Monday, April 6, 2015

Kisah 2 Hati

Bab 1




            Kata-kata mama semalam buat aku tak lena tidur. Kononnya balik ke rumah mama bolehlah lepaskan rindu pada mama dan baba setelah sebulan aku tak balik. Rupanya kepulangan aku disambut dengan khabar gembira. Khabar gembira bagi pihak orang tua aku. Pada diri aku tu khabar duka untuk aku. Masakan aku mahu bersorak bila dikhabarkan ada staff baba yang suka kan aku? Suka yang bukan suka biasa. Suka yang mahu beristerikan aku terus! Bila masa dan ketikanya aku ketemu dengan dia? Bila aku tanyakan pada mama, mama kata staff bawah selian baba tu tertengok aku ketika majlis sambutan hari raya di tempat baba bekerja. Argh... sakit otak aku fikirkan. Cara penyampaian mama tu seperti dia mahukan lelaki itu menjadi menantunya. Sedangkan aku sudah ada teman lelaki.


             Seraut wajah tampan terlayar di minda. Terbayang senyuman yang sentiasa menghiasi bibirnya. Rizz Amjad, sepotong nama empunya diri. Aku mengenali Rizz di Nilai Cancer Institute tempat kami bekerja. Tapi dia bertugas di IT Department, manakala aku pulak cuma jururawat saja. Perkenalan kami bermula tika aku harus mengikuti kursus IT di department dia. Sebenarnya aku balik kali ni, nak bagitahu keluarga tentang hasrat Rizz untuk bertemu dengan mama dan baba. Belum sempat lagi aku buka mulut, aku dulu yang menerima kejutan!

            “Mimi, ada staff baba berkenan sungguh dengan Mimi. Affiq cakap sendiri dengan baba, dia nak kenal dengan Mimi.” Suara baba menyapa gegendang telingaku.

            “Tapi Mimi tak pernah jumpa dia.” Aku cuba untuk menolak dalam diam.

            “Pernah la sayang.” Mama pulak menyampuk.

            “Ingat sambutan hari raya yang lepas? Affiq jumpa Mimi dekat sana la. Baik budak Affiq tu. Sopan, merendah diri. Walaupun dia supervised ramai technician, belum pernah baba dapat komplen dari orang bawah dia. Tak percaya tanya Abang Sani, dia kawan dengan Abang Sani.” Oh jadi mereka ni saling berkenal rapat la ye?

            Hurm.. Technician Supervisor yang supply minyak kapal terbang di KLIA bawah kendalian Petronas. Harus gaji kebabom! Macam mana aku tahu? Tahu la.. sudah tentu abang ipar aku tu pun staff bawahan baba. Baba ketua mereka. Tapi aku bukan materialistik. Aku tak cari orang kaya. Cukup sekadar orang biasa, yang mampu mencintai aku seadanya. Kerana aku punya satu cinta, dan cinta itu sudah dimiliki. Bagaimana aku mahu terima lelaki yang bernama Affiq tu?  Sudahnya usul Rizz yang mahu berjumpa dengan keluarga aku kunci dalam hati. Tak terluah dek bibir mengenangkan perihal Affiq sedang hangat diperkatakan.
           

            “Mimi, tolong buatkan puding oreo Mimi tu. Mama nak buat pencuci mulut nanti. Barang-barang, mama dah beli dah semalam.” Pinta mama ketika aku baru melangkah masuk ke dapur.

            “Amboi ma, pencuci mulut? Macam nak makan besar je cara mama cakap tu.” Aku sengih sambil menggigit sekeping biskut oreo ke dalam mulut.

            “Tak ada la makan besar, kita anak beranak jer.” Ye ke? Tapi kenapa aku tengok macam banyak je bahan masakan mama ni.

            “Mama beli bahan puding tu banyak tak? Mimi nak buatkan untuk Acik Sayang la sikit.” Tiba-tiba teringat jiran kami selang beberapa buah dari rumh ini. Best friend mama tu, tapi dah macam best friend aku juga.

            “Mimi suka sangat panggil Acik Nita tu Acik Sayang. Sayang tu cuma suami Acik Nita je yang panggil dia.” Aku ketawa. Yup. Sebab aku selalu dengar suami Acik Nita tu panggil dia sayang la aku panggil Acik Sayang. Romantic couple betul!

            Aku mula reneh agar-agar bersama serbuk agar dengan api perlahan hingga larut. Kemudian aku masukkan gula, aku tambah pulak dengan susu cair. Aku kacau perlahan hingga mendidih. Masa ni, memang tak boleh tinggalkan periuk, takut nanti pecah minyak. Bila sudah mendidih, aku asingkan 2 cawan ke periuk lain. Aku tambah pulak dengan milo, aku kacau sebati. Selepas itu, aku ambil semula secawan dari adunan milo tadi aku tuang ke dalam loyang. Bakinya aku biarkan dalam periuk dengan api perlahan supaya ia tidak mengeras. Bila agar-agar di dalam loyang tadi mula mengeras, aku cucuk-cucuk sikit permukaannya dengan garpu supaya bancuhan agar-agar yang berwarna putih tadi melekat. Aku mulai menuang dari bahagian tepi loyang. Selepas itu aku susun pulak dengan biskut oreo yang telah aku patah dua. Aku biarkan lapisan putih itu keras. Aku ulangi semula proses tadi hingga habis. Kemudian aku sejuk di dalam peti ais. Siap!

            Cuma aku bersama mama di dapur. Atilia, adik bongsu aku tak tahu ke mana. Kak Nada, kakak aku yang sulong belum sampai lagi. Kakak aku tu tinggal berasingan sejak dia berkahwin dengan Abang Sani. Lepas satu menu ke satu menu yang mama sediakan. Musykil aku ni.. lain macam mama memasak hari ni. Habis pinggan vantage dalam almari kaca mama suruh aku keluarkan. Disuruhnya aku cuci kemudian lap kering-kering.

            “Mama, betul ke cuma kita anak beranak je yang nak makan malam ni?” tanyaku.

            “Ye la..” jawab mama perlahan. Tapi mama masih menumis cili untuk menu ayam masak merah.
             “Kenapa?” soalan pendek dari mama.

             “ Saja tanya. Cuma pelik sikit, siap suruh guna pinggan vantage ni kenapa? Dah tak sayang lagi ke? Mama tu kedekut kalau anak-anak nak pakai pinggan mama ni. Takut pecahlah. Nanti sumpiklah. Sayang tau mama beli, mahal ni.” Aku ajuk cara mama bersama intonasinya.

            “Amboi, mulut.... mama lumur mulut tu dengan cili ni nanti.”mama menjeling, aku ketawa. Sungguh, koleksi vantage mama hanya di dalam almari cermin. Aku tak tahu kenapa hari ni mama baik hati.

            “Eleh, betul lah Mimi cakap. Mama tu cepat lupa.”aku ketawa lagi. Aku bangkit dari duduk menuju ke singki sambil membawa bekas beirisi timun, lobak merah, cili merah dan hijau untuk dicuci. Kemudian aku potong sepanjang 2 inci, lepas tu aku hiris memanjang.

 Aku sudah tahu kalau ada timun dan lobak merah, pasti mama mahu buat acar rampai untuk dimakan dengan nasi jagung tu.  Kebiasaannya nasi jagung yang dimasak oleh mama akan disajikan dengan lauk ayam masak merah, dalca dan acar rampai. Apabila kesemua menu dan nasi sudah siap dimasak oleh mama. Mama mengambil mangkuk tingkat yang dia suruh aku keluarkan tadi. Kesemua bekas  mangkuk tingkat sudah diisi,memang pelik la dengan mama hari ni.

            “Untuk siapa tu?”

            “Mimi tolong hantar ke rumah Acik Nita dengan Acik Molly. Lepas hantar terus balik jangan duduk terus.”pesan mama.

            “La, mama ni macam tak biasa pulak. Best friends mama tu best friends Mimi juga. Kenapa pulak tak boleh nak sembang-sembang?”tanya aku lurus.. hailah makin aku pelik ni!

            “Ngee, Mimi jangan degil, Mama kata balik terus, Mimi balik la.” aku cuma mengeluh. Mama memang begitu. Kalau A katanya A lah harus kita beri jawapan. Mama tegas dan garang. Berbanding baba, baba lembut sikit. Senang dibawa berbincang.

            Ketika aku keluar rumah, Kak Nada sekeluarga baru sampai. Rindu dengan mereka lebih-lebih dengan anak mereka. Walaupun tidaklah sejauh mana, tapi aku jarang bercuti menjadikan rindu itu berkumpul dan berselerakkan. Kerja macam aku ni, mana ada cuti sangat? Bukan cuti tu tak ada, cuti tu ada, tapi pelepasan untuk bercuti itu agak payah. Hari raya pun begitu juga. Ish serasa aku lah, tak pernah lagi aku dengar sebuah hospital tutup bila cuti umum dan setiap hari perayaan. Mahu pesakit tunjuk perasaan andai itu yang terjadi. Berkhidmat untuk masyarakat, walau aku di hospital swasta tapi motifnya tetap satu. Tetap sama dengan kerajaan. Memberi perkhidmatan yang terbaik untuk mereka yang memerlukan.
           

            Lepas balik dari hantar makanan ke rumah Acik Sayang dan Ms Molly, aku terus masuk bilik. Konon nak mandi, tapi aku terlelap. Aku sedar bila Kak Nada masuk bilik aku. Aku ni mengantuk sebenarnya, aku baru habis shift malam pagi semalam. Lepas balik kerja aku terus balik ke rumah mama. Belum dapat rehat betul. Tadi tu sebenarnya aku nak minum di dapur bila mama nampak aku terus dia suruh masak puding oreo. Dan aku anak yang taat, aku buatkan jugak  walaupun mata aku sudah ditahap mahu tahan dengan batang mancis supaya tidak terkatup .

            “La.. Mimi tidur? Bangun Mimi, nanti mama marah. Tak elok tidur senja la.” aku masih diam memeluk bantal.

            “Mimi, bangun!”

“Kejap lah Kak. Mimi mengantuk sangat ni.” Aku masih mamai.

“Bangun Mimi, dah masuk maghrib. Akak dah kejut tau, kalau mama kejut siap dengan tangan mama merayap. Nak mama kejut ke?” ugut Kak Nada. Mama? Oh tidak! Mama kalau kejut aku, siap mencubit. Sakit. Aku terus celik mata. Kemudian aku duduk memeluk bantal, kantuk masih ada.
“Bangun, mandi. Biar segar sikit mata tu. Pakai lawa-lawa sikit. Lepas tu cepat turun, nanti dia dah sampai Mimi tak turun-turun lagi.” Aku tak dengar sangat apa Kak Nada bebelkan. Tapi aku sempat dengar ‘dia’yang kan Nada sebut tadi ingin bertanya siapa itu, tapi akal melarang keras walaupun hati tergedik-gedik untuk bersoal jawab dengan Kak Nada.

Bila sudah siap bersiap, aku turun ke bawah. Terbuntang mata mama melihat aku yang cuma mengenakan t shirt longgar dan aku padankan dengan seluar jeans. “Kenapa pakai macam ni?” soal mama.

“Mama ni, apa yang peliknya Mimi pakai macam ni? Biasa je pun kan, bukannya pakai seluar pendek!” berkerut aku pandang batang tubuh sendiri.

“Pergi tukar, pakai yang molek sikit.” Arah mama. Baba hanya mengerling mama.

“Kenapa pulak?”soalku.

“Mama kata pergi tukar. Pakai baju molek sikit. Ada pulak pakai t shirt besar ni dengan seluar jeans.”bebel mama, matanya seperti mata helang merenungku.

“Mama, sejak bila rumah ni ada protokol dan etika berpakaian ketika malam seisi keluarga?” aku macam bengang pulak, aku yakin ada sesuatu. Tapi bila aku tanya seorang pun tak tawab. 

"So now tell me, garis panduan pakaian yang sepatutnya. Kurung batik atau sutera?” perliku. Kak Nada tersengih. Aku sengaja nak bagi mama marah. Sebab aku geram! Bila aku tanya, kita-kita je di jawab tapi dia suruh aku tukar baju lain. Seolah-olah ada orang luar yang akan turut menjamu selera dengan kami malam ini. Aku menghentak kaki sebelum naik ke bilik, tanda protes! Mama menjerit kecil mengur aku berperangai budak-budak.



Ketika aku turun semula, Kak Nada menarik tanganku ke dapur. “Kenapa pulak ni?” tanya aku dengan agak kuat.Tak jadi kaki menuju ke ruang makan bila kakiku terheret dengan pautan Kak Nada.
            “Shhhh... perlahan sikit. Dia dah sampai. Nah sarung tudung ni?”

           “Hey, apa hal dengan semua orang ni? Bila Mimi tanya semua orang cakap kita-kita jer. Tapi kenapa suruh Mimi pakai tudung? Dia tu siapa?” kecik besar jer aku tengok Kak Nada.

            “Errr, Mimi tanya mama dengan baba la. Kak Nada tak tau. Ermm..mama suruh Mimi yang hantar dulang air ke depan.” Kak Nada terus saja melangkah. Panjang terus langkah kakinya.

            Aku dah mula rasa nak marah orang jer ni. Istimewa sangat ke tetamu ni? Aku menyarung tudung yang Kak Nada hulurkan tadi. Tudung aku sebenarnya, tudung petang tadi. Masa balik dari rumah Acik Sayang dan Ms Molly, aku sangut kat tepi pintu. Mujur juga tudung ni kena dengan baju kurung aku ni. Dengan hati yang sebal aku menatang dulang air tersebut menuju ke meja makan di ruang makan di bahagian depan. Ruang makan tersebut biasanya kami guna untuk menjamu selera tetamu.

            “Letak terus jer Mimi kat meja makan tu. Dah boleh makan dah ni.” Aku terus membuang pandang pada suara mama. Dan di saat itu la aku berlaga pandangan mata dengan tetamu itu. Ah, muda lagi tetamu ni. Dia senyum..

            “Mari Affiq,  kita makan.” Affiq? Kenapa nama tu macam pernah dengar? Tapi kat mana?Ah, bila aku tak cukup tidur dan rehat aku seperti orang mamai. Aku tak fokus apa yang orang sekeliling aku cakapkan. Sementara mereka bergerak ke arah aku di meja ini, aku menuangkan air ke dalam gelas masing-masing. Bila semua orang duduk di kerusi, mata aku meliar melihat kerusi yang masih kosong. Kenapa aku terpaksa duduk sebelah dia?  Baba di hujung meja. Abang sani di hujung sana. Mama sebelah Kak Nada. Anak buahku, Eyfa sebelah Kak Nada. Yang kosong cuma satu kerusi di tengah- tengah antara Atilia dan tetamu tadi. Aku memandang mama, mama menjengilkan mata. Aku kalih pada baba, baba cuma  senyum. Sudahnya aku tarik muka sebelum duduk di tengah- tengah antara mereka berdua.

            Mama menghulurkan aku mangkuk nasi, dari isyarat mata mama minta aku menyendokkan nasi jagung tu ke dalam pinggan lelaki sebelah aku ni. Aku buat tak reti dengan isyarat mata mama. Bila aku menghulurkan mangkuk nasi tu kepada Atilia, kakiku di bawah meja disepak orang. Aku tak pasti siapa. Mama atau Kak Nada. Dua orang tu je la suspek aku. Takkan Eyfa pulak, kaki pun tak jejak lantai. Memang sebal jer hati aku ni.

            “Terima kasih. Dah awak, cukup.” Lembut suaranya menyapa telingaku bila aku menyendokkan nasi ke pinggannya. Ni memang jenis stok cakap bisik-bisik ke?

            Aku jeling Kak Nada yang sembunyi sengih. Bengang pulak tengok muka masing-masing. Abang Sani lagi la... siap tunjuk ibu jari tanda good job! Hailah... aku nak makan pun tak ada selera. Pada hal nasi jagung tu kesukaan aku. Sesi makan malam dimukakan dengan bacaan doa dari Abang Sani.
            “Makan Affiq, jangan malu. Macam tak biasa pulak dengan baba dengan Sani ni.” Aku sikit pun tak menoleh. Amboi baba, siap bahasakan diri baba. Anak angkat ke? Kenapa aku tak tahu?Suasana sunyi bila kesemuanya menikmati makanan. Aku hanya tunduk ke pinggan, sambil jariku menyuap nasi ke mulut. Nasi yang kunyah tidak terasa nikmat sebenar nasi jagung air tangan mama. Rasanya seperti aku mengunyah pasir. Keras dan kesat. Ini semua gara-gara tetamu yang memanggil baba, baba.

            “Ma, sedap puding ni. Ma buat ke Ma beli?” suaranya kedengaran lagi.

            “Bukan mama buat. Mimi yang buat.”  Aku besar mata. Mama? Hello, tu mama aku ok? Sesuka hati kau jer nak panggil mama! Tadi kau panggil baba. Ni mama pulak. Mama ni pun satu.. aku tahu la mama kepingin anak lelaki. Kan abang Sani ada? menantu sulong lagi. Eh kejap.. jangan cakap dorang ni tengah praktis jadi menantu dan ibu mertua ea?

            “Oh, pandai..”dia berkata sambil menoleh sekilas sambil tersenyum. Itu pujian untuk aku ke?

            “Ada lagi kat dapur tu. Nanti mama suruh Mimi bekalkan Affiq untuk bawa balik.” Hurm.. kena lagi aku.

             Affiq. Oh maiiiiii.. aku rasa mama sedang melobi aku! Mama sengaja suruh aku buat puding oreo tu. Baba pulak menjemput dia ni datang makan malam di rumah aku di kala aku balik ke sini. Malah Kak Nada sekeluarga balik ke rumah untuk makan sekali hanya bagi mengaburi mata aku. Mereka semua memang sengaja memberi peluang lelaki yang disapa Affiq ni tengok aku dengan lebih dekat!  

            Mama, Mimi dah ada pilihan hati!

            Baba, Mimi sudah ada calon menantu untuk baba!
           




            

1 comment:

Unknown said...

kesian dgn mimi.....