Bab 8
“Astagfirullahal’Azim..” Dada dia
berombak ganas. Peluh meyimbah ke dahi.
“Wei, kau kenapa? Mimpi hantu?
Tulah tidur tak reti nak basuh kaki dulu.” Khyr hanya mendiamkan diri. Sepatah
pun dia tidak membalas apa yang Farhan lemparkan itu.
Degup jantungnya masih lagi kencang
seperti tadi. Perlahan-lahan dia menarik
nafas panjang. Bukan soal tidurnya didatangi mimpi buruk, tapi lenanya seakan
terganggu dengan bisikan suara halus.
Lembut suara itu menyeru namanya.
Namun Khyr mengunci mulut dari membicara hal itu kepada Farhan. Terus saja kaki
diangkat membawa tubuh menuju ke bilik.
“Wei, nak ke mana? Kata nak tidur
kejap aje tadi. Tu kerja kau belum siap lagi kan?” Tegur Farhan.
“Esoklah aku sambung. Penat.” Tanpa
mempedulikan Farhan, Khyr terus meninggalkan temannya itu. Farhan yang masih
lagi melayan perlawanan bola sepak liga Inggeris itu hanya mendiamkan diri.
Matanya kembali statik di kaca televisyen nipis itu.
Kertas-kertas yang masih tidak
berkemas, dibiarkan saja di atas meja. Tadi sememangnya Khyr sedang bertungkus
lumus menyiapkan kerjanya. Matanya tidak mampu bertahan, lalu dia melelapkan
mata sebentar.
Tapi gara-gara bisikan tadi,
kelopak mata yang terpejam hampir setengah jam itu terus celik. Jiwanya menjadi
resah dengan tiba-tiba. Hati tertanya-tanya apa alamat bisikan tadi? Mainan
tidur atau sememangnya gangguan syaitan?
Awal pagi lagi Khyr sudah
menyelesaikan tugas yang tertangguh malam semalam. Usai menyimpan semua dokumen
yang telah siap, dia mengambil kesempatan merehatkan tubuhnya.
Kerja seorang juruukur bahan ini
bukannya mudah. Ianya sama penting malah tugas seorang QS paling penting di
dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan. Cuma QS kurang dikenali. Tidak
menonjol seperti arkitek dan jurutera.
Walhal Quantity Surveyor
inilah membantu mengira anggaran kuantiti, kualiti dan kos-kos di dalam sesebuah pembinaan.
“Dah settle ke kerja kau?” Mata
Farhan meliar di atas meja yang sudah tersedia kemas itu.
Tiada sahutan dari Khyr. Dia sekadar
menjawab dengan menjatuhkan kepalanya dua kali.
“Aku nak tanya sikit boleh tak?” Khyr
mengesotkan sedikit punggungnya bila Farhan melabuhkan punggung di sofa yang
sama.
“Apa dia?” Muk air yang berisi air
Nescaffe 3 in 1 itu dicapai. Perlahan-lahan bibirnya mencicip air yang masih
lagi berasap itu.
“Siapa yang ada partner tasbih
putih kau tu?”
Khyr bungkam bila Farhan mula
bertanyakan soal itu. Terlayar kembali kisah yang terjadi pada minggu lepas. Nampaknya
Farhan masih berfikir tentang hal itu. Desis Khyr.
Helaan nafasnya sedikit berat. Hati
seakan tidak mahu bercerita. Tapi andai dia tidak menceritakan kenangan lalu,
Farhan akan berterusan menyoal. Tak hari ini, esok lusa pasti dia mendesak
lagi. Bukannya dia tak kenal siapa Farhan.
Bibir Khyr mengukir senyum nipis.
“Aisyah. Aisyah Humayra. Tasbih tu
aku beli masa aku pergi Sabah dengan keluarga aku.” Khyr sekadar menjawab
perlahan. Jiwa yang selalu diselimuti salju rindu buat gadis itu, kian menebal.
“Aisyah Humayra.. dia dekat mana
sekarang?” Hati Farhan dicarik-carik untuk bertanya lagi. Dia ingin tahu siapa
pemilik nama itu. Pasti dia seorang yang begitu istimewa di hati Khyr. Kalau
tidak masakan lelaki itu melarang dia menggunakan tasbih itu!
“Aku tak tahu..” Luah Khyr seraya
menggelengkan kepala.
Farhan hanya memerhati. Khyr seakan
tidak berdaya di matanya. Mata lelaki itu sarat dengan rindu.
“Last aku jumpa dia lepas SPM.
Lepas aku balik dari Sabah tu. Aku tanya kawan-kawan aku, diorang cakap daddy
dia meninggal. Aku pergi rumah dia. Tulah kali terakhir aku jumpa dia.” Cerita
Khyr lagi. Farhan yang sedang tekun mendengar berkerut dahi, hingga keningnya
seakan mahu bercantum.
“Merah?” Bibir Khyr senyum lebar.
Terbayang di kelopak matanya seraut wajah itu.
“Aku sorang aje yang panggil dia Merah.
Humayra, yang kemerah-merahan di pipi. Mula-mula, dia marah. Tapi lama-lama dia
buat tak kisah dengan kedegilan aku ni. Dah memang tu maksud nama dia. Dia nak
kata apa?” Farhan tarik senyum bila Khyr tergelak kecil.
Nampaknya Merah tu memang istimewa
di hati dia. Sekejap saja dia boleh tertawa bila mengenangkan gadis itu. Gumam
Farhan.
“Maaf kalau aku tanya ni, kau rasa
aku menyibuk hal kau...”
“....tanya ajelah apa yang kau nak
tau, Farhan. Kalau mampu aku jawab, kau akan tau sebuah jawapan.” Sisa air
nescaffe diteguk lagi. Khyr terlalu tenang di mata Farhan. Ah, dia lelaki yang
selalu bertenang dalam segala hal!
“Dia cinta monyet kau?”
Khyr menggeleng, “Merah pesan, tak
semua cinta monyet itu akan berkekalan hingga ke alam dewasa. Lebih baik jaga hati
dari tercemar.” Farhan kelu.
Maksudnya? Hanya Khyr yang
berperasaan pada gadis itu? Tapi dari cara dan tingkah laku Khyr ni, ada kasih
yang telah lama tersimpul rapi buat Merah. Farhan menganalisis Khyr lagi.
“Kau tak cari dia? Kalau kau tak
cari, mana nak tau dia dah kahwin ke belum? Nanti sia-sia kau simpan perasaan
pada dia. Lagipun berdosa kalau kita cintakan hak orang.”
Hati Khyr bagai ditusuk semilu
tajam. Apa yang Farhan katakan itu adalah sebuh kenyataan yang masih lagi samar
- samar di matanya.
“Bukan aku tak cari, tapi dia
seakan lenyap begitu saja lepas daddy dia meninggal. Sopian cakap, Merah dapat
tawaran biasiswa untuk ke luar negara. Dia memang bijak.. Bila aku balik cuti
semester pertama, aku pergi rumah dia. Tapi.. Merah dah tak ada. Mungkin dah
fly. Yang menjadi kemusykilan aku, mummy
dan adik dia pun tak ada. Kata jiran mereka, diorang dah pindah. Tapi sorang
pun tak tau, berpindah ke mana.” Simpati Farhan tumpah bila matanya menangkap
sepasang mata Khyr yang sudah kelihatan sayu itu.
Mengingati saat itu adalah paling
sukar bagi Khyr Najmi. Merahnya pergi seakan hilang jejak. Hatinya sedikit
sakit bila Merah berterusan mendiamkan diri. Bukan Merah tak ada alamat rumah
Khyr. Malah nombor telefon bimbit Khyr juga ada dalam simpanan gadis itu!
Sejak itu tiada salam khabar yang
saling menjadi pengikat mereka berhubungan. Jadi bagaimana status diri Merah
mahu diketahui? Masakan mahu diiklankan di dalam surat khabar?
Facebook? Berapa juta manusia yang
menggunakan nama Aisyah? Berapa ramai perempuan yang bernama Humayra? Benarkah pengguna
laman sosial itu semua menggunakan nama sebenar mereka?
Khyr tak yakin itu solusi
penyelesaian untuk menjejaki Merahnya. Dia tak mahu hatinya tergadai bukan pada
insan yang sebenar. Dia hanya inginkan Merah. Empunya nama Aisyah Humayra Lee
binti Anas Lee Abdullah.
1 comment:
Aisyah Humayra Lee binti Anas Lee Abdullah... =)
Post a Comment