lencun dengan air mata itu dikesat dengan jari-jarinya.
“Saya, Ukasyah Wazien
beristerikan Manis As-Syifa’ bukan dengan pembohongan. Saya melamar isteri saya
berwakilkan ibu dan ayah. Ibu dan ayah memang panggil saya Zien. Pada mulanya,
saya terlupa pesan pada mereka. Tentang Syah. Hanya awak yang panggil saya
Syah! Hati saya gembira bila mak dan abah terima pinangan saya.”
Manis hanya diam. Dia
lebih banyak mendengar. Telinga jelas menangkap keluhan berat dari bibir
suaminya. Serba salah ya encik suami?
“Malam awak called dari Hong Kong tu, saya hanya
mahu menguji awak. Saya nak dengar rayuan awak pujuk saya. Tapi sayang… awak
terus lupakan saya. Awak langsung tak telefon, tak mesej, tak nak jumpa saya.
Kejam betul awak ya? Awak seksa hati saya.”
“Ya la.. Zain dah
pinang dia dulu. Kita ni sapa..” Manis menjeling apabila Ukasyah sengaja
buat-buat berjauh hati.
“E’eh dia ni… dia yang
kejam! Orang macam orang gila kat Hong kong tu tau tak? Menangis sampai ke
pagi. Dia sedap kat sini main-mainkan orang!” Ukasyah senyum. Dia terlalu
rindukan Manis As-Syifa’. Tanpa berlengah, Manis dipeluk erat lagi. Tanpa malu
seluruh wajah isterinya dicium. Manis terpaksa menahan muka Ukasyah dengan
jari-jarinya.
“Syah! Stop it!”
“Rindu. Sangat-sangat!”
gemersik suara Ukasyah seakan menggoda Manis.
“Saya nak tanya pasal
borang nikah. Bukan ke borang tu nama Zain? Tandatangan pun Zain.”
Berkerut-kerut dahi Manis menyoal.
“Memang la saya tulis
Zain, dah awak tu mati-mati nak bersuamikan si Zain tu.” Ukasyah mencebik.
“Mana boleh padam. Kan
dakwat hitam?”
“Saya guna pensil la
sayang. Pensil 2B lagi.” Ukasyah hanya menjawab dalam sengih. Diciumnya lagi
muka Manis As-Syifa’.
“Kenapa awak tak call saya sendiri? Kenapa call mak?”
“La… dengan mak sendiri
pun nak cemburu?”
“Bukan cemburu la! Dah
la tak telefon, buat orang tercari-cari sapa Zain tu. Sibuk konon!” Ukasyah
terlepas tawa. Dia terasa lucu apabila Manis yang mencuka mengherotkan
mulutnya.
“Memang tengah sibuk la
sayang time tu. Court kes. Awak marah saya lagi tak?”
Manis diam. geleng
tidak, angguk pun tidak.
“Ke bengang sebab tak
dapat kahwin dengan Zain?” pantas Manis mencubit lengan Ukasyah.
“Patut la awak minta
batal air sembahyang dalam bilik. Siap minta dorang tu semua keluar bilik
tinggalkan kita berdua. Awak takut saya mengamuk kat bawah ya?”
Ukasyah ketawa lagi.
“Untung saya, dapat
isteri bijak. Tak payah nak terangkan, dia dah faham. Tapi kan sayang, part minta dorang tu keluar bukan sebab
takut awak mengamuk depan orang. Tapi saya memang nak imamkan awak untuk kali
pertama. Takkan nak tayang kita sembahyang kat orang?”
Manis hilang punca kata. Ukasyah Wazien sudah
sah jadi suami dia. Nak tanya apa lagi? Takkan nak mengamuk? Tak ingat setiap
butir bicara hatinya bersama Allah? Bukan ke kau yang mengaminkan doa-doanya?
Bukankah Ukasyah Wazien yang berada di hati kau? Hati Manis berkata-kata
sendiri.
“Nak pergi mana?” soal
Ukasyah apabila melihat Manis mula membuka langkah.
“Turun la. Tengok yang
bersepah kat bawah tu. Takkan nak duduk dalam bilik pulak?”
“Tak payah. Saya dah
kemas tadi. Tak ada apa nak kemas lagi. Caterer
pun dah datang ambil barang-barang dorang. Sini, duduk dekat saya.” Ruang tilam
di sebelah Ukasyah ditepuk perlahan.
Apabila Manis sudah
berdiri di hadapannya, tangan si isteri ditarik supaya menurut permintaannya.
“Saya nak cerita dengan
awak.”
“Cerita apa?”
Manis hanya memerhati
jari-jarinya yang sudah bersulam dengan jari Ukasyah. Bibirnya tersenyum
sendiri tatkala matanya tertacap tiga jari kanan Ukasyah turut berinai. Di
tangan kiri juga turut berinai. Siang tadi dia tak perasan! Yalah, hati libang
libu. Mana nak tengok orang lain!
“Sebenarnya kan sayang,
masa kat Banda Hilir tu saya memang follow awak.” Besar mata Manis apabila
Ukasyah mula membuka cerita. Bebola mata
Manis jadi statik merenung Ukasyah.
“Masa awak jalan
sorang-sorang kat pantai pun saya intip awak.”
“Hah?!” Ukasyah sengih.
Kali ni, mesti isteri
aku betul-betul mengamuk!
“Mak dengan abah ada
sekali.”
“Mak..maksud awak apa?”
“Saya bermalam depan
bilik awak, sayang. Saya nampak dari tingkap masa awak sampai petang khamis tu.
Saya sengaja jumpa abah kat masjid. Saya minta awak dengan abah kat masjid.
Mula-mula abah terkejut dengar. Tapi bila saya cakap, saya lelaki yang telefon
abah masa anak dia kena ragut dulu. Abah cuma memeluk saya.”
“Awak yang telefon
abah?” Ukasyah hanya mengangguk. Sungguh, hari ni terlalu banyak perkara yang
masuk ke dalam kepala otak Manis As-Syifa’!
Seawal jam sebelas
pagi, dia sudah sah bergelar isteri orang. Terkejut bukan kepalang apabila suara
suami yang memberi salam adalah suara lelaki yang berjaya mencuri cintanya.
Pengakuan demi pengakuan dari Ukasyah menyebabkan
kepala Manis makin sakit.
“Ya, tapi bukan saya
yang seluk telefon dari dalam poket awak. Koperal Dhila, sayang. Saya yang minta
dia memeriksa badan awak. Malam tu kami ada operasi, kami jumpa awak terbaring
di tepi jalan.
Ya, Manis masih ingat.
Sudah menjadi kebiasaannya, telefon akan disimpan di dalam poket seluar. Di
tepi cover telefon itu, disisipkan
kad pengenalannya. Dan Manis juga ingat, Ukasyah menitip pesan sebelum pergi
apabila dia sudah sedar. Keesokkannya,
Encik Azam dan Puan Zaifah sudah terjengul di birai katilnya di wad tersebut.
Menangis-nangis, Puan Zaifah melihat keadaan Manis ketika itu.
“Siapa sangka, kita
ketemu lagi. Pasal pengapit pula, memang saya tak tahu awak kawan Doktor Alya.
Isteri Firhan, kawan baik saya. Saya nak minta kita bergambar berdua masa tu,
tapi saya malu. Sudahnya saya intip awak sampai ke Banda Hilir.”
“So, awak memang bukan
dari IPK kan masa tu?”
Ukasyah senyum simpul.
Kemudian dia menggeleng.
“Tak. Abah bagitau,
awak nak pergi kat Bangunan Stadhyus. Saya pergi dulu kat situ.”
“Abah bagitau?”
Sekali saja anggukan
kepala Ukasyah menyebabkan Manis merebahkan badannya ke tilam yang bersalut
cadar merah hati itu. Perlahan dia mengiring, kemudian dia membawa lutut ke
dadanya sendiri. Tangisannya pecah di situ!
“Sayang… please maafkan saya!” perlahanUkasyah
memeluk Manis dari belakang.
Dia tahu, Manis rasa
tertipu. Dia sedar Manis rasa dipermainkan. Tapi dia tak ada pilihan lain. Ya..
silap dia, tak berterus-terang pasal pinangan atas nama Zain itu.
“Awak kejam Syah! Awak
biarkan saya tanggung sorang-sorang! Saya macam orang gila menangis kerana
awak. Tapi.. awak seronok main-mainkan saya!”
“Tak sayang! Abang tak
main-mainkan sayang! Abang terlalu cintakan sayang, sebab tu abang buat macam
ni. Abang mengaku, abang silap pasal Zain. Sumpah! Ia hanya salah faham
asalnya!”
“Salah faham apa?!
Kalau mak dan abah sememangnya tahu dari awal itu bukan salah faham! Tapi
memang sengaja mahu mendera perasaan saya!”
Manis menepis tangan
yang sedang melingkar di pinggangnya itu. Namun Ukasyah makin melilitkan
tangannya.
“Abang pun terseksa
sayang. Sapa kata abang seronok? Kalau seronok, abang tak telefon mak dan abah
untuk tanya keadaan sayang. Kita sama-sama terseksa! Sebab tak mahu rasa
terseksa lagi, abang cepatkan perkahwinan kita. Asalnya abang mahu kita
bertunang dulu, lepas sayang habis subspeciality
training tu baru kita nikah. Tapi, abang tak sanggup! Abang tak boleh
biarkan kita berterusan macam ni! I’m so
sorry sayang. Please forgive me..”
Ukasyah merayu
perlahan. Bohong, kalau Manis katakan dia tidak terharu! Tipu kalau Manis kata
dia tidak gembira bersuamikan Ukasyah Wazien. Tapi…
“Sayang… maafkan abang.
Abang merayu sangat-sangat!” bisikan Ukasyah itu menyapa lagi cuping telinga
Manis.
Sepantas kilat Manis
membalikkan tubuhnya menghadap Ukasyah. Matanya yang penuh dengan air,
mengaburkan pandangan matanya. Wajah tampan sang suami sangat kelam di matanya.
“Abang kejam!” luah
Manis lagi dalam tangisan yang berterusan.
“Syhhh.. abang janji,
abang tak buat lagi macam ni. Abang tak sanggup dah!”
“Manis sayang abang!”
“Ya, sayang. Abang
tahu!”
“Manis rindu abang!”
“Abang pun rindu
sayang! Rindu sangat-sangat!” pantas saja Ukasyah memeluk erat Manis. Ciumannya
bertalu memenuhi segenap raut wajah sang isteri. Cinta hati yang terlalu
dirindui. Ikatan perkahwinan yang baru terjalin, menyekat rasa amarah Manis
As-Syifa’.
“Abang cintakan awak,
Manis As-Syifa’!”
Benarlah, marah sang
isteri untuk perkara remeh sememangnya tidak akan berpanjangan.
Rindu…biarkanlah ia terlerai. Kasih, biarkan ia menyubur. Sayang, biarkan ia
mewangi. Cinta.. biarkanlah menyimpul mati di hati kami.
Kekalkanlah cinta di
hati kami Ya Allah..
-Tamat-
7 comments:
Indah nya..ending yg best..tengh2 tu memdebarkn..tp arap sangt zain tu shah..sbb nama kn shah kn belakang dia ada zain..tp takot jugak salah org..terima kasih dear..
Indah nya..ending yg best..tengh2 tu memdebarkn..tp arap sangt zain tu shah..sbb nama kn shah kn belakang dia ada zain..tp takot jugak salah org..terima kasih dear..
Done!!
Hahaha xsangka zain adalah asp...
Best dear...
Done!!
Hahaha xsangka zain adalah asp...
Best dear...
Wow..finally.. Sgtla berdebar..igtkan dengan siapala manis kne kawin.. Good job..tersusun cantik bahasanya..
Wow..finally.. Sgtla berdebar..igtkan dengan siapala manis kne kawin.. Good job..tersusun cantik bahasanya..
Best...teruskan berkarya...
Post a Comment