Tuesday, August 1, 2017

Dia, Penawar Jiwa...

     


Bahagian 1. 


“Lepaskan semua Zulaikha. Lepaskan...Menafikan sebuah kematian itu menidakkan qada' qadar Allah!”

“Tak! Saya tak pernah tak reda. Saya sedar dia dah lama pergi. Saya waras dan saya masih ingat tarikh kematian dia!”

“Jadi untuk apa awak berlari di serata bumi Allah ini?”Sinikal sungguh ayat anak tuan mutawif ini.

“Saya mencari ketenangan. Hati saya tak tenang.”Balas Embun dengan kepalanya tertunduk. Hujung kasutnya sudah dibenamkan di dalam debu pasir.

“Apakah padang pasir yang sunyi sepi ini masih lagi tak memberikan awak ketenangan?”

Argh, sekali lagi dia menghunuskan pedang kata. Hati gadis itu tertusuk dengan tujahan itu. Sakit!

Embun Zulaikha terdiam. Ayat apa yang harus dia tuturkan? Lelaki ini tidak faham ribut yang melanda jiwanya. Bagaimana dia mahu menjelaskan agar lelaki itu mengerti?

“Kalaulah awak tahu..  Ketika dia pergi menghadap sang penciptanya, dia telah membawa sekali jiwa ini. Yang tertinggal kini hanya sebuah lara.”

“Masya Allah... Embun Zulaikha! Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?” Tinggi suara AD sampai timbul urat di tepi lehernya.

Embun tidak sedikit pun goyah. Dia tetap membuang pandangan ke tengah sana. Perlahan-lahan dia meninggalkan AD. Langkahnya diatur lemah ke masjid yang serba putih itu. Masjid Quba tersebut begitu menggamit hatinya.

Lemah seluruh sendi gadis itu tatkala kakinya mencecah masjid yang Nabi Muhammad SAW bina di tahun pertama Hijriah itu. Perbuatan Embun seiring dengan langkah. Tanpa disuruh, laju saja dia mengambil wuduk dan bersolat.

Tahu masa yang ditetapkan tidak terlalu lama untuk mereka singgah di sini. Jadi dia perlu bersegera, jangan seminit pun berlengah!

“Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui yang terbaik buatku. Siapapun dia, dari mana asalnya tidaklah aku ketahui. Kali ini bukanlah yang pertama aku bertemu dengan dia. Dan mengapa di sini kami bertemu lagi?Sungguh aku tak mengerti. Jawapannya hanya ada pada-Mu. Bukankanlah hijab untuk aku melihat aturan-Mu. Berilah aku ketenangan yang sepatutnya Ya Allah! Aamiin Ya Rabbal Alamin.”

Benar, ini bukan pertemuan pertama Embun dengan AD. Lelaki itu sangat dikenali menerusi gesekan biolanya. Sir AD…lelaki yang telah menghadiahkan Embun cakera padat himpunan seni muzik biolanya. Malah telah menjemput Embun ke konsertnya dengan menggunakan tiket VVIP!

Sir AD. Hanya itu yang dia tahu. A untuk apa? D mewakili apa pun gadis itu tidak pasti. AD… lelaki yang bermata coklat terang. Rambut keperangan, tubuhnya tinggi lampai. Fizikal seperti lelaki Timur Tengah.Yang paling ketara adalah bulu romanya juga perang.

Awal Subuh tadi, Embun terkejut besar bila lelaki yang dikenalinya sebagai AD ini perkenalkan anak mutawif mereka. Namun melibatkan cara AD menerangkan setiap tempat yang mereka singgah, Embun sangat yakin lelaki itu juga mutawif.

Barangkali kerjaya sebagai mandub di kalangan masyarat Arab itu hanya separuh masa lelaki tersebut. Atau bermain biola itu yang sekadar hobi.

Argh, pening kalau memikirkan AD! Dulu ketika Embun makan angin di Australia, lelaki itu muncul tiba-tiba lalu duduk di bangku yang sama.

Hampir pengsan Embun ketika itu, bila artis terkenal itu menyapa dirinya. Apatah lagi saat AD ralit merenung dirinya.

“Kenapa tengok saya macam tu?” Pantas Embun melarikan pandangan matanya terhadap AD. Kepalanya juga bergerak ke kiri dan kanan.

AD tersungging senyum. Mafla yang melilit di tengkuk, diperbetulkan sedikit. Sesekali bayu dingin menerpa, terasa hingga ke tulang. Duduknya juga diselesakan lagi.

 “Embun Zulaikha, awak masih teringatkan dia?” Berderau darah gadis itu bila jejak tampan itu menyoal.

Siapa AD yang sebenarnya? Apa yang dia tahu tentang aku?


           
Post a Comment