Wednesday, August 2, 2017

Dia, Penawar Jiwa...

Bahagian 2


“Jauh awak pergi membawa diri. Apa yang awak cari sebenarnya? Adakah iman yang awak cari setelah dia hilang dari hidup awak?”

Tangan Embun mula menggigil. Peluh halus sudah mula timbul di dahi. Musim dingin di Kota Melbourne ini telah menghangatkan dirinya dengan tiba-tiba.

Dia….

Adakah AD maksudkan dia?

“Apa…apa yang awak cakapkan ni?”
Bergetar suara Embun bertanya. Dadanya dihambat gemuruh. Detak jantung kian berdegup laju. Namun lelaki berambut perang itu tetap tersenyum manis. Dia nampak Embun mula tidak tentu arah!

“Embun Zulaikha, Yusuf Iskandar sudah lama pergi. Perginya dijemput Ilahi. Awak merantaulah ke setiap pelusuk dunia sekali pun, Yusuf Iskandar takkan awak temui.”
Bagaikan mahu pecah dada Embun bila AD dengan tenang berkata begitu. Air mata sudah berlumba-lumba memenuhi mata bundar itu.

Allah..siapa AD yang sebenarnya? Dia mengenali Yusufku?

 “Ini untuk awak Embun Zulaikha!” ujar AD sambil bangkit dari dudukan. Biola yang sedari tadi di atas pangkuan lelaki itu dibawa bersama. Sekelip mata biola itu sudah berada di posisi yang selalu AD selesa. Gesekan merdu mula kedengaran.

 “Zulaikha yang mendambakan rindu seorang Yusuf…..” sambung lelaki itu. Suaranya sedikit tenggelam dengan gesekan biola tersebut. Lagu Persona Zulaikha mula melatari suasana di Fitzroy Gardens itu. Beberapa pasang mata warga tempatan mula memandang-mandang.

Dan… Embun Zulaikha sudah terpaku tidak bersuara. Titisan air matanya tidak dapat disembunyikan lagi. Malah dia hanya membiarkan air jernih itu. Langsung tidak diseka. Hilang sudah rasa malu di hadapan AD.

Hatinya turut menangis,

Yusuf…. Siapa AD?



“Yusuf, kejap! Zulaikha belum ada lagi ni.”
AD berkalih bila suara lelaki seakan sama umur dengan walidnya memberitahu. Perlahan-lahan bibir AD melirik senyum. Faham dengan apa yang ayah Embun katakan itu, dia menanti lagi. Menangguhkan sebentar perjalanan mereka.

Mungkin Embun belum selesai solat. Desis hati lelakinya.

Sejak diperkenalkan sebagai Yusuf anak mutawif kepada Andalusia Travel Umrah Dan Haji, lelaki itu giat disakat oleh para jemaah. Masakan tidak, bila tetamu yang diiringi itu ada seorang Zulaikha. Bukankah jodoh Yusuf bersama Zulaikha?

Bila mengingatkan tenang usikan itu, AD tersenyum seorang diri. Zulaikha… gadis yang sudah lama dia kenal. Masih dingin untuk bermesra. Di matanya jelas terpancar cahaya cinta. Cinta untuk Yusufnya. Yusuf Iskandar yang telah lama meninggal dunia.

“Maaf, saya terlambat.” Gemersik suara Embun menyapa tiba-tiba. AD tersentak. Namun cepat kepalanya dijatuhkan. Mengangguk bila pandangan mata mereka saling terpaut.

Akhirnya AD memanjat tangga bas bila Embun sudah lama bergegas mengambil tempat duduknya. Suara AD mula memberitahu perancangan yang telah dijadualkan. Bibir merah itu bercerita dengan ramah tenang kisah Kota Madinah itu. Embun yang duduk di tepi tingkap di bahagian tengah bas itu, sesekali mencuri pandang AD.

Ya Allah, Ya Khaaliq, Ya Baari' Yang Maha Pencipta dan Maha Perancang. Kau hebahkanlah aku dengan rahsia-Mu itu.



“Allah telah merencanakan sesuatu buat kamu, sayang...” Lembut suara Zainab membisikkan kata-kata nasihat. Namun Embun hanya menyeka air mata. Tangisannya bisu tapi air jernih persis embun pagi itu tetap menuruni pipi pauhnya.

“Embun tak kuat umi. Embun asyik mengenangkan siapa penerima organ Yusuf. Hati ini... terlalu ingin mengetahui, di jasad mana jantung Yusuf berdegup sekarang.”

Perlahan-lahan rambut Embun disisir dengan tangan. Zainab tunduk mengucup dahi satu-satunya anak gadis dia bersama Ebrahim. “Bukalah hatimu wahai anakku. Terimalah pinangan dia. Pasti rancangan Allah SWT sebaik-baik perancangan. Melebihi perancangan kita, manusia yang dia ciptakan.” Bisik Zainab lagi. Dia masih mahu memujuk Embun. Ketika pemuda itu meluahkan hajat hatinya, Zainab dan Ebrahim terlalu gembira.

Jika diikutkan kata hati, mahu saja dia menerima pinangan itu sebagai kata putus. Tapi cepat mereka suami isteri tersedar.  Yang mahu disunting orang itu anak gadis mereka. Jadi wajar tuan punya badan yang membuat keputusan.

Tapi itulah, sudah sebulan berlalu. Kalau dibiarkan sampai bila? Pihak di sana masih menanti. Apa yang perlu dikhabarkan andai anak gadisnya masih terumbang ambing mencari sesuatu yang hilang?

“Embun, dia tunggu Embun. Kalau Embun tak mampu berfikir, serahkan diri ada Allah. Pasti jawapannya akan muncul.” Bahu si anak ditepuk perlahan.

Gadis itu hanya memejam mata. Diam, tapi Zainab tahu Embun mendengar. Perlahan-lahan bahu si anak ditepuk lembut. Seakan mendodoikannya tidur seperti dulu. Ketika Embun Zulaikha masih kanak-kanak.

“Sujudlah di lantai, berbisiklah merintih. Suara kita akan Allah dengar walaupun Dia tak pernah kita lihat.”

Suara lelaki itu melintas lagi di pendengaran Embun. Dadanya bergetar.

Allah!




**Terima kasih kerana membaca cerita pendek ini. Kisah ini masih ada satu bahagian lagi. Dan ianya adalah untuk projek Dealova. Insya-Allah akan terbit pada bulan Oktober nanti. AH akan war-warkan kemudian. Salam sayang,**

Post a Comment