Wednesday, December 21, 2016

Untaian Kasih Buat Humayra

Bab 8




“Astagfirullahal’Azim..” Dada dia berombak ganas. Peluh meyimbah ke dahi.
“Wei, kau kenapa? Mimpi hantu? Tulah tidur tak reti nak basuh kaki dulu.” Khyr hanya mendiamkan diri. Sepatah pun dia tidak membalas apa yang Farhan lemparkan itu.
Degup jantungnya masih lagi kencang seperti tadi. Perlahan-lahan dia  menarik nafas panjang. Bukan soal tidurnya didatangi mimpi buruk, tapi lenanya seakan terganggu dengan bisikan suara halus.
Lembut suara itu menyeru namanya. Namun Khyr mengunci mulut dari membicara hal itu kepada Farhan. Terus saja kaki diangkat membawa tubuh menuju ke bilik.
“Wei, nak ke mana? Kata nak tidur kejap aje tadi. Tu kerja kau belum siap lagi kan?” Tegur Farhan.
“Esoklah aku sambung. Penat.” Tanpa mempedulikan Farhan, Khyr terus meninggalkan temannya itu. Farhan yang masih lagi melayan perlawanan bola sepak liga Inggeris itu hanya mendiamkan diri. Matanya kembali statik di kaca televisyen nipis itu.
Kertas-kertas yang masih tidak berkemas, dibiarkan saja di atas meja. Tadi sememangnya Khyr sedang bertungkus lumus menyiapkan kerjanya. Matanya tidak mampu bertahan, lalu dia melelapkan mata sebentar.
Tapi gara-gara bisikan tadi, kelopak mata yang terpejam hampir setengah jam itu terus celik. Jiwanya menjadi resah dengan tiba-tiba. Hati tertanya-tanya apa alamat bisikan tadi? Mainan tidur atau sememangnya gangguan syaitan?


Awal pagi lagi Khyr sudah menyelesaikan tugas yang tertangguh malam semalam. Usai menyimpan semua dokumen yang telah siap, dia mengambil kesempatan merehatkan tubuhnya.
Kerja seorang juruukur bahan ini bukannya mudah. Ianya sama penting malah tugas seorang QS paling penting di dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan. Cuma QS kurang dikenali. Tidak menonjol seperti arkitek dan jurutera.
Walhal Quantity Surveyor  inilah membantu mengira anggaran kuantiti, kualiti  dan kos-kos di dalam sesebuah pembinaan. 
“Dah settle ke kerja kau?” Mata Farhan meliar di atas meja yang sudah tersedia kemas itu.
Tiada sahutan dari Khyr. Dia sekadar menjawab dengan menjatuhkan kepalanya dua kali.
“Aku nak tanya sikit boleh tak?” Khyr mengesotkan sedikit punggungnya bila Farhan melabuhkan punggung di sofa yang sama.
“Apa dia?” Muk air yang berisi air Nescaffe 3 in 1 itu dicapai. Perlahan-lahan bibirnya mencicip air yang masih lagi berasap itu.
“Siapa yang ada partner tasbih putih kau tu?”
Khyr bungkam bila Farhan mula bertanyakan soal itu. Terlayar kembali kisah yang terjadi pada minggu lepas. Nampaknya Farhan masih berfikir tentang hal itu. Desis Khyr.
Helaan nafasnya sedikit berat. Hati seakan tidak mahu bercerita. Tapi andai dia tidak menceritakan kenangan lalu, Farhan akan berterusan menyoal. Tak hari ini, esok lusa pasti dia mendesak lagi. Bukannya dia tak kenal siapa Farhan.
Bibir Khyr mengukir senyum nipis.
“Aisyah. Aisyah Humayra. Tasbih tu aku beli masa aku pergi Sabah dengan keluarga aku.” Khyr sekadar menjawab perlahan. Jiwa yang selalu diselimuti salju rindu buat gadis itu, kian menebal.
“Aisyah Humayra.. dia dekat mana sekarang?” Hati Farhan dicarik-carik untuk bertanya lagi. Dia ingin tahu siapa pemilik nama itu. Pasti dia seorang yang begitu istimewa di hati Khyr. Kalau tidak masakan lelaki itu melarang dia menggunakan tasbih itu!
“Aku tak tahu..” Luah Khyr seraya menggelengkan kepala.
Farhan hanya memerhati. Khyr seakan tidak berdaya di matanya. Mata lelaki itu sarat dengan rindu.
“Last aku jumpa dia lepas SPM. Lepas aku balik dari Sabah tu. Aku tanya kawan-kawan aku, diorang cakap daddy dia meninggal. Aku pergi rumah dia. Tulah kali terakhir aku jumpa dia.” Cerita Khyr lagi. Farhan yang sedang tekun mendengar berkerut dahi, hingga keningnya seakan mahu bercantum.
“Merah?” Bibir Khyr senyum lebar. Terbayang di kelopak matanya seraut wajah itu.
“Aku sorang aje yang panggil dia Merah. Humayra, yang kemerah-merahan di pipi. Mula-mula, dia marah. Tapi lama-lama dia buat tak kisah dengan kedegilan aku ni. Dah memang tu maksud nama dia. Dia nak kata apa?” Farhan tarik senyum bila Khyr tergelak kecil.
Nampaknya Merah tu memang istimewa di hati dia. Sekejap saja dia boleh tertawa bila mengenangkan gadis itu. Gumam Farhan.
“Maaf kalau aku tanya ni, kau rasa aku menyibuk hal kau...”
“....tanya ajelah apa yang kau nak tau, Farhan. Kalau mampu aku jawab, kau akan tau sebuah jawapan.” Sisa air nescaffe diteguk lagi. Khyr terlalu tenang di mata Farhan. Ah, dia lelaki yang selalu bertenang dalam segala hal!
“Dia cinta monyet kau?”
Khyr menggeleng, “Merah pesan, tak semua cinta monyet itu akan berkekalan hingga ke alam dewasa. Lebih baik jaga hati dari tercemar.” Farhan kelu.
Maksudnya? Hanya Khyr yang berperasaan pada gadis itu? Tapi dari cara dan tingkah laku Khyr ni, ada kasih yang telah lama tersimpul rapi buat Merah. Farhan menganalisis Khyr lagi.
“Kau tak cari dia? Kalau kau tak cari, mana nak tau dia dah kahwin ke belum? Nanti sia-sia kau simpan perasaan pada dia. Lagipun berdosa kalau kita cintakan hak orang.”
Hati Khyr bagai ditusuk semilu tajam. Apa yang Farhan katakan itu adalah sebuh kenyataan yang masih lagi samar - samar di matanya.
“Bukan aku tak cari, tapi dia seakan lenyap begitu saja lepas daddy dia meninggal. Sopian cakap, Merah dapat tawaran biasiswa untuk ke luar negara. Dia memang bijak.. Bila aku balik cuti semester pertama, aku pergi rumah dia. Tapi.. Merah dah tak ada. Mungkin dah fly. Yang menjadi kemusykilan aku,  mummy dan adik dia pun tak ada. Kata jiran mereka, diorang dah pindah. Tapi sorang pun tak tau, berpindah ke mana.” Simpati Farhan tumpah bila matanya menangkap sepasang mata Khyr yang sudah kelihatan sayu itu.
Mengingati saat itu adalah paling sukar bagi Khyr Najmi. Merahnya pergi seakan hilang jejak. Hatinya sedikit sakit bila Merah berterusan mendiamkan diri. Bukan Merah tak ada alamat rumah Khyr. Malah nombor telefon bimbit Khyr juga ada dalam simpanan gadis itu!
Sejak itu tiada salam khabar yang saling menjadi pengikat mereka berhubungan. Jadi bagaimana status diri Merah mahu diketahui? Masakan mahu diiklankan di dalam surat khabar?
Facebook? Berapa juta manusia yang menggunakan nama Aisyah? Berapa ramai perempuan yang bernama Humayra? Benarkah pengguna laman sosial itu semua menggunakan nama sebenar mereka?
Khyr tak yakin itu solusi penyelesaian untuk menjejaki Merahnya. Dia tak mahu hatinya tergadai bukan pada insan yang sebenar. Dia hanya inginkan Merah. Empunya nama Aisyah Humayra Lee binti Anas Lee Abdullah.




Post a Comment